Friday, February 3, 2012

ISTIQAMAH, SEBAIK AMALAN DAN SENTIASA BERWUDUK, HATI YANG DISUKAI ALLAH SWT

Tazkirah Jumaat
3 Feb 2012 (10 Rabiul Awal 1433H)


ISTIQAMAH, SEBAIK AMALAN DAN SENTIASA BERWUDUK

Rasulullah s.a.w. bersabda “Beristiqamahlah, namun kamu tidak akan dapat menghitung nilai istiqamah. Ketahuilah, bahawa amalan kamu yang terbaik adalah solah (sembahyang). Yang dapat memelihara wudhu’ hanyalah mukmin (orang yang beriman)”. (HR Ahmad dan Ibnu Majah)

Beristiqamah

Istiqamah bermakna tetap pendirian di atas kebenaran agama Islam.

Fussilat [30] Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Selain dari itu, beristiqamah juga bermakna berterusan, tetap (sentiasa) beramal di atas sesuatu amalan yang baik mengikut pandangan Islam. Amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebagaimana di dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya :”Ditanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah SWT. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Hadis riwayat Bukhari)

Sembahyang Adalah Sebaik-baik Amalan.

Sembahyang adalah sebaik-baik amalan, kerana ia adalah amalan hubungan terus (direct) diantara seorang hamba dengan Allah s.w.t. Amalan lain misalnya berbuat baik kepada ibubapa merupakan amalan yang tidak dilakukan secara terus kepada Allah s.w.t

Ibadat yang skopnya merupakan hubungan terus menerus diantara hamba dengan Allah s.w.t. seperti ibadat sembahyang adalah lebih baik daripada yang tidak sebegitu. Manakala ibadah-ibadah lain pula tidak merupakan hubungan terus tetapi mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Misalnya ibadah puasa adalah untuk mengawal nafsu jahat dari menguasai hati, perasaan manusia. Ibadah haji pula bertujuan melahirkan kasih sayang kepada Allah s.w.t. Ibadah zakat pula bertujuan membaiki keadaan masyarakat Islam yang kurang bernasib baik.

Memelihara Wuduk

Hanya mukmin (orang Islam yang berkedudukan tinggi dan patuh kepada Allah s.w.t) dapat istiqamah dalam memelihara wudhu’nya. Mereka ini akan mengulangi wudhu’ sekiranya terbatal dan sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Mengekalkan keadaan sentiasa berwuduk bukanlah satu perkara yang senang, ianya amat sukar dan memerlukan mujahadah (pengorbanan) yang berat, dan hanya orang Islam yang bertaraf mukmin sahaja yang dapat melakukannya.

Dalam sebuah riwayat oleh Abdullah Bin Mubarak, seorang ulama hadith, Imam Abu Hanifah tidak pernah tidur malam selama 40 tahun kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam dan beliau mengekalkan wuduk solat Isyaknya hingga solat Subuh selama 45 tahun.

Orang yang sentiasa berwuduk bererti beliau berada di dalam keadaan bersih dan suci. Tanpa wuduk sesorang itu dianggap berhadas kecil (secara rohani) atau “hadas hukmi”, iaitu tidak suci dari pandangan hukum, walaupun tiada najis pada badannya tetapi dia tidak dapat melakukan ibadah tertentu selagi tidak berwuduk.



HATI YANG DISUKAI ALLAH SWT

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah Taala mempunyai bekas yang berada pada penduduk bumi dan bekas tuhan kamu adalah hati hamba-hambanya yang soleh, dan diantara mereka yang paling disukainya adalah yang paling lemah-lembut hatinya” (Riwayat Thabrani)Amalan dinilai mengikut niat dan keihlasan hati. Bentuklah hati dan latihlah hati supaya sentiasa mengingati Allah. Allah menyukai mereka yang lemah-lembut hatinya.

Sifat lemah-lembut adalah sifat Allah dan juga para nabi. Dalam sebuah hadith disebut “hampir semua orang yang lemah-lembut menjadi nabi”. Setiap nabi bakal ditentang oleh umatnya dalam menyampaikan dakwah mereka. Para nabi akan dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti gila, ahli sihir, dirasuk jin, penyair, pawang dan sebagainya. Orang yang tidak mempunyai sifat lemah-lembut tidak akan mampu bersabar dengan tuduhan-tuduhan seperti ini.

Ali-Imran [159] : Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah Subhanahuwata’ala (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…

Mereka yang lemah-lembut hatinya juga mempunyai kasihan belas dan bersikap prihatin, walaupun terhadap binatang. Sesiapa yang mengamalkan dan mempraktikkan sifat prihatin ini, ia akan dikasihani Allah dan sesiapa yang tidak mengamalkannya, ia tidak akan mendapat kasihan belas daripada Allah. Oleh itu tingkatkanlah sifat keperihatinan kerana ia mempunyai kedudukan yang sangat tinggi.


No comments: