Tazkirah Jumaat
12 Ogos 2011 (12 Ramadhan 1432H)
12 Ogos 2011 (12 Ramadhan 1432H)
SEDIKIT-SEDIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT
Rasulullah s.a.w. bersabda “Elakkan diri daripada dosa-dosa yang remeh (kecil) sesungguhnya ia berkumpul di atas seseorang sehingga ia membinasakannya (Haqaiqus Sunan 1/156).
Dosa-dosa kecil yang sedikit lama-lama akan menjadi bukit (dosa besar) sekiranya kita tidak memohon keampunan atau beristigfar memohon keampunan daripada Allah s.w.t
Telah diriwayatkan oleh Al Dailami daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda, dosa besar tidak berkekalan jika diistighfarkan (mohon keampunan) dan dosa kecil akan kekal jika ia dilakukan secara beterusan (Khazinatul Asrar 1/83)
Setiap dosa atau maksiat menumbuhkan satu titik hitam dalam hati, sekiranya tidak dibersihkan dengan taubat atau istigfar, maka ia akan menutup cahaya iman dalam hati kita.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Apabila dosa dilakukan secara berterusan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman. Setelah cahaya iman itu malap, maka dosa yang besarpun dianggap kecil, sehingga ada yang berkata “aku cuma minum arak sekali seminggu je” atau “aku cuma tinggal sembahyang je”, sedangkan satu sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja itu akan menghentak kepala mereka sendiri sehingga pecah:
“Rasulullah s.a.w. diperlihatkan pada suatu kaum yang menghentak kepala mereka pada batu. Setiap kali hentakan itu menyebabkan kepala pecah, kemudian ia kembali kepada keadaan asal dan mereka tidak berehat daripada melakukannya. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya “Siapa ini wahai Jibril”? Jibril menjawab: “Mereka ini orang yang berat kepala untuk menunaikan sembahyang fardhu”. (Riwayat Thabrani)
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/07/sedikit-sedikit-lama-lama-jadi-bukit/
SAYANGILAH ALLAH DAN ZIKRULLAH
Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau berfikir tentang kebesaran Allah. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.
Sayangilah 4 perkara iaitu Allah, Rasulullah, Agama Islam dan Orang Islam. Belajarlah 4 perkara iaitu Quran, Hadith, Akidah dan Fekah.
Siapa yang menyayangi sesuatu, dia akan sentiasa menyebutnya (melalui mulut) atau mengingatinya (melalui hati).
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)
Dari Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda :Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu,paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.
Berzikir boleh dilakukan sambil berjalan kaki, memandu kereta, bahkan sambil berbaring di atas tilam yang empuk pun boleh berzikir. Ramai juga yang masuk syurga VIP kerana berzikir di atas tilam yang empuk.
Abu Said Al-K hudri r. a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di atas tilam yang empuk, yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga.
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/01/05/sayangilah-allah-dan-zikrullah/
MELAYAN TETAMU MULIA BERNAMA RAMADAN
Rasullulah s.a.w. telah bersabda kepada sahabatnya “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan. Maka ucaplah selamat datang kepadanya. Telah datang bulan puasa yang membawa segala bentuk keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang ini.( Riwayat At-Thabrani ).“
Tetamu ini datang membawa rahmat, ganjaran pahala dan tawaran keampunan.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, Allah mengharamkan jasadnya dari jilatan api neraka” (Riwayat Bukhari)
Layanlah tetamu ini sebagaimana kita melayan kehendak tetamu yang datang bertandang ke rumah kita.
Jika tetamu kita menyukai sesuatu makanan atau masakan, maka kita sebagai tuan rumah akan menyediakan makanan mengikut selera mereka. Ini juga merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dimana Baginda menyuruh kita memberi makan mengikut apa yang disukai oleh tetamu.
Jika tetamu Ramadan mahu kita menjaga mulut, mata, telinga dan kaki tangan daripada melakukan perkara keji dan maksiat, maka kita akan menurut kehendaknya dengan mengawal nafsu.
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah dia melakukan sesuatu yang keji atau marah menjerit-jerit, kalau ada orang menghamunnya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia (bersabar sambil) berkata (dalam hati atau dengan berterang-terang): Aku ini sedang berpuasa ..”. (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Insyaallah jika kita melayani kehendaknya kita juga akan diampunkan dosa sepertimana dosa tuan rumah yang diampunkan setelah tetamunya pulang. Tetamu ini hanya datang setahun sekali, maka layanlah dia sebaik mungkin agar kita mendapat keampunan setelah ia pulang nanti.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dalam keadaan mengetahui batas-batas larangannya, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, (maka dengan itu) akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.)
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/01/melayan-tetamu-mulia-bernama-ramadan/
No comments:
Post a Comment