Thursday, July 22, 2010

AL-MUBDIU, AL-MU’ID, PEROSAK-PEROSAK SEDEKAH, IMAM MUDA?

Tazkirah Jumaat
23 Julai 2010 (11 Syaaban 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

59. Al-Mubdiu – Maha Memulai / Pemula / Yang Menzahirkan MakhlukNya

“Ya Mubdiu!” Agar segala apa yang kita rancangkan akan berhasil, maka zikirkan sebanyak 470 x setiap hari. InsyaAllah.

60. Al-Mu’id – Yang Maha Mengembalikan

“Ya Mu’id!” Andai ada anggota keluarga yang menghilangkan diri atau mencari sesuatu yang hilang dan sebagainya, amalkan zikir ini sebanyak 124 x setiap hari sesudah solat. InsyaAllah dipertunjukkan akan hasilnya.


PEROSAK-PEROSAK SEDEKAH

Sedekah yang diterima ialah sedekah seseorang Islam yang bertujuan mendekatkan diri kepada Tuhannya serta mengharapkan pahala dan balasan daripada Allah.

Allah Ta’ala telah berfirman : “Perkataan yang baik dan kemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diikuti dengan menyakitkan hati” [Al Baqarah : 263].

Juga Allah Ta’ala telah berfirman : “Janganlah kamu merosakkan sedekah-sedekah kamu dengan membangkitkan-bangkitkan pemberian dan menyakiti hati” [Al Baqarah : 264].

Manakala Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Tiga perlakuan manusia di mana Allah tidak akan bercakap (melayani) dengan mereka di Hari Kiamat, Dia tidak akan memandang kepada mereka (dengan pandangan rahmat) dan Dia tidak akan menyucikan mereka (daripada dosa); sedang untuk mereka disediakan siksaan yang pedih”.

(Mendengar demikian) Abu Dzar r.a. lalu berkata : “Gagal dan rugilah mereka, siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”. Maka Nabi s.a.w. menjawab : “ialah lelaki yang melabuhkan pakaian (sampai ke bawah buku lali), orang yang membangkit-bangkitkan pemberian dan orang yang mengambil sikap melaris barang dagangannya (untuk menarik jualan) dengan sumpahan dusta.” [HR Muslim]

Dipetik dari buku ”Kelebihan Bersedekah dan Berbelanja Dijalan Allah” alihabahasa oleh Abdullah Al-Qari B. Hj. Salleh.


IMAM MUDA?

Seseorang yang menjadi imam sebenarnya menggalas jawatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. yang menjadi imam kepada makmumnya iaitu para sahabat. Apabila seseorang itu berada di sejadah imam atau posisi imam, maka dia sebenarnya berada di tempat Rasulullah s.a.w. Oleh itu seorang imam hendaklah mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. walaupun ianya sekadar sunnah-sunnah kecil ataupun perkara yang remeh-temeh kata orang sekarang. Walaupun benda ini nampak seolah-olah kecil, tapi ingatlah permulaan sesuatu yang besar (hidayah, rahmat) bermula dari yang kecil (Imam Al-Ghazali, Kitab Bidayatul Hidayah)

Imam Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah(Permulaan Hidayah) mengatakan permulaan hidayah adalah melalui perkara-perkara yang kecil, misalnya seperti sembahyang sunat. Tanpa duit 1 sen tidak akan cukup jumlah RM1,000. Kata pepatah luar, Perjalanan yang jauh beribu batu bermula dari satu langkah. Kata pepatah melayu “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit“

Seorang imam hendaklah duduk-bangun sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah. Pakaian imam sebaiknya menutup kepala, memakai kain atau seluar yang tidak menutup buku lali, memakai baju lengan panjang dan tidak pakai baju lengan pendek. Nabi s.a.w. tidak pernah solat dengan memakai baju lengan pendek dan baginda memakai kain separuh dari betis di atas buku lali.

Seorang imam memikul tanggungjawab yang besar kerana sembahyang makmum bergantung kepada sembahyangnya. Dari Sahal bin Saad radhialloohu’anhu, diriwayatkan bahawa dia menceritakan: Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Imam itu memiliki tanggung jawab. Kalau dia melakukan sembahyang secara baik, maka dia dan para makmumnya mendapatkan pahala. Dan apabila dia melakukannya dengan salah maka dia berdosa, sementara makmumnya tidak.” (HR. Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadith disebut, “kalau kamu mahu sembahyang kamu diterima, pilihlah imam yang warak dan alim”. Hadis daripada Abu Masud Al-Ansari menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda bermaksud: Orang yang lebih berhak menjadi imam bagi satu kaum itu adalah orang yang paling pandai membaca al-Quran. Kemudian orang yang lebih pandai tentang hadis (sunnah nabi), Kalau mereka juga sama maka pilih orang yang lebih dahulu berhijrah, Kalau sama masa hijrahnya, pilih orang yang lebih tua usianya.

Orang yang lebih berhak menjadi imam bagi satu kaum itu adalah orang yang paling pandai membaca al-Quran. Mazhab As-Syafie memilih imam yang paling pandai membaca al_Quran. Berdasarkan hadis Amar bin Salamah, yang dimaksudkan dengan ‘paling pandai membaca al-Quran’ di sini ialah orang yang terbanyak hafalannya. Hadis tersebut bermaksud: Hendaklah orang yang menjadi imam itu orang yang terbanyak hafalan Qurannya.

Mazhab Al-Hanafi pula memilih imam yang lebih pandai soal hukum-hakam. Dalam hadith ada disebut, kalau kamu mahu sembahyang kamu diterima, hendaklah kamu mencari orang yang alim dan warak sebagai imam sembahyang. Pilihlah imam mengikut susunan berikut:-

  • Alim
  • Wara’
  • Pandai membaca quran
  • Berpakaian kemas
  • Manis (sedap) bacaannya, tidak semestinya berlagu
  • Tua
  • Isteri cantik. Kalau ada dua imam yang sama wara’ dan alim, pilih yang mempunyai isteri cantik kerana biasanya orang yang mempunyai isteri cantik kurang terjejas bila melihat perempuan lain.


No comments: