Friday, January 1, 2010

Ubat Hati (Kesedihan), Asmaul Husna, Siapa Berakal

Tazkirah Jumaat
1 Jan 2010 (15 Muharram 1431H)



MOTIVASI IMAN - UBAT HATI (KESEDIHAN)
Oleh Ustaz Amin

Hari ini kita akan membicarakan mengenai ubat kesedihan. Setiap manusia ada rasa sedih. Itu adalah fitrah kejadian manusia. tetapi, ramai manusia yang salah mencari ubat ketika sedih. Ketika dia sedih, dia menyalahkan taqdir, ketika dia sedih dia menungkit-ungkit kisah lama "kalaulah aku tahu, aku tak akan pergi dengan dia"

Ketika dia sedih dia marah-marah. Semua ini tidak akan membuatkan hati terubat. Ini kerana Allah tidak menjadikan perkara sia-sia ubat bagi hati.

Allah yang menjadikan kesedihan sudah tentu Allah juga yang mempunyai ubat kesedihan ini. Jadi, apa ubatnya?

Saya ingin bawakan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibu Majah " Dari Abu Ishak bin Harith dari Ali R.A dia telah berkata, telah bersabda Rasullullah S.A.W, sebaik-baik ubat adalah al-Quran".

Quran diturunkan untuk rahmat bagi sekelian manusia. Di dalamnya ada bermacam-macam kelebihan termasuklah ubat bagi hati.

Benarkah membaca al-Quran itu menjadikan hati yang sedih berubah menjadi tenang?. Saya ingin berkongsikan pengalaman yang saya lalui.

Kisah satu : Pada kejadian tsunami di Acheh pada Disember 2004, dengan izin Allah saya telah ke sana pada hari kelapan di dalam operasi kemanusiaan. Mereka yang masih hidup menghadapi tekanan yang luar biasa. Anak kecil mereka hilang, suami hilang, dan sebagainya. Sebenarnya, jika mereka berjumpa dengan mayat anak mereka, mereka lebih tenang kerana telah pasti mereka meninggal. Tetapi, status hilang membuatkan mereka menaruh harapan mudahan ia ditemui. Unit trauma dari berbagai negara datang untuk menenangkan penduduk Acheh yang kesedihan tetapi saya melihat penduduk Acheh lebih tenang dengan membaca al-Quran. Di khemah-khemah, mereka membaca al-Quran. Dengan al-Quran mereka menjadi tenang

Kisah dua : Ketika kejadian gempa bumi di Pakistan pada Oktober 2005. Saya telah sampai ke sana pada minggu kedua. Status di Pakistan pun sama. Anak-anak mereka tertimbus di dalam bangunan. Masih ramai yang belum dapat dikeluarkan kerana kekurangan bantuan tenaga. Saya melihat mereka menenangkan diri mereka dengan membaca al-Quran.

Kisah tiga : Saya pernah melihat orang yang sangat kesedihan disebabkan kematian ayahnya. Dia tidak boleh berhenti menangis. Ketika diberikan surah Yasin kepadanya, dia cuba membaca dengan suara yang tersekat-sekat kerana masih menangis. Ketika sampai ke ayat lima belas dia sudah mula berhenti menangis dan apabila sampai ke akhir surah Yasin, dia sudah boleh bercakap dan berbual dengan baik dan tenang. Al-Quran telah memberi ubat yang luar biasa pada kesedihan hatinya.

Membaca al-Quran di antara cara merapatkan diri dengan Allah. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Allah berfirman, “Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia” Surah ar-Ra’du ayat 28. Oleh yang demikian, jika kita bersedih, ambil al-Quran dan bacalah. Kita akan dilimpahi dengan ketenangan dan inysallah, Allah akan memberikan jalan keluar bagi segala permasalahan kita.

http://www.ustazamin.com/2009/04/motivasi-iman-8-sepuluh-sebab-hati.html


ASMA UL HUSNA

Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikanlah pesanKu biarpun satu ayat…”

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, iaitu 100 kurang satu. Siapa yang menghafalnya akan masuk syurga.” Sahih Bukhari.

1. Allah : “Ya Allah!” apabila dizikirkan 500 x setiap malam, lebih-lebih lagi selepas solat tahajjud atau solat sunat 2 rakaat mempunyai pengaruh yang besar di dalam mencapai segala yang dihajati.

2. Ar-Rahman – Maha Pemurah : “Ya Rahman!” apabila dizikirkan sesudah solat 5 waktu sebanyak 500x, maka hati kita akan menjadi terang, tenang & sifat-sifat pelupa & gugup akan hilang dengan izin Allah.

http://nuriman.wordpress.com/2009/07/02/asma-ul-husna/


SIAPAKAH ORANG-ORANG YANG BERAKAL ?

Pernahkah kita bertanya kepada diri kita akan siapakah orang yang benar-benar berfikiran waras dan siapakah pula yang tidak ? Jika tidak pernah maka mungkin patut sudah sampai masanya untuk kita bertanya secara serius di dalam hidup kita ini apakah ciri-ciri seseorang yang waras dan berakal dan apakah pula ciri-ciri orang yang tidak waras dan tidak berakal.

Al-Quran menjelaskan kepada kita tentang ciri-ciri orang yang berakal. Allah SWT befirman : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Ali-Imran : 190)

Ayat ini menjelaskan bahawa di antara ciri-ciri awal orang yang berakal itu ialah mereka memerhatikan kejadian langit dan bumi, melihat pertukaran siang dan malam serta mengakui kebesaran Allah SWT.

Ciri-ciri mereka itu diperjelaskan dalam ayat yang seterusnya : Allah SWT befirman lagi “ (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran : 190-191)

Orang yang berakal itu ialah orang yang beriman. Ciri-ciri seterusnya orang yang berakal itu ialah mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan mereka baik secara duduk, berdiri dan mahupun berbaring.

Berakal itu bermaksud menggunakan akal untuk mengingati Allah SWT dan mengunakan akal di jalan Allah SWT kerana akal itu adalah anugerah Allah SWT sebagai alat untuk membolehkan manusia berfikir dan membezakan perkara yang baik dan buruk, memahami ayat Allah SWT dan supaya manusia itu mengerti dan menghargai apa yang diberikan kepada mereka di dalam dunia ini hanyalah sementara dan pinjaman yang tidak kekal.

Rasulullah pernah ditanya tentang siapakah orang beriman yang paling bijak ? Lalu dijawab oleh baginda dengan bersabda : “Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik persediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah orang yang paling bijak.” (hadis riwayat Ibn Majah).

Rasulullah bersabda dalam Hadis lain : “Orang yang bijak itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang lemah itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah.” (hadis riwayat Tirmidzi).

http://ustaz.blogspot.com/2009/12/siapakah-orang-orang-yang-berakal.html

Selamat Menyambut Tahun Baru 2010