Friday, October 30, 2009

Doa Kepada Kawan, Nafsu, Solah Berjemaah

Tazkirah Jumaat
30 Okt 2009 (11 Zulkaedah 1430)


DOA KEPADA KAWAN TANPA PENGETAHUANNYA DITERIMA ALLAH


Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim).

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/23/doa-kepada-kawan-tanpa-pengetahuannya-diterima-allah


NAFSU

Nabi Yusuf mengatakan bahawa Baginda tidak gerenti dengan ujian nafsu. Seorang bakal Nabi pada masa itu pun tidak gerenti boleh mengawal nafsunya melainkan Allah telah kasihan belas terhadapnya dan bantunya mengawal nafsu:-

Yusuf [53] Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Nafsu terhasil dari darah, dan darah terhasil dari makanan yang dimakan. Nafsu subur apabila makanan masuk kedalam badan.Puasa pula dapat mengurangkan nafsu (yang jahat) kerana kurangnya makanan yang masuk kedalam badan dan darah. Hasil dari puasa ialah taqwa (takut kepada Allah). Takut disini bukannya seperti takut kan harimau tapi takut bermakna hormat. Takut Allah murka, takut Allah tidak suka.

Mereka yang mendalami ilmu tarekat memecahkan kategori nafsu ini sehingga kepada 5 dan 7 bahagian. Secara kasarnya, nafsu terbahagi kepada 3:-

1. Nafsu Ammarah (kebanyakannya dimiliki olej pemuda-pemudi). Pemilik nafsu jenis ini, jika ia tidak di “kontrol” akan membawa ke neraka.

2. Nafsu Lawwamah. Nafsu yang ingin melakukan kebaikan, tetapi ia selalu gagal, samada dengan sebab diajak oleh kawan-kawannya atau lain-lain sehingga ia melakukan pula kejahatan yang memang tidak disukainya. Lalu ia mengutuk dirinya dan menyesal “kenapalah aku buat perkara jahat ini”. Pemilik nafsu jenis ini berada di tengah-tengah dan lebih baik dari yang pertama disebabkan penyesalan dan kutukan ke atas kejahatannya itu. Pemilik nafsu ini jika ia benar-benar berjaya dengan penyesalan, kutukannya itu boleh membawanya ke syurga.

Al-Qiyamat [2] Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!

3. Nafsu Muthmainnah. Nafsu yang biasanya dimiliki oleh orang-orang tua, ahli ibadat tetapi ia boleh dimiliki oleh sesiapa yang berusaha untuk mendapatkannya. Pemiliknya akan memasuki syurga. Pemuda yang asyik beribadat, bermasyarakat secara bertanggungjawab tahu tugasnya sebagai seorang Islam, apa yang patut dilakukan dan sebaliknya. Mereka juga boleh memiliki (nafsu muthmainnah) seperti yang dimiliki mereka yang telah berumur.

Al-Fajr [27] (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!

[28] Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!

[29] Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia

[30] Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!

Setiap orang mempunyai kelemahannya. Ada yang tewas bila diuji dengan perempuan, ada yang tewas dengan wang, ada yang tewas dengan arak dan sebagainya. Kata orang luar “setiap orang boleh dibeli cuma harga dan cara saja berbeza. Oleh itu kenalpasti kelemahan kita agar tidak terpedaya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/27/nafsu


SOLAH BERJEMAAH

Dari Utsman r.a., Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesiapa solah isyak dengan berjemaah, maka ia laksana solah malam setengah malam. Dan sesiapa solah subuh dengan berjemaah, maka ia laksana mengerjakan solah malam sepanjang malam .” (HR Muslim dan lafaz ini ada pada sisinya) dan Abu Dawud dengan lafaz : Maka ia laksana solah malam separuh malam. Dan sesiapa solah isyak dan solah subuh dengan berjemaah maka bererti ia telah melakukan solah malam sepanjang malam. (Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Solah yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solah Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)

Abu Hurairah r.a. berkata,“Bersabda Nabi s.a.w. “Solah berjemaah pahalanya lebih daripada solah seorang diri, baik di tempat kerja atau di rumah sebanyak dua puluh lima darjat. Demikianlah jika seseorang telah menyempurnakan wuduk, kemudian dia pergi ke masjid, tiada tujuan lain melainkan untuk bersolah, tidak melangkah (setiap langkah kakinya menuju tempat solah berjemaah) melainkan diangkat satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu dosa, hingga masuk ke dalam masjid. Apabila telah berada di dalam masjid, maka orang itu dianggap sedang bersolah selama dia masih menantikan solah (selama dia tertahan kerana menunggu solat), dan Malaikat mendoakan seseorang selama ia dalam majlis solahnya, Malaikat berdoa, “Ya Allah kasihanilah dia, ya Allah ampunilah dia, ya Allah maafkanlah dia. Selama dia tidak mengganggu dan belum berhadas di tempat itu.”(Bukhari, Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com

No comments: