Friday, May 1, 2009

TJ : Syirik, Syirik Kerja Syaitan Menjerumus Manusia ke Lembah Khurafat

Tazkirah Jumaat
6 Jamadil Awal 1430H/1 Mei 2009


SYIRIK

Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai tuhan. Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini ada di dalam masyarakat sama ada diketuai orang Islam atau bukan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” – (Surah Luqman, ayat 13)

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).

http://ms.wikipedia.org/wiki/Syirik


SYIRIK KERJA SYAITAN MENJERUMUSKAN MANUSIA KE LEMBAH KEKUFURAN

UMAT Islam kini masih lagi di belenggu dengan amalan khurafat dan tahyul sama ada secara sedar atau tidak.

Ada antara umat Islam masih mengamalkan amalan karut-marut, contohnya, dianggap boleh menolak bala dan menghapuskan dosa.

Perbuatan itu ternyata bertentangan dengan ingatan Rasulullah SAW melalui sabdanya bermaksud: “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudaratan burung hantu, tiada bala bencana bulan Safar, dan larilah engkau daripada orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari daripada singa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Khurafat bermaksud mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Ia tiada nas dan sandaran yang nyata dan lebih kepada telahan atau pandangan yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Akal yang waras tidak boleh menerima hakikat itu. Hal ini kerana setiap fitrah dan tabii sudah ditentukan Allah, malah ia sering dikaitkan dengan kerja syaitan untuk memperdaya dan menyesatkan manusia ke arah kemungkaran serta berpaling daripada petunjuk Allah yang benar dan lurus.

Firman Allah bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan kepada kamu kefakiran dan menyuruh kamu kepada kejahatan, tetapi Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan, dan ingatlah, Allah Maha Luas limpah rahmatnya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 268)

Contohnya, pada zaman jahiliah, mereka yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa alamat baik. Tetapi, jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, maka mereka akan menangguhkan pemergian kerana ditakuti bala akan turun.

Sesetengah masyarakat kita lebih hebat lagi, apabila burung hantu berbunyi pada malam Jumaat, kita dilarang membuat bising atau menyahut bunyian itu. Kononnya sesiapa yang melakukannya, pasti akan meninggal dunia esok. Malah, ada antara kita masih lagi menyebut - tabik datuk, cucu-cicit tumpang lalu - apabila melalui kawasan hutan yang sunyi dan gelap, berpokok besar dan objek yang menggerunkan.

Keadaan itu jelas bertentangan dengan hukum Islam dan boleh membawa kepada syirik kepada Allah kerana percaya selain daripada-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Maka apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata: Ini ialah hasil usaha kami, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya malang mereka itu hanya di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-Araaf, ayat 131)

Satu lagi amalan dan kepercayaan khurafat yang masih berlaku khususnya di kalangan orang tua ialah tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam Safar. Mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat dan jodohnya tidak panjang. Ini nyata bercanggah dengan hukum Islam dan boleh menyebabkan rosak akidah.
Sesungguhnya ajal maut, jodoh pertemuan segalanya adalah ketentuan Allah. Sebenarnya nahas dan bala bencana tidak berlaku hanya pada Safar.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)

Islam amat melarang keras umatnya percaya kepada khurafat kerana ia menjejaskan kegiatan sosial, ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan dinamika serta martabat Islam yang syumul.

Apabila percaya kepada makhluk lain selain Allah, maka kita sudah hilang kepercayaan kepada rukun Islam keenam iaitu qada dan qadar Allah. Malah, kesan paling besar yang akan dihadapi oleh umat Islam apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kekufuran dan kesyirikan.

Mensyirikkan Allah bererti kita mengiktiraf adanya makhluk lain sama dengan Allah, sedangkan Allah tidak menyerupai mana-mana makhluk sekalipun.

http://intim.wordpress.com/2008/12/18/syirik-kerja-syaitan-menjerumuskan-manusia-ke-lembah-kekufuran/

No comments: