Hati mana yang tidak sedih melihat
paparan di media berkenaan kemiskinan dan kemelaratan yang berlaku dalam
masyarakat. Dalam dunia moden hari ini, masih lagi terdapat orang yang tinggal
dalam kotak, menginap bawah jambatan, dalam kandang haiwan dan sebagainya.
Diberitakan juga kisah-kisah pesakit
kronik yang terlantar tanpa bantuan, orang kelainan upaya dan kanak-kanak
terbiar tanpa perlindungan. Demikianlah episod-episod sedih dalam sebuah
kehidupan di alam realiti.
Bagi membendung masalah kemiskinan dan
kemelaratan hidup, Islam telah mendatangkan penyelesaian yang sangat tepat dan
berkesan. Islam telah menjadikan zakat sebagai kewajipan kepada umat sehingga
ia termasuk dari rukun Islam.
Zakat adalah ketetapan Ilahi. Ini
bererti, tidak sempurna keislaman seseorang itu apabila enggan mengeluarkan
zakat setelah cukup syarat-syaratnya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Islam
dibina atas lima: Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan
bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat,
berpuasa Ramadan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya.
(riwayat Muslim)
Sebab itu, Abu Bakar As-Siddiq r.a
telah mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan membayar zakat
walaupun mereka menunaikan kewajipan yang lain seperti solat.
Walaupun tindakan Abu Bakar untuk
memerangi mereka itu tidak dipersetujui oleh para sahabat di peringkat awal,
tetapi akhirnya mereka bersetuju secara ijmak setelah diberikan penjelasan oleh
Abu Bakar.
Allah SWT sering menggandingkan
kewajipan mengeluarkan zakat bersama dengan perintah mendirikan solat.
Antaranya firman Allah SWT yang
bermaksud: Dan dirikan solat, serta tunaikan pembayaran zakat dan
rukuklah bersama orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 34)
Islam telah mengajar kita cara
berekonomi dan penggemblengan modal menerusi pengumpulan dana sama ada yang
bersifat sukarela (derma dan wakaf) atau wajib (berzakat). Sehingga Allah
menjanjikan ganjaran yang amat besar sekali kepada mereka yang melakukannya dan
azab yang amat dahsyat kepada yang mengingkarinya.
Ia sebagaimana firman-Nya
menegaskan: Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, sebab itu akan Aku
sediakan bagi mereka yang bertaqwa, mereka yang mengeluarkan zakat dan mereka
yang beriman dengan keterangan-keterangan Kami (Allah). (al-A'raf: 156)
Walaupun kutipan zakat melalui
pusat-pusat zakat semakin bertambah dari tahun ke tahun, namun ia masih lagi
belum mencapai tahap yang memuaskan.
Jumlah zakat dilihat tidak seimbang
dengan bilangan masyarakat Islam yang berkemampuan di negara kita. Ini
menunjukkan kesedaran tentang pembayaran zakat perlu diperluaskan dan
diperhebatkan lagi untuk memberikan kefahaman dan untuk memurnikan salah faham
tentang zakat.
Sebagai contoh, terdapat golongan yang
beranggapan bahawa zakat yang diwajibkan hanyalah zakat fitrah yang ditunaikan
pada bulan Ramadan.
Sedangkan banyak lagi jenis-jenis zakat
yang difardukan kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syaratnya seperti
zakat pendapatan, simpanan, perniagaan, tanaman, haiwan ternakan, galian, emas
dan perak.
Orang yang tidak mengeluarkan zakat
sedangkan mempunyai kemampuan yang cukup akan dikenakan seksaan yang amat pedih
di akhirat kelak.
Penderitaan tersebut dikenakan kepada
mereka disebabkan sikap pentingkan diri sendiri yang ada dalam diri sehingga
sanggup untuk melihat kemiskinan terhampar di hadapan matanya, padahal mereka
mempunyai kemampuan dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan
(ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak
membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan
(balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar
emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya
dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada
mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu
rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (al-Taubah: 34-35)
Begitu juga dengan ancaman berat yang
diberikan oleh Nabi SAW terhadap mereka yang enggan mengeluarkan zakat. Hadis
nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan
perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan
hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke
lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada
satu hari yang lamanya 50,000 tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara
yang berkaitan dengan hamba-Nya. (riwayat Muslim)
Zakat agih kekayaan
Zakat dengan konsepnya yang tersendiri
mampu mengatasi masalah pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Lapan asnaf yang
ditetapkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas adalah segmen-segmen penting dalam
masyarakat untuk diprioritikan bantuan kepada mereka.
Mereka adalah golongan yang perlu
diberi perhatian sebagai sebagai sebuah komponen yang unik dalam masyarakat.
Zakat juga penting bagi tujuan
pembinaan ekonomi negara. Ini adalah kerana, zakat dapat menjadi sumber kepada
golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan modal.
Modal ini boleh digunakan sebagai
permulaan untuk perniagaan bagi menjana pendapatan. Pusat Zakat di bawah Majlis
Agama Islam Negeri menyediakan pula khidmat nasihat dan pemantauan terhadap
operasi perniagaan mereka dari masa ke semasa.
Apabila mereka sudah mencapai tahap
yang memuaskan dalam perniagaan yang dijalankan, maka tibalah giliran mereka
pula untuk mengeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf lain.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan
bahawa terdapat di kalangan golongan asnaf yang tidak mampu untuk bekerja
kerana penyakit kronik atau kecacatan anggota badan.
Justeru, zakat yang dikumpulkan akan
digunakan bagi menyara kehidupan mereka termasuklah makan-minum, pakaian,
tempat tinggal dan kos perubatan.
Kesimpulannya, zakat adalah penting
sebagai sumber perekonomian masyarakat Islam. Ia bukan sahaja dapat membantu
golongan yang tidak bernasib baik, bahkan ia juga dapat merancakkan kegiatan
dan pertumbuhan ekonomi umat Islam.
Apa yang berbaki adalah, sama ada kita
yakin atau tidak.
Makluman: Artikel ini dipetik secara
langsung dari akhbar Utusan Malaysia
Online pada 25 Januari 2012.
No comments:
Post a Comment