ISU: Apakah hukum suami mengatakan " comelnyer baby
ayah....bontot leper mcm ibu" adakah jatuh zihar?
PENJELASAN: Zihar
bermaksud, "Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak ba'in dengan
wanita lain yang haram dikahwininya." (al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, jil.
3, hlm. 229). Rukun dan syarat zihar ialah (Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi
ahkam mar'ah, jil. 8, hlm. 286-303):
1) Rukun zihar pertama ialah suami: Suami
melafazkan kalimah yang mengandungi maksud zihar kepada isteri dengan
menyamakan anggota isteri dengan anggota wanita lain yang haram dikahwini oleh
suami tersebut.
2) Rukun zihar kedua ialah isteri. Ditujukan lafaz zihar itu
kepada isteri dengan menyamakan anggota isteri dengan anggota wanita lain yang
haram dikahwini oleh suami tersebut. Sama ada isteri itu masih isteri yang sah
daripada perkahwinan yang sah, atau masih berada dalam iddah talak raj'i (talak
satu).
3) Rukun zihar ketiga ialah wanita yang disamakan dengannya: Wanita yang
disamakan anggota badannya dengan anggota badan isteri adalah wanita yang haram
dikahwini oleh suami yang melafazkan, sama ada ibu, anak perempuan, makcik
(adik beradik perempuan kepada ibu atau bapa), dan wanita lain yang diharamkan
berkahwin dengannya sampai bila-bila.
4) Rukun zihar keempat ialah lafaz zihar:
Suami menggunakan lafaz yang menunjukkan maksud zihar. Merujuk kepada isu yang
dibangkitkan, suami mengatakan " comelnyer baby ayah....bontot leper mcm
ibu". Ayat tersebut difahami, suami menujukan lafaz itu kepada anak perempuannya,
bukan kepada isterinya. Maka ia tidak memenuhi syarat kedua, kerana zihar ialah
suami menujukkan lafaz kepada isteri. Oleh itu, dalam kes ini, tiada kaitan
dengan zihar. Fatwa yang hampir sama dengan soalan yang dikemukakan ialah:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Jamadilawal
1423 bersamaan 30 Julai 2002 telah membincangkan mengenai Hukum Zihar Di
Kalangan Umat Islam Melayu Di Malaysia. Alhamdulillah fatwanya: "Sekiranya
suami menyamakan anggota badan isteri dengan mahramnya (orang yang haram
dinikahinya) tanpa niat zihar dan untuk tujuan bergurau atau penghormatan maka
ia tidak jatuh zihar, tetapi jika ada niat zihar, maka jatuhlah hukum zihar.
Walaubagaimana pun budaya atau amalan seperti ini hendaklah dijauhi. " Wallahua'lam
RUKUN ZIHAR
1. Suami
2. Isteri
3. Perkara yang diserupakan
4. Lafaz zihar
PERINCIAN
Rukun Pertama: Tidak disertakan kerana meyakini ianya
jelas
Rukun Kedua: Tidak disertakan kerana menyakini kejelasannya
Rukun Ketiga:
(Perkara yang diserupakan) Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut
mesti difahami: Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :-
1. Anggota-anggota
yang haram dilihat oleh sesama mahram. Contoh punggung, perut, kemaluan di
sekitarnya dan yang seumpama dengannya. Penyamaan dengan tangan, kepala, kaki,
rambut, dan lain-lain . Demikian pandangan kebanyakan ulama, Ulama Hanbali dan
Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak,
semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173) Pandangan
yang rajih adalah pandangan jumhur.
2. Mestilah anggota-anggota ini daripada
wanita yang diharamkan berkahwin dengan si lelaki sama ada tahrim secara
berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti
Ibu, Anak, Adik beradik, Pak cik, Mak cik dan lain-lain yang berkaitan. Selain
pandangan mazhab utama, ia juga pandangan Hasan al-Basri, Ato Abi Rabah,
As-Syabi, An-Nakhaie, Al-Awzaie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu Ubaid, Abu
Thaur. Pandangan Imam Syafie dalam 'qawl qadim: Tidak jatuh zihar terhadap
semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu
ditujukan khas untuk ibu. Tetapi Qawl Jadid Imam Syafie memindanya ijtihadnya
dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman
ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu, 19/45) Manakala yang tidak muabbad
seperti wanita asing, adik beradik perempuan bagi isteri dan lain-lain.
Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh ala
al-Mazahib al-Arbaah 4/500; Ad-Dusuqi ala syarh al-Kabir 2/439; Ashal
al-Madarik 2/169; Kifayatul akhyar 2/71) Ulama Maliki menambah bahawa binatang
juga termasuk dalam kategori yang tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia
tidak boleh berhubungan jenis dengan binatang. Maliki juga mensabitkan zihar
kiranya menyamakan rambut isteri dengan rambut ibu dan lain-lain. Manakala
jumhur tidak berpandangan sekian. (Ad-Dusuqi ala syah al-Kabir, 2/439) Syarat
yang diperselisihkan :- * Mestilah diserupakan dengan anggota wanita. Kiranya
ditasybihkan dengan lelaki seperti Belakang atau Punggung kamu seperti belakang
atau punggung bapaku. Ulama Hanafi dan Syafie mengatakan TIDAK JATUH ZIHAR.
Bagaimanapun Ulama Hanbali dan Maliki mengatakan JATUH ZIHAR DENGAN SYARAT
MENYAMAKAN DENGAN SEBATANG ANGGOTA YANG TIDAK HALAL DILIHAT SEPERTI PERUT,
PEHA, KEMALUAN, PUNGGUNG dan lain-lain yang seerti. Kiranya menyamakan dengan
kepala bapa, rambut, hidung dan lain-lain, TIDAKLAH DIANGGAP ZIHAR (Lihat ashal
al-Madarik 2/170; Juga al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah, 4/499). Semua mazhab
mempunyai dalil masing-masing. Ulama Syafiiyyah mengatakan kiranya tasybih itu
bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia
berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka
jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)
Rukun Keempat: Sighah (Lafaz Zihar)
Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :-
a. Perlu kepada niat, kiranya ia
dibuat secara Kinayah (tidak jelas). Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti:
Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda. Lafaz seperti di atas
tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari. Kinayah pula
adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermkasud zihar tapi mungkin juga
tidak seperti: Dinda ni seperti bondaku. Lafaz seperti ini kemungkinan
bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan
lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami. Lafaz ini telah ijma di
kalangan ulama tentang sabit zihar. Demikian menurut Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu
Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh Najib al-Mutie, 19/44)
b. Tidak
disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang memberi pengertian
semasa. Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertain semasa seperti :
Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda Juga jatuh kiranya
diikat dengan waktu tertentu seperti : Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka
Perut Dinda seperti perut bondaku Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman
akan datang seperti : Punggung Dinda seperti punggung bondaku sehingga awal
tahun depan atau Perut Dinda seperti perut bonda Kanda dalam masa sebulan .
Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah
al-Mujtahid 2/117; Matolib Uli An-Nuha 5/507 )
c. Mestilah lafaz tadi disandarkan
kepada anggota tubuh wanita samada secara juzu atau sepenuhnya. (Bahagian yang
diharamkan lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). ( Lihat BadaI as-Sanai ,
5/2129 ) HUKUM SETELAH JATUH ZIHAR Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar
maka beberapa hukum berikut sabit : Haram menyetubuhi isterinya (yang
diziharkan) kecuali setelah dibayar kifarat. Ini adalah pandangan jumhur.
Menurut tertibnya kirafat adalah membebaskan seorang hamba, puasa atau
memberikan sedekah. Dalilnya adalah daripada Firman Allah SWT surah
al-Mujadalah ayat 58. Manakala istimta (bersedap-sedap, berseronok-seronok),
sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim
Wasail) di sisi ulama Hanafi dan Maliki ( BadaI as-SanaI, 5/2132; Ashal
al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah
at-Tolibin 8/270; Fath al-Jawad 2/187; Ianah at-Tolibin 4/37) Pandangan yang
rajih adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail, kerana dibimbangi akan
tergelincir ke persetubuhan. Pandangan lebih selamat bagi fatwa untuk orang
awam. Kiranya sangat yakin tidak akan tergelincir dan tidak dapat menahan
kesabaran hingga dibimbangi memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh.
Kesimpulan Jawapan Terhadap Soalan (Mengambil Pandangan yang Rajih)
1. Hanya jatuh
(sabit) Zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu, nenek, anak dan semua
wanita yang diharamkan suami berkahwin dengannya secara kekal sama ada secara
Keturunan, Susuan mahupun Musoharah.
2. Penyamaan anggota tertentu sahaja yang
menyebabkan sabit zihar iaitu Seluruh atau juzuk dari anggota yang haram
dilihat semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit
zihar.
3. Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana
lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan
suara, rupa dan sebagainya.
4. Istimta dengan isteri yang telah dizihar sebelum
membayar kifarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail. Dibimbangi akan
terlanjur. JUSTERU, MENYAMAKAN RUPA, HIDUNG ISTERI DENGAN RUPA DAN HIDUNG ANAK
TIDAKLAH JATUH ZIHAR, BAGIAMANAPUN MENYAMAKAN PUNGGUNG ISTERI DENGAN PUNGGUNG
ANAK PEREMPUANNYA, SABIT JATUH ZIHAR. Walaupun si suami tidak berniat. Masalah
Kejahilan tentang hukum ini, mempunyai perbincangan yang lain yang agak
panjang, kesimpulannya, menurut Tuan Guru kami As-Syeikh Prof. Dr. Muhd Uqlah
al-Ibrahim, tiada keuzuran terhadap kejahilan. Menjadi kewajiban suami isteri
sebelum berkahwin mengetahui hal yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.
Wallahu alam.
HUKUM ZIHAR
Soalan
Baru-baru ini saya terbaca di dada akhbar
tentang hukum zihar (menyerupakan anggota isteri dengan anggota tubuh mahram
suami). Boleh ustaz beri penjelasan tentang hukum zihar sebagaimana yang
disebutkan di dalam Al-Quran.
Jawapan
Berdasarkan huraian dalam penilaian hukum
Syarak, terutama Mazhab Syafie, zihar biasanya didefinisikan sebagai membuat
perbandingan sama antara mana - mana anggota yang sama bagi mana-mana mahram
suami. Dalam tradisi masyarakat Arab Jahiliah, ia merupakan cara terhormat bagi
menceraikan isteri. Ia memberi erti
pengharaman apa-apa hubungan suami isteri sama haramnya dengan mahramnya
sendiri seperti ibunya. Sebab itulah
istilah yang digunakan bagi tindakan tersebut adalah 'belakang' sebagai
bandingan. Kes ini berlaku kepada
Khaulah binti Sa'labah oleh suaminya Aus bin Samit. Merujuk kembali kepada
tradisi ini, zihar merupakan satu cara menceraikan isteri pada waktu itu.
Caranya ialah membuat satu pernyataan bahawa isterinya itu haram baginya
samalah seperti haram belakang ibunya.
Dalam menafsirkan tentang zihar
ini, para ulama' tidak begitu sependapat.
Ini kerana Al- Quran dan Sunnah tidak menerangkan secara terperinci apa
sebenarnya zihar itu. Sekiranya perkara ini berlaku maka talak bain kubra akan
jatuh atau mesti membayar kirafah (memerdekakan hamba, berpuasa dua bulan
berturut-turut, memberi makan enam puluh fakir miskin) sebagai denda terhadap
perbuatan tersebut. Sebenarnya zihar
dalam konteks masyarakat Malaysia sekarang perlu dihuraikan berasaskan kepada
semangat yang terdapat makna zihar itu sendiri pada zaman jahiliah sebagaimana
yang terdapat dalam Al- Quran dan
Sunnah. Ringkasnya, kalau setakat membandingkan mulut isteri dengan mulut ibu
suami, gigi dan sebahagian anggota bukan atas roh ingin menceraikan maka
ianya belum dikatakan sebagai
zihar.
( Rujuk: Buku Anda Bertanya Saya Menjawab Tentang
Masalah Agama - Prof Dato' Mahmood Zuhdi ms 116).
Alasannya ialah
masyarakat melayu tidak tidak pernah
menggunakan cara ini untuk bercerai dan pemakaian 'bahasa' itu tidak
melambangkan niat@ erti sebenar cuma ianya atas aspek kecantikan.
Credit to: fenditazkirah.blogspot
No comments:
Post a Comment