Mencari sesuatu yang halal untuk
dimakan atau digunakan dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu
kewajipan yang difardukan oleh Allah SWT ke atas setiap Muslim, kerana
mengambil yang halal itu dapat menambah cahaya iman dan membuat termakbulnya
doa dan diterima amal ibadah, sebagaimana memakan yang haram boleh menghalang
doa dan ibadat dari diterima oleh Allah SWT. [1] Rasulullah
SAW bersabda;
وعن أنس بن مالك عن
النبي صلى الله عليه و سلم قال : ] طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ
على كلِ مُسلِم.[ [2] رواه الطبراني في الأوسط وإسناده حسن
Maksudnya: Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bersabda;
“Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. Diriwayatkan
oleh al-Thabarani dengan sanad yang baik (hasan).
Merujuk kepada persoalan hukum insurans
konvensional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia (MJFK) telahpun memutuskan hukum berkaitan dengannya dalam
beberapa siri persidangan yang membahaskan status insurans konvensional.
Secara umumnya semua jenis insurans
konvensional sama ada insurans nyawa, insurans am serta memperomosikannya juga
adalah haram. Berikut dilampirkan keputusan-keputusan muzakarah berhubung
insurans konvensional:
Hukum insurans nyawa.
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada
15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah
memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan
syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah
yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
a.
Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
b.
Mengandungi unsur judi.
c.
Mengandungi muamalah riba.[3]
Hukum insurans am
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1
- 3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah
memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.[4]
Hukum mempromosikan produk
insurans konvensional.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada
14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans
Konvensional Menurut Perspektif Syariah.
Muzakarah berpandangan bahawa sistem
takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan
umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan
itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan
produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba.
Walau bagaimanapun, pendapatan atau
komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada
takaful adalah dimaafkan.[5]
Selain dari status hukum isurans nyawa,
insurans am dan hukum mempromosikan produk tersebut, muzakarah turut
membincangkan tentang status pampasan polisi insurans konvensional selepas
kematian pembeli polisi, pada muzakarah kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22
April 2011..
Muzakarah telah memutuskan seperti
berikut:
a.
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan,
Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang
tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan
prinsip teras Islam.
b.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi
insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta
tidak patuh syariah.
c.
Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja
dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara
sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut
tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib
dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam
Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada
golongan fakir dan miskin.
d.
Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak
pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya
adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi
insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir
dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah
kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan
mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (c) di atas.
Berdasarkan keputusan-keputusan yang
disebutkan di atas, jelas menerangkan tentang status hukum bagi insurans
konvensional. Justeru, umat Islam sewajarnya meninggalkan produk-produk
konvensional yang telah diharamkan oleh Allah SWT.
Sebagai alternatif kepada produk-produk
konvensional tersebut, umat Islam hendaklah mengambil produk-produk takaful
yang patuh syariah yang menawarkan pelbagai jenis perlindungan secara
Islam.
Dewasa ini tiada lagi alasan darurat
yang mendesak umat Islam untuk tidak mengambil dan menggunakan produk-produk
perlindungan berasaskan takaful yang patuh syariah. Bahkan menjadi kewajipan
pada mereka untuk mendokong produk-produk berasaskan takaful, sebagai
menggantikan produk-produk konvensional yang diharamkan dalam Islam.
Sekarang ini pengguna boleh memilih
syarikat-syarikat pengendali takaful patuh syariah, yang telah diberikan lesen
oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Buat masa ini terdapat 12 syarikat pengendali
takaful yang patuh syariah di Malaysia sebagimana dipaparkan dalam web BNM[6].
Syarikat-syarikat tersebut ialah:
a.
AIA AFG Takaful Bhd
b.
AmFamily Takaful
Berhad
c.
CIMB Aviva
Takaful Berhad
d.
Etiqa Takaful
Berhad
e.
Great Eastern
Takaful Sdn Bhd
f.
Hong Leong MSIG
Takaful Berhad
h.
ING PUBLIC
Takaful Ehsan Berhad
i.
Prudential BSN
Takaful Berhad
j.
Syarikat Takaful
Malaysia Berhad
k.
Takaful Ikhlas Sdn.
Bhd.
l.
MAA Takaful
Berhad.
KESIMPULAN
Islam mewajibkan umat Islam mencari
sesuatu halal dalam segenap perkara. Sehubungan itu, menjadi kewajipan kepada
umat Islam untuk meninggalkan produk-produk perlindungan insurans konvensional
kerana ia adalah produk yang tidak diharuskan dalam Islam.
Justeru, umat Islam di negara
sewajarnya memastikan mereka hanya menggunakan produk-produk perlindungan
takaful yang berteraskan Islam yang patuh syariah.
Sumber: Abdul Muhaimin Mahmood
No comments:
Post a Comment