ISLAM adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup
dalam segala aspek. Sifat sederhana ini mencerminkan kemurnian iman dan
kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga yang
tidak terhitung banyaknya. Sesuai dengan falsafah dan hikmah puasa yang
mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana
melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah. Melaluinya secara tidak langsung
dapat mengurangkan jumlah dan bilangan kekerapan makan dan minum secara
teratur. Lantaran itu, perbelanjaan seharian akan lebih berhemat dan selamat
daripada membazir atau boros.
Islam juga amat menekankan tentang bimbingan
kepenggunaan dan mendidik agar sederhana dalam berbelanja terutama di bulan
Ramadan. Bulan puasa sewajarnya mendidik umat Islam supaya menahan nafsu mata
dan nafsu perut agar tidak boros berbelanja. Sifat dan amalan sederhana dalam
makan dan perbelanjaan sangat digalakkan oleh Islam kepada umatnya. Sempena
Ramadan lagi sudah terdapat pelbagai tawaran harga murah dan juadah dijual di
bazar Ramadan yang menguji iman. Sifat sederhana adalah sifat hamba-hamba Allah
yang dekat dengan-Nya. (rujuk al-Furqan: 67) Jelaslah sifat sederhana ini amat
dititikberatkan dalam kehidupan umat Islam.
Seseorang yang bersifat sederhana
tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan. Selain itu, ia juga dapat
meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus dibantu.
Jadikan kesederhanaan sebagai cara hidup yang baik dan sihat. Tidak akan
melarat sesiapa sahaja yang mengamalkan cara hidup yang sederhana. Melalui
sifat kesederhanaan akan lahirlah rasa syukur, sabar, tawakal dan insaf di hati
seseorang. Sifat-sifat ini juga banyak membawa kebahagiaan hidup kepada
pengamal sifat ini terutama dalam suasana ekonomi meleset dan harga barang
melambung tinggi. Cerdik pandai Islam pernah berkata, kesenangan hati dan
ketenangan jiwa adalah lebih berharga daripada kesenangan kerana pangkat dan
kekayaan yang melimpah ruah. Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya
daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.
Oleh itu, carilah kesenangan hati dan ketenangan jiwa di bulan Ramadan dengan
mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja. Godaan nafsu mata seperti kata
peribahasa, 'rambang mata' ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi
mengelakkan pembaziran. Belilah barang atau makanan yang perlu sahaja supaya
tidak melakukan pembaziran. Imam Abu Hanifah pernah berkata, sepotong roti,
segelas air dan sehelai kain yang diperoleh dengan jalan halal, lebih baik
daripada hidup mewah yang kemudian menimbulkan penyesalan. Sikap sederhana ini
ditekankan apabila barangan menjadi berkurangan sewaktu musim kemarau dan
kelaparan. Inilah yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf
a.s., yang telah mengurangkan penggunaan barangan sepanjang tujuh tahun yang
subur untuk disimpan buat menghadapi musim kemarau. (rujuk Yusuf: 47). Dalam
hal hidup sederhana Nabi SAW bersabda: "Makanlah, minumlah, pakailah dan
bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk
bermegah-megah." (riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Credit to: naimqlate.blogspot
No comments:
Post a Comment