Friday, September 19, 2014

Tazkirah Jumaat 19 Sept. 2014 / 24 Zulkaedah 1435 : KEBERKATAN MEMBERI SALAM, KERANA MULUT BADAN BINASA, UMUR DAN HARTA, WAKAF AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN 2014

Tazkirah Jumaat
19 Sept. 2014 / 24 Zulkaedah 1435


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W
KEBERKATAN MEMBERI SALAM

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Wahai anakku! Apabila kamu masuk ke dalam rumah berilah salam. Kamu dan ahli rumah akan mendapat keberkatan. (Riwayat at-Tirmizi)

Pengajaran : Ucapan salam adalah satu doa untuk kesejahteraan sesama Muslim. Silaturrahim sesama kita juga akan bertambah kukuh.

(Sumber: Buat diri ku yang mudah lupa 101 rekreasi hati, Zahazan Mohamad, Nik Wafdi Nik Jaafar)

Kiriman Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur


KERANA MULUT BADAN BINASA

Banyak dosa yang bermula dengan kata-kata yang keluar dari mulut dan lidah yang tidak bertulang. Antaranya ialah mungkir janji, cakap besar, menipu, sumpah dusta, berbohong, mencaci maki, fitnah, mengumpat, gurauan melampau dan melaknat. Akibatnya si pelaku akan disiksa di Akhirat nanti. Oleh itu fikirlah dahulu sebelum berkata-kata. Kata orang tua, masukkan kata-kata itu ke dalam minda sebelum dikeluarkan dari mulut.

Daripada ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas’ud RA, kemudian Rasulullah SAW. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya(Riwayat Bukhari Dan Muslim).

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (1) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”. (4) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7)Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR Tirmizi)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)

Daripada Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya r.a, kata beliau: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Celakalah bagi orang yang berkata-kata dengan suatu cerita bertujuan membuat orang ketawa, lalu ia menipu, maka celakalah dan celakalah baginya”.(Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/09/18/kerana-mulut-badan-binasa/


UMUR DAN HARTA

Dua perkara yang dibenci anak Adam iaitu membenci mati, padahal mati lebih baik daripada fitnah, dan dia membenci sedikit harta benda, padahal sedikit harta meringankan hisab (Riwayat Ahmad melalui Mahmud Ibnu Lubaid)

Daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: “Anak Adam membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara: Sayangkan harta dan inginkan panjang umurnya. (Bukhari).

Dalam satu hadis yang lain pula, manusia akan ditanya tentang umur dan hartanya: Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya : Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?

Manusia membenci kematian sedangkan adakalanya kematian itu lebih baik untuk seseorang kerana ia lebih baik daripada difitnah (ditimpa ujian). Kata orang kampung lebih baik mati dari hidup menambahkan dosa (dalam kekafiran) dan tidak beribadat kepada Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan harta. Manusia tidak suka jika hartanya sedikit sedangkan itulah yang mempercepatkan hitungan amalnya di Padang Mahsyar nanti.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/09/18/umur-dan-harta/


WAKAF AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN 2014

Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2014 merupakan program bersifat kebajikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Yayasan Restu bagi tahun kedua sebagai usaha mengumpul dana bagi membiayai penerbitan Al-Quran Wakaf.

Mushaf Al-Quran akan disumbangkan kepada pihak yang memerlukannya baik di Malaysia mahupun dunia khususnya negera minoriti Islam yang dihimpit kemiskinan.

Empat Mekanisma Wakaf Al-Quran pada tahun ini ialah :

1. Deposit Terus ke Bank Islam (M) Berhad – 1403-201002-1452

2. Wakaf Tunai di semua cawangan Yayasan Restu

3. Wakaf melalui atas talian di CIMB Clicks atau CIMB Clicks Shoppe (bagi pengguna bank lain seperti Bank Islam, Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank & RHB Bank)

4. Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), taip WAKAF10 dan hantar ke 33080

http://new.restu-art.com/wakaf-al-quran-peringkat-kebangsaan-2014-2/

No comments: