Thursday, February 27, 2014

TJ 14 Feb. 2014 (14 Rabiul Akhir 1435) : SAMPAIKAN ILMU WALAUPUN SEDIKIT, HARI VALENTINE BERTENTANGAN SYARIAT ISLAM

Tazkirah Jumaat
14 Feb. 2014 (14 Rabiul Akhir 1435)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

SAMPAIKAN ILMU WALAUPUN SEDIKIT

Daripada Abdullah bin ‘Amar bin ‘Ash R.A; beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikan apa yang kamu dengar daripada Ku walaupun satu ayat. Dan sampaikan daripada apa yang kamu dengar daripada Bani Israil, maka tidak mengapa yang demikian itu. Dan sesiapa secara sengaja berbohong atas nama Ku maka hendaklah dia menyediakan dirinya untuk   dimasukkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Keterangan: Bukan mudah untuk menjadi seorang ulama besar. Alhamdulillah, sedikit ilmu yang telah diberi oleh Allah SWT kepada kita hendaklah kita amalkan, dan ilmu yang sedikit yang telah kita amalkan tadi hendaklah pula kita sampaikan kepada orang lain.

Misalnya kita sudah mengerti membaca surah al Fatihah dengan baik, maka kita dapat menggunakannya dalam solat kita, dan kita juga sebenarnya sudah dapat mengajarnya kepada orang lain yang belum dapat membaca surah al Fatihah dengan baik. Begitulah seterusnnya, kita disuruh menyampaikan ilmu yang telah kita miliki walaupun hanya sedikit. Kemudian masalah riwayat daripada Bani Israil (Israiliyat), yang berisi kisah-kisah Bani Israil, maka sekiranya ada yang tidak bertentangan dengan dasar-dasar agama kita, maka bolehlah kita menceritakannya kepada orang lain. Tetapi seandainya kisah-kisah Israiliyat itu bertentangan dengan agama kita, maka kita tidak boleh menceritakannnya kepada orang lain.

Di sini juga disebutkan beberapa ancaman ke atas orang yang sengaja berbohong atas nama Rasulullah SAW iaitu mengatakan sebagai hadis bagi sesuatu yang diyakininya bukan hadis daripada Rasulullah SAW. Maka, orang ini diancam dengan neraka seandainya dia tidak bertaubat kepada Allah SWT.

(Dipetik daripada kitab 40 hadis kelebihan ilmu dan ulama, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)


HARI VALENTINE BERTENTANGAN SYARIAT ISLAM

BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai 'Valentine's Day'.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya 'Should Biblical Christians Observe It?' menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud 'yang perkasa, kuat dan kuasa'. Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari 'Valentine' adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta. Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga. Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari 'Valentine' ini. Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari 'Valentine' pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

'Valentine' adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari 'Valentine'. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol.

Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2010/02/hari-valentine-bertentangan-syariat.html

No comments: