Friday, September 21, 2012

DOA AGAR BANYAK BERZIKIR, SYUKUR DAN TAAT, DIALOG ALLAH SELEPAS TERCIPTANYA MALAIKAT JIBRAIL


Tazkirah Jumaat
21 Sept 2012 (5 Zulkaedah 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
DOA AGAR BANYAK BERZIKIR, SYUKUR DAN TAAT
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Maksud: “Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud no.1522, dianggap sebagai sahih oleh al-Hakim I/273, dan dipersetujui oleh al Zahabi.)

Keterangan dan petua beramal : Antara wasiat Nabi S.A.W kepada Muaz R.A ialah agar dapat mengamalkan doa ini setiap selesai solat. Walaubagaimanapun, untuk sampai kepada peringkat khusyuk dan gembira dalam beribadah, seseorang itu memerlukan mujahadah atau kesungguhan.

Empat langkah untuk merasai kelazatan dalam beribadah:

  1. Bersungguh-sungguh menyempurnakan ibadah yang wajib.
  2. Membiasakan diri dengan ibadah sunat.
  3. Melakukan al-amr bil ma’ruf wan nahyi anil mungkar.
  4. Beribadah hingga ke peringkat al-Ihsan, melakukan kerja-kerja dakwah, Qiamullail dan menziarahi kubur.

(Sumber: Doa dan zikir harian, Ust. Hj. Zahazan Mohamed)


DIALOG ALLAH SELEPAS TERCIPTANYA MALAIKAT JIBRAIL

Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini”.

Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak”. Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.

Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.

Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.

Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”. Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.

Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”

Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan”.

Sabda Rasulullah, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah“.

Kata Rasulullah lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.

“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata Rasulullah.

Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta. Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?

Rujukan: Himpunan kisah-kisah teladan — with nur afilah.

http://www.facebook.com/harlina399

Friday, September 14, 2012

DOA MEMOHON SELAMAT DARIPADA BALA DAN KEHINAAN, SIKAYA, SIHAMBA, SIMISKIN DAN SISAKIT, ASAS KETEGUHAN UKHWAH


Tazkirah Jumaat
14 Sept 2012 (27 Syawal 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
DOA MEMOHON SELAMAT DARIPADA BALA DAN KEHINAAN
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)


Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qada’ dan kegembiraan musuh (terhadap masalah ku).”

Petua beramal:Antara doa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah seperti versi di atas, kita memohon kepada ALLAH daripada perkara-perkara yang tidak diingini seperti musibah, kesempitan hidup dan kesusahan serta kegembiraan musuh kita terhadap permasalahan yang menimpa kita. Mudah-mudahan ALLAH SWT dengan limpah kurnia Nya menyelamatkan kita.

(Sumber: Doa dan zikir harian, Ust. Hj. Zahazan Mohamed)


SIKAYA, SIHAMBA, SIMISKIN DAN SISAKIT

Pada zaman dahulu ada seorang mukmin dan seorang kafir, kedua-dua mereka pergi menjala ikan. Si kafir mengangkat jala dengan menyebut nama berhalanya lalu dia mendapat banyak ikan manakala si mukmin mengangkaat jala dengan menyebut nama Allah, tetapi tidak mendapat satu ikan pun. Orang mukim itu pun menjala sehingga waktu maghrib maka dia pun dapatlah seekor ikan, tapi malangnya ikan itu telah jatuh kembali ke dalam sungai. Maka kembalilah orang mukmin tanpa mendapat apa-apa ikan dan si kafir pula mendapat banyak ikan.

Melihat hal yang demikian, maka malaikat yang menjaga orang mukmin itu pun sangat kesal dan apabila malaikat itu naik ke langit maka Allah menunjukkan kepada malaikat tersebut tempat yang disediakan oleh Allah untuk orang mukmin itu, iaitu syurga. Sehingga malaikat itu berkata, “Tidak bererti apa-apa pun penderitaan di dunia ini, apabila dia mendapat tempat di syurga”. Allah juga menunjukkan tempaat orang kafir kepada malaikat itu, dan berkatalah malaikat, “Demi Allah tidak berguna apa yang didapatinya di dunia pada hal tempat kembalinya adalah neraka jahanam”.

Pada hari Kiamat Allah tetap akan menolak empat alasan atas empat sebab:

Menolak alasan orang yang kaya jika orang kaya itu berkata, “Kekayaan itu telah menyibukkan aku sehingga aku tidak sempat melakukan amal ibadat”. Maka Allah akan berkata, “Kekayaan kamu itu tidak sampai dengan kekayaan Nabi Sulaiman, tapi Nabi Sulaiman tidak lalai dari melakukan ibadat”.

Apabila hamba sahaya berkata, “Oleh kerana aku hamba sahaya, maka aku tidak bebas, oleh itu aku tidak dapat beribadat kepadamu”. Lalu Allah berfirman, “Nabi Yusof juga pernah menjadi hamba sahaya, tapi tidak pula dia lalai dari melakukan ibadah”.

Apabila orang miskin berkata, “Kemiskinan inilah yang menyebabkan kami lalai dari beribadat kepadaMu”. Lalu Allah berfirman, “Kamu tidaklah semiskin Nabi Isa tapi Nabi Isa tidak pula lalai dari beribadat kepadaKu”.

Apabila orang yang sakit memberikan alasan dengan mengatakan, “Penyakit itulah yang telah menghalang aku dari beribadat kepadaMu”. Maka Allah berfirman, “Penyakitmu itu tidaklah seteruk seperti penyakit yang dihidapi oleh Nabi Ayub dan penyakit itu tidak menghalangnya dari beribadat kepadaKu”. Sehinggakan tiada orang lagi dapat memberikan alasan kepada Allah kelak di hari Kiamat.

http://www.facebook.com/harlina399


ASAS KETEGUHAN UKHWAH

1.Memberitahu temannya bahawa dia kasih dan suka kepadanya. Nabi Muhammad S.A.W bersabda 'Jika seseorang kasih kepada seseorang maka hendaklah dia memberitahu temannya' (HR Abu Daud)

2.Apabila berpisah dengan seseorang maka hendaklah dia mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuannya. Nabi Muhammad S.A.W bersabda 'Setiap hamba muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan malaikat dengan berkata engkau juga akan mendapat seumpamanya' (HR Muslim)

3.Sentiasa bermanis muka ketika berjumpa sahabatnya. Nabi Muhammad S.A.W bersabda 'Janganlah kamu meremehkan kebajikan sedikit pun, sekalipun dengan berjumpa temanmu dalam keadaan wajah yang ceria' (HR Muslim)

4.Segera bersalaman ketika bertemu dengan temannya Nabi Muhammad S.A.W bersabda 'Setiap dua orang Islam yang berjumpa dan bersalaman pasti akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah' (HR Abu Daud)

5.Amalan ziarah-menziarahi. Nabi Muhammad S.A.W bersabda 'Hendaklah kamu menziarahi sesekali nescaya akan menambas kasih sayang antara kamu'

6.Memberi Hadiah. Nabi Muhammad S.A.W bersabda, 'Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang' (HR Thabrani)

http://www.facebook.com/harlina399

Saturday, September 8, 2012

DOA KEBERKATAN BUAT PENGANTIN, JAWAPAN ALLAH KEPADA YANG MENGELUH, PETUA RASULULLAH S.A.W BUAT YANG MENGHIDAP PENYAKIT KRONIK


Tazkirah Jumaat
7 Sept 2012 (20 Syawal 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
DOA KEBERKATAN BUAT PENGANTIN
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Maksudnya: “Semoga Allah memberi berkat kepada mu dan atas mu dan menyatukan kamu berdua (pengantin lelaki dan pengantin perempuan) dalam kebaikan.”

(Hadis riwayat Abu Daud no.2130, Ahmad no. 381, Ibn Majah no.1905,al Hakim no.183, disahihkan oleh al Albani dalam Adab al Zifaf, halaman 175)

Keterangan

Sebaik-baik ucapan adalah apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, adalah sangat baik kita beramal dengan mengucapkan doa ini kepada pasangan pengantin sewaktu menghadiri majlis walimah itu. Ucapan-ucapan lain yang berupa doa juga boleh diamalkan. Semoga pengantin yang dirai mendapat keberkatan berpanjangan.

(Sumber: Doa dan zikir harian, Ust. Hj. Zahazan Mohamed)


JAWAPAN ALLAH KEPADA YANG MENGELUH

ADAKAH AKU SUDAH DIKIRA BERIMAN?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut:2-3)

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah:216)

KENAPA BERAT UJIAN INI?

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah:286)

RASA FRUST? TENSION? LEMAH SEMANGAT?

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Imran:139)

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya mencapai kemenangan).” (Surah Al-Imran:200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah:45)

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah At-Taubah:111)

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah At-Taubah:129)

ARGHHH AKU TAK TAHAN!!! AKU DAH BOSAN!!

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah Al-Kahfi:28)

http://www.facebook.com/harlina399


PETUA RASULULLAH S.A.W BUAT YANG MENGHIDAP PENYAKIT KRONIK..

Sekiranya sahabat mempunyai kenalan yang menghidap penyakit kronik (kanser, kencing manis, sakit jantung, darah tinggi dll) pujuklah dia/mereka untuk mengamalkan solat pada waktu malam (walaupun sekadar 1 rakaat witir) kerana dari Salman al-Farisi katanya, telah bersabda Rasulullah saaw; "Dituntut ke atasmu melakukan solat malam kerana sesungguhnya solat malam itu merupakan antara kebiasaan orang soleh sebelum kamu, sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, penutup segala kejahatan, penghapus segala dosa dan pembasmi segala penyakit dalam badan."

Menurut guru kami, Al Fadhil Ustaz Wan Nasir Wan Abdul Wahab, pembasmi segala penyakit dalam badan bukan sahaja merujuk kepada menyembuh penyakit tetapi turut bermaksud MENGHALAU penyakit tersebut dari menghinggapi badan si sakit semula.

Mesti cuba tau! Moga Allah menganugerahkan sifat istiqamah kepada kita semua.

by Ustaz Zahazan Mohamed

http://www.facebook.com/harlina399


Thursday, September 6, 2012

MENDAMAIKAN PERTIKAIAN DENGAN ADIL, KELEBIHAN ZIKIR ‘LAAILAHA ILLALLAH’


Tazkirah Jumaat
31 Ogos 2012 (13 Syawal 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : MENDAMAIKAN PERTIKAIAN DENGAN ADIL
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Abi Sa’id al Khudri r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya; jika tidak sanggup maka dengan lisannya; dan jika tidak sanggup juga maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Ahmad no.11478, Muslim no.49, Abu Daud no. 1140 dan at Tirmizi no. 2172)

Pengajaran:

1. Kewajiban mengubah itu adalah tanggungjawab orang yang melihat kemungkaran itu.

2. Yang dimaksudkan”mengubah dengan tangan” itu ialah jika ada kekuasaan, bukan mengubah dengan kekerasan yang boleh membawa kepada perkelahian, kekacauan, peperangan dan pertumpahan darah. Jika ini berlaku, bencana yang diakibatkan itu lebih teruk atau dahsyat daripada kemungkaran itu sendiri.

3. Jika tidak mampu diubah dengan kekuasaan atau kekuasaan tidak dimiliki, ubahnya dengan lisan, kata-kata, dakwah dan tunjuk ajar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Jihad yang utama ialah perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim.”(Riwayat Ahmad no.11159 daripada Abu Said r.a)

4. Peringkat terakhir ialah mengubah dengan hati iaitu dengan cara:

a. Tidak bersetuju dengan sepenuh hati perkara kemungkaran itu berlaku.

b. Menentang dan membenci kemungkaran itu dengan hati.

Ibn Mas’ud berkata: “Binasalah orang yang tidak mengetahui dengan hatinya akan yang hak dan yang mungkar.”

(Sumber: Hadis 40 IMAM NAWAWI, Huraian dan intisari oleh Zahazan Mohamed dan Muhammad Zakaria)


KELEBIHAN ZIKIR ‘LAAILAHA ILLALLAH’

Di mana sahaja dan pada apa sahaja masa hendaklah baca zikir ‘Laailaha illallah’ dengan banyaknya kerana kelebihanya :

Kelebihan:

1. Di dalam hadis bahawa zikir yang tidak terhad kepada sebarang masa, tempat dan alasan ialah ‘Laailaha illallah’. Ia merupakan zikir yang cemerlang. Di dalam hadis yang lain bahawa ia adalah bentuk kebaikan yang tertinggi.

2. Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.

3. Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api neraka jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan dri api Neraka Jahanam”.

4. Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi SAW telah mengulangkannya sebanyak 3 kali)

5. Hadis lain: Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu. Para sahabat Rasulullah SAW berkata ‘Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah kami perbaharui iman kami? Rasulullah SAW menjawab ‘ucapkanlah Laailaha illallah sebanyaknya’.

6. Hadis lain: Rasulullah SAW bersabda: Tiada yang dapat menghalang kalimah ‘Laailaha illallah’ sampai kepada Allah

7. Hadis lain: Zikir ‘Laailaha illallah’ tidak akan meninggalkan satu dosa pun di belakang dan tiada satu amalan yang menyamainya.

8. Hadis lain: Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing dan dengan kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi.

9. Dalam hadis: Apabila seorang hamba mengucapkan kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan ikhlas hati, maka pintu langit terbuka bagi kalimah ini sehingga ia sampai ke Arasy, dengan syarat ia menjauhkan diri dari dosa besar.

http://ilike-concept.blogspot.com/2011/05/kelebihan-ayat-kursikelebihan-solat.html

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW, HIKMAH MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM


Tazkirah Jumaat
24 Ogos 2012 (6 Syawal 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Abu Hurairah r.a berkata, Nabi SAW  bersabda yang bermaksud: “ Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah.“ (Riwayat al Bukhari no.2827 dan Muslim no 1007 dan 1009)

Pengajaran:

1. Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian.

2. Kita perlu bersyukur atas kesempurnaan ciptaan anggota badan, pancaindera, tulang-belulang hingga kepada ira-ira jari.

3. Kesyukuran kepada Allah SWT akan menambah kenikmatan.

4. Kerana nikmat Allah itu, bersedekahlah kepada orang lain, bukan sahaja dalam bentuk harta benda, malah senyuman, mendamaikan dua orang yang berkelahi, membawa beban orang lain atau sekadar berjalan ke masjid untuk bersolat yang merupakan sedekah untuk diri sendiri.

5. Sedekah yang berupa perkataan yang baik ialah seperti:

  • Menjawab salam
  • Mengucapkan “Yarhakumullah” jika ada orang yang bersin.
  • Mengucap alhamdulullah.
  • Pelbagai bentuk zikir.
  • Ucapan yang baik ketika bercakap.
  • Ucapan yang baik apabila diminta.
  • Memberi maaf kepada orang yang meminta maaf.
  • Doa kepada orang Mukmin lain.
  • Pujian yang ikhlas.
  • Nasihat.
  • Menunjuk jalan.
  • Segala perkataan yang menyenangkan hati orang yang mendengar yang akan mengeratkan hati.


6. Membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan juga sedekah.

7. Tunaikan solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya dua rakaat setiap hari tanda kesyukuran atas kesempurnaan anggota tubuh badan dan mohon dimurahkan rezeki.

8. Ikhlas hanya kepada Allah SWT dalam melakukan amalan-amalan kebaikan.

9. (Sumber: Hadis 40 IMAM NAWAWI, Huraian dan intisari oleh Zahazan Mohamed dan Muhammad Zakaria)

Diriwayatkan oleh Abi Abdullah Jabir bin Abdullah al Ansari r.a, bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW katanya yang bermaksud: “Bagaimana pendapatmu jika saya melakukan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal, dan mengharamkan yang haram, serta tidak menambahkan selain itu sedikit pun, adakah saya masuk syurga?” Nabi SAW menjawab: “Ya!” (Riwayat Ahmad dan Muslim, no. 15)


HIKMAH MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM

Terdapat banyak hikmah yang Allah SWT letakkan disebalik salam. Sebab itu terlalu banyak hadis-hadis yang menceritakan kelebihan memberi dan menjawab salam. Antaranya ialah:

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda;

“Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya! Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. dan kamu tidak akan beriman sehingga dapat berkasih mesra. Adakah aku belum menunjukkan kepada kamu satu amalan, yang apabila kamu mengerjakan nescaya kamu akan berkasih mesara?”

Para sahabat baginda menjawab;

“Belum Wahai Rasulullah SAW”

Kemudian Rasulullah SAW pun menerangkan:

“Kembangkanlah memberi salam di antara kamu.” (Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Tambahan daripada itu, malaikat pula akan mendoakan bagi mereka yang memberi dan membalas salam sebanyak 70 kali. Ini dinyatakan didalam hadis;

“Apabila seseorang Islam itu memberi salam kepada orang Islam lalu salamitu dibalasnya, maka berdoalah para malaikat untuknya 70 kali.” (Hadis Riwayat Sahibul Firdaus daripada Abu Hurairah)

Begitu juga dinyatakan bahawa Allah mengampunkan dosa-dosa sahabat handai sesama muslim antara mereka sebelum mereka berpisah. Ini dinyatakan didalam hadis;

“Tiadalah daripada dua orang Islam yang bertemu lalu bersalam-salam melainkan dosa kedua-duanya diampunkan sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

http://www.facebook.com/harlina399

MOTIVASI HADIS : BERSAHUR, RAHSIA KEAJAIBAN TULANG SULBI


Tazkirah Jumaat
17 Ogos 2012 (28 Ramadhan 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : BERSAHUR
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Diriwayatkan oleh Abi Abdullah Jabir bin Abdullah al Ansari r.a, bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW katanya yang bermaksud: “Bagaimana pendapatmu jika saya melakukan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal, dan mengharamkan yang haram, serta tidak menambahkan selain itu sedikit pun, adakah saya masuk syurga?” Nabi SAW menjawab: “Ya!”

(Riwayat Ahmad dan Muslim, no. 15)

Makna “mengharamkan yang haram” adalah “menjauhinya.” Makna “menghalalkan yang halal” adalah “melaksanakan dengan penuh keyakinan akan kehalalannya.”

Sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW ini bernama Nukman bin Qauqal.

Pengarang kitab al Mufhim mengatakan secara umum bahawa Nabi SAW tidak mengatakan dalam hadis ini sesuatu yang bersifat tathawwu’(sunah).

Hal ini menunjukkan bahawa secara umum boleh meninggalkan yang sunat. Orang Islam hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran islam seperti Solat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Melakukan yang sunat akan menambah kesempurnaan Islam dan menghampiri diri dengan Allah.

Tiga kategori orang yang meninggalkan sunah

1. Orang yang meninggalkan yang sunah dan tidak mahu melakukannya sedikit pun. Maka dia tidak memperoleh keuntungan yang besar dan pahala yang banyak.

2. Orang yang terus-menerus meninggalkan hal-hal yang sunah. Maka dia telah berkurang agamanya dan berkurang pula nilai kesungguhannya dalam beragama.

3. Orang yang meninggalkan yang sunah kerana sikap meremehkannya. Maka dia merupakan orang yang fasiq dan patut dicela.

(Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi. Huraian Zahazan Mohamed, Muhammad Zakaria)


RAHSIA KEAJAIBAN TULANG SULBI


Kedudukan tulang sulbi (coccyx) dalam anatomi manusia

Apa sebenarnya rahsia serta keajaiban tulang sulbi sehingga tulang ini disebut oleh Rasulullah s.a.w sejak 14 abad dahulu?..Mengikut istilah anatomi, tulang sulbi dikenali sebagai Coccyx. Ia merupakan tulang yang terakhir dalam susunan dari atas ke bawah tulang vertebra (tulang belakang) yang terletak dibahagian pinggul.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasululah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Semua bahagian tubuh anak Adam akan dimakan tanah, kecuali tulang sulbi yang daripadanya ia diciptakan dan daripadanya dia akan dibangkitkan." (riwayat An-Nasa'i, Abu Daud dam Ibnu Majah)

Berdasarkan hadith di atas dapat disimpulkan bahawa:

1. Bermulanya kejadian manusia adalah daripada tulang sulbi.

2. Tulang sulbi begitu utuh dan tidak akan hancur.

3. Manusia akan dibangkitkan semula pada hari kiamat daripada tulang sulbi.

Kejadian manusia daripada tulang sulbi

Ovum yang disenyawakan oleh sperma dinamakan zigot. Kemudian pembentukan janin bermula iaitu daripada 1 sel, ia membelah menjadi 2 sel dan setiap sel masing2 membelah lagi dan lagi. Struktur yang mula2 dibentuk pada janin manusia pada hari ke 14 selepas persenyawaan ialah hujung ekor. Semasa proses pembentukan janin yang sempurna, hujung ekor ini terus memanjang dan menjadi benang asas (primitive streak) dan lingkungan asas (notochord).

Kemudian, notochord akan membentuk kepala janin manakala primitive streak akan membentuk tubuh janin. Setelah ia membentuk badan dan kepala janin, pita pita asas ini akan berundur secara beransur-ansur hingga ia masuk semula ke hujung ekor (coccyx).

Tulang sulbi tidak akan hancur

Seorang saintis Jerman bernama Hans Spermann berjaya membuktikan bahawa sel-sel di dalam coccyx tidak akan hancur atau musnah. Dalam kajian yang dilakukan, beliau telah mengisar tulang coccyx hingga hancur dan memanaskannya dengan suhu yang amat panas dalam tempoh masa yang lama. Beliau kemudian memeriksa sel-sel tulang tersebut dan dan ternyata ia masih lagi hidup dan masih utuh seperti biasa.

Maha suci Allah..begitu agung ciptaan-Nya. Jadi ini bermakna, meskipun jasad seseorang telah meninggal dunia, tetapi sel-sel dalam tulang coccyx kekal hidup walau di mana sekalipun dia dikebumikan meskipun telah beribu-ribu tahun lamanya.

Manusia dibangkitkan semula pada hari kiamat dengan tulang sulbi

Dalam AL-Qur'an ada menceritakan tentang kebangkitan manusia pada hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud "Engkau memasukkan malam ke dalam siang, dan Engkau memasukkan siamg ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup" (surah Ali I'mran 3:27).

Maka jasad-jasad akan ditumbuhkan buat kali ke dua daripada hujung ekor seperti mana ia telah tumbuh buat kali pertama di dalam rahim ibu.

Hans Spermann berjaya membuktikan keupayaan sel-sel tulang coccyx untuk tumbuh semula. Beliau telah memasukkan tulang-tulang sulbi yang telah dikisar dan dibakar tadi ke dalam embrio-embrio lain. Hasilnya, tulang sulbi tersebut tetap dapat tumbuh dan membentuk paksi janin yang lain.

Begitulah serba sedikit info berkaitan tulng sulbi yang dapat saya kongsikan bersumberkan rencana dari ruangan Fizikr dari Dr. Farhan Hadi Mohd Taib Majalah SOLUSI isu 19.

http://wansyu.blogspot.com/2010/06/rahsia-keajaiban-tulang-sulbi.html