Friday, December 21, 2012

BALASAN MERINGANKAN BEBAN ORANG LAIN, SAAT MAKBUL DOA HARI JUMAAT


Tazkirah Jumaat
14 Dis 2012 (30 Muharram 1434H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
BALASAN MERINGANKAN BEBAN ORANG LAIN

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

Maksudnya: Sesiapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah dengan membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali bahawa ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya, dan sesiapa yang lambat (kurang) amalannya, maka tidak akan dipercepat mengangkat darjatnya.”

(Riwayat Muslim no.2699 dan at Tirmizi no.2940)

Pengajaran: Kita hendaklah:

1. Menolong saudara Mukmin.

2. Menutup aib.

3. Sentiasa menempuh jalan dalam rangka mencari ilmu pengetahuan.

4. Mempelajari ilmu pengetahuan daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

(Sumber:HADIS 40 IMAM NAWAWI , huraian dan intisari Zahazan Mohamed, Muhammad Zakaria)


SAAT MAKBUL DOA HARI JUMAAT

Imam al-Ghazali mengungkapkan hari Jumaat sebagai:”Ketahuilah olehmu bahawa hari Jumaat itu adalah Hari Raya bagi orang Islam. Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan oleh Allah S.W.T kepada umat (Nabi) Muhammad s.a.w. Dan pada hari itu ada satu saat yang mustajab doa. Seseorang mukmin yang berdoa dan doanya menepati saat itu, Allah akan memberi apa sahaja yang dia minta. Maka bersiaplah engkau menghadapi Hari Jumaat itu mulai dari petang hari Khamis lagi.

Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Imam Abu Hanifah berpendapat waktu doa makbul pada hari Jumaat ialah selepas Asar (akhir waktu Asar). Hadith Jabir ra: Maka peganglah erat-erat akhir dari waktu tersebut jatuh setelah Asar. (Abu Daud, anNasa’iy dan alHaakim).

Baqarah [238] Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

“Doa apakah yang lebih didengar (dikabulkan)?” Nabi bersabda: “(Doa tatkala) satu pertiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Jaga makan dan minum, syarat Allah terima doa.

Rasulullah menyebutkan berkenaan seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan tangannya ke langit sambil (berkata): “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku (berdoa), (padahal) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram,bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?”(Hadis riwayat Muslim)

Sunnah Nabi berdoa pendek dan kemas (padat) seperti (Rabbana atina fiddunya hasanah…)“

Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyukai doa yang menyeluruh maknanya dan dia tinggalkan selain daripada itu.” (Hadis riwayat Abu Daud). Doa yang paling banyak Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam baca sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :“Adalah doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang terbanyak sekali (Baginda baca ialah): “Ya Allah! Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharakanlah kami daripada azab api neraka.”

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/12/11/saat-makbul-doa-hari-jumaat/