Tazkirah Jumaat
6 April 2012 (14 Jamadil Awal 1433H)
BERSEDIA UNTUK MATI
Kita tidak tahu bilakah masanya kita akan mati. Hanya Allah jua yang maha mengetahui. Adalah lebih selamat jika kita sentiasa bersedia untuk mati.
Antara persediaan yang boleh dilakukan :
- Sentiasa melakukan amalan yang memberi pahala.
- Sentiasa jauhi dari melakukan dosa.
- Sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.
- Mohon maaf dari orang yang kita ada kesalahan.
- Sentiasa berdoa mohon keselamatan dan rahmatNya.
- Sediakan wasiat.
- Banyakkan amal jariah.
- Ajarkan ilmu yang bermanfaat.
- Didik anak agar menjadi anak soleh dan solehah.
- Lunaskan hutang piutang.
- Lazimkan zikir La ila ha illAllah moga menjadi akhir kalam nanti.
- Sentiasa berperasaan khauf dan raja'.
- Sentiasa berbaik sangka kepada Allah.
Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila mati anak Adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: 1. Sedekah jariahnya 2. Ilmu yang bermanfaat 3. Anak yang soleh yang akan mendoakannya." (HR Muslim)
Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra. dari Nabi saw, beliau bersabda: Orang yang CERDIK ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati.(HR Tirmidzi)
"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)
AMALAN SELEPAS SOLAT
Tsauban r.a meriwayatkan: “Biasanya Rasulullah s.a.w. apabila telah selesai solat akan mengucapkan "Astaghfirullah" tiga kali, kemudian mengucapkan "Allahumma antas salaam wa minkas salaam tabaarakta yaa dzal jalaali wal ikram.”- (HR Muslim)
Uqbah bin Amir meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkanku supaya aku membaca ‘Al-Muawidzat’ (1.Qulhuwallahu Ahad. 2. Qul a’udzu bi rabbil falaq 3. Qul a’udzu bi rabbinnaas.) selepas setiap solat fardu.” (HR Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'i)
Nabi bersabda, "Siapa yang membaca selepas habis solat, Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali, lalu untuk mencukupkan bilangan seratus dengan membaca "Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul-mulku walahul-hamdu wahuwa 'alaa kulli syai'in qadir" maka akan diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih air laut." (HR Muslim)
Nabi bersabda, "Sesiapa membaca ayat kursi selepas setiap solat fardu, tidak ada yang menghalangnya dari masuk syurga selain kematian.” (HR ath-Thabrani no.7532 disahihkan oleh al-Albani)
BACALAH AL-QURAN
Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif,lam,mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” (Riwayat Tirmizi)
Dari Abu Umamah Al-bahili ra, dia berkata, saya mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bacalah Al Qur'an. Karena ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaƔt kepada para pembacanya." (HR Muslim)
"Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya; orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, ia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali." (HR Bukhari)
Allah berfirman: "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Qur'an) dengan perintah Kami. Sebelummnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Qur'an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Qur'an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami". (Surah Asy Syuura ayat 52)
Allah berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakkal." (Surah Al Anfaal ayat 2)
Allah berfirman: "Dan apabila dibacakan Al Qur'an, maka dengarkanlah dengan baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat". (Surah Al A'raaf ayat 204)
No comments:
Post a Comment