Friday, March 25, 2011

RUGI SIA-SIAKAN USIA DENGAN KEMAKSIATAN

Tazkirah Jumaat
25 Mac 2011 (19 Rabiul Akhir 1432H)


RUGI SIA-SIAKAN USIA DENGAN KEMAKSIATAN
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Muslim mesti sentiasa beringat manfaat kehidupan di dunia untuk kesejahteraan di akhirat.

NIKMAT kehidupan yang dikurniakan Allah kepada setiap hamba-Nya ialah gambaran cinta dan kasih sayang yang tidak terbanding. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.

Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia ini, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan dari-Nya.

Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira dengan jari. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan penuh kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentu kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bahkan ada orang lain yang tidak dapat merasainya. Sebab itu kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan lengkap. Cuma, ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia yang tidak tahu menghargai nikmat.

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia itu sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain.

Malangnya, ada yang menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina. Tidak pula terkilan dengan kezaliman dan kejahatan meragut atau merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana sedar semuanya adalah pinjaman saja, sebaliknya berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu.

Ia supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang kurang berkemampuan kerana orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanya ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentu mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah Al-Ankabut, ayat 64)

Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi: “Daripada Abdul Rahman Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Maka Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.”

Usia panjang adalah satu nikmat tidak ternilai kerana dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini diambil semula pemiliknya maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.

Sebab itu jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita.

Sedangkan bertahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi. Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya sedar bahawa kematian adalah pengakhiran.

Oleh itu, sedang pintu taubat sentiasa terbuka, jangan kita longlai usaha untuk menjadi insan berguna.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rugisia-siakanusiadengankemaksiatan/Article

Thursday, March 17, 2011

SABAR SENJATA AJAIB MUKMIN HADAPI CABARAN HIDUP

Tazkirah Jumaat
18 Mac 2011 (12 Rabiul Akhir 1432H)


SABAR SENJATA AJAIB MUKMIN HADAPI CABARAN HIDUP
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


Umat tak berputus asa berdepan ujian jadi penanda aras ketinggian darjat keimanan, takwa.

SATU nilai peribadi mukmin mesti ada ialah sabar kerana banyak keterangan daripada al-Quran dan pesanan Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sabar nilai dimiliki setiap mukmin beriman.

Sabar senjata paling ajaib kepada setiap Mukmin untuk berdepan sebarang keadaan dalam menyusuri aliran kehidupan di dunia. Ia juga jalan terbaik menuju kejayaan dan kebahagiaan. Tiada jalan penyelesaian terbaik melainkan mengamalkan sikap sabar.

Allah ada menyebut kira-kira 90 kali dalam al-Quran berkenaan sabar. Imam Ahmad dalam kitabnya, az-Zuhud, ada memetik kata-kata Saidina Umar al-Khattab: “Kami dapati sebaik-baik kehidupan kami adalah dengan kesabaran.”

Sikap sabar terangkum dalam sabar badani atau fizikal dan sabar nafsi. Kedua-dua sifat sabar itu pula dapat dipecahkan kepada dua lagi iaitu ikhtiyari atau pilihan dan idtirari atau keterpaksaan.

Sabar badani ikhtiyari itu adalah sikap sabar ketika melaksanakan sesuatu amalan atau kerja yang berat. Sabar badani idtirari pula bersabar menahan rasa sakit, contohnya menahan rasa sakit dipukul. Di sini seseorang itu tiada pilihan melainkan terpaksa bersabar.

Sabar nafsi ikhtiyari ialah sabar untuk tidak melakukan sesuatu dianggap bertentangan syariat. Sabar nafsi idtirari pula seperti orang yang bersabar tatkala kehilangan atau kematian seseorang dikasihinya.

Dalam keadaan sedemikian, jika seseorang itu tidak bersabar maka akan terjadi pelbagai tingkah laku menyalahi kehendak agama seperti menangis secara melampau atau menjerit-jerit sebagai tanda sedih. Ini semua bertentangan syariat agama.

Dikisahkan, ada seorang ahli hikmah berkata: “Aku tidak pernah kalah kecuali oleh seorang pemuda yang pintar. Suatu hari, anak muda itu bertanya kepadaku, apakah sabar itu? Lalu akupun menjawab, jika kami memiliki makanan, maka kami makan dan jika tiada makanan, kami akan bersabar.

Pemuda itu kemudian berkata lagi: “Jika itu, biasa dilakukan oleh anjing di kampung kami. Terdiam seketika aku mendengar kata-kata pemuda itu. Seketika kemudian, aku bertanya kepada anak muda itu: Wahai anak muda, jika demikian apa sebenarnya makna sabar?

Pemuda itu dengan tenang menjawab: “Jika kami tidak ada makanan maka kami bersabar, dan sebaliknya jika kami dikurnia Allah makanan, maka kami biasakan amalan itsar, mendahulukan orang lain.”

Sikap sabar menjadi penanda aras kepada mantapnya iman dan takwa seseorang mukmin. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah berfirman: Jika aku menguji hamba-Ku dengan hilangnya dua hal yang sangat dicintainya (dua matanya) kemudian dia boleh bersabar, maka akan Aku ganti keduanya dengan syurga.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Ini bermakna seseorang mukmin yang bersabar atas apa saja penderitaan dan musibah menimpanya, Allah menjanjikan balasan syurga. Kesabaran sifat yang boleh diusahakan manakala pada sesetengah orang memang dikurniakan Allah sifat sabar.

Untuk berlatih menjadi penyabar itu sesuai dengan pesanan Rasulullah SAW bermaksud: “Dan barang siapa yang berusaha bersabar maka Allah akan menyabarkannya.”

Sifat sabar menghadapi apa juga dugaan dan ujian Allah satu kebaikan yang agung, malah Nabi SAW menjelaskan sabar itu cahaya dalam sabda yang bermaksud: “Solat adalah sinar, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya dan al-Quran adalah hujah bagimu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Permasalahan kehidupan kita tidak seperit dan seteruk pengalaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat menyebarkan Islam di Makkah. Jadi seharusnya kita sentiasa memperingatkan diri supaya tidak mudah berputus asa atau mengambil sikap pesimis apabila bertembung ujian dalam kehidupan.

Diriwayatkan suatu ketika Nabi SAW melalui hampir dengan seorang perempuan yang sedang menangis di sebelah kubur. Lalu Nabi SAW pun berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Lalu perempuan itu menjawab: Jauhkan daripadaku! kerana engkau tidak pernah mendapat musibah seperti aku.”

Sebenarnya perempuan itu tidak mengetahui yang berpesan kepadanya itu adalah Rasulullah SAW. Kemudian Nabi meninggalkan perempuan itu. Nabi SAW langsung tidak menunjukkan rasa kecewa dan marah atas kata-kata perempuan itu. Ini satu contoh terbaik buat kita semua khususnya pendakwah supaya sentiasa berhati lembut dan sabar dengan apa saja kerenah manusia.

Apabila saja diberitahu orang yang berpesan kepadanya di kawasan kubur itu adalah Rasulullah SAW, maka dia pun bergegas menuju ke rumah Baginda untuk memohon ampun. Namun, malang sekali, tatkala sampai di rumah Nabi SAW, Baginda tiada pada masa itu.

Kemudian ketika bertemu Rasulullah SAW, perempuan itu berkata: “Maaf, saya tadi tidak melihat engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW berkata, “Sesungguhnya, kesabaran itu ada pada masa pertama.” (Hadis riwayat Bukhari)

Demikian penting nilai sabar dalam diri setiap mukmin dan kita hendak mula bersabar dengan apa saja musibah menimpa dan anggaplah ia sebagai ujian Allah kepada kita untuk menilai darjat keimanan dan ketinggian takwa. Mukmin yang penyabar adalah mukmin yang unggul.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SabarsenjataajaibMukminhadapicabaranhidup/Article/index_html

Friday, March 11, 2011

BERSYUKURLAH

Tazkirah Jumaat
11 Mac 2011 (5 Rabiul Akhir 1432H)


BERSYUKURLAH

Sesungguhnya sangat banyak nikmat yang telah dikurniakan kepada kita oleh Allah Rabbul Jalli. Setiap saat dan detik kita melalui pelbagai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah tanpa kita sedari. Kerana ini Allah menyatakan kepada makhluknya jika sekiranya kita cuba menghitung tentang nikmatNya yang telah dikurniakan kepada kita nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung.

Tuntutan bersyukur adalah suatu amalan terpuji yang akan membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT. Dengan bersyukur membuktikan seseorang itu adalah hamba Allah. Selagi tidak timbul rasa bersyukur dengan nikmat yang diperoleh sedikit atau banyak, selagi itu seseorang itu masih jauh dengan rahmat Allah.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 :

"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Sesiapa yang mengharapkan nikmatnya bertambah, wajiblah bersyukur dengan apa yang dia perolehi. Jangan kita seolah menjadi orang yang berjalan dalam kegelapan malam sedangkan kita tahu bahawa kita lagi terang lagi bersuluh bahawa segala nikmat itu semuanya datang dari Allah SWT. Oleh itu ancaman yang amat keras kepada sesiapa yang telah sengaja membutakan pandangan mata dan hatinya tentang segala nikmat yang dicecapinya. Marilah kita menghindarkan diri dari azab Allah yang amat pedih seperti yang dijanjikan. Kepada siapa ? kepada orang yang tidak mahu bersyukur kepada segala nikmatnya.

Dalam ayat yang lain Allah menyebut akan mengigati makluknya jika makluk ingat kapada Nya dan memerintahkan kita bersyukur kepada Nya. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 152:

"Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) -Ku."

Bersyukur kepada Allah SWT bukan sekadar dengan sedar dan insaf sahaja nikmat itu dari Allah SWT. Atau sekadar mengucapkan "ALHAMDULILLAH" Lebih dari itu bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan kita seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah. Pengamalan Islamnya sesempurna mungkin. Seluruh hidupnya adalah mengarah kepada tuntutan ibadah yang diperintah oelh Allah SWT.

Sebagaimana jika bersyukur dalam terjemahan sebagai terimakasih kepada sesama manusia yang memberikan sesuatu jasa atau benda kepada sesama mahluk. Tentunya terima kasih dalam artinya yang sebenar bukanlah hanya ucapan "terimakasih" tetapi diterjemahkan dalam bentuk kerja yang makin baik jika dia seorang pekerja. Ini sesama manusia apatah dengan Allah SWT.

Bersyukur dengan segala nikmat, nikmat manakah yang paling besar dan utama ? Tentunya nikmat yang paling besar ialah "nikmat iman" yang telah kita perolehi. Alhamdulllah Allah jadikan kita salah seorang yang beriman kepada Nya dengan tergolongnya kita sebagai individu Islam. bayangkan masih banyak yang tidak merasakan nikmat ini dan mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah Yang Maha Esa.

Anugerah keimanan ini tidak lain dari Allah SWT. Sebab itu telah jenuh Rasulullah berdakwah kepada pamannya yang dikasihi Abu Talib supaya dia masuk Islam namun dia mati dalam keadaan tidak mengucap dua kalimah syahadah. Sedihnya Nabi Muhammad saw. sehinggakan turunnya ayat dalam Surah Al Qashash ayat 56 :

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk."

Bersyukurlah kepada Allah dengan kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya, beramallah dengan Islam seluruhnya. Berjuanglah dengan Islam dan jauhkan dari perjuangan yang tidak berlandaskan kepada Islam dan mengajak kepada kezaliman.

Janji Allah SWT adalah benar bahawa kita akan dimasukan ke dalam syurgaNya yang penuh dengan nikmat jika sekiranya kita besyukur. Syurga yang tidak pernah kita bayangkan betapa hebat nikmatnya seperti yang di gambarkan oleh Rasulullah dalam satu hadits qudsi : Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Dari Nabi saw., beliau bersabda:

"Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terbesit dalam hati manusia"

Firman Allah SWT dalam Surah As Sajdah ayat 17 :

"Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. "

Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT tanpa bertangguh-tangguh dengan kembali segera kepada landasan yang benar, iaitu landasan Islam yang murni dengan tidak bercampurkan dengan sebarang idealogi karut dan menyesatkan. Terimalah Islam keseluruhannya tanpa menolak separuh dan menerimanya separuh. Jika kita telah menerima nikmatNya keseluruhannya tanpa menolaknya separuh dan menerimanya separuh , Maka wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya.

Bersyukurlah...bersyukurlah....

http://idhamlim.blogspot.com/2007/12/tazkirah-jumaat-bersyukurlah.html


Friday, March 4, 2011

SOLAT SUNAT BANTU TAMPUNG KEKURANGAN

Tazkirah Jumaat
4 Mac 2011 (29 Rabiul Awal 1432H)


SOLAT SUNAT BANTU TAMPUNG KEKURANGAN
Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus

Perbanyak amalan dapat meninggikan darjat, hapuskan dosa lalu.

HADIS Rasulullah SAW menyatakan mengenai solat sunat sebagai solat al-Tathawwu' yang bermaksud melakukan ketaatan. Dari segi syariat pula ia bermaksud ketaatan yang tidak wajib seperti solat, sedekah, puasa, haji jihad dan amalan sunat lain.

Oleh itu, setiap jenis solat yang disyariatkan dalam Islam sebagai tambahan kepada solat fardu lima waktu, termasuk dalam kumpulan solat sunat. Mengerjakan solat sunat memiliki banyak keutamaan. Solat sunat adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Istiqamahlah kamu semua, janganlah kamu menghitungnya, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amalmu adalah solat.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Menjadi lumrah bagi manusia apabila mengerjakan solat fardu akan terjadi perbuatan yang dapat mengurangkan kesempurnaan solat itu seperti tidak khusyuk, bacaan ayat al-Quran kurang kemas dan lain-lain kesilapan.

Solat sunat dapat menutupi segala kekurangan yang mungkin wujud ketika mengerjakan solat fardu. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat ialah solat mereka. Tuhan berfirman kepada malaikat-Nya padahal Dia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika ada sesuatu kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan itu dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).

Mengerjakan solat sunat dapat menyebabkan seseorang menjadi ahli syurga. Daripada Rabi’ah bin Malik al-Aslami, dia berkata: “Aku pernah bermalam di rumah Rasulullah SAW. Ketika Baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk Baginda dan melayani apa yang Baginda perlukan. Selanjutnya Baginda bersabda kepadaku: Mintalah! Aku menjawab: Aku meminta supaya aku dapat menemani engkau di syurga kelak. Baginda bertanya: Adakah permintaan selain daripada itu? Aku menjawab: Cukup itu saja. Baginda lalu bersabda: Bantulah aku bagi mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat).” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Amalan solat sunat juga dapat meninggikan darjat seseorang serta menghapuskan dosanya yang lalu. Daripada Mi’dan bin Abi Thalhah al-Ya’mari, dia bercerita: “Aku pernah bertemu Tsauban, pembantu Rasulullah SAW lalu kukatakan: Beritahukan kepada ku suatu amalan yang dengan mengerjakannya Allah akan memasukkanku ke dalam syurga. (Atau dia menceritakan: Ku katakan dengan amal yang paling disukai Allah). Kemudian Tsauban diam. Maka aku tanyakan lagi kepadanya. Dia tetap diam. Selanjutnya aku bertanya untuk yang ketiga kalinya, dia pun berkata: Aku pernah bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW lalu Baginda menjawab: Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (solat sunat) kepada Allah kerana sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali saja, melainkan dengannya Dia meninggikanmu satu darjat serta menghapuskan darimu satu kesalahan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan sunat (nawafil) termasuk solat sunat. Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Barang siapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengizinkan supaya dia diperangi. Tidak ada amal paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang
tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Mengerjakan solat sunat di rumah akan mendatangkan keberkatan. Berbeza dengan solat fardu, solat sunat lebih afdal jika dikerjakan di rumah masing-masing kecuali solat sunat sememangnya disyaratkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid, tanah lapang atau tempat tertentu.

Zaid bin Tsabit menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

http://al-fikrah.net/News/article/sid=60.html


NABI MUHAMMAD (S.A.W) IALAH RASUL ALLAH, KELEBIHAN PARA SAHABAT NABI, DOA BUKA TELINGA HATI, DOA MINTA DIPERMUDAHKAN

Tazkirah Jumaat
4 Mac 2011 (29 Rabiul Awal 1432H)


NABI MUHAMMAD (S.A.W) IALAH RASUL ALLAH

Al-Fath [29] Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah…

Daripada 124,000 nabi, hanya 313 dilantik menjadi rasul. Daripada 313 ini 5 adalah Ulul-Azmi. Nabi Muhammad s.a.w statusnya adalah nombor satu pada semua peringkat Nabi, Rasul dan Ulul-Azmi. Baginda adalah nabi dan rasul yang penghabisan.

Baginda telah dilantik menjadi nabi sejak awal lagi, namun penjelmaanya adalah yang terakhir sekali. Rasulullah saw. bersabda, “Para Sahabat bertanya, `Ya Rasulullah, bilakah wajibnya Kenabian engkau?’ Beliau menjawab, “Sejak saat ketika Adam a.s. masih dalam keadaan antara ruh dan jasad.” (Riwayat Tirmidzi) Beliau juga bersabda, “Aku sudah menjadi Nabi ketika Adam masih dalam bentuk antara air dan tanah. Beliau saw. juga bersabda, “Aku telah ditetapkan disisi Allah sebagai Khatamun-Nabiyyin, sedangkan Adam masih dalam bentuk tanah.

Di dalam kitab Injil, Nabi Isa a.s memberitahu kepada umatnya bahawa Nabi selepas aku adalah Ahmad (Nabi Muhammad), jikalau kamu bertemu dengannya, berimanlah dengannya, dan kerana dialah Allah menciptakan alam ini .

Nabi Adam a.s. juga pernah melihat dua kalimah iaitu “Allah” dan “Muhammad” bercantum. Allah juga berfirman kepada Nabi Adam “Kerana dialah aku cipta kamu”.

Diriwayatkan tatkala Nabi Adam dikeluarkan dari syurga, Baginda melihat tertulis pada tiang-tiang ‘Arasy dan setiap tempat dalam syurga nama “Muhammad” diiringi selepas nama Allah, lalu berkata Adam, “Wahai Tuhan! Siapakah Muhammad ini?” Firman Allah, “Ini ialah anakmu yang jika tidak dia nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.”

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/02/21/nabi-muhammad-s-a-w-ialah-rasul-allah/


KELEBIHAN PARA SAHABAT NABI

Al-Fath [29] Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas)…

Para sahabat bersifat tegas terhadap orang-orang kafir dan berlemah-lembut dan berkasih-sayang sesama mereka. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya” (Muntafaq ‘Alaih)”

Para sahabat mengorbankan nyawa mereka untuk syahid dan juga harta-benda demi untuk menegakkan agama Islam. Tanpa pengorbanan mereka, Islam tidak mungkin tersebar ke serata dunia. Mereka telah membantu meletakkan asas kebaikan dan mempunyai “share” atau bahagian dalam setiap kebaikan.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.”

Para sahabat mempunyai tanda pada muka mereka yang terhasil daripada ibadat mereka.

Rasulullah s.a.w. juga mengenali umatnya di Padang Mahsyar melalui tanda yang terdapat pada muka mereka yang berseri-seri. Sesungguhnya ummatku akan dipanggil pada Hari Kiamat dgn cahaya di wajah, tangan dan kaki kerana kesan bekas wudhu’.” [sahih Bukhari, kitab wudhu']

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/02/21/kelebihan-para-sahabat-nabi/


DOA MINTA DIPERMUDAHKAN

“”Ya Allah bantulah aku dengan memudahkan setiap yang susah kerana memudahkan yang susah itu senang sahaja bagiMu dan aku memohon kepadaMu kemudahan dan kemaafan, dunia dan akhirat” (Riwayat Thabrani daripada Abu Hurairah r.a.)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/02/10/doa-minta-dipermudahkan/


DOA BUKA TELINGA HATI

“”Ya Allah bukakanlah pendengaran hatiku untuk mengingatiMu … dan kurniakan ketaatan kepadaMu dan ketaatan pada RasulMu serta beramal dengan kitabMu” (Riwayat Thabrani daripada Sayyidina Ali)

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar berdoa supaya dibuka telinga hati. Dalam hadith yang lain pula disebut pintu hati, sepertimana kita orang Melayu biasa menyebut “semoga dibukakan pintu hatinya.

Hati sanubari adalah seumpama radar, baik hati itu maka baiklah seseorang itu. Hati jugalah yang akan diperiksa di ahkirat nanti.

Al-A’diyat [10] Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?[11] Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/02/10/doa-buka-telinga-hati/