Monday, October 31, 2011

3 AMALAN UNTUK MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA KECIL, JANGAN PANDANG REMEH DOSA-DOSA KECIL, DOAKAN IBUBAPA UNTUK MURAH REZEKI

Tazkirah Jumaat
9 Sept. 2011 (10 Syawal 1432H)


3 AMALAN UNTUK MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA KECIL

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bertanya (kepada para sahabatnya) “Adakah kamu ingin tahu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan dosa oleh Allah s.w.t. dan mengangkat darjat (kamu?) Maka mereka menjawab “Ya, wahai Rasulullah s.a.w.” Sabda Baginda, “Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan, dan banyakkanlah langkah menuju ke masjid-masjid (untuk sembahyang), menanti sembahyang selepas sembahyang adalah jihad“. Di dalam hadith daripada Malik bin Anas, itu adalah jihad, itu adalah jihad (disebut sebanyak dua kali dalam Riwayat Muslim). Manakala di dalam hadith riwayat Tirmizi pula disabdakan sebanyak tiga kali.

Di dalam hadith ini disebut 3 amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil dan menaikkan darjat seseorang Muslim iaitu; 1. Berwuduk ketika cuaca sejuk atau menggunakan air sejuk; 2. Memperbanyakkan langkah ke masjid dan; 3. Menunggu atau menanti satu sembahyang selepas satu sembahyang (juga merupakan satu jihad).

1) Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan.

Berwuduk ketika cuaca sejuk atau menggunakan air sejuk adalah satu amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

2) Memperbanyakkan langkah ke masjid

Dari Jabir r.a. lagi, katanya: “Bani Salimah – salah satu kabilah kaum Anshar yang terkenal radhiallahu ‘anhum – bermaksud hendak berpindah tempat berdekatan dengan masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., kemudian Baginda s.a.w. bersabda kepada Bani Salimah itu: “Sesungguhnya telah sampai berita kepadaku bahawa engkau semua ingin berpindah ke tempat berdekatan dengan masjid?” Mereka menjawab: “Benar, ya Rasulullah, kita berkehendak sedemikian itu.” Baginda s.a.w. bersabda lagi: “Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu – pahala melangkahkan kaki dari rumah ke masjid itu pasti dicatat sebanyak yang dijalankan. Jadi tidak perlu berpindah berdekatan masjid. Tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu.” (Riwayat Muslim)

3) Menanti sembahyang selepas sembahyang

Menunggu atau menanti satu sembahyang misalnya menunggu waktu Isyak setelah selesai mengerjakan fardu Maghrib atau keluar daripada masjid setelah selesai satu sembahyang tetapi kembali semula sebelum masuk waktu sembahyang yang berikutnya. Perbuatan menunggu satu sembahyang selepas satu sembahyang juga merupakan satu jihad. Jihad ini, adalah lebih mudah dan ringan untuk dilakukan jika dibandingkan dengan jihad peperangan. Namun begitu tidak ramai yang mampu untuk melakukannya kerana ia bercanggah dengan kehendak hawa nafsu. Nafsu lebih cenderung membawa seseorang untuk berada di luar masjid daripada menunggu di dalam masjid.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/08/3-amalan-untuk-menghapuskan-dosa-dosa-kecil/


JANGAN PANDANG REMEH DOSA-DOSA KECIL

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya dosa-dosa kecil, atau remeh apabila disoal kepada orang yang melakukannya, maka binasalah dia (Haqaiqus Sunan 1/156 dan Taudhihus sunan 1/205) Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, dosa kecil yang paling tinggi adalah dosa seorang lelaki melihat perempuan (yang bukan mahramnya).

Dosa-dosa kecil ini jika disoal dengan terperinci oleh Allah s.w.t. di hari kiamat ini, maka binasalah (terseksalah) orang yang melakukannya dan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Misalnya jika Allah menyoal kita mengapa kita menonton rancangan televisyen yang tidak sepatutnya ditonton.

Berkata Siti Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Aisyah, jauhi diri kamu daripada dosa-dosa kecil (lekeh) sesungguhnya dosa seperti itu ada tuntutan (pertanyaan) daripada Allah swt (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Ad Darami, dan Al Baihaqi Fisyu’bil Iman)

Daripada Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: ”Sesiapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan terseksa”. Aisyah bertanya: ”Bukankah Allah Azza Wajalla telah berfirman, “Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (al-Insyiqaq:8)” Jawab baginda:”Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.” Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya terseksa.” (Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/07/jangan-pandang-remeh-dosa-dosa-kecil/


DOAKAN IBUBAPA UNTUK MURAH REZEKI

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seseorang itu tidak lagi mendoakan untuk kedua ibubapanya, sesungguhnya dia telah memutuskan jalan rezekinya”. (Hadith Riwayat Ad-Dailami) Ibu adalah insan yang berpenat lelah serta dan bersusah payah mengandungkan anak di dalam rahimnya, manakala bapalah adalah orang yang memberikan benihnya.

Luqman [14] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Selalulah berdoa kepada kedua ibubapa dan balaslah jasa baik mereka, lebih-lebih lagi jasa ibu yang bersusah payah mengandungkan kita. Sentiasalah berdoa untuk mereka agar Allah swt mengampunkan dosa-dosa mereka terutamanya setiap kali setelah selesai sembahyang.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/07/28/doakan-ibubapa-untuk-murah-rezeki/

No comments: