Friday, August 26, 2011

RAMADAN DITANGISI SYAWAL DIRAI

Tazkirah Jumaat
26 Ogos 2011 (26 Ramadhan 1432H)


RAMADAN DITANGISI SYAWAL DIRAI

Tangisilah pemergian tetamu mulia bernama Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita disaat kita cuba untuk rapat dengannya dan cubalah untuk mendapatkan hadiah Lailatul Qadar sebelum ia berlalu pergi. Tetamu ini juga datang bersama rahmat, keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka. Sia-sialah puasa jika tidak mendapat rahmat, keampunan dan kemerdekaan api neraka. Ramadan juga adalah bulan yang panas, yang didatangkan untuk membakar nafsu dan nilai-nilai buruk yang telah diterapkan oleh syaitan selama 11 bulan sebelumnya. Nilailah amalan kita sebelum ini dan perkasakan ibadah puasa disaat akhir ini agar kita dapat kembali kepada fitrah yang asal pada 1 Syawal.

Selamat Kembali Pada Fitrah Yang Asal

Hari raya Aidil Fitri ialah satu hari kebesaran dimana orang Islam yang berpuasa kembali kepada fitrah (keadaan)nya yang asal iaitu keadaan yang tidak berdosa (suci) setelah mendapat keampunan daripada Allah s.w.t. pada pagi 1 Syawal sekiranya disiplin puasa dijaga dan zakat fitrah dibayar sebelum sembahyang hari raya. Rasulullah s.a.w. bersabda “Siallah(rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan ”.

Syarat untuk mendapat keampunan ini ialah kita hendaklah menjaga disiplin dan pantang larang dalam berpuasa. Selain itu kita juga membayar zakat fitrah iaitu suatu zakat peribadi untuk menampung kekurangan atau perlanggaran pantang larang (accident) yang berlaku sepanjang berpuasa. Kita perlu iklhas dalam membayar zakat fitrah kerana ia dapat memperbaiki kedudukan puasa kita. Zakat fitrah itu juga memberi kekuatan untuk ibadat puasa itu naik ke langit dan dipersembahkan kepada Allah s.w.t:

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas yang menyebut; “Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim)

Kita perlu membayar zakat fitrah sebelum sembahyang hari raya untuk menampung kekurangan ibadah puasa kita. Jika dilakukan selepas sembahyang hari raya, ia hanya menjadi sedekah biasa dan amalan puasa itu tergantung ke langit dan tidak dipersembahkan kepada Allah.

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain (Riwayat Abu Daud).

Daripada Jarir r.a., beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Puasa sebulan Ramadhan tergantung antara langit dan bumi ; dan tidak akan terangkat dari tempat itu , kecuali dengan zakat fitrah.” (Riwayat Abu Hafsh bin Syahin)

Zakat merupakan hubungan sesama manusia dan Allah s.w.t. gembira apabila melihat orang yang kaya membantu orang yang miskin. Zakat fitrah afdal dilakukan pada pagi hari raya untuk diberikan kepada orang miskin menyambut hari raya, tetapi untuk mengelakkan kesesakan bolehlah dibayar lebih awal.

Setelah mendapat keampunan daripada Allah s.w.t pada 1 Syawal, kita melakukan sembahyang hari raya. Dari segi hukum, sembahyang hari raya adalah sunat dalam 3 mazhab (Syafie, Maliki dan Hanbali) dan wajib dalam mazhab Hanafi (kerana Rasulullah s.w.t tidak pernah meninggalkannya).

Walapun dosa kepada Allah sudah diampunkan, dosa sesama manusia masih belum suci. dan kita hendaklah memohon kemaafan daripada manusia kerana dosa sesama manusia hanya boleh dimaafkan oleh manusia. Jika kita tidak mohon kemaafan di sini (dunia) kita akan bankrap atau muflis di sana (akhirat).

Selain itu cantikkan (hiasi) hari raya dengan bertakbir (membesarkan Allah).

Baqarah [185]…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Bagi hari raya Aidil Fitri, kita boleh bertakbir selama 1 hari iaitu 5 waktu sembahyang mulai selepas Maghrib malam hari raya, diikuti Isya’, Subuh, Zohor dan berakhir selepas waktu Asar. Hukum takbir raya selepas sembahyang berjemaah ialah sunat dalam mazhab Syafie tetapi wajib dalam mazhab Hanafi.

Bersyukurlah kepada Allah yang “As-Syakur” yang membalas dan memberi pahala ibadah puasa dengan pahala yang sangat besar nilainya kerana ia suatu ibadah yang tersembunyi (tiada pengecaman terhadap orang yang berpuasa semata-mata untuknya).

Selain itu orang yang berpuasa dengan cukup syarat-syaratnya juga mendapat kemerdekaan daripada api neraka. Hari raya yang sebenar dan yang paling besar ialah kejayaan memasuki syurga. Dalam hadith disebut “Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya. Orang berpuasa akan gembira bila bertemu Allah setelah berlapar di dunia, kerana mereka berlapar semata-mata kerana Allah. Orang berpuasa bebas masuk pintu mana-mana syurga walaupun ada satu pintu yang khas untuk orang berpuasa yang dikenali sebagai Ar-Rayyan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/25/ramadan-ditangisi-syawal-dirai/

No comments: