Friday, May 14, 2010

AL HAFIIZ, AL MUQIIT, PENGHULU ISTIGHFAR, JENIS-JENIS SEDEKAH, BANYAKKANLAH BERZIKIR MENGINGATI ALLAH

Tazkirah Jumaat
14 Mei 2010 (30 Jamadil Awal 1431H)



FADHILAT ASMAUL HUSNA

39. AL HAFIIZ Ertinya Yang Maha Memelihara.

KHASIATNYA: “Ya Hafiiz!” Untuk menjaga keselamatan diri dari binatang buas atau dari hantu malam, dibaca zikir ini sebanyak 99 kali pasti akan diselamatkan dan terhindar daripada segala gangguan tersebut diatas.

40. AL MUQIIT Ertinya Maha Pemberi Keperluan.

KHASIATNYA: “Ya Muqiit!” Sekiranya kita berada di dalam kelaparan seperti ketika sesat di dalam hutan atau di mana sahaja sehingga sukar untuk mendapatkan bekalan makanan, maka perbanyakkan zikir ini. InsyaAllah badan kita akan menjadi kuat & segar kerana rasa lapar akan hilang.


PENGHULU ISTIGHFAR


Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hambaMu dan aku di dalam genggamanMu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan Taat) kepadaMu sekuat mampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau. Amin

Penjelasan:

Sabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum petang maka ia termasuk ahli syurga. Dan siapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum pagi maka ia termasuk ahli syurga. (HR Bukhari)


JENIS-JENIS SEDEKAH

Sedekah yang kita tahu ialah mendermakan harta kita. Atau lebih khusus kita nampak perkataan sedekah hanya berkait rapat dengan wang ringgit, sedekah tabung masjid, sedekah pada anak yatim dan sebagainya.

Tetapi Baginda sangat banyak menyebut tentang jenis-jenis sedekah. Antaranya di dalam hadith ke 26 dalam kitab hadith 40 disebutkan oleh Baginda sebahagian dari jenis-jenis sedekah. Antaranya :

1. Mendamaikan saudara yang berselisih faham

2. Menolong saudara meringankan beban orang bermusafir

3. Menolong saudara mengangkat beg atau bebanan yang berat

4. Kata-kata yang baik

5. Langkah ke Masjid

6. Alih duri dari jalan (elakkan mudharat)

Banyaknya! Itu baru dari satu sumber hadith. Sebenarnya banyak lagi. Kita pun pernah dengar “senyumanmu pada saudaramu satu sedekah” juga termasuk dalam ciri sedekah.

Pendek kata, kita sedang bersedekah dan mendapat pahala dari Allah. Betapa pemurahnya Allah, walaupun kita tak tahu jenis sedekah (sebab tak belajar), Allah pasti memberikan balasan yang setimpal. Lebih-lebih lagi orang yang tahu apa yang dilakukan adalah dari bab sedekah, mestilah dia lakukan dengan bersungguh-sungguh.

Teringat pada kisah pada zaman sahabat nabi, orang-orang miskin mempersoalkan kepada Rasulullah tentang kelebihan orang yang berharta. Ini kerana orang berharta mereka beriman kepada Allah, dalam pada masa yang sama mereka dapat dermakan harta yang mereka miliki. Berbeza dari orang-orang miskin, beriman jua kepada Allah tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk didermakan. Lalu Baginda mengajar lafaz tasbih (SUBHANALLAH) adalah sedekah, tahmid (ALHAMDULILLAH) itu sedekah, takbir (ALLAHUAKBAR) itu sedekah, tahlil (LAILAHAILLAH) itu sedekah. Jadi, itu sudah memadai dan dapat dilakukan oleh orang-orang yang tidak berharta.

Begitulah jua besarnya cabang bersedekah.

Cuma, disebut oleh Mahyuddin Misto dan Mustafa Bugho di dalam kitab AlWafi bahawa lebih afdal orang yang mempunyai harta lalu mendermakan harta tersebut berbanding orang yang bersedekah dengan cara yang selain mendermakan harta bendanya. Ini adalah soal kelebihan kepada orang-orang yang dikurniakan dengan kemewahan dan harta yang banyak tetapi tidak pernah lupa kepada segala nikmat yang Allah kurniakan.

http://mesrarakyat.wordpress.com/2010/05/10/jenis-jenis-sedekah/


BANYAKKANLAH BERZIKIR MENGINGATI ALLAH

Berzikir iaitu mengingati Allah ialah tanda kita menyayangi Allah. Seseorang yang menyayangi dan merindui seseorang banyak menyebut namanya atau mengingatinya di dalam hatinya.

Rasulullah s.a.w bersabda, siapa yang banyak mengingati Allah (zikir), Allah menyayanginya. (Riwayat Dailami dari Aisyah r.a).

Abu Said Al Khudri menuturkan bahawa Rasulullah saw bersabda :Hendaklah kamu banyak berzikir kepada Allah, sehingga orang orang mengatakan bahawa kamu telah gila. (Hadith Riwayat Al Hakim dan menilainya sahih, Ahmad,Ibnu Hibban dan Al Baihaqi)

Dari Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda : Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/10/banyakkanlah-berzikir-mengingati-allah/

No comments: