Friday, December 26, 2008

TJ : Amalan Akhir dan Awal Tahun, Taubat, Larangan Melintasi Org Solat

Tazkirah Jumaat
26 Dis. 2008 (28 Zulhijjah 1429)

AMALAN PADA AKHIR TAHUN DAN 1 MUHARRAM

Tidak lama lagi umat islam seluruh dunia akan menyambut tahun baru 1430 Hijriah pada waktu maghrib 28 Disember 2008 (Ahad). Sayugianya pada hari terakhir bulan Zulhijjah dan pada 1 Muhharam dibacakan doa-doa yang berikut;

1. Doa akhir tahun dan awal Muharram.

2. Selepas sholat subuh pada 1 Muharram sayugianya dibacakan Ayatul Kursi sebanyak 360 kali dengan membaca isim Bismillahirrahmaa nirrahim pada setiap kali bacaan. Insya Allah barangsiapa yang mengamalkannya, akan diberikan keselamatan dan pemeliharaan dari sebarang musibah dan kesempitan rezeki.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam". (Sahih Muslim)


Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.; "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun." (Riwayat Albazzar)


Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah. Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura. Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)


Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (Sahih Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” - Riwayat Al Baihaqi


LARANGAN MELINTASI ORANG
SEDANG SEMBAHYANG

Salah satu dari perkara yang terang-terang dilarang dari dilakukan terhadap sembahyang yang sedang dikerjakan, ialah melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang, kerana perbuatan itu mungkin menjadi sebab terputusnya perasaan, atau ingatan yang sedang dijalinkan oleh hamba Allah dengan tuannya. Sabda Nabi s.a.w “Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perawi : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun” (Riwayat Al-Bukhari)


Rasulullah saw telah mengajar orang yang bersembahyang khasnya di tempat-tempat yang terbuka, supaya mereka mendirikan satu tanda bagi menunjukkan kawasan yang sedang digunakan olehnya, dan mereka jangan diganggu.


Sabda Nabi s.a.w “Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah dia menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan” (Riwayat Al-Bukhari)


http://nasbunnuraini.wordpress.com



TAUBAT ORANG JAHIL TETAP
DITERIMA OLEH ALLAH

ISLAM tidak menutup pintu kepada umatnya yang bersalah, jika mereka mahu kembali kepada kebenaran dengan membersihkan diri dengan bertaubat. Malah, Islam menggalakkan mereka berbuat demikian. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)


Rasulullah menempelak mereka yang melakukan kejahatan terus menerus, sedangkan mereka mengetahui kejahatan yang dilakukannya. Sepatutnya, mereka meminta keampunan kepada Allah di atas kesilapan pertamanya tanpa mengulangi kesalahan itu.


Taubat yang diterima Allah juga adalah taubat dalam keadaan segera sebelum roh sampai ke tenggoroknya. Hal ini seperti dijelaskan oleh Imam Ahmad yang meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama (rohnya) belum sampai ke tenggorok.” Hal itu bererti apabila sudah putus harapan untuk hidup, malaikat mula datang menjemput, roh mula keluar dari tenggoroknya, dada mula terasa sesak dan mencapai tenggoroknya. Pada saat itu taubat tidak lagi diterima. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) dia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” (Surah al-Nisa’, ayat 18)


Sesungguhnya manusia tidak dapat lari daripada memohon taubat kepada Allah. Perkara ini kerana tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa manusia, selain Allah. Firman-Nya bermaksud: “Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 135)


Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu memberi keampunan kepada hamba-Nya selagi mana hamba-Nya memohon keampunan kepada-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Said, daripada Nabi bersabda bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhan, dan demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka segera bertaubat dan memohon ampunan kepada-Ku.” [..]


http://tazkirahagama.blogspot.com/

No comments: