Friday, July 11, 2008

TJ : Bulan Rejab menurut As-Sunnah, Api dunia berasal dari neraka, Fadhilat Zikir

11 Julai 2008 (8 Rejab 1429H)

BULAN REJAB MENURUT AS-SUNNAH

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar - yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa. Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.

Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.

API DUNIA BERASAL DARI NERAKA

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah menceritakan asalnya kejadian api di dunia ini. Setelah nabi Adam dihantar ke dunia kerana kesalahannya memakan buah larangan maka Allah swt telah memerintahkan malaikat Jibril a.s. supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan nabi Adam as. Maka Jibril a.s. pun diperintahkan untuk meminta api tersebut daripada malaikat penjaga api neraka iaitu Malik Zabaniah.

Jibril : Wahai Zabaniah, aku diperintah untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan Adam a.s.

Zabaniah : sebanyak mana sedikit itu ?

Jibril : sebesar buah kurma.

Zabaniah : kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasannya.

Jibril : kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma…

Zabaniah : kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakkan di dunia, maka tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti..

Memandangkan keadaan yang rumit ini maka Jibril a.s. pun menghadap Allah untuk mendapatkan saiz yang perlu di hantar ke dunia. Allah swt pun memerintahkan supaya Jibril mengambil sebesar HAMA (ZARAH) sahaja dari api neraka untuk dibawa ke dunia. Maka Jibril a.s. pun mengambil api neraka sebesar zarah dari Zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali kedalam sungai di syurga dan sebanyak 70 buah sungai (disejukkan sebanyak 70 x 70).

Selepas itu Jibril a.s. pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakan diatas sebuah bukit yg tinggi. tetapi sejurus setelah diletakan tiba-tiba bukit itu terus meleleh cair maka cepat-cepat Jibril mengambil semula api tersebut dan dihantar semula ke neraka. Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yang sering kita gunakan untuk berbagai keperluan dan juga api yang terdapat di gunung berapi dan lain-lain lagi.

PENGAJARAN :

Bayangkanlah kepanasan api neraka yg sebesar zarah yg terpaksa disejukan dalam 70 buah sungai sebanyak 70 celupan setiap sungai dan hanya sisanya saja itu pun manusia tidak dapat bertahan akan kepanasannya bagaimana dengan api di neraka itu sendiri.

FADHILAT ZIKIR

Imam Bukhari menamatkan kitab hadithnya dengan hadith berikut, Rasulullah s.a.w bersabda: “Dua kalimat yang ringan di lidah, pahalanya berat di timbangan (hari Kiamat) dan disenangi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, adalah: Subhaanallaah wabihamdihi, subhaanallaahil ‘azhiim.” (HR. Al-Bukhari 7/168, Muslim 4/2072.) []

No comments: