Tazkirah Jumaat : 28 Mac 2008
KISAH THABIT BIN IBRAHIM
- Seorang lelaki yang soleh bernama Thabit bin Ibrahim. la sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Tiba-tiba ia melihat sebuah epal jatuh di luar pagar sebuah kebun buah-buahan. Melihat buah epal yang merah ranum yang terletak di tanah, membuat air liur Thabit meleleh, apatah lagi hari itu kebetulan panas dan ia sedang dahaga. Tidak berfikir panjang ia ambil buah itu dan dimakannya.
- Bagaimanapun baru setengah ia makan, ia teringat bahawa buah itu bukan miliknya dan ia belum mendapat izin daripada pemiliknya. Dalam keadaan bimbang, ia segera pergi ke kebun buah-buahan itu. la hendak menemui pemiliknya agar menghalalkan buah yang telah ia makan.
- Di kebun itu ia bertemu dengan seorang lelaki. la langsung sahaja berkata: Aku sudah makan setengah daripada buah epal ini. Aku berharap tuan dapat menghalalkannya. Orang itu menjawab: Aku bukan pemilik kebun ini. Aku hanya khadam yang ditugaskan merawat dan mengurusi kebun ini.
- Dengan rasa menyesal Thabit bertanya lagi: Di mana rumah pemiliknya? Aku akan menemuinya dan minta supaya dihalalkannya epal yang telah ku makan ini. Pengurus kebun itu memberitahu: Apabila engkau ingin pergi ke sana, engkau mesti menempuh perjalanan sehari semalam.
- Thabit bin Ibrahim pun bertekad akan pergi menemui si pemilik kebun itu sambil berkata kepada penjaga kebun itu: Tidak mengapa, aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah Saw sudah memperingatkan kita melaui sabdanya: Sesiapa yang tubuhnya tumbuh daripada makanan yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka.
- Thabit pergi juga ke rumah pemilik kebun itu, setibanya ia di sana, ia langsung mengetuk pintu. Si pemilik rumah membukakan pintu, Thabit langsung memberi salam dengan sopan sambil berkata: Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur makan setengah daripada buah epal tuan yang jatuh di luar kebun tuan. Kerana itu mahukah tuan menghalalkan apa yang sudah kumakan itu?
- Lelaki tua yang ada di hadapan Thabit memerhatikannya dengan cermat. Lalu ia berkata dengan tiba-tiba: Tidak, aku tidak boleh menghalalkannya kecuali dengan satu syarat. Mendengar itu, Thabit merasa bimbang dengan syarat itu, kerana takut ia tidak boleh memenuhinya. Thabit segera bertanya: Apa syaratnya itu tuan? Orang itu menjawab: "Engkau mesti mengahwini puteriku! Thabit bin Ibrahim tidak memahami apa maksud dan tujuan perkataan lelaki itu.
- Thabit berkata lagi: Apakah kerana aku makan setengah buah epalmu yang keluar dari kebunmu, aku mesti mengahwini puterimu? Tetapi pemilik kebun itu tidak melayan soalan Thabit. Ia malah menambahkan katanya: Sebelum pernikahan dimulakan, engkau mesti tahu dulu kekurangan-kekurangan puteriku itu. Ia seorang yang buta, bisu, dan tuli. Lebih dari itu ia juga seorang yang lumpuh.
- Thabit amat terkejut dengan keterangan si pemilik kebun. la berfikir dalam hatinya, apakah perempuan seperti itu patut ia jadikan isteri? Gara-gara setengah buah epal yang tidak dihalalkan baginya? Setelah itu pemilik kebun menyatakan lagi: Selain syarat itu aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah engkau makan! Namun Thabit kemudian menjawab dengan tenang: Aku menerima syarat dan perkahwinannya. Aku telah bertekad akan mengadakan transaksi dengan Allah Rabbul 'alamin. Aku akan memenuhi kewajipan-kewajipan dan hak-hakku kepadanya sebab aku sangat berharap kepada Allah semoga la selalu meridhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi Allah s.w.t.
- Pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu menghadirkan dua saksi yang akan menyaksikan akad nikah anaknya. Sesudah perkahwinan selesai, Thabit dipersilakan masuk menemui isterinya.
- Sewaktu Thabit hendak masuk bilik pengantin, ia berniat akan tetap mengucapkan salam walaupun isterinya tuli dan bisu. sebab bukankah malaikat Allah yang berkeliaran dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu juga.
- la pun mengucapkan salam: Assalamu 'alaikum... Tidak disangka-sangka, wanita iaitu isterinya yang di hadapannya yang sudah rasmi jadi isterinya, menjawab salamnya dengan baik. Ketika Thabit masuk mahu menghampiri wanita itu, wanita itu menghulurkan tangannya menyambut tangan suaminya. Sekali lagi Thabit terkejut, sebab wanita yang kini menjadi isterinya itu menyambut huluran tangannya. Thabit sempat terpegun menyaksikan kejadian ini. Kata ayahnya ia wanita tuli dan bisu, tetapi ternyata ia membalas salamku dengan baik. Jika demikian, bermakna wanita yang ada di hadapanku ini dapat mendengar, ia juga tidak bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa ia buta dan lumpuh, tetapi ternyata ia menyambut kedatanganku dengan ramah dan menghulurkan tangan dengan mesra pula. Kata Thabit dalam hatinya.
- Thabit berfikir, mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan yang sebenarnya? Setelah Thabit duduk di samping isterinya, ia bertanya, Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta, mengapa? Wanita itu kemudian menjawab: Ayahku benar, sebab aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah. Thabit bertanya lagi: Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli, mengapa? Wanita itu menjawab lagi: Ayahku benar, sebab aku tidak pernah mahu mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat ridha Allah.
- Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan? Tanya wanita itu kepada Thabit yang kini telah sah menjadi suaminya. Thabit mengangguk perlahan mengiyakan soalan isterinya. Kemudian wanita itu berkata: aku dikatakan bisu sebab dalam banyak perkara, aku hanya menggunakan lidahku untuk menyebut asma Allah s.w.t. sahaja. Aku juga dikatakan lumpuh, sebab kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah s.w.t.
- Thabit sangat bahagia mendapati isterinya yang ternyata amat soleh dan wanita yang memelihara dirinya. Dengan bangga ia berkata tentang isterinya, ketika kulihat wajahnya... Subhanallah, ia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap.Thabit dan isterinya yang salihah dan cantik itu, hidup rukun dan berbahagia.
- Tidak lama kemudian mereka dianugerahi seorang lelaki. Lelaki inilah yang memancarkan ilmu dan hikmahnya ke seluruh penjuru dunia. la itu ialah al-Imam Abu Hanifah an-Nu'man bin Thabit.
ASMA’UL HUSNA
- 92 AN NAAFI’ Ertinya Yang memberi manfaat.
- Untuk menyembuhkan penyakit dan menghilangkan kesusahan, asma ini dibaca setiap hari, Insyaallah akan berhasil. Juga barangsiapa yang berzikir dengan hati ketika jimak dengan isterinya, Insyaallah isterinya itu akan menaruh belas kasihan yang sangat dalam dan akan diberi anak yang soleh. []
No comments:
Post a Comment