Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk bebas
daripada belenggu kemiskinan. Peringatan itu maha penting kerana kemiskinan
sebenarnya boleh menggelincirkan iman seseorang.
Ini kerana bagi seseorang yang lemah imannya akan sanggup
menggadaikan akidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta
menuturkan kata-kata yang menolak kebeswaran Allah seperti menafikan keadilan
Allah dan sebagainya.
Manusia digalakkan mencari kerja yang halal, yang sekaligus
akan menjadi ibadat selagi dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar
hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh
sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian orang lain seperti meminta sedekah,
derma dan sebagainya. Apatah lagi jika tubuh badan masih kuat dan sihat,
perbuatan meminta-minta sebegitu amat dilarang keras oileh Islam kerana ia
merupakan perbuatan yang memalukan dan menghina Islam itu sendiri.
Malah Rasulullah SAW sendiri memberikan peringatan mengenai
perbuatan ini melalui sabdanya, “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta,
dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Mensyukuri rezeki menambahkan berkat
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk
seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk
empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha
dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan
keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu
sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.
Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah
dengan sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau
perkara baik yang diterima.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya, “Tiada
seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya
dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan
penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau
diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis
riwayat at-Tabrani)
Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Untuk menambah
keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil
untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan
kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya,
harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita
tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari
kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang
qanaah.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada
malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang
kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya
langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari
rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah
jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara
mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi
lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat
Abu Naim)
Bila Allah Taala cepat memakbulkan doamu, maka Dia
menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu, bila
Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik
untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa
jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya....
Credit to:jpkuitmkuantan.blogspot
No comments:
Post a Comment