Tazkirah Jumaat
15 Mac 2013 (3 Jamadil Awal 1434H)
BERKATILAH UMUR DENGAN 4 PERKARA
Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat. Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.
http://www.islamituindah.my/berkatilah-umur-dengan-4-perkara
No comments:
Post a Comment