MENANGIS YANG DIBENAR OLEH SYARIAT
Kata ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini menangis adalah dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."
Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.
Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat.
Jika para Nabi dan rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.
Menangis dan menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total...jadi kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah (Shadujja) Bin Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah."(Riwayat Attirmizi).
3 SOALAN UTAMA DI MAHSYAR
1) tentang UMURmu bagaimana kita menghabiskannya?
- Sepanjang mana umur kita maka sepanjang tempoh itulah kita akan ditanya samada kita telah memanfaatkan umur kita atau kita banyak membazirkannya dengan perkara-perkara kurang manfaatnya.
- Berapa banyak amal kebajikan kita, ibadat kita atau maksiat kita lakukan.
2) tentang HARTAmu ke mana kita sumbangkannya?
- Sebanyak mana harta yang kita kumpulkan maka sebanyak itulah nanti yang akan diperiksa dan dianalisis untuk mengetahui samada kita telah benar-benar memanfaatkan harta kita pada jalanNYA atau kita hanya bazirkannya pada perkara-perkara kurang berfaedah.
- Banyak mana sumbangan harta kita kepada perjuangan Islam atau hanya pembaziran semata-mata.
3) tentang ILMUmu sejauh mana kita amalkan dan sebarkannya?
- Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.
- Jika kita hanya menyimpan ilmu tanpa ingin untuk luaskannya maka tunggulah balasan dariNYA kerana orang yang berilmu mempunyai pilihan samada nanti dia akan dimasukkan ke Neraka atau ke Syurga disebabkan oleh ilmunya.Perbanyakkanlah peringatan (tazkirah) kerana manusia adalah pelupa.
MENGINGATI MATI!!
Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."
Huraiannya : Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini. Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.
Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?
Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.
Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah...
WAKAF AL QURAN UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA
Firman Allah yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-sekali dikira mencapai kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Ali Imran : 92)
Oleh itu marilah kita mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776.
Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. [..]
No comments:
Post a Comment