Thursday, October 2, 2008

T. Aidilfitri : Puasa Enam, Ziarah Membawa Berkat, Adab Syawal, Wakaf Al Quran

GANJARAN PUASA ENAM SYAWAL

ADALAH menjadi lumrah bagi kebanyakan umat Islam untuk menggiatkan aktiviti ibadah pada sepanjang bulan Ramadan. Namun demikian apabila Syawal menjelma terdapat ramai umat Islam yang mula lalai serta alpa dalam mengerjakan ibadah.

Justeru, seluruh umat Islam sewajarnya mengekalkan peningkatan dalam tahap mengerjakan amal ibadah pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain. Di antara bukti bahawa Ramadan telah berjaya membentuk keperibadian yang tinggi terhadap seseorang dalam menjadi insan yang bertakwa adalah dengan mengerjakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali dengan puasa enam bagi masyarakat kita.

Dalil disyariatkan ibadah puasa sunat Syawal adalah sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh Abdullah al-Bassam: Barang siapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya.Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya. (Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam).

Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafie.

Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bidaah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w.

Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu yakni dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal.


ZIARAH MEMBAWA BERKAT

Sesungguhnya antara amalan yang digalakkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini ialah berpuasa sunat selama 6 hari (pada bulan syawal) serta amalan ziarah-menziarahi sesama ahli keluarga, saudara-mara dan kaum muslimin.

Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam dan mempunyai banyak hikmat dan kelebihan, apatah lagi dilakukan pada musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (lita’arafu) dan mengeratkan silaturahim.

Firman Allah s.w.t: "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka demikianlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". (Al-Hujurat ayat 10).

Perlu dijelaskan disini, terdapat dua adab yang perlu diperhatikan oleh umat islam apabila melakukan amalan ziarah menziarahi atau kunjung-mengunjungi iaitu adab sebagai tetamu dan adab sebagai tuan rumah.


PERADABAN MENYAMBUT SYAWAL

1. Allah haramkan berpuasa pada 1 Syawal
2. Jangan campurkan dengan perbuatan-perbuatan yang haram. Jangan menganggap Aidilfitri sama dengan perayaan-perayaan lain.
3. Orang yang menang itu adalah orang yang mengawal dan mengalahkan hawa nafsunya.
4. Kita disuruh menyebut nama Allah dengan bertakbir di mana-mana bagi mengagungkan Allah dan melahirkan rasa kesyukuran
5. Takbir, solat jemaah, berdoa dan berbuat kebaikan pada malam raya.6. Menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi raya.

Imam Syafie berkata doa itu mustajab pada 5 malam iaitu:
1. Malam Jumaat
2. Malam Hari Raya Aidilfitri
3. Malam Hari Raya Haji
4. Malam Awal Bulan Rejab
5. Malam Nisfu Syaaban

Antara amalan-amalan yang sunat dilakukan di pagi raya ialah:
1. Mandi sunat pagi raya
2. Mengenakan dan memakai pakaian yang terbaru
3. Memakai harum-haruman
4. Berhias diri
5. Makan dan minum sebelum ke masjid
6. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain
7. Ucap tahniah
8. Ziarah-menziarahi kubur, saudara-mara dan rakan-rakan.


WAKAF AL QURAN UNTUKUMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-sekali dikira mencapai kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali Imran : 92)
Oleh itu marilah kita mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776.

Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. [..]

No comments: