Wednesday, October 15, 2014

Tazkirah Jumaat 17 Oktober 2014 / 22 Zulhijjah 1435 : JAUHI KEZALIMAN DAN KEBAKHILAN, CARA MENSYUKURI NIKMAT ALLAH, SEDEKAH SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SEMBUNYI

Tazkirah Jumaat
17 Oktober 2014 / 22 Zulhijjah 1435


JAUHI KEZALIMAN DAN KEBAKHILAN

Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka.

Huraian Hadith: Kezaliman adalah antara dosa besar yang akan menyebabkan pelakunya dikenakan azab seksa yang berat di akhirat nanti.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: “Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”

Jauhilah sifat bakhil kerana bakhil itu membawa permusuhan dan pertelingkahan yang boleh mendatangkan kerugian. Rasulullah SAW memberi ingat kepada umatnya supaya mengeluarkan sedeqah dan membelanjakan ke jalan yang halal. Tamak kepada dunia dan kedekut dengan apa yang dimiliki sentiasa mendorong manusia melakukan maksiat dan dosa dan menjuruskan mereka kepada perbuatan keji dan kemungkaran.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/21/


CARA MENSYUKURI NIKMAT ALLAH

Rasulullah s.a.w. bersabda “Menyebut-nyebut nikmat Allah adalah bersyukur, meninggalkannya bererti ingkar. Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat yang sedikit bererti dia tidak mensyukuri nikmat yang banyak; dan sesiapa yang tidak bersyukur terhadap orang lain bererti dia tidak bersyukur kepada Allah (Riwayat Baihaqi).

Menyebut-nyebut Nikmat Allah

Ad-Dhuha [11] : Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukurkepadaNya.

Sebutlah ”Ini semua pemberian Allah” atau “Alhamdulillah, Allah telah beri saya….”

Berterima Kasih

Berterima kasihlah pada orang yang menolong kita kerana sesiapa yang tidak terima kasih kepada orang yang menolongnya samalah seperti dia tidak bersyukur kepada Allah kerana Allah jualah yang buka hati orang itu untuk menolong kita.

Bersyukurlah Walaupun Sedikit

Rasulullah s.a.w. bersabda:“Sesiapa yang redha dengan rezekinya yang sedikit, Allah akan redha dengan amalannya yang sedikit”. (Riwayat Baihaqi dari pada Sayyidina Ali).

Amalan yang sedikit di sini bermakna yang amalan yang wajib dilakukan dan tidak ditinggalkan, cuma sedikit atau tidak dilakukan amalan sunat. Kemewahan dan kekayaan yang diberikan sepatutnya disyukuri dengan menambahkan lagi amalan dan aktiviti selain amalan fardhu seperti mengembangkan Islam.

Menzahirkan Nikmat Kurniaan Allah

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah s.w.t. suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibn Majah). A’raf [31] : Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)

Sekiranya diberi rezeki yang lebih, belanjalah untuk membeli pakaian dan makanan yang baik sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa Allah telah memberi nikmat kepada kita. Ia sebagai memperakui kurniaan Allah dan bukannya untuk menunjukkan kesombongan. Janganlah terlalu bakhil untuk berbelanja setelah diberikan rezeki yang banyak.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/21/


SEDEKAH SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SEMBUNYI

Dari Jabir r.a. katanya: “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan hubungkan apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sedekah Menghapuskan Kesalahan

Kesalahan ialah sesuatu yang dilakukan tetapi tidaklah sampat tahap dosa (perkara yang diharamkan). Kesalahan boleh dihapuskan dengan ibadah seperti sedekah, wuduk dan solat. Manakala dosa pula hanya terhapus dengan taubat, istigfar iaitu meminta keampunan dan menyesalinya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/16/

Tazkirah Jumaat 10 Oktober 2014 / 15 Zulhijjah 1435

akan diupdate...

Tazkirah Jumaat 3 Oktober 2014 / 8 Zulhijjah 1435 : DISEBALIK KESEDIHAN MENGHADAPI MUSIBAH

Tazkirah Jumaat
3 Oktober 2014 / 8 Zulhijjah 1435

DISEBALIK KESEDIHAN MENGHADAPI MUSIBAH

Kesedihan yang disebabkan oleh sesuatu musibah itu menghapuskan dosa seseorang. Ada dosa yang hanya terhapus dengan kesedihan. Rasulullah SAW juga turut mengalami kesedihan. Ubatilah kesedihan dengan zikir, istigfar dan doa serta bersabarlah menghadapi musibah. Berdoalah agar Allah gantikan kehilangan itu dengan perkara yang lebih baik.

Kesedihan itu menghapuskan dosa seseorang

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seorang hamba terlalu banyak dosanya dan tidak ada amalan untuk menghapuskan dosa-dosanya, Allah akan melibatkannya dengan kedukacitaan untuk menghapuskan dosa-dosanya” (Riwayat Ahmad dari Aisyah r.a.)

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan sebabnya sebahagian daripada dosa-dosanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mana-mana Muslim yang sakit atau terkena sesuatu musibah digugurkan dosa seperti pokok kayu gugur daunnya di musim luruh. (Riwayat Bukhari Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Ada dosa yang hanya terhapus dengan kesedihan

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya seorang hamba melakukan suatu perbuatan dosa tetapi apabila dia teringat perkara tersebut, maka dia merasa sedih; apabila Allah melihatnya benar-benar bersedih hati, maka dia mengampuni apa yang dilakukannya itu sebelum dia mengkifarahnya (menebusnya) tanpa melalui sembahyang dan tanpa berpuasa (Riwayat Ibnu Asakir melalui Abu Hurairah r.a.)

Rasulullah juga mengalami kesedihan

Rasulullah s.a.w mempunyai dua orang putera iaitu Qassim dan Abdullah. Setelah kematian kedua-dua puteranya, orang-orang Arab mengatakan bahawa keturunan Baginda sial dan telah terputus (bagi mereka nasab keturunan adalah melalui anak lelaki). Lalu Allah s.w.t menurunkan Surah Al-Kautsar untuk menenangkan hati Baginda supaya “buat tak tahu apa orang kata”.

Rasulullah s.a.w. juga mengalami kesedihan setelah kematian dua insan yang amat disayanginya iaitu isteri Baginda Siti Khadijah r.a. dan bapa saudaranya Abu Talib. Kemudian Baginda berhijrah ke Taif untuk meneruskan dakwah tetapi tidak diterima penduduk Taif pada ketika itu sehingga berdarah kaki Baginda dilontar batu. Akhirnya, Allah SWT mengubat kesedihan Rasulullah dengan memperjalankan Baginda Mulia dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Ubati Kesedihan Dengan Zikir, Istigfar, Doa & Solah

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila kamu terlibat dengan kesusahan atau kedukacitaan, maka katakanlah “Allahu-Rabbuna-La-Syariikalahu” (Allah tuhan kami, kami tidak syirik) [RiwayatBaihaki]. Rasulullah s.a.w. bersabda : “Perbanyakkanlah membaca La Haula Wala Quwwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi 99 penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan” (Riwayat Al-Uqaili melalui jabir r.a.).

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada rasa dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada sifat lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat penakut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang..”(Hadith riwayat Imam Abu Daud dan Imam Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda, Sesiapa yang banyak istigfar, nescaya dijadikan Allah s.w.t dukacitanya itu jalan keluar (kesukaan), kesempitannya itu jalan keluar (kelapangan) dan direzekikannya dari tempat yang tidak disangka. Riwayat Ahmad.

Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ini sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati. Solah merupakan penyejuk hati Rasulullah s.a.w.

Bersabar

Hairan sungguh urusan orang mukmin iu, bahawa semua urusannya baik belaka; perkara ini tidak akan didapati dalam diri seseorang kecuali pada orang mukmin. Iaitu apabila ia mendapat kebahagiaan maka ia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya; apabila ia tertimpa musibah maka ia bersabar dan bersabar itu adalah hal yang baik baginya. (Riwayat Ahmad)

Digantikan Dengan Yang Lebih Baik

Ummu Salamah berkata, “Saya mendengan Rasulullah bersabda, ‘tidak ada seorang muslimpun yang ditimpa suatu musibah lalu mengucapkan apa yang diperintahkan oleh Allah, ‘Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada-Nyalah kita kembali, ya Allah berikanlah kepadaku atas musibah ini dan gantikanlah dengan yang lebih baik darinya’, kecuali Allah akan menggantikannya yang lebih baik darinya’. Maka ketika Abu Salamah (suamiku) wafat, aku bergumam, siapa di kalangan kaum muslimin yang lebih baik dari Abu Salamah, sebuah keluarga yang pertama kali berhijrah kepada Rasulullah? Tetapi aku lalu mengucapkan do’a tersebut. Allah pun menggantikanku dengan Rasulullah . (HR. Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/22/disebalik-kesedihan-menghadapi-musibah/