Friday, April 5, 2013

HADIS : MISKIN YANG SEBENAR, 15 FAKTA TENTANG SENYUM DARI SUDUT KESIHATAN

Tazkirah Jumaat
5 April 2013 (24 Jamadil Awal 1434H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
MISKIN YANG SEBENAR


Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Yang dikatakan orang miskin itu bukanlah orang yang pergi dari rumah ke rumah, lalu diusir apabila dia meminta sebiji dua kurma, atau satu dua suap makanan. Orang yang sebenarnya miskin adalah orang yang tidak berasa cukup dengan apa yang dia ada. Dia tidak mampu bersabar lalu menceritakan halnya kepada orang lain. Kemudian ada orang memberikan sedekah kepadanya, tetapi dia masih belum berasa cukup, dan terus meminta-minta dari sesama manusia.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran

•    Sentiasalah bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita.

•    Harta itu ujian dari Allah, maka bersabarlah sama ada kita mempunyai banyak atau sedikit harta.

•    Bersedekahlah dengan harta yang kita ada. Sedikit atau banyak itu tidak penting. Contohnya, janganlah jika kita ada wang seringgit mahu tunggu wang jadi dua ringgit baru mahu bersedekah. Wang ada seratus mahu tunggu jadi seribu baru mahu bersedekah. Kononnya mahu jadi kaya baru mahu bersedekah. Salah konsep tersebut, kekayaan itu bukan semestinya diukur dengan harta.

•    Yang miskin jangan terus mengeluh dan suka meminta-minta atau asyik meminta-minta, tetapi teruslah berusaha disamping bantuan yang ada.

(Hadis diambil dari majalah Iman bil. No: 14)


15 FAKTA TENTANG SENYUM DARI SUDUT KESIHATAN

1. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” – Hadis Riwayat Muslim.

2. Senyum merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman yang dapat merangsang seluruh tubuh melaui sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Ini sangat bermanfaat dalam mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak.

3. Apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan hanya sekadar reaksi terhadap sesuatu, malah ia juga terlibat dalam penghasilan endorphin yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu merasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Ketawa (berperasaan gembira) sebanyak 100 kali dalam tempoh 24 jam mempunyai manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit. Hal ini demikian kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Seterusnya, kedua-dua kadar ini akan turun lebih rendah daripada paras sebelum ketawa.

6. “Tawa Rasulullah SAW hanyalah senyuman.” – Riwayat Tirmidzi.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis ‘stress’ iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Apabila kita senyum, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-interferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit).

9. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan.

10. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan bahan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, arthritis dan ulser.

11. Senyuman dan ketawa adalah senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ia ibarat urutan terhadap organ-organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan daya tumpuan belajar. Ia juga melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi, membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

12. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan.

13. Senyum mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Ia juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah dan memulakan sebuah ukhuwwah.

14. Dalam ajaran Islam, senyum mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

https://www.facebook.com/harlina399

SELAWAT FATIH

Tazkirah Jumaat
29 Mac 2013 (17 Jamadil Awal 1434H)


SELAWAT FATIH

Selawat Fatih ini mampu membukakan asrar (rahsia) ajaib yang menghairankan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya seratus kali setiap hari. Ramai yang mempertikaikan selawat ini tetapi mengejar sesuatu fadhilat itu tidak salah.

Sememangnya naluri manusia inginkan sesuatu sebagai imbuhan, umpamanya pahala dan fadhilat membaca sesuatu selawat. Itulah hikmah diwujudkan fadhilat.

Rasulullah SAW bersabda bahawa ulama itu pewaris Nabi. Tidaklah menjadi kesalahan kalau nak diamalkan kerana ia masih lagi ibadat dan tidak ada pula isi yang berunsurkan apa-apa yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah.

KELEBIHAN DAN FADHILAT SELAWAT FATIH:

Selawat Fatih juga mempunyai keistimewaan yang tersenidiri seperti mana yang telah disusun oleh para ulamak terdahulu. Antara kelebihan Selawat Fatih ialah :

1.    Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.

2.    Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.

3.    Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.

4.    Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.

5.    Sesiapa mengamalkan dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Dan akan menjadi ahli syurga, walaupun hanya membaca sekali seumur hidup.

6.    Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari,

7.    Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.

8.    Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.

9.    Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.

10.    Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Caranya adalah membacanya selepas bersolat 4 rakaat,

1) Baca surah al-Qadr,

2) Baca al-Zalzalah,

3) Baca al-Kafirun,

4) Baca Ma-’uzatain.

Seeloknya diasapkan dengan gaharu ketika membaca Selawat Fatih. Oleh kerana banyaknya fadhilat Selawat Fatih ini, maka marilah kita amalkan membacanya secara istiqamah. Wallahu A’alam Bissowab

http://www.facebook.com/harlina399