Sunday, January 27, 2013

MAULIDUR RASUL 1434H, PAKAIAN TERBAIK, DOSA MENGGELAPKAN HATI, MURAH HATI YANG MAHAL, JANGAN MENCACI SESAMA KITA

Tazkirah Jumaat
25 Jan 2013 (13 Rabiul Awal 1434H)


MAULIDUR RASUL 1434H

12 Rabiulawal 1434 Hijriah bersamaan dengan 24 Januari 2013 Masehi, adalah hari kelahiran baginda Rasulullah SAW yang merupakan satu detik istimewa yang amat bermakna buat umat Islam di seluruh dunia.

Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam kepada baginda Rasullullah SAW sebagai tanda kasih dan sayang kita terhadap baginda. Sesungguhya Rasulullah SAW merupakan insan yang paling unggul dan hebat, maka kita juga perlu menjadi umat yang hebat. Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini, benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Insya-Allah.


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
PAKAIAN TERBAIK

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang hidup di antara kamu hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih, dan orang yang telah meninggal dunia hendaklah dikafankan dengan kain berwarna putih. Sesungguhnya pakaian yang berwarna putih itu adalah pakaian yang paling baik.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad)

Sungguhpun sukakan pakaian berwarna putih, Baginda SAW juga memakai, serta tidak melarang pakaian berwarna lain. Dan jika berpakaian juga, Baginda SAW sentiasa kemas, bersih dan wangi.

(Sumber: Majalah Iman  Bil: 11)


DOSA MENGGELAPKAN HATI

Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat".

Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)".

Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/12/dosa-menggelapkan-hati.html


MURAH HATI YANG MAHAL

Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya..

Kelebihan orang yang murah hati :

1. Pemiliknya akan mendapat kasih sayang dan redha Allah SWT.

2. Bukti kesempurnaan akal, lapang dada dan besar jiwanya.

3. Akan mendapat pertolongan malaikat.

4. Semua manusia akan terdetik hatinya untuk membantu dan bergabung dengan pemilik sifat ini.

5. Seseorang yang berusaha menanamkan sifat ini dengan cara membiasakan dan memupuknya akan mendapat pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

6. Ia adalah salah satu sifat Allah SWT dan para wali-Nya.

7. Ia dapat menyatukan hati dan menebarkan kasih sayang antara manusia.

8. Melenyapkan kebencian, kedengkian dan dapat meluluhkan hati.

SUBHANALLAH !

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/05/murah-hati-yang-mahal.html


JANGAN MENCACI SESAMA KITA

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mende...ngarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadith Riwayat Ahmad)

Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/05/jangan-mencaci-sesama-kita.html

No comments: