Thursday, April 21, 2011

KELEBIHAN BERSEDEKAH, KELEBIHAN SURAH YAASIN

Tazkirah Jumaat
22 April 2011 (18 Jamadil Awal 1432H)


KELEBIHAN BERSEDEKAH

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh” (Al-Munafiquun : 10)

HURAIAN

Sedekah berasal dari kata shadaqa yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material. Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah. Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.

PERBANDINGAN SEDEKAH MENURUT AL-QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". (Al-Baqarah : 261)

DIPANJANGKAN UMUR & MENCEGAH AJAL YANG BURUK

Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" (H.R. Tabrani)

MENOLAK BALA BENCANA

Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" (H.R Al-Baihaqi)

SELAGI PELUANG MASIH ADA…

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu (H.R Al-Bukhari).

http://www.hazwan.com/2010/01/tazkirah-jumaat-3.html


KELEBIHAN SURAH YAASIN

1. Ayat 1 - 9 : Untuk keselamatan diri

2. Ayat 9 : Orang jahat tak nampak kita especially orang kafir.

3. Ayat 12 : Merupakan Jantung Yaasiin - Rasulullah s.a.w. berharap ayat ini di hafal oleh setiap mukmin dan mukminat.

4. Ayat 13 - 35 : Mengisahkan orang-orang yang mati syahid.

5. Ayat 22 - 23 : Untuk menjaga aqidah Memberi hidayah kepada anak.

6. Ayat 29 - Sebagai amalan untuk mengelakkan diri dari di fitnah dan kejahatan mulut & juga utk digunakan jika kita rasa orang nak fitnah or aniaya kita. Lebih elok selepas baca di semburkan ke muka orang tsbt.

7. Ayat 30 : Untuk keinsafan - Supaya dapat dipertemukan dengan Allah s.w.t. (harus sentiasa berada dihati - beramal dengannya).

8. Ayat 32 : Untuk menginsafkan orang lain supaya menjadi baik.

Caranya: Ingat yang segalanya datang dari Allah s.w.t. Kita umat Muhammad & kita orang Islam

9. Ayat 33 - 35 : Elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam. Tanaman akan subur

10. Ayat 36 : Menerangkan yang kehidupan ataupun kejadian di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan. Ayat ini elok diamalkan bagi sesiapa yang belum berkahwin supaya di pertemukan jodoh.

Caranya: Baca dan berdoa. Hembus dan sapu pada muka setiap pagi sebelum keluar rumah.

11. Ayat 37 : Adalah untuk menetapkan aqidah diri sendiri. Hati yang kering akan hidup semula.

12. Ayat 38 : Mengisahkan yang bulan dan matahari pun sujud pada Allah s.w.t. yang satu.

13. Ayat 39 : Mengisahkan ilmu falak.

14. Ayat 40 : Merupakan kenyataan Allah s.w.t. yang satu.

15. Ayat 41 : Mengisahkan Nabi Noh a.s. naik kapal - Elok di baca sewaktu menaiki kenderaan.

16. Ayat 44 : Mengisahkan keseronokan hidup di dunia - Di baca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.

17. Ayat 45 - 48 : Merupakan kedegilan orang kafir kepada Allah s.w.t.

18. Ayat 49 : Menceritakan hari akhirat dan kehidupannya.

a. Tiupan 1 - Datang dengan tiba-tiba

b. Tiupan 2 - Hancur

c. Tiupan 3 - Semua orang di hidupkan semula dan hadir dipadang Mahsyar.

19. Ayat 50 : Setiap orang akan dihisap mengikut amalannya.

20. Ayat 58 : Merupakan salam daripada Allah. Jika rasa sakit kepala, baca dan sapukan ke kepala. Ulang sebanyak 3x.

21. Ayat 76 : Dibaca untuk mententeramkan diri dari fitnah orang. Dijadikan amalan & jika hati rasa sedih, sebak atau pun kecewa.Sambil pegang dan urut dada, bacalah ayat tersebut.

22. Ayat 78 - 79 : Dikhaskan untuk sakit urat, tulang dan badan. Untuk doa ayat 78. “dia berkata, Siapakah (yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal telah hancur?. Juga bacalah jika sakit tulang, urat atau tulang patah berikan ayat ini.

23. Ayat 79 : Katakanlah, Yang akan menghidupkannya ialah yang menciptakannya pertama kali. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.”

24. Ayat 82 : Untuk Hajat - Jika berhajat sesuatu bacalah 100x. Dibaca pada air dan minum selama 40 hari boleh menjadi penawar. Jika air habis ulang bacaan tsbt sehingga 40 hari.

http://blogs.iium.edu.my/norasita/2008/06/27/surah-yassin-tazkirah-jumaat/


Friday, April 15, 2011

AMALAN MEMURAHKAN REZEKI, KEISTIMEWAAN PEMBACA DAN PENGHAFAZ AL-QURAN

Tazkirah Jumaat
15 April 2011 (11 Jamadil Awal 1432H)


AMALAN MEMURAHKAN REZEKI

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (Tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat

menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya,hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

http://mr-tazkirah.blogspot.com/


KEISTIMEWAAN PEMBACA DAN PENGHAFAZ AL-QURAN

Syafaat 10 anggota keluarga ke syurga.

Dari Ali bin Abu Talib,katanya Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya :"Barang siapa membaca al-quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga."(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi).

Berada dalam rahmat Allah.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya : "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di langit)."(Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).

Diberi ganjaran pahala mengikut setiap huruf yang dibacanya dengan balasan pahala yang berlipat kali ganda.

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. ;katanya Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya:"Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah(al-Quran),maka dia akan memperolehi pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali.Aku tidak mengatakan bahawa Alif, Lam, Mim itu satu huruf,tetapi Alif itu adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."(Riwayat At-Tirmizi dan Ad-Darimi)

Dianggap sebagai keluarga kesayangan Allah.

Disabdakan oleh Rasulullah s.a.w , dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga yang terdiri daripada makhluk manusia."Lalu Rasulullah ditanya:"Siapakah mereka itu ahai Rasulullah s.a.w.?"Jawab baginda:"Mereka adalah keluarga Allah dan orang istimewa bagi-Nya."(Riwayat Ahmad,Ibnu Majah,Ad-Darimi,Al-Hakim dan An-Nasaie).

Al-Quran sendiri akan memberi syafaat kepada pembaca dan penggemarnya di hari kiamat.

Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. katanya: Aku mandengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bacalah Al-Quran,sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat bagaikan pemberi syafaat kepada tuannya."(Hadis riwayat muslim)

Dipakaikan mahkota pada hari kiamat.

Daripada Mu'az bin Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya,Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak.Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada di dunia.Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang ang membacanya sendiri?" (Hadis riwayat Abu Daud)

http://mr-tazkirah.blogspot.com/

Thursday, April 7, 2011

TAFSIR AYAT: ZIKRULLAH TERAPI TERBAIK UMMAH HADAPI CABARAN HIDUP, UMMAH DIGALAK BERDOA HADAPI UJIAN KESUSAHAN, KESENANGAN

Tazkirah Jumaat
8 April 2011 (4 Jamadil Awal 1432H)


TAFSIR AYAT: ZIKRULLAH TERAPI TERBAIK UMMAH HADAPI CABARAN HIDUP

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Orang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Hakikatnya ketenteraman hati sentiasa menjadi dambaan setiap insan. Tatkala persoalan hidup bertambah kompleks dan beban masalah seharian yang meningkat dari sehari ke sehari, ketenteraman hati menjadi semakin jauh dan sulit pula untuk digapai dan diperoleh setiap insan yang mengharapkannya.

Kebanyakan manusia hari ini berorientasikan kebendaan dan kepentingan peribadi masing-masing.

Bagaimana kompleksnya persoalan hidup yang melanda diri dan walau semakin berat masalah yang terpaksa ditanggung, apabila dihadapi dengan roh keimanan yang kental berserta amalan sentiasa mengingati Allah iaitu zikrullah, perwatakan, pergaulan dan ibadat, nescaya ketenteraman hati akan mewarnai keceriaan hidup sepanjang masa.

Jelas daripada pengertian ayat di atas terapi bagi orang beriman agar hati mereka menjadi tenang tenteram dan tidak pula gundah-gulana dalam melayari bahtera mengharungi gelombang hidup yang membadai dengan memperbanyakkan zikrullah. Dengan kata lain, zikrullah hendaklah sentiasa mengingati Allah ketika suka mahupun duka, di sudut hati atau benak fikiran, melalui lisan dan amal perbuatan.

Mengenai fadilat dan keistimewaan zikrullah, Allah memerintahkan setiap Muslim sentiasa berzikir kepada-Nya seperti firman-Nya dalam surah Al Ahzab, ayat 41-42 bermaksud: “Wahai orang beriman (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya. Bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.”

Rasulullah tidak ketinggalan menggalakkan setiap Muslim merebut kesempatan hidup di dunia dengan memperbanyakkan zikrullah sebagai tiket memasuki taman syurga yang penuh kenikmatan.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Apabila kamu melewati taman syurga, hendaklah kamu ikut sama menikmatinya.” Sahabat bertanya: “Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah?” Ujar Baginda: “Ialah perhimpunan zikir.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan nas suci itu, dapat disimpulkan amalan zikrullah amat digalakkan dalam Islam. Selain itu, zikrullah dianggap antara amalan menyerlahkan kesempurnaan identiti seseorang Muslim yang bertakwa dan juga sebahagian ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan zikrullah dan doa yang tidak putus kepada Allah. Pendek kata, zikrullah petanda kepada bertakhta iman di hati dan juga bebasnya Muslim daripada belenggu sifat nifaq dan fasik yang tercela.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TafsirAyat_Zikrullahterapiterbaikummahhadapicabaranhidup/Article


UMMAH DIGALAK BERDOA HADAPI UJIAN KESUSAHAN, KESENANGAN

MANUSIA dalam apa juga keadaan pasti akan berdoa dan bersyukur. Tidak kira berita gembira mahupun duka, seharusnya kita berserah kepada-Nya. Masyarakat dunia kebelakangan ini sering diuji. Ujian yang hadir akibat tindakan manusia dan juga takdir daripada-Nya. Bencana dan tragedi yang menimpa adalah ujian agar kita selalu ingat kepada-Nya.

Di Malaysia, banjir yang melanda di beberapa negeri di Utara Semenanjung adalah salah satu daripadanya. Walaupun keadaan masih di bawah kawalan tetapi musibah ini adalah ujian yang amat besar kepada mangsa yang terbabit.

Jika kita imbau mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di Jepun baru-baru ini, kita amat terharu dengan berita yang dilaporkan. Antaranya ialah dianggarkan berbilion ringgit jumlah kerugian, ribuan nyawa yang menjadi korban, ratusan bangunan mengalami kemusnahan, puluhan negara yang menawarkan bantuan dan satu doa diungkapkan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Alam yang diciptakan untuk manusia menghuninya adalah suatu anugerah dari Pencipta. Dan harus diakui juga akan segala kebinasaan dan kejadian alam juga adalah ketentuan dan ujian-Nya ke atas nikmat yang diberikan selama ini kepada manusia.

Dua emosi dalam dua keadaan berlainan, tetapi memungkinkan seseorang insan itu mengambil langkah yang sama iaitu berdoa. Doa tanda kesyukuran dan doa agar dipermudahkan. Inilah suatu persamaan yang kekal dalam kedua-dua keadaan iaitu menyandarkan diri kepada-Nya kerana Dialah yang mencipta kedua-dua keadaan itu.

Perkara yang mudah tetapi tidak semua secara sedar mengakui betapa hebatnya apa yang diucapkan hanya atas nama doa. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksud: “Berdoalah, nescaya aku perkenankan untukmu”.

Manusia sering kali berdoa hanya pada ketika mereka berasa lemah dan tidak mampu untuk menempuh cabaran, kesusahan atau dugaan yang menimpa dirinya. Secara fitrahnya apabila manusia berada dalam kesenangan, doa itu adalah perkara yang terakhir terlintas difikiran.

Sedangkan ketika berada dalam kesenangan manusia sepatutnya lebih bersyukur dan berdoa agar kesenangan, kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT itu berpanjangan. Walaupun umum mengetahui bahawa doa itu adalah senjata bagi orang mukmin tetapi ia tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Kesusahan sering kali dianggap sebagai rintangan oleh-Nya dan kesenangan pula dianggap sebagai kejayaan individu. Walhal semuanya itu adalah dugaan dan ujian daripada-Nya sama ada kita ini sentiasa ingat dan taat pada perintah-Nya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ummahdigalakberdoahadapiujiankesusahan_kesenangan/Article