Thursday, November 19, 2009

Balasan Kebaikan, Balasan Kejahatan, Makruh Dalam Sembahyang, Hadis : Menghina Orang Lain

Tazkirah Jumaat
20 Nov 2009 (2 Zulhijjah 1430)



BUAT BAIK DI SINI UNTUK SELAMAT DI SANA

An-Naml [89] Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu.

Dalam ayat yang lain:

Al-An’ am [160]Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya….

Kita sebagai hamba Allah dihantar ke dunia dan diberi pelbagai kemudahan asas iaitu pancaindera untuk diuji. Tempoh ujian berbeza diantara seorang hamba dengan hamba yang lain. Tempoh jangka hayat nyawa kita berbeza, tidak seperti tong gas yang sama jumlah kandungannnya.

Dalam ayat di atas disebut sesiapa yang datang di Hari Kiamat dengan membawa kebaikan, dia akan aman dan selamat dari huru-hara disana.

Huru hara Hari Kiamat

Al-Hajj [2] Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Di hari itu juga kalau ada kanak-kanak yang lahir, mereka akan terus menjadi tua.

Al-Muzammil [17] (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/16/buat-baik-di-sini-untuk-selamat-di-sana


BALASAN KEJAHATAN

An-Naml [90] Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api Neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.

Dalam ayat yang lain:

An-An’am [160]….dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Al-Qamar [48] Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api neraka.

Syurga itu adalah tempat untuk orang-orang yang telah dibersihkan. Selain itu Allah juga telah memberi hidayah (petunjuk) untuk kita kembali ke syurga, sepertimana Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga.

Baqarah [38] Kami berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Ada juga orang Islam yang dimasukkan ke dalam neraka untuk membersihkan dosa-dosanya sebelum dikeluarkan untuk masuk ke dalam syurga. Ia umpama padi yang ditumbuk dengan lesung untuk mendapatkan beras. Setelah dikeluarkan beras barulah ianya dimasak. Begitu juga mereka ini, di dahi mereka tertulis “bekas ahli neraka”. Namun di syurga Allah memenuhi apa saja permintaan ahlinya, lalu mereka meminta agar dipadamkan tanda itu.

Semoga Allah melindungi kita dari api neraka dan kemurkaannya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/16/balasan-kejahatan/


BEBERAPA PERKARA MAKRUH DALAM SEMBAHYANG

Hadis Abu Hurairah r.a:

Sesungguhnya baginda s.a.w melarang seseorang yang sembahyang sambil meletakkan tangan di pinggang.

Meletakkan tangan di pinggang atau bercekak pinggang adalah berasal dari syaitan. Setelah berjaya menipu Nabi Adam dan mengeluarkannya dari syurga, syaitan bertepuk tangan, bercekak pinggang dan bersiul-siul sambil berjalan-jalan. Bercekak pinggang semasa solah tidak menggambarkan tawadhu’ (rendah diri) kepada Allah. Terdapat 4 cara meletakkan tangan semasa solah iaitu di dada (Imam Syafie), di bawah dada dan di atas pusat (ulama mazhab Syafie), di bawah pusat (mazhab Hanafi) dan membiarkan tangan lurus ke bawah iaitu tidak meletakkan tangan di mana-mana (mazhab Maliki)

Tidak sempurna solah (yang dikerjakan setelah) makanan dihidangkan dan solah seseorang yang menahan buang air kecil dan besar.” (HR. Muslim).

Abu Hurariah berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hendaklah kamu berhenti dari mengangkat pemandangan mata ke langit ketika berdoa dalam sembahyang. Jikalau tidak, nescaya penglihatan kamu akan disambar (dihapuskan)“. (Riwayat Muslim)

Dipermulaan Islam, Rasulullah sembahyang memandang ke langit kerana memerhatikan malaikat Jibril.

Dalam sembahyang, mata mestilah melihat tempat sujud semasa qiam (berdiri). Semasa rukuk pula, tengoklah ibu kaki (kata ulama). Semasa sujud, rendah atau sempitkankan mata dengan melihat batang hidung. Semasa duduk di antara dua sujud dan tahiyyat pula, Rasulullah s.a.w melihat paha dan juga jari semasa Tahiyyat.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/18/beberapa-perkara-makruh-dalam-sembahyang


HADIS : MENGHINA ORANG LAIN

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi

Huraian :

i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.

ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/06/hadis-menghina-orang-lain.html

No comments: