Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, "Rasulullah saw
berwasiat kepadaku dengan sabda Baginda":
"Ya Ali! Tidak ada kefakiran yang lebih hebat daripada
kebodohan. Tidak ada harta yang lebih berharga daripada aqal. Tidak ada
kesepian yang lebih sunyi daripada ujub (rasa kagum pada diri sendiri). Tidak
ada kekuatan yang lebih hebat daripada musyawarah. Tidak ada wara' yang lebih
baik daripada menahan diri. Tidak ada keindahan selain akhlak dan tidak ada
ibadah yang melebihi tafakur."
"Ya Ali! Segala sesuatu itu ada penyakitnya. Penyakit
berkata-kata adalah bohong. Penyakit ilmu adalah lupa. Penyakit ibadah adalah
riak. Penyakit akhlak adalah memuji diri sendiri. Penyakit pemurah adalah
menyebut-nyebut pemberian. Penyakit bangsawan adalah merasa bangga. Penyakit
malu adalah lemah. Penyakit mulia adalah menonjolkan diri. Penyakit kaya adalah
kikir dan berlebih-lebihan, dan penyakit agama adalah hawa nafsu."
"Ya Ali! Perbanyakkanlah membaca Surah Yassin, kerana
dalam membacanya itu terdapat sepuluh macam keberkatan. Tidak ada orang yang
membacanya waktu lapar atau puasa melainkan kenyang. Haus kecuali hilang
hausnya. Tidak memiliki pakaian melainkan ia akan memperolehi pakaian. Merasa
takut kecuali datang rasa aman. Di penjarakan melainkan ia akan keluar dari
penjara. Bujang melainkan ia akan berkahwin. Sewaktu musafir matanya menjadi
terang dalam perjalanan. Tidak membacanya orang yang kehilangan sesuatu benda
melainkan mendapatkannya kembali. Tidak dibacakan ia ke atas orang yang akan
hampir ajalnya melainkan diringankan baginya. Barangsiapa yang membacanya di
waktu subuh nescaya ia akan aman sehingga petang, dan barangsiapa yang
membacanya di waktu petang nescaya ia akan berada di dalam keadaan aman
sehinggalah waktu pagi."
"Ya Ali! Bacalah Surah Hammim Ad-Dukhaan pada malam
Jumaat, nescaya Tuhan memberikan keampunan kepadamu."
"Ya Ali! Bacalah Surah Hasyar nescaya engkau berkumpul
pada hari kiamat dalam keadaan aman dari segala sesuatu."
"Ya Ali! Bacalah Surah Tabaraka dan As-Sajadah nescaya
berkat keduanya engkau diselamatkan Tuhan daripada bahaya hari kiamat."
"Ya Ali! Bacalah Qulhuwallahu Ahad dalam keadaan engkau
berwudhuk, nescaya engkau akan di seru pada hari kiamat; Hai pemuji Tuhan!
Bangkitlah, maka kemudian masuklah ke dalam syurga!"
"Ya Ali! Bacalah Surah Al-Baqarah, kerana sesungguhnya
dalam membacanya itu ada membawa keberkatan, dan tidak mahu membacanya membawa
penyesalan.
"Ya Ali! Janganlah engkau bersetubuh dengan isterimu
pada malam bulan sabit baru muncul, dan jangan pula pada pertengahan bulan,
kerana di khuatirkan anakmu akan cacat."
Aku (Ali) bertanya: Kenapa demikian ya Rasulullah? Jawap Baginda:
"Kerana Jin banyak mendatangi wanita-wanita pada malam tengah bulan dan
pada malam Hilal (bulan sabit). Apakah engkau tidak perhatikan bahawa
orang-orang gila itu boleh muncul penyakitnya kembali pada malam tengah bulan
dan malam Hilal itu?
"Ya Ali! Jauhilah sengketa, kerana ia akan menghapuskan
amalan-amalan engkau."
"Ya Ali! Segeralah bersedekah, kerana bala bencana itu
tidak dapat melangkah mendahului sedekah."
"Ya Ali! Jauhilah kemarahan, kerana syaitan menguasai
anak cucu Adam dalam keadaan ia marah."
"Ya Ali! Jauhilah olok-olok, kerana hal itu akan
menghilangkan kehebatan anak cucu Adam dan kesungguhannya."
" Ya Ali! Jauhilah riba, kerana padanya terdapat enam
perkara, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga di dunia;
1. Ia akan cepat memusnahkan harta.
2. Ia akan melenyapkan kekayaan
3. Ia akan menghapuskan rezeki.
Adapun yang tiga di akhirat ;
1. Ia akan membawa buruk perhitungan (hisab).
2. Ia akan membawa kemurkaan Allah swt.
3. Kekal di dalam neraka."
"Ya Ali! Cintailah fakir miskin, nescaya Allah akan
cinta pula kepadamu."
"Ya Ali! Janganlah engkau bentak fakir miskin, nescaya
engkau akan di bentak pula oleh Malaikat pada hari kiamat."
"Ya Ali! Janganlah engkau abaikan sedekah, kerana ia
akan menolak kejahatan dari dirimu."
"Ya Ali! Keluarkan infak hartamu dan berikan kelapangan
kepada keluargamu, dan janganlah khuatir terhadap Tuhan yang memiliki Arasy
bahawa Ia akan menyediakan kurnia-Nya terhadapmu."
"Ya Ali! Janganlah berdusta, kerana dusta itu
menghitamkan muka. Bila seseorang sentiasa berdusta, dia akan dinamakan disisi
Tuhan "si pendusta", dan bila dia benar maka akan dinamakan disisi
Tuhan sebagai orang yang "benar" (siddiq). Sesungguhnya berdusta itu
akan menjauhkan Iman.
"Ya Ali! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah bicara yang
baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat
melebihi ketajaman lisannya."
"Ya Ali! Jauhilah sifat dengki, kerana dengki itu
memakan segala kebajikan sebagaimana api memakan kayu bakar".
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasa'i)
Credit to:nur islami.blogspot
No comments:
Post a Comment