Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH URANAH, GUNUNG
'ARAFAH
"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku
katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu
semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari
ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan
kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya
yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak
menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu
dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah
dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka
berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para
isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian
dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah
lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu
kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak
boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang
melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini.
Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan
Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji
sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim
yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari
yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari
untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu,
awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan
datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada
kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak
akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini
menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu
menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami
kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah,
bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "
Credit to: islam2u.net
No comments:
Post a Comment