Wednesday, October 15, 2014

Tazkirah Jumaat 17 Oktober 2014 / 22 Zulhijjah 1435 : JAUHI KEZALIMAN DAN KEBAKHILAN, CARA MENSYUKURI NIKMAT ALLAH, SEDEKAH SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SEMBUNYI

Tazkirah Jumaat
17 Oktober 2014 / 22 Zulhijjah 1435


JAUHI KEZALIMAN DAN KEBAKHILAN

Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka.

Huraian Hadith: Kezaliman adalah antara dosa besar yang akan menyebabkan pelakunya dikenakan azab seksa yang berat di akhirat nanti.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: “Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”

Jauhilah sifat bakhil kerana bakhil itu membawa permusuhan dan pertelingkahan yang boleh mendatangkan kerugian. Rasulullah SAW memberi ingat kepada umatnya supaya mengeluarkan sedeqah dan membelanjakan ke jalan yang halal. Tamak kepada dunia dan kedekut dengan apa yang dimiliki sentiasa mendorong manusia melakukan maksiat dan dosa dan menjuruskan mereka kepada perbuatan keji dan kemungkaran.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/21/


CARA MENSYUKURI NIKMAT ALLAH

Rasulullah s.a.w. bersabda “Menyebut-nyebut nikmat Allah adalah bersyukur, meninggalkannya bererti ingkar. Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat yang sedikit bererti dia tidak mensyukuri nikmat yang banyak; dan sesiapa yang tidak bersyukur terhadap orang lain bererti dia tidak bersyukur kepada Allah (Riwayat Baihaqi).

Menyebut-nyebut Nikmat Allah

Ad-Dhuha [11] : Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukurkepadaNya.

Sebutlah ”Ini semua pemberian Allah” atau “Alhamdulillah, Allah telah beri saya….”

Berterima Kasih

Berterima kasihlah pada orang yang menolong kita kerana sesiapa yang tidak terima kasih kepada orang yang menolongnya samalah seperti dia tidak bersyukur kepada Allah kerana Allah jualah yang buka hati orang itu untuk menolong kita.

Bersyukurlah Walaupun Sedikit

Rasulullah s.a.w. bersabda:“Sesiapa yang redha dengan rezekinya yang sedikit, Allah akan redha dengan amalannya yang sedikit”. (Riwayat Baihaqi dari pada Sayyidina Ali).

Amalan yang sedikit di sini bermakna yang amalan yang wajib dilakukan dan tidak ditinggalkan, cuma sedikit atau tidak dilakukan amalan sunat. Kemewahan dan kekayaan yang diberikan sepatutnya disyukuri dengan menambahkan lagi amalan dan aktiviti selain amalan fardhu seperti mengembangkan Islam.

Menzahirkan Nikmat Kurniaan Allah

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah s.w.t. suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibn Majah). A’raf [31] : Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)

Sekiranya diberi rezeki yang lebih, belanjalah untuk membeli pakaian dan makanan yang baik sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa Allah telah memberi nikmat kepada kita. Ia sebagai memperakui kurniaan Allah dan bukannya untuk menunjukkan kesombongan. Janganlah terlalu bakhil untuk berbelanja setelah diberikan rezeki yang banyak.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/21/


SEDEKAH SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SEMBUNYI

Dari Jabir r.a. katanya: “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan hubungkan apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sedekah Menghapuskan Kesalahan

Kesalahan ialah sesuatu yang dilakukan tetapi tidaklah sampat tahap dosa (perkara yang diharamkan). Kesalahan boleh dihapuskan dengan ibadah seperti sedekah, wuduk dan solat. Manakala dosa pula hanya terhapus dengan taubat, istigfar iaitu meminta keampunan dan menyesalinya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2014/08/16/

No comments: