Friday, October 24, 2008

TJ 24 Okt 2008 : Solat Hajat, Bersabar dgn mushibah, Amalan dan Kadar, Tanda Sabar dan Berakal, Wakaf Al Quran

SEMBAHYANG HAJAT

Dari Abi Ad-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berwudhu’ lalu diperelokkan wudhu’nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad)

Dari ‘Uthman bin Hunaif RA, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu’ dengan elok lalu bersolat dua raka’at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi’hu fiya

Hadis ini juga menjadi dalil harus bertawassul. Minta dengan Allah, bukan dengan wali, cuma wasilah melalui doa orang yang soleh. Amalan yang baik juga menjadi wasilah.

Kaedah Doa Nabi Yunus

Dalam hadis yang lain Nabi bersabda, siapa yang ada hajat, solatlah dan baca doa Nabi Yunus (selama 40 hari): “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Anbiya ayat 87)

Dalam hadis yang lain, bila ada hajat, solatlah 2 rakaat dan sujud (luar solat) serta bacalah doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali. Doa Nabi Yunus ini adalah ayat quran, maka hendaklah sujud diluar solat kerana ada larangan membaca ayat quran di dalam sujud semasa dalam sembahyang.

Dari Ali bin Abi Thalib katanya “Aku dilarang Rasulullah s.a.w. membaca Quran dalam rukuk dan sujud (Riwayat Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/04/13/sembahyang-hajat/


BERSABAR DENGAN MUSHIBAH

Abu Warrad dari Muhammad bin Muslim berkata : Seorang datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata: Ya Rasulullah habis hartaku dan sakit badanku. Maka dijawap oleh Nabi s.aw.: ”Tidak baik seorang hamba yang tidak habis hartanya dan tidak sakit badannya, sesungguhnya Allah jika cinta kepada hamba maka diujinya dengan balak dan bila telah ditimpa balak maka Allah memberinya kesabaran.”

Abud-Dardaa’ r.a. berkata : Saya suka kepada kemiskinan kerana itu sebagai tawadhu’ merendah diri kepada Tuhanku, dan aku suka penyakit sebab itu sebagai penebus dosa, dan saya suka kepada mati, kerana rindu kepada Tuhanku.

Aisyah r.a. berkata Nabi s.a.w. bersabda: ”Tiada menimpa kepada seorang mukmin suatu mushibah, dari duri atau yang lebih dari itu melainkan Allah menggugurkan dengan itu satu dosa.”

Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tiada seorang muslim yang ditimpa mushibah, meskipun telah lama kejadiannya, lalu teringat dan membaharui ucapan: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun, melainkan Allah akan memberi pahala baru seperti yang dahulu ia terima ketika mendapat mushibah itu.”
-Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa)

http://alivewire.wordpress.com/2008/07/11/bersabar-dengan-mushibah/


AMALAN DAN KADAR

Di hikayatkan bahawa ada seorang ulama’ yang telah menghafal empat ribu hadis Nabi s.a.w. kemudian beliau menjumpai sebuah hadis yang mempunyai empat kalimah ini, lalu ditinggalkan empat ribu hadis tersebut dan beliau mengamalkan hadis yang satu ini:

Sabda Rasulullah s.a.w.: ”Bekerjalah untuk dunia sekadar mana engkau tinggal di dalamnya, bekerjalah untuk akhirat sekadar mana engkau kekal padanya, bekerjalah untuk neraka sekadar mana kesabaran terhadapnya, dan beramallah untuk Allah sekadar mana engkau berhajat kepadaNya.”

Di ceritakan bahawa sesetengah raja zaman dahulu kala menyuruh khadamnya menulis hadis ini dengan menggunakan dakwat air emas dan beliau menilik padanya dengan mengambil iktibar, pada setiap hari…

http://alivewire.wordpress.com/2008/03/05/amalan-dan-kadar/


TANDA ORANG YANG SABAR DAN BERAKAL

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : Rasulullah telah bersabda, bagi orang yang sabar itu mempunyai tiga tanda iaitu, sabar dalam melaksanakan perintah Allah, sabar menghadapi musibah dan sabar menerima qada’ Allah.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: Rasulullah SAW telah bersabda, bagi orang yang berakal itu ada tiga tanda iaitu menggunakan harta dunia untuk faedah hari akhirat, menanggung kekasaran dan sabar di atas ujian kesusahan.

http://alivewire.wordpress.com/2007/12/10/tanda-orang-yang-sabar-dan-orang-yang-berakal/


WAKAF AL QURAN

Membelanjakan Harta Di jalan Allah dan Bisikan Syaitan : Ertinya: ”Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau di berikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau berderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” Oleh itu marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan.

AMANAH : Ustaz Mohamed Yacob sekarang ini berada di Kuala Lumpur berkirim salam dengan kita semua di Kundasang. [..]

TJ 3 Okt 2008 : Makhluk Allah Bertasbih, Doa org sakit, Wakaf Al Quran

SEMUA MAKHLUK ALLAH BERTASBIH

Semua makhluk Allah berzikir dan bertasbih (Subhanallah) mengingatinya. Firman Allah, “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun” Al-Israa 44.

Semut dan katak juga berzikir kepada Allah. Dari Ibn Abbas bahawa nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih.
Rasulullah s.a.w. bersabda : suara katak itu tasbih, memuji Allah (Riwayat An-Nasai). Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar “Janganlah kamu membunuh katak kerana bunyi menguaknya adalah tasbih”. Manakala hadis daripada Anas bin Malik pula “Kamu jangan membunuh katak kerana ia pernah melalui (melintasi) di atas api Ibrahim serta membawa air di dalam mulutnya dan menyemburkannya ke atas api”.

Dalam hadis disebut binatang yang tidak bertasbih memuji Allah akan menjadi buruan manusia, manakala pokok yang tidak bertasbih akan menjadi kering.

“akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka”. Hanya Nabi Sulaiman yang diberikan ilmu untuk memahami bahasa binatang.

An-Naml [16] Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.
Kiamat tidak akan berlaku selagi ada orang zikir, tasbih dan sebut nama Allah. Tidak berlaku kiamat sebelum Allah tamatkan perkhidmatan orang Islam. Allah buat dunia ini bulat supaya setiap masa (24 jam) ada sahaja orang beribadat dan mengingatinya. Sebab itulah waktu solat, puasa dan raya tidak sama di semua tempat. Dunia tidak boleh kosong dari hubungan dengan Allah. Kita (umat Islam) ini penawar kepada dunia. Selama mana kita patuh pada Allah, selama itulah dunia bertahan. Bila dekat kiamat, Allah matikan semua orang Islam, cabut Al-Quran dari hati orang Islam.

“Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2008/10/12/semua-makhluk-allah-bertasbih/


DOA-DOA UNTUK ORANG SAKIT

Allah Subhannahu wa Ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya senantiasa berdo’a. Firman Allah Subhannahu wa Ta’ala, yang ertinya: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Kuperkenankan.” (QS: Al-Mukmin: 60). “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku .” (QS: Asy- Syu’ara: 80).

Rasulullah s.a.w. biasanya meletakkan tangannya pada tubuh orang yang sakit seraya berdoa, yang artinya: “Ya Allah Tuhan segenap manusia, hilangkanlah sakit dan sembuhkan-lah, Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali dengan penyembuhanMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (Muttafaq ‘Alaih).

Beliau juga mengajarkan kepada sahabatnya yang sakit untuk berdo’a, seraya bersabda, yang ertinya: “Letakkan tanganmu pada bahagian tubuhmu yang sakit dan ucapkan: ‘Bismillah’ Tiga kali, kemudian ucapkan ‘A’udzu bi ‘izzatillahi wa qudratihi min syarri ma ajidu wa uhadzir’u (Aku berlindung kepada keagungan dan kekuasaan Allah dari keburukan yang aku dapati dan aku takutkan) sebanyak tujuh kali.” (HR: Muslim). Sahabat tersebut berkata: “Maka aku lakukan (nasihat beliau) dan Allah Subhannahu wa Ta’ala pun menghilangkan penyakit yang selama ini aku derita”.

(sumber Rujukan: Al-Hadiqatul Yani’ah minal ‘Ulumin Nafi’ah, Syaikh Ibrahim bin Jarullah Al-Jarullah)

http://arsipsiroh.wordpress.com/2007/02/02/yang-harus-diperhatikan-orang-sakit-doa-untuk-orang-sakit/


HADIS KELEBIHAN MENZIARAHI ORANG SAKIT

Dari Ali Radiallahu-Anhu ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan tiada dia melawatnya pada waktu petang, melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu pagi, dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga. (Riwawat Al-Imam At-Tarmizi).


SETULUS DAN SEIKHLAS DOA

Melalui kesempatan tazkirah minggu ini, saya mengharapkan setulus dan seikhlas doa tuan-tuan agar isteri Ustaz Mohamed Yacob yang sekarang ini berada di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur disembuhkan oleh Allah s.w.t. dengan seberapa segera.

Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa mendoakan saudara seiman yang sedang tidak bersamanya akan didatangi Malaikat. Rasulullah bersabda, “Doanya orang muslim untuk saudaranya yang sedang tidak bersamanya terkabulkan, karena di atas kepalanya ada malaikat. Setiap dia mendoakannya dengan kebaikan, Malaikat yang ditugaskan itu berkata : amin (Ya, Allah Kabulkanlah) dan bagimu seperti itu juga.” (HR. Muslim)

Semoga Allah merahmati dan memudahkan kehidupan tuan-tuan.


WAKAF AL QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". (Al-Baqarah : 261)

Oleh itu marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. []

Thursday, October 9, 2008

TJ : Mengingati Mati, Hadis : Kaya Harta dan Kaya Ilmu, Wakaf Al Quran

Tazkirah Jumaat 10 Oktober 2008 / 10 Syawal 1429

MENGINGATI MATI


Dalam satu hadis Rasulullah mengingatkan melalui sabdanya “Perbanyakkanlah mengingati akan sesuatu yang memisahkan ni’mat yaitu mati”. Kenapa Rasulullah menyuruh kita untuk memperbanyak ingat akan mati? Yang pertama, kerana mati adalah kepastian “Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati” (QS. 3 Ali Imran : 185). “Dimanapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh” (QS. 4 An nisa : 78).

Kedua kenapa Rasulullah memerintahkan kita untuk memperbanyak ingat akan mati, karena mati datangnya tanpa pemberitahuan, kalau ada orang mengatakan sakit adalah tanda akan mati maka itu belum tentu benar kerana terlalu banyak pengalaman umat manusia yang berbulan-bulan dirawat di hospital, doktor pun sudah angkat tangan, tak sanggup lagi untuk mengubati, kemudian dibawa pulang oleh keluarganya, sampai ke rumah diberi ubat-ubatan kampung lalu ia sihat dan segar kembali.

Tetapi tidak sedikit pengalaman juga umat manusia yang paginya orang itu masih berolahraga, masih berbual bersama kita, jam 12 tengahari kita diberitahu dia meninggal dunia.

Kematian merupakan rahsia Allah sepenuhnya, kenapa Allah merahsiakan kematian seseorang ialah agar orang itu sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi kematian. Dan orang yang dikatakan bersedia menghadapi kematian hanyalah mereka yang siap bekal untuk kembali kepada Allah dan bekal menghadapi kematian, disebutkan oleh Allah dalam Al-Qur’an : “Bawalah bekal, karena sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa” (QS. 2 Al Baqarah : 197) itulah sebabnya kenapa Rasulullah memerintahkan kita agar kita banyak ingat akan mati, karena mati adalah suatu kepastian, mati datangnya tanpa pemberitahuan.

Kemudian yang ketiga kenapa Rasulullah memerintahkan agar kita ingat akan mati, karena dibalik kematian ada kehidupan dan kehidupan itu sangat berbeza dengan kehidupan dunia sekarang ini. Di dalam Al-Qur’an dengan tegas Allah berfirman: “Dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu” (QS. 32 As-Sajdah : 5)

Satu hari kehidupan akhirat lamanya sama dengan 1000 tahun kehidupan di dunia. “Na’udzubillahi min dzaalik” kalau ada orang lantaran dosa kesalahannya kemudian kata Allah sebelum engkau masuk ke dalam syurga engkau harus masuk terlebih dahulu ke dalam neraka selama satu hari, maka satu harinya di neraka kalau dihitung dengan harinya dunia sama dengan 1000 tahun, bagaimana dengan orang yang masuk neraka selama satu tahun berarti dia akan berada di dalam neraka selama 365000 tahun dalam hitungan dunia.

Orang yang masuk nerakanya 50 tahun berarti dia akan berada di neraka selama 50 x 365 x 1000 tahun. Ini yang digambarkan Allah di dalam Al-Qur’an : “Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu masuk syurga, hingga unta masuk kelubang jarum” (QS.7 Al A’raf : 40). (unta masuk kelubang jarum bermakna mereka tidak akan masuk syurga sebagaimana tidak mungkinnya unta memasuki lubang jarum).

Itulah sebabnya mengapa Rasulullah memerintahkan agar kita memperbanyak ingat akan mati, karena mati adalah suatu kepastian, mati datangnya tanpa pemberitahuan, dibalik kematian ada kehidupan yang kehidupan itu sangat berbeza dengan kehidupan dunia sekarang ini.

Siapa saja yang selalu ingat bahawa dirinya akan mati, selalu ingat bahawa dibalik kematian dia harus pertanggung jawabkan semua yang dia lakukan sekecil apapun di muka bumi ini. Maka pastilah orang itu akan menjadi orang yang baik, atau soleh dan akan menjadi orang yang amanah, disiplin, menjadi orang yang manfaat untuk dirinya, keluarganya, dan masyarakat bangsa dan negara. Tapi sebaliknya manakala orang itu lupa dirinya akan mati, lupa bahawa dibalik kematian itu ada pertanyaan-pertanyaan yang harus dijawab oleh diri kita, na’udzubillah boleh jadi orang itu akan menjalani hidup semahunya tanpa aturan apalagi aturan yang sudah digariskan oleh agama.

http://www.masjidistiqlal.com/


MUTIARA HADIS : KAYA HARTA DAN KAYA ILMU

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah (ilmu) dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (al-Bukhari).

Huraian :

Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya.

Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: "Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya."

Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/06/kaya-harta-dan-kaya-ilmu.html


WAKAF AL QURAN


“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh” (Al-Munafiquun : 10).

Kelebihan seseorang apabila mewakafkan hartanya dapat difahami daripada ayat-ayat Al-Quran yang berikut. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Ingatlah Allah jualah yang menyempit dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan”. (Surah al-Baqarah: ayat 245).

Oleh itu marilah kita bersedekah mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

Friday, October 3, 2008

TJ 3 Okt 2008 : Menangis, 3 soalan Masyar, Mengingati Mati, Wakaf Al Quran

MENANGIS YANG DIBENAR OLEH SYARIAT

Kata ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini menangis adalah dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat.

Jika para Nabi dan rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.

Menangis dan menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total...jadi kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah (Shadujja) Bin Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah."(Riwayat Attirmizi).


3 SOALAN UTAMA DI MAHSYAR

1) tentang UMURmu bagaimana kita menghabiskannya?
  • Sepanjang mana umur kita maka sepanjang tempoh itulah kita akan ditanya samada kita telah memanfaatkan umur kita atau kita banyak membazirkannya dengan perkara-perkara kurang manfaatnya.
  • Berapa banyak amal kebajikan kita, ibadat kita atau maksiat kita lakukan.

2) tentang HARTAmu ke mana kita sumbangkannya?
  • Sebanyak mana harta yang kita kumpulkan maka sebanyak itulah nanti yang akan diperiksa dan dianalisis untuk mengetahui samada kita telah benar-benar memanfaatkan harta kita pada jalanNYA atau kita hanya bazirkannya pada perkara-perkara kurang berfaedah.
  • Banyak mana sumbangan harta kita kepada perjuangan Islam atau hanya pembaziran semata-mata.
3) tentang ILMUmu sejauh mana kita amalkan dan sebarkannya?
  • Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.
  • Jika kita hanya menyimpan ilmu tanpa ingin untuk luaskannya maka tunggulah balasan dariNYA kerana orang yang berilmu mempunyai pilihan samada nanti dia akan dimasukkan ke Neraka atau ke Syurga disebabkan oleh ilmunya.Perbanyakkanlah peringatan (tazkirah) kerana manusia adalah pelupa.


MENGINGATI MATI!!

Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."

Huraiannya : Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini. Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.

Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah...


WAKAF AL QURAN UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-sekali dikira mencapai kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Ali Imran : 92)

Oleh itu marilah kita mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776.

Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. [..]

Thursday, October 2, 2008

AJK Masjid Jamek Kundasang 2007-2009

Penasihat : UST. MANSUR ANANG

Imam Masjid : IMAM LUQMAN MUHIMAN

Pengerusi : EN. SUATIN MAYOR

Tim. Pengerusi : EN. MOHD. FAUZI WAIMIN

Bendahari : EN. MOHD SYUKRI SAIMAN

Setiausaha : EN. AL ZUBIR RUSININ

Pen. Setiausaha : UST. MUJILI @ SAIFULLAH MASIDIN

Juruaudit : UST. GITIN NAIMAN

Dakwah & Pendidikan : IMAM LUQMAN MUHIMAN

Kebersihan & Keselamatan : EN. MOHD. KIFLI BANSUN, EN. WASIMIN MADISIN

Penerbitan & Publisiti : EN. HAMIRIN SUDIN, EN. AL ZUBIR RUSININ

Hal Ehwal Perkuburan : EN. HAIDI KIKI, EN. RASHID YUSOF

Kebajikan & Perayaan : EN. JAIRY ABDULLAH, EN. ROSHMAN JAAFAR

Keceriaan & Rekreasi : EN. IMRAN JASIRIN, EN. DONALD DARASI

T. Aidilfitri : Puasa Enam, Ziarah Membawa Berkat, Adab Syawal, Wakaf Al Quran

GANJARAN PUASA ENAM SYAWAL

ADALAH menjadi lumrah bagi kebanyakan umat Islam untuk menggiatkan aktiviti ibadah pada sepanjang bulan Ramadan. Namun demikian apabila Syawal menjelma terdapat ramai umat Islam yang mula lalai serta alpa dalam mengerjakan ibadah.

Justeru, seluruh umat Islam sewajarnya mengekalkan peningkatan dalam tahap mengerjakan amal ibadah pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain. Di antara bukti bahawa Ramadan telah berjaya membentuk keperibadian yang tinggi terhadap seseorang dalam menjadi insan yang bertakwa adalah dengan mengerjakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali dengan puasa enam bagi masyarakat kita.

Dalil disyariatkan ibadah puasa sunat Syawal adalah sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh Abdullah al-Bassam: Barang siapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya.Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya. (Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam).

Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafie.

Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bidaah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w.

Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu yakni dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal.


ZIARAH MEMBAWA BERKAT

Sesungguhnya antara amalan yang digalakkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini ialah berpuasa sunat selama 6 hari (pada bulan syawal) serta amalan ziarah-menziarahi sesama ahli keluarga, saudara-mara dan kaum muslimin.

Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam dan mempunyai banyak hikmat dan kelebihan, apatah lagi dilakukan pada musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (lita’arafu) dan mengeratkan silaturahim.

Firman Allah s.w.t: "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka demikianlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". (Al-Hujurat ayat 10).

Perlu dijelaskan disini, terdapat dua adab yang perlu diperhatikan oleh umat islam apabila melakukan amalan ziarah menziarahi atau kunjung-mengunjungi iaitu adab sebagai tetamu dan adab sebagai tuan rumah.


PERADABAN MENYAMBUT SYAWAL

1. Allah haramkan berpuasa pada 1 Syawal
2. Jangan campurkan dengan perbuatan-perbuatan yang haram. Jangan menganggap Aidilfitri sama dengan perayaan-perayaan lain.
3. Orang yang menang itu adalah orang yang mengawal dan mengalahkan hawa nafsunya.
4. Kita disuruh menyebut nama Allah dengan bertakbir di mana-mana bagi mengagungkan Allah dan melahirkan rasa kesyukuran
5. Takbir, solat jemaah, berdoa dan berbuat kebaikan pada malam raya.6. Menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi raya.

Imam Syafie berkata doa itu mustajab pada 5 malam iaitu:
1. Malam Jumaat
2. Malam Hari Raya Aidilfitri
3. Malam Hari Raya Haji
4. Malam Awal Bulan Rejab
5. Malam Nisfu Syaaban

Antara amalan-amalan yang sunat dilakukan di pagi raya ialah:
1. Mandi sunat pagi raya
2. Mengenakan dan memakai pakaian yang terbaru
3. Memakai harum-haruman
4. Berhias diri
5. Makan dan minum sebelum ke masjid
6. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain
7. Ucap tahniah
8. Ziarah-menziarahi kubur, saudara-mara dan rakan-rakan.


WAKAF AL QURAN UNTUKUMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-sekali dikira mencapai kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali Imran : 92)
Oleh itu marilah kita mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776.

Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. [..]