Sunday, January 27, 2013

MAULIDUR RASUL 1434H, PAKAIAN TERBAIK, DOSA MENGGELAPKAN HATI, MURAH HATI YANG MAHAL, JANGAN MENCACI SESAMA KITA

Tazkirah Jumaat
25 Jan 2013 (13 Rabiul Awal 1434H)


MAULIDUR RASUL 1434H

12 Rabiulawal 1434 Hijriah bersamaan dengan 24 Januari 2013 Masehi, adalah hari kelahiran baginda Rasulullah SAW yang merupakan satu detik istimewa yang amat bermakna buat umat Islam di seluruh dunia.

Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam kepada baginda Rasullullah SAW sebagai tanda kasih dan sayang kita terhadap baginda. Sesungguhya Rasulullah SAW merupakan insan yang paling unggul dan hebat, maka kita juga perlu menjadi umat yang hebat. Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini, benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Insya-Allah.


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
PAKAIAN TERBAIK

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang hidup di antara kamu hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih, dan orang yang telah meninggal dunia hendaklah dikafankan dengan kain berwarna putih. Sesungguhnya pakaian yang berwarna putih itu adalah pakaian yang paling baik.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad)

Sungguhpun sukakan pakaian berwarna putih, Baginda SAW juga memakai, serta tidak melarang pakaian berwarna lain. Dan jika berpakaian juga, Baginda SAW sentiasa kemas, bersih dan wangi.

(Sumber: Majalah Iman  Bil: 11)


DOSA MENGGELAPKAN HATI

Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat".

Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)".

Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/12/dosa-menggelapkan-hati.html


MURAH HATI YANG MAHAL

Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya..

Kelebihan orang yang murah hati :

1. Pemiliknya akan mendapat kasih sayang dan redha Allah SWT.

2. Bukti kesempurnaan akal, lapang dada dan besar jiwanya.

3. Akan mendapat pertolongan malaikat.

4. Semua manusia akan terdetik hatinya untuk membantu dan bergabung dengan pemilik sifat ini.

5. Seseorang yang berusaha menanamkan sifat ini dengan cara membiasakan dan memupuknya akan mendapat pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

6. Ia adalah salah satu sifat Allah SWT dan para wali-Nya.

7. Ia dapat menyatukan hati dan menebarkan kasih sayang antara manusia.

8. Melenyapkan kebencian, kedengkian dan dapat meluluhkan hati.

SUBHANALLAH !

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/05/murah-hati-yang-mahal.html


JANGAN MENCACI SESAMA KITA

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mende...ngarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadith Riwayat Ahmad)

Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/05/jangan-mencaci-sesama-kita.html

Wednesday, January 23, 2013

KUALITI IMAN, BINA KELUARGA MEMBACA DAN MENYINTAI AL QUR'AN

Tazkirah Jumaat
18 Jan 2013 (6 Rabiul Awal 1434H)


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

KUALITI IMAN

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, salah seorang dari kalian tidak akan dianggap beriman hingga diri ku lebih dia cintai daripada orang tua, anaknya dan seluruh manusia. (Hadis riwayat al Bukhari)

Kualiti iman kita bergantung kepada sejauh mana cinta kita kepada Rasulullah SAW. Kita mestilah meletakkan cinta kepada Rasulullah melebihi cinta kepada orang lain, termasuk ibu bapa, isteri atau suami, anak, harta benda, malah diri sendiri. (Sumber: Majalah Inilah Islam Isu: 2)


BINA KELUARGA MEMBACA DAN MENYINTAI AL QUR'AN

ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk mempelajari serta membacanya.

Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’. Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga dapat menatapnya setiap masa.

Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.

Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.

Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah dalam kalangan malaikat.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah.

Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW:

“Yang paling utama dari ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Membina keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.

Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” (Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)

Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.

Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah.

Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya:

“Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda. — with Rabiatul Adawiyah Abd. Malek.

http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150601641542955&set=a.82029397954.80127.754992954&type=1&permPage=1

Friday, January 11, 2013

KEBAIKAN SUAMI TERHADAP ISTERINYA, DAHSYATNYA SEDEKAH, PENYESALAN JUGA SATU CARA BERTAUBAT

Tazkirah Jumaat
11 Jan 2013 (28 Safar 1434H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

KEBAIKAN SUAMI TERHADAP ISTERINYA

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ingatlah, orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi  pekertinya. Orang yang baling baik budi pekertinya adalah yang paling baik perlakuannya terhadap isterinya.”

(Hadis riwayat at Tirmizi)

Antara kebaikan suami terhadap isteri:

1. Menjadi pelindung dan pemimpin.

2. Berlaku baik dan mendidik.

3. Memanggil nama yang paling disukai.

4. Memberi Mahar.

5. Memberi nafkah.

6. Menjaga aibnya.

7. Membantu isteri mentaati Allah.

8. Menjaga fizikal dan emosi isteri.

9. Bersikap adil dan saksama.

(Sumber: Majalah Anis bil. 185)


DAHSYATNYA SEDEKAH

Dimanakah letak kedahsyatan hamba-hamba Allah yang bersedekah? Dikisahkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Turmudzi dan Ahmad, sebagai berikut :

Tatkala Allah SWT menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar. Lalu Allah pun menciptkana gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumi pun terdiam. Para malaikat terheran-heran akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya? “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari pada gunung?”

Allah menjawab, “Ada, yaitu besi” (Kita mafhum bahwa gunung batu pun bisa menjadi rata ketika dibor dan diluluhlantakkan oleh buldozer atau sejenisnya yang terbuat dari besi).

Para malaikat pun kembali bertanya, “Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari pada besi?” Allah yang Mahasuci menjawab, “Ada, yaitu api” (Besi, bahkan baja bisa menjadi cair, lumer, dan mendidih setelah dibakar bara api).

Bertanya kembali para malaikat, “Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari pada api?”

Allah yang Mahaagung menjawab, “Ada, yaitu air” (Api membara sedahsyat apapun, niscaya akan padam jika disiram oleh air).

“Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari air?” Kembali bertanya para malaikta.

Allah yang Mahatinggi dan Mahasempurna menjawab, “Ada, yaitu angin” (Air di samudera luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung, dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tersimbah dan menghempas karang, atau mengombang-ambingkan kapal dan perahu yang tengah berlayar, tiada lain karena dahsyatnya kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat). Akhirnya para malaikat pun bertanya lagi, “Ya Allah adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dari semua itu?”

Allah yang Mahagagah dan Mahadahsyat kehebatan-Nya menjawab, “Ada, yaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya.”

Artinya, orang yang paling hebat, paling kuat, dan paling dahsyat adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus, dan ikhlas tanpa ada unsur pamer ataupun keinginan untuk diketahui orang lain.

Inilah gambaran yang Allah berikan kepada kita bagaimana seorang hamba yang ternyata mempunyai kekuatan dahsyat adalah hamba yang bersedekah, tetapi tetap dalam kondisi ikhlas. Karena naluri dasar kita sebenarnya selalu rindu akan pujian, penghormatan, penghargaan, ucapan terima kasih, dan sebagainya. Kita pun selalu tergelitik untuk memamerkan segala apa yang ada pada diri kita ataupun segala apa yang bisa kita lakukan. Apalagi kalau yang ada pada diri kita atau yang tengah kita lakukan itu berupa kebaikan.

http://amalansedekah.blogspot.com/2008/08/dasyatnya-sedekah.html


PENYESALAN JUGA SATU CARA BERTAUBAT

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya seorang hamba melakukan suatu perbuatan dosa tetapi apabila dia teringat perkara tersebut, maka dia merasa sedih; apabila Allah melihatnya benar-benar bersedih hati, maka dia mengampuni apa yang dilakukannya itu sebelum dia mengkifarahnya (menebusnya) tanpa melalui sembahyang dan tanpa berpuasa

(Riwayat Ibnu Asakir melalui Abu Hurairah r.a.).

“Penyesalan itu adalah taubat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). Dalam hadith ini, penyesalan itu sendiri adalah taubat, tanpa perlu melafazkan istigfar.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/09/23/penyesalan-juga-satu-cara-bertaubat/

Friday, January 4, 2013

HADIS : SUAMI MENYUAPKAN MAKANAN KEPADA ISTERINYA, ANTARA PESANAN NABI SAW KPD UMATNYA

Tazkirah Jumaat
4 Jan 2013 (21 Safar 1434H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

SUAMI MENYUAPKAN MAKANAN KEPADA ISTERINYA 

Apabila seorang isteri makan bersama suaminya dan suaminya menyuapi makanan tersebut ke mulut isterinya, nescaya dia akan mendapatkan pahala dan hal itu akan memperkukuhkan kecintaan isterinya.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Sa’ad bin Abi Waqqash yang bermaksud “ … sesungguhnya tidaklah engkau memberikan infaq yang hanya mengharapkan ganjaran dari Allah kecuali engkau akan diberi pahala atas perbuatan tersebut, hingga sesuap makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu…”

(Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim)

(Sumber: Mausu’ah al Adabul Islamiah, Abdul Aziz bin Fathi as Sayyid Nada)


ANTARA PESANAN NABI SAW KPD UMATNYA

Kerap menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita hingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut nama Allah.

Makhluk yang berbuat baik kita puji melangit, tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan langsung tidak ingat. Sebaik-baiknya lidah kita memuji Allah saban waktu, bukan ucapan alhamdulillah hanya selepas kekenyangan. Pujian begini hanya di lidah tidak menyerap ke lubuk hati. Kita hendaklah sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah. Ini kerana dengan zikrullah manusia sentiasa ingat nikmat yang Allah limpahkan. Kata Imam Ibnu Qayyim, “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Kerap menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup selepas mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana ia menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan sangat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan ketika hidup di dunia. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tidak mengusahakan kebun dunia masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh mengenai kekurangan amalan bakal dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa?

Jangan selalu sebut keaiban atau keburukan orang lain. 

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita gemar melihat keaiban orang sehingga terlupa keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, ‘kuman seberang laut nampak, tetapi gajah depan mata tak nampak’.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dapat memperbaiki kekurangannya. Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat diri kita tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke orang itu, tetapi empat jari lagi menuding diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.

Sebab itu, biasakan melihat keburukan diri sendiri bukan keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri koyak-rabak. Dalam Islam digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihat kejahatan yang ada walaupun kita pernah berbuat kebaikan.

Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Islam menganjurkan umatnya bersangka baik dan berbuat baik sepanjang masa. Sabda Rasulullah, “Cukuplah bagi seseorang keburukan jika ia menghina saudaranya sesama muslim.”

Demikianlah antara pesanan Rasulullah supaya umat Islam sentiasa dalam ruang lingkup kehidupan yang diberkati Allah dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah pada setiap masa mengingati pesan Nabi kita dan jadikan ia suluh pedoman dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Sesungguhnya, peringatan Rasulullah sentiasa sesuai sepanjang masa untuk umat manusia. Hanya kita yang lalai kepada pesanan berharga itu. Kita hanya menyesal apabila kita ditimpa kesusahan atau sakit. Ketika itulah baru hendak mengenali Allah dan ingat Rasulullah. Sebagai mukmin, marilah kita berpegang teguh kepada pesanan Rasulullah s.a.w.

http://ustaznaim.blogspot.com/2012/12/5-pesan-nabi-saw-kepada-ummatnya.html