Thursday, July 26, 2012

MAJLIS PENYERAHAN VAN JENAZAH OLEH BSN KEPADA MASJID JAMEK KUNDASANG

25 Julai 2012 (Jumaat), Masjid Jamek Kundasang telah menerima sumbangan Van Jenazah daripada Bank Simpanan Nasional. Bank Simpanan Nasional telah mengeluarkan zakat harta melalui pemberian van jenazah diseluruh negara sebanyak 19 buah. Di Sabah, masjid Jamek Kundasang adalah satu-satunya masjid terpilih untuk menerima pemberian ini walaupun ada beberapa lagi masjid yang memohon.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Kundasang, En. Suatin Mayor dalam ucapannya memaklumkan bahawa Masjid Jamek Kundasang sebelum ini telahpun ada usaha untuk mengumpul dana melalui sumbangan masyarakat prihatin Kundasang tapi belum mencukupi. Masyarakat Kundasang amat menghargai sumbangan BSN ini.

Sumbangan ini telah disampaikan oleh Tuan Sulaiman Mohd. Noh, Pengarah BSN Negeri Sabah kepada En. Suatin Mayor dan disaksikan oleh oleh Y. Bhg. Datuk Amisah Yassin, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ranau merangkap Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dan masyarakat Kundasang.







Berikut adalah Aturcara Majlis Penyerahan Van Jenazah tersebut:


  • 10.00 pagi : Khidmat BSN : Kaunter Pertanyaan, pinjaman dan lain-lain (Pentas Budaya Kundasang)
  • 12.30tgh : Solat Jumaat
  • 1.30 tgh : Bacaan doa selamat oleh Imam Sallahuddin kominin, Imam Rawatib Kundasang
  • Ucapan alu-aluan oleh En. Suatin Mayor, Pengerusi Masjid Jamek Kundasang
  • Ucapan Tuan Sulaiman Mohd. Noh, Pengarah BSN Negeri Sabah
  • Ucapan dan Perasmian Majlis Penyerahan Kereta Jenazah oleh Y. Bhg. Datuk Amisah Yassin, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ranau merangkap Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.
  • Penyerahan kunci kereta Jenazah dari pihak BSN kepada Masjid Jamek Kundasang.
  • Penyampaian Sijil Penghargaan dan Cenderahati
  • Jamuan
  • Bersurai

Gambar-gambar majlis ini yang dimuatnaik ke Facebook boleh dilihat melalui link berikut:
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.3502363083708.2126667.1410641858&type=1&l=25610e13f0


HADIS : BERSAHUR, MEMBERI MAKAN KEPADA YANG BERPUASA, BERPUASA UNTUK MENUNDUKKAN NAFSU, WAKAF AL QURAN UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA


Tazkirah Jumaat
27 Julai 2012 (7 Ramadhan 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : BERSAHUR
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Bersahurlah! Sesungguhnya terdapat padanya keberkatan. “ (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

MEMBERI MAKAN KEPADA YANG BERPUASA

Daripada Zaid bin Khalid al Juhani r.a, Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada seseorang untuk berbuka puasa, nescaya ia mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang berpuasa itu.” (Riwayat at-Tirmizi)

(Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


BERPUASA UNTUK MENUNDUKKAN NAFSU

Rasulullah bersabda, bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat).” – (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah).

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi fokusnya adalah untuk melemahkan nafsu yang buruk dan seterusnya mendampingi Allah s.w.t. Oleh itu kita hendaklah mengawal diri daripada melakukan perkara yang keji semasa berpuasa. Perangi nafsu dan berjuanglah untuk menjagalah semua disiplin-disiplin di bulan Ramadahan, selain dari makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain dari perkara yang sia-sia

Puasa dapat meredakan janaan nafsu dan mengurangkan nafsu kerana kurangnya makanan yang masuk kedalam badan dan darah. Hasil dari puasa ialah takwa (takut kepada Allah). Takut disini bukannya seperti takutkan harimau tapi takut bermakna hormat.Takut Allah murka, takut Allah tidak suka.

Al-Baqarah [183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Apabila seseorang itu berpuasa dia tidak makan, tidak minum dan tidak melakukan percampuran pada waktu siang hari. Tidak makan, tidak minum dan tidak mempunyai isteri juga adalah sifat para Malaikat. Puasa yang cemerlang mampu menjadikan seseorang yang berpuasa mencapai makam (status) setaraf para Malaikat. Allah s.w.t sendiri tidak makan, tidak minum dan tidak berhajat kepada isteri.

An’am [101] (Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Maka orang yang berpuasa juga mampu mendampingi Allah  dengan cara meninggalkan makan, minum, percampuran pada waktu siang hari dan segala perbuatan yang boleh menaikkan nafsu samada melalui penglihatan (mata) percakapan (mulut), pendengaran (telinga) atau pergerakan (tangan dan kaki).

Melihat dengan nafsu membatalkan pahala puasa. (Hadith daripada Anas)

Sabda Rasulullah s.a.w. setelah pulang dari perang Badar .”Kita telah pulang dari jihad yang kecil (peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang lebih besar? Rasulullah s.a.w. bersabda: Jihad menentang hawa nafsu”.

Pada bulan Ramadan, syaitan dibelenggu bagi memudahkan manusia berperang melawan hawa nafsu mereka. Ini kerana Syaitan berjalan dalam badan manusia melalui saluran darah dan darah pula terhasil daripada makanan yang dimakan. Syaitan hanya mengambil kesempatan atas nafsu buruk yang tercetus. Maka Allah s.w.t. telah membantu kita untuk melaksanakan ibadah puasa dengan merantai para jin dan syaitan.

 Hadith al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”(Bukhari & Muslim)“

Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka,….(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/07/22/berpuasa-untuk-menundukkan-nafsu/


WAKAF AL QURAN UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Nabi Muhammad s.a.w seorang yang sangat dermawan pada bulan Ramadhan. Hal ini dapat diperhatikan menerusi satu hadis Nabi daripada Ibn Abbas yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w ialah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadhan ketika Jibrail menemuinya. Jibrail biasanya menemuinya setiap malam Ramadhan, lalu tadarus al Quran (dengan Nabi s.a.w). Sungguh Rasulullah ketika menemui Jibrail menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan sehingga lebih banyak daripada tiupan angin“. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)
Oleh itu marilah kita perbanyakkan sedekah di bulan yang mulia ini dengan mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776. []

Saturday, July 21, 2012

HADIS : MALAM PERTAMA BULAN RAMADHAN, ALLAH MENGASIHI MEREKA YANG BERTAUBAT, WAKAF AL QURAN


Tazkirah Jumaat
20 Julai 2012 (30 Syaaban 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : MALAM PERTAMA BULAN RAMADHAN
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama bulan ramadhan, menyerulah malaikat, katanya: Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah daripada meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya’. Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalan bulan yang tersebut).” (Riwayat at Tirmizi dan an Nasai)

Pengajaran : Buatlah kebaikan dan tinggalkanlah kejahatan. Setiap malam dalam bulan ramadhan malaikat menyeru kita membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan kerana Allah setiap malam akan memberi ganjaran kepada yang membuat kebaikan dan memberi ampun kepada yang meninggalkan kejahatan. Semoga ianya berterusan sehingga selepas bulan ramadhan. (Sumber: Soal jawab remeh-temeh tentang puasa tapi anda malu bertanya, Dato’ Hj. Ismail Kamus dan Mohammad Nidzam Abdul Kadir)


ALLAH MENGASIHI MEREKA YANG BERTAUBAT

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Baqarah: 222)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali” (Riwayat Muslim).

Salah satu cara bertaubat ialah dengan melafazkan istigfar seperti “Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi” (Aku mohon keampunan kepada Allah yang maha agung, tiada tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya, dan kepadaNyalah aku bertaubat )

Setiap dosa atau maksiat menumbuhkan satu titik hitam dalam hati, sekiranya tidak dibersihkan dengan taubat atau istigfar, maka ia akan menutup cahaya iman dalam hati kita. Cahaya iman dalam hati adalah cahaya yang lahir daripada dua kalimah syahadah. Cahaya iman inilah yang menunjukkan kita jalan yang perlu diikuti. Apabila dosa dilakukan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Apabila dosa dilakukan secara berterusan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman. Setelah cahaya iman itu malap, maka dosa yang besarpun dianggap kecil, sehingga ada yang berkata “aku cuma minum arak sekali seminggu je” atau “aku cuma tinggal sembahyang je”,

Taubat itu membersihkan hati manusia daripada kotoran dosa dan titik hitam yang melekat di hatinya, yang akan didedahkan di akhirat nanti.

Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (Al-Adiyat: 10)

Bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan dan belum sampai ke halkum.

Sabda Nabi s.a.w. lagi,”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

Falaulaa idzaa balaghotil hulquum

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya; (Waqiah:83)

Taubat Firaun tidak diterima kerana nyawanya sudah sampai ke halkum pada masa itu, lalu Malaikat Jibril menyumbat mulutnya dengan pasir:

Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Nabi s.a.w: “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah” (Shahih, HR. Turmudzi Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

Bertaubatlah sebelum matahari terbit dari sebelah barat.

“Sesiapa yang bertaubat sebelum terbit matahari dari arah barat, nescaya Allah terima taubatnya” [Riwayat Muslim]

Bertaubatlah sebelum Al-Quran dihilangkan.

Selagi Quran masih ada selagi itu diampunkan dosa kita. Pintu taubat masih terbuka selagi ayat-ayat quran yang dihafal belum dihilangkan dari dada orang Islam. Abdulllah bin Mas’ud berkata, “Sungguh, kelak Al-Quran akan dicabut dari dada kamu, dalam satu malam, dihilangkan dari hafalan semua orang, sehingga di bumi ini tidak tersisa lagi sedikitpun.” (HR. Thabrani)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/07/09/allah-mengasihi-mereka-yang-bertaubat/


WAKAF AL QURAN UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-sekali dikira mencapai kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali Imran : 92)

Oleh itu marilah kita mewakafkan Al Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776.

Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. []

Tuesday, July 17, 2012

HADIS NABI SAW : PUASA PERISAI DIRI, 10 KEBAIKAN DIBERIKAN KEPADA INSAN TAK LEKANG AMALAN ZIKIR


Tazkirah Jumaat
13 Julai 2012 (23 Syaaban 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : PUASA PERISAI DIRI
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:” Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’.” Riwayat al Bukhari dan Muslim). (Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


10 KEBAIKAN DIBERIKAN KEPADA INSAN TAK LEKANG AMALAN ZIKIR

DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.

Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir? Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah.

Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan.

Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35

Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik.

Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’

Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi

Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan. Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah, dimurahkan ruang rezekinya, membangkitkan aura sahsiah peribadi murni, dapat menghidup dan menjernihkan hati.

Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah, mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji. Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik dan bersedia hidup penuh berani. Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq. Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti.

Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.

http://www.bharian.com.my/articles/10kebaikandiberikankepadainsantaklekangamalanzikir/Article/

Thursday, July 5, 2012

HADIS NABI SAW : ADAB KETIKA MAKAN, BERSELAWAT DI HARI JUMAAT, BERZIKIRLAH


Tazkirah Jumaat
6 Julai 2012 (16 Syaaban 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : ADAB KETIKA MAKAN
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Umar bin Abu Salamah, sewaktu aku diasuh oleh Rasulullah s.a.w, tanganku meraba-raba di dalam talam hidangan makanan; maka Rasulullah s.a.w bersabda kepada ku: “Wahai anak! Sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kanan engkau, dan makanlah apa yang terdekat dengan engkau.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

(Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


BERSELAWAT DI HARI JUMAAT

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 80 kali pada hari Jumaat, Allah swt akan mengampunkan dosanya sebanyak 80 tahun. Telah ditanya; Wahai Rasulullah s.a.w, Bagaimanakah selawat itu? Baginda menjawab “Allah humma salli ala muhammadin abdika wa nabiyyika wa rasulikan nabiyyil ummi” (Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada Sayidina Muhammad seorang hamba, Nabi dan utusanMu yang ummi”) [Al-Qawl al-Badee’; Al Muassah al-Rayyan; Takhreej Al-Ihya; Dar Al-Hadith)

Selawat pada hari Jumaat 80 kali boleh menghapuskan dosa. Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang menyatakan:

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda “Sesiapa yang membaca selawat seperti ini sebanyak lapan puluh kali sejurus selepas sembahyang Asar pada Hari Jumaat, sebelum bangun dari tempat sembahyangnya, akan diampunkan dosanya sebanyak 80 tahun dan diberikan pahala 80 tahun ibadah.

Allahumma Solli ‘Alaa Muhammadinin Nabiyyil Ummiyyi wa-’Alaa Aalehi wa-sallim Tasleeyma.[Al-Jami Al-Saghir; Allamah Sakhaawi RA dalam Al-Qawl al-Badee’; Imaam Daraqutni RA and Al Muassah al-Rayyan]

Dari Aus bin Aus r.a.katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya di antara hari-harimu yang paling utama sekali ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada hari itu, sebab sesungguhnya bacaan selawatmu itu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, bagaimanakah selawat kita semua itu dapat ditunjukkan kepada Tuan, sedangkan Tuan sudah hancur tubuhnya? Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan pada tanah untuk makan tubuh sekelian Nabi. (Riwayat Abu Dawud dengan isnad sahih.)

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, sesiapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) “. (Riwayat Al Baihaqi)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/07/05/berselawat-di-hari-jumaat/


BERZIKIRLAH

Daripada Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda :Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu,paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(Riwayat Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.)

Zikir itu lebih besar dari jihad dan sedekah. 

Berzikir boleh dilakukan sambil berjalan kaki, memandu kereta, bahkan sambil berbaring di atas tilam yang empuk pun boleh berzikir. Ramai juga yang masuk syurga VIP kerana berzikir di atas tilam yang empuk.

Abu Said Al-Khudri r. a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di atas tilam yang empuk, yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga.”

Zikir Menjadi Makanan Mukmin Semasa Kedatangan Dajjal

Pada masa itu orang mukmin yang enggan mengakui Dajjal sebagai tuhan akan disekat bekalan makanan (tanah mereka terbiar, kering kongtang dan tiada tumbuhan untuk dimakan). Namun mereka tetap kenyang dengan bertasbih iaitu berzikir dengan mengucapkan “Subhanallah“.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Sesiapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan kelaparannya”

Semua Makhluk Berzikir dan Bertasbih.

Al-Israa [44] Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Semut dan katak juga berzikir kepada Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih?

Rasulullah s.a.w. bersabda “suara katak itu tasbih, memuji Allah“ (Riwayat An-Nasai)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/07/05/berzikirlah/