Friday, June 29, 2012

HADIS NABI SAW : BERKASIH-KASIHAN, KELEBIHAN PUASA SYAABAN & MALAM NISFU SYAABAN


Tazkirah Jumaat
29 Jun 2012 (9 Syaaban 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : BERKASIH-KASIHAN 
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Abdullah bin Amr r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi, nescaya yang dilangit akan mengasihani kamu.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Pengajaran : Berbudi bahasa dan berhemah adalah amalan mulia. Hindarkan daripada orang lain mendendami kita.  (Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


KELEBIHAN PUASA SYAABAN & MALAM NISFU SYAABAN

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.

Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).

Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra.  berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).

Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari diatas juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail disetiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).

Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari diatas, ia boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal Ibadah) dalam Islam. “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).

Akhirnya nanti, secara amalinya, bangun malam (qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang Syar’iyy, merupakan salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan bid’ah.

Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:

Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).

http://inijalanku.wordpress.com/2009/08/05/kelebihan-puasa-syaaban-malam-nisfu-syaaban/

Thursday, June 21, 2012

HADIS : TERPEDAYA DENGAN NIKMAT, LIMA HAK SESAMA MUSLIM, MEMBANTU SESAMA ISLAM


Tazkirah Jumaat
22 Jun 2012 (2 Syaaban 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)


TERPEDAYA DENGAN NIKMAT

Daripada Abdullah bin Abbas r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya dengannya; sihat dan kelapangan.” (Riwayat Bukhari)

Pengajaran- Waktu sihat dan waktu terluang itulah sebenarnya peluang keemasan untuk kita melakukan dan meningkatkan ibadah.

Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


LIMA HAK SESAMA MUSLIM

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lima hak bagi seorang muslim terhadap saudaranya sesama muslim iaitu: Menjawab salam, mendoakan kepada orang yang bersin, menyahut undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.

1) Menjawab salam.

An-Nisaa [86] Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Muslim tentang salam. “Kamu tidak akan masuk syurga, sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman, sehingga kamu saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua, sesuatu yang dengan melakukannya, maka akan wujud rasa sayang-menyayangi? Tebarkan salam”

2) Mendoakan kepada orang yang bersin.

Selepas seseorang bersin hendaklah dia mengucapkan “alhamdulillah (segala puji bagi Allah) ” dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “yarhamukallah”(semoga Allah merahmati kamu) sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu, serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa wayahdiikumullah”.(Semoga allah rahmati kita semua dan diberi hidayah olehnya)

3) Menyahut undangan, iaitu menghadiri undangan misalnya majlis perkahwinan adalah sunat (bukannya wajib) dengan syarat majlis itu tidak mengandungi perkara haram seperti pergaulan bebas lelaki-perempuan dan tidak diselingi muzik.

Mengikut para ulama terdahulu, misalnya Abdullah Bin Masud adalah berdosa sekiranya seseorang itu makan sambil diringi muzik atau di tempat yang didendangkan muzik.

4) Menziarahi orang sakit. Sunnah dalam menziarahi orang yang sakit ialah tidak terlalu lama melawatnya agar pesakit itu tidak terbeban melayan pelawatnya. Berilah harapan agar dia cepat sembuh, misalnya dengan berdoa “mudah-mudahan Allah cepat sembuhkan kamu, InsyaAllah, jangan bimbanglah”

5) Mengiringi jenazah. Dalam mazhab Hanafi, jenazah dihantar terlebih dahulu sebelum orang ramai pergi ke kubur. Dalam mazhab Syafie pula orang ramai pergi dahulu ke kubur sebelum jenazah mengikuti dari belakang. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dari hadith-hadith.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/06/18/lima-hak-sesama-muslim


MEMBANTU SESAMA ISLAM

Daripada Salam, daripada bapanya r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda “Orang Islam ialah saudara orang Islam yang lain, janganlah dia menganiayai dan jangan pula dia membiarkannya dianiayai oleh pihak musuh. Sesiapa yang menolong saudaranya mencapai apa yang diperlukan, Allah pula akan menolongnya mencapai hajatnya. Dan sesiapa yang melegakan sesuatu kesusahan yang dihadapi oleh seseorang Muslim, nescaya Allah akan melegakan sesuatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan (yang ada) pada hari Kiamat. Dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari Kiamat (Riwayat Muslim).Orang Islam ialah saudara orang Islam yang lain

Hujurat [10] : Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…

Membantu Sesama Islam

Seorang sahabat nabi telah keluar daripada iktikafnya di masjid dalam bulan Ramadhan demi untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan. Beliau telah membacakan hadith di atas apabila ditanya kenapa dia keluar dari iktikafnya.

Kesusahan Hari Kiamat

Hari Kiamat adalah hari yang penuh dengan kesusahan, terutamanya dalam urusan hisab:

Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan tersiksa”.Aisyah bertanya:”Bukankah Allah Azza Wajalla telah berfirman , “Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (al-Insyiqaq:8)” Jawab baginda:”Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.” Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya tersiksa.” (Muslim)

Mengaibkan iaitu menceritakan keburukan seseorang samada ianya betul atau tidak adalah berdosa. Di Padang Mahsyar nanti Allah akan mengaibkan orang yang mengaibkan orang lain sehingga mereka merasa malu dan sanggup terjun ke dalam api neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/06/18/membantu-sesama-islam

Friday, June 15, 2012

MEMILIH SAHABAT, KELEBIHAN BULAN SYAABAN, BUAT 1 DAPAT MINIMA 10


Tazkirah Jumaat
15 Jun 2012 (25 Rejab 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW

(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR) 



MEMILIH SAHABAT

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat”

(Riwayat at-Tirmizi dan al Hakim)

Pengajaran : Kita perlu cerewet dalam memilih sahabat kerana bertemu dengan seorang sahabat yang baik adalah suatu ketenangan dalam jiwa.

(Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


KELEBIHAN BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban akan bermula dari 19 Jun 2012 hingga 19 Julai 2012. Marilah kita banyakkan amalan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.

Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya’aban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya’aban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.

Sabda Nabi s.a.w.: Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa puasa Syabaan kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya’aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya, antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Sya’aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur’an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya’aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah beri padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang menyengutukan (syirik) denganNya dengan sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.

http://dakwah.org/blog/?p=299


BUAT 1 DAPAT MINIMA 10

Al-An’am [160] Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keIslamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebaikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.” (Riwayat Bukhari).

Syarat untuk mendapat pahala ini mestilah mempunyai IMAN dan ISLAM. Syarat untuk mendapat ganjaran ini ialah amalan itu mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah dan dilakukan oleh orang yang mempunyai akidah yang betul. Dengan kata lain hati mestilah mantap rukun imannya dan amalan mestilah dilakukan mengikut syariat dan sunnah.

Sesuatu amalan itu juga diberi pahala mengikut apa yang diniatkan. Hadith yang selalu kita dengar iaitu “INNAMAL ‘amalu bin-niati” Berkata Saidina Umar Bin Al Khattab r.a.

Rasulullah s.a.w. bersabda:“Hanya sesungguhnya segala ‘Amalan itu dengan Niat,

Walaupun kita hanya melakukan 1 amalan tetapi Allah swt membayar 10. Mana datangnya 9 lagi? Tentulah daripada Allah swt. Oleh itu berlumba-lumbalah kita mengumpul harta akhirat ini kerana kita tidak tahu apa yang disediakan oleh Allah swt untuk kita di akhirat nanti.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:Daripada Nabi saw., Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas dalam hati manusia.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/06/01/buat-1-dapat-minima-10/

Thursday, June 7, 2012

TIADA KETENANGAN DENGAN KEPINCANGAN AKHLAK, FADHILAT SURAH AL-KAUTHAR, ISTIGHFAR PEMBUAT ROTI, PAHALA 100 ORANG MATI SYAHID


Tazkirah Jumaat
1 Jun 2012 (11 Rejab 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR) 


TIADA KETENANGAN DENGAN KEPINCANGAN AKHLAK

Daripada an-Nawwas bin Sam’an R.A.: Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang kebaikan dan dosa, lalu baginda menjawab: “ Kebaikan adalah akhlak yang baik, manakala dosa ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)

(Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)

FADHILAT SURAH AL-KAUTHAR

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik. Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya’allah hilang dahaga.

Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah

dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

http://zulfadhliothman.blogspot.com/2011/03/kelebihan-surah-al-kauthar.html


ISTIGHFAR PEMBUAT ROTI

"Beristighfarlah kepada Tuhanmu - sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun - niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai". (Surah Nuh: ayat 10-12)

Satu malam yang dingin, Imam Ahmad dalam  keadaan musafir, beliau keletihan dan ingin menumpang tidur di sebuah masjid. Bila sahaja  Imam Ahmad ingin memasuki masjid, penjaga masjid menghalaunya keluar dengan kasar. Penjaga masjid itu tidak mengenali Imam Ahmad memandangkan waktu itu tidak ada kemudahan  teknologi  komunikasi, jadi mereka tidak dapat mengenali dengan baik rupa orang-orang yang masyhur.  Rayuan Imam Ahmad kepada penjaga masjid untuk tidur di dalam masjid itu sia-sia sahaja.

Kecewa dengan penjaga masjid, beliau memutuskan untuk tidur di perkarangan masjid, tetapi  tatkala beliau duduk, penjaga masjid menjadi marah dan mengheret Imam Ahmad keluar dari kawasan masjid.  Kebetulan seorang pembuat roti  ternampak kejadian tersebut. Pembuat roti merasa kasihan lalu menawarkan Imam Ahmad bermalam sahaja di rumahnya.

Pembuat roti melayan Imam Ahmad dengan layanan yang baik. Pembuat roti kemudian meninggalkan Imam Ahmad berehat dan pergi menguli tepung. Sementara itu, Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar sepanjang malam. Ia membuatkan Imam Ahmad merasa kagum.

Pada paginya, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfar yang dilakukannya pada malam tadi. Pembuat roti menjawab, bahawa dia memang sentiasa melakukan istighfar dan perkara itu sudah menjadi kebiasaannya.

Kemudian Imam Ahmad bertanya lagi, apakah ganjaran yang diperolehi dengan amalan yang dilakukannya. Imam Ahmad sengaja bertanya sedangkan beliau sudah tahu kelebihan dan faedah istighfar. Pembuat roti itu menjawab, “Demi Allah, selama ini tiada doa yang Allah tidak perkenankan kecuali satu.”

“Apakah doa tersebut?” tanya Imam Ahmad.

“Saya berdoa supaya dipertemukan dengan Imam Ahmad Ibn Hanbal”, jawah si pembuat roti. “Saya Ahmad Ibn Hanbal!” mencelah Imam Ahmad lalu menambah “Demi Allah! sesungguhnya aku dibawa oleh Allah kepadamu untuk memenuhi doamu”

http://www.melurhasanah.com/2012/05/istighfar-pembuat-roti.html


PAHALA 100 ORANG MATI SYAHID

Dari Ibnu Abbas ra. bahwa Nabi SAW yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerusakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi) Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, yaitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)

Thabarani dan Abu Nu'aim telah mengeluarkan sebuah Hadis marfuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahwa Nabi SAW telah bersabda: Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam zaman kerusakan ummatku akan mendapat pahala orang yang mati syahid. Hakim pula meriwayatkan dari Abu Hurairah ra. juga bahwa Nabi SAW telah berkata: Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam masa perselisihan diantara ummatku adalah seperti orang yang menggenggam bara api. (Kanzul Ummal 1: 47)

http://www.melurhasanah.com/2012/05/pahala-100-orang-mati-syahid.html

Friday, June 1, 2012

PETANDA KASIH ALLAH, TIGA PINTU KEBAIKAN, HADITH : KAYA HARTA DAN KAYA ILMU

Tazkirah Jumaat
1 Jun 2012 (11 Rejab 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR) 
 
PETANDA KASIH ALLAH

Daripada Qatadah bin Nu’man, Nabi SAW bersabda: “Apabila Allah mengasihi seorang hamba, Allah mengawasinya daripada dunia (daripada tipu daya dan syahwat dunia) sepertimana seseorang daripada kamu berterusan mengawasi sakitnya daripada terkena air (jika sakit itu merbahaya sekiranya terkena air).” (Riwayat at Tirmizi dan al-Hakim) (Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)

 
TIGA PINTU KEBAIKAN

Daripada Muaz Bin Jabal r.a, Nabi S.A.W bersabda: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu kebaikan: Puasa adalah perisai, sedekah memadamkan kesalahan (dosa) seperti air memadamkan api, dan seorang insan yang sembahyang pada penghujung malam.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Ahmad).

1) Puasa
Puasa yang berkualiti, mempunyai nilai dan bermutu, ialah puasa yang dijaga dengan berdisiplin dan di jaga pantang larangnya dengan menjaga mata, telinga, kaki, tangan dan seluruh anggota daripada melakukan perkara yang dilarang. Puasa adalah benteng atau perisai yang boleh menghalang dan memagari manusia daripada melakukan keburukan di dunia. Secara mudahnya apabila seseorang itu tidak makan dan minum, dia akan keletihan dan tidak berupaya melakukan kejahatan. Namun hanya puasa yang mempunyai “nilai” mampu mengawal manusia daripada melakukan perkara yang tidak baik.

2) Sedekah.
Dalam hadith disebut, “banyakkanlah sedekah kerana ia menyejukkan kamu di Alam Barzakh”. Sesungguhnya sedekah itu benar-benar dapat memadamkan panas kubur bagi pelakunya, sesungguhnya orang Mukmin kelak dihari kiamat hanyalah bernaung dalam naungan sedekahnya.(HR Thabrani dari Uqbah Bin ‘Amir r.a.)

Salah satu diantara 7 manusia yang dilindungi panas di hari Kiamat ialah “Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi (disedekahkah) oleh tangan kanannya”.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sedekah akan menutup tujuh puluh pintu keburukan“ (HR.Thabrani ). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda,  “Sedekah dapat menolak 70 macam bencana, yang paling ringan diantara bencana itu adalah penyakit kusta dan sopak“  (HR.Thabrani ).

3) Tahajjud.
Antara perangai-perangai orang yang masuk syurga ialah:

    Sajadah [16] Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) sertadengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.`

    Abdullah ibn as-Salam meriwayatkan: “Ketika Nabi saw buat pertama kalinya menjejak kakinya di bumi Madinah, orang ramai berduyun-duyun mengerumuninya, dan saya merupakan salah seorang daripada mereka. Saya perhatikan pada wajah Baginda; dan dari situ tahulah saya bahawa beliau bukanlah seorang pendusta. Kata-kata pertama yang lahir daripada Baginda ialah: ‘Wahai manusia, ucapkanlah salam, berilah makan, eratkanlah silaturahim, dan kerjakanlah solat malam ketika orang lain sedang tidur nyenyak, dan kamu akan masuk Syurga dengan sentosa.” Ini diriwayatkan oleh al-Hakim, Ibn Majah, dan at-Tirmizhi yang menganggap hadis ini adalah hadis sahih dan hasan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/05/30/tiga-pintu-kebaikan/


HADITH : KAYA HARTA DAN KAYA ILMU
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (al-Bukhari)

Huraian: Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: "Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya." Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/06/kaya-harta-dan-kaya-ilmu.html