Thursday, March 29, 2012

KELEBIHAN SAF PERTAMA, INGAT ALLAH DALAM SEMBAHYANG, FADHILAT BISMILLAH

Tazkirah Jumaat
30 Mac 2012 (7 Jamadil Awal 1433H)

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW (12)
OLEH: UST. MOHAMAD RAZI BIN ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR

KELEBIHAN SAF PERTAMA

“Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak dapat memperolehinya melainkan dengan melakukan undian nescaya mereka akan melakukanya…. (biarpun mereka terpaksa bertungkus lumus kerananya).”

Riwayat Bukhari. (Sahih al Bukhari (jil.2, hlm.96, no.615))

“Daripada Ubai bin Kaab r.a, katanya:’Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya saf pertama solat berjamaah bandingannya adalah seperti saf para malaikat. Justeru itu, jika kamu mengetahui tentang kelebihan tersirat di sebalik saf yang pertama nescaya kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.”

Riwayat Abu Daud. (Sunan Abi Daud (Jil.2, hlm. 259-260, no.550))

Kelebihan Saf pertama:

1. Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Jemaah saf pertama

“Daripada Abu Umamah r.a, katanya : Rasulullah SAW telah bersabda:’Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama solat berjamaah. Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ Jawab Rasulullah: ‘Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas saf pertama. ‘Sahabat bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ Lalu Rasulullah menjawab: ‘Ya, begitu juga dengan saf yang kedua.”

Riwayat Ahmad bin Hambal (Al Fath al-Rabbani li Tartib Musnad al Imam Ahmad bin Hambal (Jld.5, hlm. 320, no. 1480))

2. Rasulullah SAW berselawat ke atas Jemaah saf pertama dan kedua

“Daripada al-‘Irbat bin Sariah r.a bahawa Rasulullah SAW telah berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama sebanyak tiga kali, sementara ke atas saf yang kedua hanya sekali.” Riwayat an-Nasai ( Sunan an-Nasai (Jil. 2 hlm. 92-93). Menurut Syeikh al Arna’ut, hadis ini sanadnya sahih atas syarat muslim)


INGAT ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Rasulullah S.A.W bersabda “Tiada sesuatu yang diperolehi oleh seseorang hamba dari sembahyangnya, melainkan apa yang dibuatnya dengan akal yang penuh kesedaran (hati). Sesungguhnya seseorang yang menunaikan sembahyang itu, adakalanya sembahyang, tetapi tidak dicatat baginya satu perenam atau satu persepuluh darinya dari sembahyang itu.”

Tanpa ingatan kepada Allah swt semasa melakukan ibadah sembahyang, sembahyang itu kosong isinya. Pahala yang diberikan bergantung kepada selama mana dan sebanyak mana ingatan kita kepada Allah dalam melakukan sembahyang.

Hassan al-Basri r.a. pernah berkata yang maksudnya

“Setiap sembahyang yang tidak disertai oleh hati yang hadir, maka lebih cepat ia mendapat seksa”.

Sembahyang sepatutnya mendekatkan seseorang kepada rahmat (kasihan belas) Allah swt, tetapi sembahyang yang dilakukan tanpa ingatan kepada Allah lebih dekat kepada seksaannya.

Imam al-Ghazali berkata ” Dan yang paling penting diberi perhatian di dalam sembahyang ini ialah khusyuk atau hadir hati bersama dengan bacaan dan zikir”.

Hendaklah “hadir hati” iaitu ingat kepada Allah semasa sembahyang. Bagi orang awam, hendaklah cuba sedaya upaya untuk ingat Allah semasa sembahyang. Kalau ada lintasan (teringat perkara lain), cepat-cepatlah ingatkan balik kepada Allah. Walaupun tidak 100%, cubalah untuk “control” gangguan dalam hati semasa sembahyang (lebih banyak ingatkan Allah dari benda lain).

Dalam sembahyang kita wajib mengingati Allah, kalau terlalai cepat-cepatlah kembalikan ingatan kepada Allah.

Ta-Ha [14] Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/03/27/ingat-allah-dalam-sembahyang/


FADHILAT BISMILLAH

Membaca Bismillah setiap kali melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan sebenarnya memberi kebaikan yang sangat banyak. Allah sendiri memerintahkan para malaikat supaya mencatat pahala bagi umat manusia yang membaca Bismillah.

Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, akan aman dariapda gangguan syaitan, kecurian, maut yang mendadak dan bala. Sementara pasangan yang membacanya ketika hendak berjimak, akan melahirkan anak yang soleh dan bagi ibu bapanya kebajikan sejumlah tarikan nafas anak itu.

Membaca 41 kali Bismillah ke telingan orang yang pengsan, insya Allah dia akan segera sedar. Membaca 313 kali Bismillah serta 100 kali selawat ke atas Nabi SAW pada waktu pagi hari Ahad sewaktu matahari terbit dengan menghadap kiblat, insya Allah akan mendapat rezeki yang tidak terduga.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang bebal, eloklah dibaca Bismillah sebanyak 786 kali, kemudian ditiupkan pada air lalu diberi minum anak itu selama tujuh hari pada saat matahari terbit, insya Allah lenyaplah kebebebalannya. Perkara yang sama juga dilakukan kepada adik-beradik, suami, isteri atau sesiapa yang dimaksudkan.

Sesiapa yang membaca 50 kali Bismillah di hadapan orang orang zalim, akan tunduk dan takutlah orang zalim itu. Bagi perempuan yang hamil, tulislah 61 kali kalimah Bismillah hingga akhirnya dengan huruf Arab di atas kertas putih lalu sisipkannya ke perut wanita itu, insya Allah hidup anak yang dikandung itu.

Mereka yang berniaga, bacalah 786 kali di hadapan dagangannya lalu dihembuskan selama tujuh hari. Insya Allah dengan izin Allah akan majulah perniagaannya.

http://dakwah2u.blogspot.com/2007/07/fadhilat-bismillah.html


Friday, March 23, 2012

11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT, HADIS TERIMA UNDANGAN DAN MENERIMA HADIAH

Tazkirah Jumaat
23 Mac 2012 (29 Rabiul Akhir 1433H)


11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/03/11-jenis-manusia-didoa-malaikat.html


TERIMA UNDANGAN DAN MENERIMA HADIAH

Hadis :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksid: “Sekiranya aku dijemput menghadiri sesuatu majlis mahupun kecil atau besar nescaya aku menerima jemputan tersebut dan sekiranya aku dihadiahkan sesuatu barang yang bernilai atau tidak nescaya aku menerimanya juga” Riwayat Hadith Al-Bukhari

Huraian :

1. Dalam kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah menjaga hati dan perasaan orang lain agar hubungan silaturahim sentiasa terjaga selain dapat menghindari perselisihan faham yang mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.

2. Rasulullah s.a.w contohnya tidak pernah menolak sebarang pemberian atau hadiah dan baginda juga tetap menerima apa juga bentuk jemputan tanpa membeza-bezakannya sama ada kecil, besar, kaya, miskin atau sebagainya.

3. Orang yang memilih- milih jemputan bagi sesuatu jamuan atau hadiah yang diberikan kepadanya adalah mempamerkan sifat orang yang sombong dan bongkak sedangkan sifat ini adalah sangat dilarang di dalam Islam.

http://dakwah2u.blogspot.com/2010/10/hadis-terima-undangan-dan-menerima.html

Thursday, March 15, 2012

KELEBIHAN SAF PERTAMA, RAHSIA DIWAJIBKAN SOLAT

Tazkirah Jumaat
16 Mac 2012 (22 Rabiul Akhir 1433H)

MOTIVASI DR HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (11)
Oleh : UST. MOHAMAD RAZI BIN ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR

KELEBIHAN SAF PERTAMA

“Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak dapat memperolehinya melainkan dengan melakukan undian nescaya mereka akan melakukanya…. (biarpun mereka terpaksa bertungkus lumus kerananya).”

Riwayat Bukhari. (Sahih al Bukhari(jil.2, hlm.96, no.615))

“Daripada Ubai bin Kaab r.a, katanya:’Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya saf pertama solat berjamaah bandingannya adalah seperti saf para malaikat. Justeru itu, jika kamu mengetahui tentang kelebihan tersirat di sebalik saf yang pertama nescaya kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.”

Riwayat Abu Daud. (Sunan Abi Daud (Jil.2, hlm. 259-260, no.550))

Kelebihan Saf pertama:

1. Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Jemaah saf pertama

“Daripada Abu Umamah r.a, katanya : Rasulullah SAW telah bersabda:’Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama solat berjamaah. Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ Jawab Rasulullah: ‘Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas saf pertama. ‘Sahabat bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ Lalu Rasulullah menjawab: ‘Ya, begitu juga dengan saf yang kedua.”

Riwayat Ahmad bin Hambal (Al Fath al-Rabbani li Tartib Musnad al Imam Ahmad bin Hambal (Jld.5, hlm. 320, no. 1480))

2. Rasulullah SAW berselawat ke atas Jemaah saf pertama dan kedua

“Daripada al-‘Irbat bin Sariah r.a bahawa Rasulullah SAW telah berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama sebanyak tiga kali, sementara ke atas saf yang kedua hanya sekali.” Riwayat an-Nasai ( Sunan an-Nasai (Jil. 2 hlm. 92-93). Menurut Syeikh al Arna’ut, hadis ini sanadnya sahih atas syarat muslim).


RAHSIA DIWAJIBKAN SOLAT

SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa.

Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

Dalam Al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran.

Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

"Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)

Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun.

Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.

1. Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

2. Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

3. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

4. Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

5. Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

6. Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati.

Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/03/rahsia-diwajibkan-solat.html

Saturday, March 10, 2012

WAKTU PAGI LEBIH INDAH DISINARI NIKMAT DHUHA, KELEBIHAN BERKAHWIN

Tazkirah Jumaat
9 Mac 2012 (15 Rabiul Akhir 1433H)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW (10)

(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

WAKTU PAGI LEBIH INDAH DISINARI NIKMAT DHUHA

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap tulang sendi seseorang menjelang pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah. Semua perbuatan itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.”

(Riwayat Abu Dzar)

Nikmat solat sunat Dhuha:

1. Tidak termasuk golongan yang lalai.

2. Seolah-olah seluruh anggota melakukan kebaikan.

3. Diperkenankan doa selepas solat sunat Dhuha.

4. Dimurahkan rezeki.

5. Dipelihara oleh Allah S.W.T

6. Dihapuskan dosa.


KELEBIHAN BERKAHWIN

DALIL-DALIL KELEBIHAN BERKAHWIN:

1. DALIL DARI AL-QURAN

Firman Allah Taala:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu.” (Surah al-Nuur: 32)

Ayat di atas merupakan satu anjuran yang ditujukan kepada orang-orang yang tidak mempunyai isteri supaya berkahwin.

“Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya.” (Surah al-Baqarah: 232)

Ayat di atas merupakan larangan dari Allah Taala kepada ibubapa yang enggan atau menghalang perkahwinan anak-anak perempuan mereka.

Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami). (Surah al-Furqaan: 74)

Firman Allah Taala ini menyatakan satu sifat terpuji, iaitu berdoa memohon kepada Allah Taala agar dikurniakan isteri dan zuriat yang menyejukkan mata.


2. DALIL DARI HADIS RASULULLAH S.A.W :

Sabda Rasulullah s.a.w :

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu. (Riwayat Abu Ya'la dari Ibnu Abbas r.a)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Berkahwinlah supaya kamu menjadi ramai, bahawasanya aku bermegah-megah dengan kamu akan segala umat pada hari kiamat hingga dengan anak yang gugur dari perut ibunya. (Hadis Dha'if riwayat Abu Bakar bin Mardawiyah dari Ibnu Umar)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami. (Hadis Dho'if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)

Dari Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda: Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki hendaklah berkahwin. (Hadis Dha'if riwayat Ibnu Majah)

Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak. (Hadis yang disepakati oleh ali Hadis)

Lima hadis Rasulullah s.a.w. di atas menunjukkan beberapa fadhilat dan kelebihan yang mendorong dan menggalakkan supaya berkahwin. Ia juga menunjukkan akan kekhuatiran terhadap berlakunya zina mata dan zina faraj (kemaluan). Perkahwinan merupakan satu-satunya jalan keluar dari kekhuatiran tersebut .


3.DALIL DARI PERKATAAN PARA SAHABAT DAN ULAMAK

Saidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata:

"Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat."

Perkataan ini menjelaskan bahawa agama tidak menghalang perkahwinan dan sebaliknya merupakan satu kecelaan terhadap orang-orang yang menghalangnya.

Saidina Abbas r.a. berkata:

"Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin."

Ini bermaksud, tidak sempurna ibadat seseorang itu kecuali setelah hatinya dikosongkan dari segala gangguan-gangguan was-was nafsu syahwat perkahwinan. Lalu kekosongan tersebut diisi dengan Allah s.w.t. Perkara ini akan hanya akan diperolehi dengan jalan perkahwinan sahaja.

Abdullah bin Masud pernah mengucapkan:

"Seandainya umurku hanya tinggal 10 hari sahaja untuk aku hidup, nescaya yang kusukai ialah berkahwin supaya aku tidak menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.

Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua'z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya:

"Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang. "

Saidina Ali r.a. telah berkahwin selepas tujuh malam kematian Saiyidah Fatimah r.a.

http://www.kadjemputan.com/tips/tips1.htm


JEMPUTAN KE MAJLIS PERKAHWINAN

EN. SABRAN SIMAN dan keluarga dengan rasminya menjemput tuan/puan ke majlis perkahwinan anak sulung beliau Noer Husnizan dengan pasangan Nor Azdianah bte Mohd. Azad pada 12 Mac 2012 (Isnin) di Kg. Lembah Permai, Kundasang. Majlis meraikan tetamu jemputan seawal jam 2.00 petang sehingga 10.00 malam. Kehadiran tuan/puan sekeluarga amat diharapkan dan dihargai. Terima kasih. [ ]



Friday, March 2, 2012

JANGAN BAKHIL BERSELAWAT, SOLAH, ZAKAT DAN KIRIMAN PAHALA

Tazkirah Jumaat
2 Mac 2012 (8 Rabiul Akhir 1433H)


JANGAN BAKHIL BERSELAWAT

Rasulullah SAW telah bersabda: “Orang yang bakhil (kedekut) ialah orang yang apabila disebutkan namaku di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku.” (Riwayat Ahmad: 1645).

Apabila seseorang berselawat sebanyak sekali, dia mendapat sepuluh kali ganda ganjaran.

Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad).

Sebaliknya orang yang tidak berselawat akan kehilangan ganjaran ini. Dalam hadith yang lain disebut, binasalah orang yang tidak berselawat ke atas Baginda, namun ia bukanlah bermaksud kecelakaan tetapi sebaliknya menunjukkan satu kerugian atau kehilangan pahala yang besar.

“Binasalah seseorang yang namaku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat untukku.” (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)

Bahkan Rasulullah mendengar selawat kita.

“Sesiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Jadikanlah selawat sebagai amalan harian kita. Buatlah jadual harian untuk berselawat ke atas Nabi, samada di waktu pagi atau petang atau bila-bila masa sahaja.

Lafaz Selawat

Antaranya ialah Selawat Ibrahim yang biasa dibaca dalam sembahyang semasa tahiyyat akhir.

Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a telah berkata: “Wahai Rasulullah, ada pun cara mengucapkan salam kepadamu telah kami ketahuinya, maka bagaimana pula cara berselawat ke atasmu?” Rasulullah SAW menjawab: “Ucaplah: Ya Allah! berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” (Riwayat al-Bukhari: 442)

Selain itu Baginda juga mengajar selawat yang menyebut perkataan “Nabiyyil Ummi” sepertimana terdapat dalam al-quran misalnya dalam surah Al-A’raf ayat 158.

Allahumma Solli ‘Alaa Muhammadinin Nabiyyil Ummiyyi wa-’Alaa Aalehi wa-sallim Tasleeyma.(Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada Sayidina Muhammad seorang hamba, Nabi dan utusanMu yang ummi”) [Al-Jami Al-Saghir; Allamah Sakhaawi RA dalam Al-Qawl al-Badee’; Imaam Daraqutni RA and Al Muassah al-Rayyan]

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 80 kali pada hari Jumaat, Allah swt akan mengampunkan dosanya sebanyak 80 tahun. Telah ditanya; Wahai Rasulullah s.a.w, Bagaimanakah selawat itu? Baginda menjawab “Allah humma salli ala muhammadin abdika wa nabiyyika wa rasulikan nabiyyil ummi” [Al-Qawl al-Badee’; Al Muassah al-Rayyan; Takhreej Al-Ihya; Dar Al-Hadith)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/27/jangan-bakhil-berselawat/


SOLAH, ZAKAT DAN KIRIMAN PAHALA

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah swt sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. (Baqarah:110)

Dirikanlah Solah

Sembahyang itu adalah munajat, iaitu “personal contact” atau hubungan peribadi seorang Muslim dengan Allah swt dan kontrak sembahyang yang wajib ialah 5 waktu sehari semalam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya orang yang sedang sembahyang, adalah sedang munajat kepada Tuhannya ….. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Dalam satu hadith disebut “Sembahyang itu Mikraj orang Mukmin”. Orang mukmin ialah orang Islam yang patuh dan Mikraj pula bermaksud naik. Mukmin dinaikkan taraf atau status atau makamnya melalui ibadat sembahyang.

Keluarkanlah Zakat

Zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang diperolehi secara halal. Zakat adalah bertujuan untuk membersihkan harta tersebut. Harta yang sememangnya haram tidak wajib dikeluarkan zakat dan tidak dapat dibersihkan sama sekali, melainkan dengan cara dihapuskan kesemuanya atau diberikan kesemuanya kepada orang lain (umpama banjir yang tidak dapat menghayutkan sebuah pulau). Oleh itu pastikan sumber harta yang diperolehi adalah halal dari awal lagi.

Kiriman Pahala

“….dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah swt.”

Apa jua ibadah atau amalan yang dilakukan di dunia ini yang betul niatnya dan caranya akan dikirimkan pahalanya di negeri akhirat nanti. Setiap hari kita mengirimkan pahala melalui ibadah dan amalan yang dilakukan, seperti kiriman wang yang dilakukan oleh seseorang kepada seseorang di tempat lain melalui perbankan pada masa kini.

Dunia ini hanyalah satu tempat sementara dan di sinilah tempat kita diuji dan keputusannya diketahui di negeri Akhirat. Segala kebaikan yang telah dilakukan di sini (dunia) akan dihantar ke sana (kampung akhirat). Seperti pelaburan amanah saham, setiap yang dilaburkan pada masa dahulu akan diberi pulangan di masa hadapan (bijak dahulu bijak sekarang):

Muzammil [20]….dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah swt.

Sesungguhnya Allah swt sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan

Allah sifatnya “basar” iaitu melihat. Allah melihat tanpa memerlukan kepada biji mata, cahaya. Allah melihat semua yang dekat, jauh, samada dalam terang atau gelap. Kita pula hanya boleh melihat sesuatu dalam jarak tertentu dan dalam keterangan (cahaya) sahaja. Penglihatan Allah adalah penglihatan yang asli, kita cuma diberikan sedikit penglihatan untuk kegunaan di dunia ini. Allah melihat apa yang zahir dan yang batin atau tersembunyi.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/25/solah-zakat-dan-kiriman-pahala/