Monday, October 31, 2011

PUASA SUNAT PADA HARI ARAFAH, BERSEDEKAHLAH WALAUPUN HANYA SEPARUH KURMA, JAMINLAH UNTUKKU 6 PERKARA, AKU JAMIN SYURGA UNTUKMU

Tazkirah Jumaat
28 Oktober 2011 (30 Zulkaedah 1432H)


PUASA SUNAT PADA HARI ARAFAH

Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim).

Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.

Bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah, serta berselawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. bermula dari subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar hari tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Ini berdasarkan Hadith Jabir r.a. yang bermaksud bahawa “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bertakbir pada solat Fajar hari Arafah, sehingga waktu Asar daripada hari tasyriq yang terakhir, selepas Baginda memberi salam dari solat fardhu.” (riwayat Ad-Daruqutni)

Melaksanakan ibadat korban pada EidulAdha sehinggalah penghujung hari tasyriq. Ibadat ini mengingatkan masyarakat Islam untuk sentiasa bersifat ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ibadat ini juga dapat merapatkan hubungan dan menyebarkan kasih sayang di antara manusia, dengan perkongsian daging bersama mereka yang memerlukan, keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4524.0


BERSEDEKAHLAH WALAUPUN HANYA SEPARUH KURMA

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Peliharalah dirimu dari api neraka dengan bersedekah (walaupun) separuh dari sebiji tamar (kurma), dan kalau tidak dapat sedekah itu, maka keluarkanlah kata-kata yang baik” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Aisyah r. a. berkata “Aku dahulunya tidak mengetahui adanya siksa kubur sehingga datang kepadaku seorang wanita Yahudi meminta-minta, dan sesudah aku memberi (sebiji kurma) dia berkata: Semoga Allah melindungi kamu dari seksa kubur. Maka aku kira keterangannya itu termasuk penipuan kaum Yahudi, lalu aku ceritakan kepada Nabi s. a. w. Kemudian Nabi s. a. w. memberitahu kepadaku bahawa seksa kubur itu adalah benar, kehidupan atau kebangkitan selepas kematian itu adalah benar dan keramat wali itu adalah benar.

Maka seharusnyalah seseorang Islam itu, berlindung dengan Allah dari seksaan kubur, dan bersiap sedia untuk menghadapi kubur dengan amalan yang soleh seperti bersedekah. Dalam hadith yang lain disebut, “banyakkanlah sedekah kerana ia menyejukkan kamu di Alam Barzakh”.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/10/24/bersedekahlah-walaupun-cuma-separuh-kurma/


JAMINLAH UNTUKKU 6 PERKARA, AKU JAMIN SYURGA UNTUKMU

Rasulullah saw bersabda: “Jaminlah untukku enam perkara, aku jamin syurga untukmu, iaitu: bercakap benarlah bila kamu berbicara, tepatilah janji bila kamu berjanji, sampaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluanmu tahanlah pandangan matamu, dan tahanlah tanganmu.”(Hadith Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban, Baihaqi)

1. Bercakap benarlah bila kamu berbicara.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Cukuplah seseorang dianggap berbohong apabila dia senantiasa menceritakan semua yang dia dengar. (tanpa diselidiki kebenarannya)” (Riwayat Imam Muslim)

2. Tepatilah janji bila kamu berjanji.

Ada dua jenis janji iaitu janji bertulis dan janji secara mulut atau lisan. Kedua-duanya akan ditanya dihari kiamat. Dalam quran disebut:

……dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.(Al-Isra, 34)

3. Sampaikanlah apabila kamu diberi amanah

Kiamat berlaku disaat amanah disia-siakan. Kerja juga adalah satu amanah, sempurnakanlah kerja agar murah rezeki. Nabi Muhammad juga digelar Al-Amin kerana amanah. Amanahlah dalam semua aspek. Serahkanlah amanah kepada yang pakar dalam bidangnya.

Rasulullah saw bersabda, “tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji.” (HR. Ahmad).

Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila suatu perkara diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran (Riwayat Bukhari)

4. Jagalah kemaluanmu.

Jauhi dari digunakan pada tempat yang salah. (haram). Di dunia Allah beri satu (1) tenaga kepada setiap orang lelaki. Satu tenaga ini boleh diguna hanya kepada 4 isteri. Ramai orang yang tidak dapat jaga 1 tenaga dan nafsu ini dan digunakan pada tempat yang haram, iaitu perhubungan seks haram, pelacuran. Di syurga Allah akan beri 100 tenaga untuk lelaki dan perempuan. Jagalah tenaga yang 1 di sini untuk dapat 100 di sana.

5. Tahanlah pandangan matamu.

Kata pepatah Melayu dari mata turun ke hati. Kerana itulah kita disuruh merendahkan pandangan daripada memandang perkara yang haram dan wajah wanita atau lelaki yang bukan mahram. Diriwayatkan, Rasulullah berjalan dengan agak laju dan menundukkan pandangan.

An-Nur [30] Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

An-Nur [31] Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)……

6. Tahanlah tanganmu.

Tangan jugalah yang menyumbang kepada kejahatan walaupun sekadar mencuri selipar. Oleh itu ikatlah dan kawallah tangan daripada melakukan kejahatan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/03/jaminlah-untukku-6-perkara-aku-jamin-syurga-untukmu/

AMALAN ISTIGHFAR DITUNTUT SEBAGAI PENGHAPUSAN DOSA LALU, MENEPATI JANJI, BERKATA BENAR BUKTI KESEMPURNAAN

Tazkirah Jumaat
21 Oktober 2011 (23 Zulkaedah 1432H)


AMALAN ISTIGHFAR DITUNTUT SEBAGAI PENGHAPUSAN DOSA LALU

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah, jika kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka." - (Hadis riwayat Muslim)

Sudah menjadi lumrah manusia tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu dan godaan syaitan.

Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah.

Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambahlah dosa dilakukan lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.

Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah tetapi sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang.

Melakukan dosa biarpun yang dikatakan dosa kecil perlu dihindarkan kerana dosa kecil boleh menjadi dosa besar apabila:

Dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan: "Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan.

Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil dilakukan secara berterusan.

Jika dianggap kecil, tetapi sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpaling hati daripadanya.

lSebahagian ulama berkata: "Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya."

Jika disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.

Jika menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azab-Nya.

Jika dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.

Jika dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2008/07/amalan-istighfar-dituntut-sebagai.html


MENEPATI JANJI, BERKATA BENAR BUKTI KESEMPURNAAN

MENGHORMATI, menepati dan melaksana janji dipandang sebagai kewajipan harus diutamakan kerana ia memberi kesan mendalam kepada jiwa, memberi kedamaian dan kesejahteraan. Ia juga jalan keluar untuk memecah segala kebuntuan. Namun, ada kalangan kita masih tidak menepati apa dikata.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang beriman mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah jika kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan itu." (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Allah memerintahkan supaya setiap janji dibuat itu dipenuhi dan ditepati seperti firman-Nya bermaksud: "Hai orang beriman, tepatilah janjimu." (Surah al-Maidah, ayat 1)

Menepati janji dan berkata benar bukti kesempurnaan dan keadilan seseorang. Pepatah Arab ada berkata: "Barang siapa yang bermuamalah dengan seorang lain dan tidak berlaku aniaya. Jika berbicara tidak mengatakan yang dusta dan jika berjanji tidak menyalahi maka jelaslah orang itu memiliki keperwiraan sempurna, nyata pula keadilannya dan haruslah dipereratkan persaudaraan dengannya."

Meremehkan janji atau sengaja untuk tidak menepati apa diucapkan adalah suatu dosa besar yang pasti menyebabkan kebencian dan kemarahan. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah mengenai janji pernah dibuat sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Penuhilah janji itu, sebab janji itu akan ditanyakan." (Surah al-Isra', ayat 34)

Menepati janji sebahagian daripada iman dan balasannya adalah syurga. Firman Allah bermaksud: "Orang mukmin ialah yang menjaga amanat serta menepati janji, menjaga solat, maka mereka itu yang akan mewarisi syurga Firdaus dan kekal mereka di situ selama-lamanya." (Surah al-Mu'minum, ayat 11)

Namun, masih ada yang petah bercakap, manis di bibir menabur seribu janji. Ada yang tidak segan silu menabur dan menjaja pelbagai janji. Malah, ada sanggup bertopeng kejujuran dan menggadai amanat dengan menabur janji demi janji hanya untuk menjaga kepentingan.

Seorang mukmin tidak mungkin akan menyalahi janjinya dan mustahil pula mengkhianati amanah kerana perbuatan itu menyebabkan kurang dihargai, malah sukar untuk dipercayai.

Suatu ketika Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apakah sebab sehingga kamu dapat mencapai kedudukanmu itu? Beliau menjawab: "Dengan benar dalam berkata-kata, dan menunaikan amanat dan meninggalkan apa bukan kepentinganku."

Ulama tabiin pernah berkata: "Ketahuilah benar itu perhiasan wali dan dusta itu tanda orang yang celaka."

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2008/07/menepati-janji-berkata-benar-bukti.html

ZIKIR KIKIS PENYAKIT KERAS HATI, SIKAP MAZMUMAH

Tazkirah Jumaat
14 Oktober 2011 (16 Zulkaedah 1432H)


ZIKIR KIKIS PENYAKIT KERAS HATI, SIKAP MAZMUMAH

MENGISI waktu dengan perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah adalah sesuatu yang wajar dan perlu diamalkan dari semasa ke semasa demi mencapai puncak rahmat dan reda-Nya seperti yang didambakan setiap insan bergelar Muslim.

Namun, sangat mendukacitakan jika di kalangan masyarakat Islam hari ini ada yang belum terbuka pintu kesedarannya, lalu membiarkan usia berlalu begitu saja. Masih ada yang malas melaksanakan ibadat difardukan, enggan menerima nasihat, tidak gemar luangkan masa mendengar ceramah agama atau menghadiri majlis ilmu.

Sikap seperti itu mungkin ada pada hati keluarga kita, jiran, kawan, atau diri sendiri. Mengapa terjadi hal demikian? Jawapannya ialah kerana memiliki hati keras, diserang penyakit mazmumah seperti sombong, panas baran, dan suka perkara bertentangan hukum agama.

Orang berhati keras, sesungguhnya jauh daripada rahmat Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Sesungguhnya hati manusia ini pelbagai wajah seperti pernah diutarakan ulama tersohor Ibn Qayyim. Beliau berpendapat hati terbahagi kepada tiga iaitu:

Hati yang sihat dan selamat iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya mengenai kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.

Hati yang keras, iaitu hati yang tidak menerima dan taat pada kebenaran.

Hati yang sakit, jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati, jika ia mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya menjadi sihat dan selamat.

Daripada ketiga-tiga wajah hati itu, apa yang perlu dimiliki orang Islam ialah sekeping hati sihat dan selamat. Sebagai insan beriman dan cintakan Allah secara benar, maka sedaya upaya harus berusaha mengatasi hati keras dan mengubati hati yang sakit.

Jika dibiarkan, hati akan menghadapi beberapa perkara bahaya yang membinasakan iaitu memandang perkara buruk dan baik adalah sama saja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itu baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah.

Hati diserang penyakit seumpama itu masih boleh dirawat dengan membaca al-Quran, mendalami maknanya dan mengamalkan ajarannya untuk menghidup dan melunakkan hati, selain menambah ilmu pengetahuan serta membentuk akhlak terpuji.

Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Firman Allah bermaksud: "Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian." (Surah Al-Isra, ayat 82)

Jelas sekali selalu mengingati Allah boleh mengindahkan hati dan menenangkan perasaan. Berdasar pendapat Ibn Taimiyah, zikir itu penting bagi manusia, umpama betapa perlunya ikan kepada air.

Selanjutnya, perlu ada keinsafan dalam hati bahawa diri hanya sebagai hamba hina di sisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadat dilakukan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Rasa rendah diri, menghindarkan daripada sikap sombong dan meyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi murni, tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ".....Allah tidak menambah terhadap hamba yang memberi maaf melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya." (Hadis riwayat Muslim)

Hati juga akan berkembang mekar apabila mengingati kematian yang pasti kedatangannya. Makhluk lemah seperti manusia satu masa nanti pasti mengalami peristiwa kematian. Apabila ingat mengenai kematian, maka boleh melembutkan hati.

Syeikh Muhammad Husain Ya'qub dalam tulisannya, Tragedi Alam Kubur menyebut: "Zikrulmaut dapat mencegah daripada perbuatan maksiat, melunakkan hati, menghilangkan kecintaan terhadap dunia dan sedih terhadap musibah. Kematian adalah mauizah dan pemisah manusia dari segala dimilikinya."

Memang tak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan remaja, tandusnya budi pekerti dan budaya Islam, adalah akibat daripada kerasnya hati anggota masyarakat kita hari ini.

Hal itu boleh dibendung sebelum keadaannya semakin parah dengan kesedaran untuk kembali kepada sinar Islam dan hidayah Allah. Apabila semua hati anggota masyarakat dalam keadaan bersih dan sihat nescaya hidup masyarakat akan jadi aman, maju dan dipandang mulia.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2008/01/zikir-kikis-penyakit-keras-hati-sikap.html

KELEBIHAN MEMBACA SURAH AL BAQARAH

Tazkirah Jumaat
7 Oktober 2011 (9 Zulkaedah 1432H)


KELEBIHAN MEMBACA SURAH AL BAQARAH


Antara kelebihan surah Al baqarah seperti yang telah di sabdakan oleh Rasulullah SAW:

1. Rumah yang di bacakan surah Al Baqarah tidak akan dimasuki syaitan

Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Muslim dan An-Nasa-I meriwayatkan dari Suhail bin shalih, dari ayahnya, dari abu hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kuburan, sesungguhnya rumah yang di bacakan Surah Al Baqarah tidak akan dimasuki syaitan“ At tirmidzi mengatakan : hadis ini hasan sahih

Syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah Al baqarah.

Dari Abdullah bin Mas’ud, ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Semoga aku tidak mendapatkan salah seorang daripada kamu meletakkan salah satu kakinya diatas kaki yang lain sambil menyanyi dan meninggalkan surah Al Baqarah tanpa membacanya, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah Al baqarah. Sesungguhnya rumah yang paling kosong adalah rumah yang hampa dari kitab Allah (Al-Quran)“

Hadis riwayat An-Nas-I dalam kitab al-yaum wa al-lailah

Abdullah bin Mas’ud mengatakan : Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari surah Al baqarah iaitu ayat ;

• Surah Al baqarah ayat 1-5

• Ayat kursi dan 2 ayat berikutnya

• Surah Al Baqarah ayat 284-286

Maka syaitan tidak akan masuk kerumahnya pada malam itu. Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa dia dan keluarganya tidak akan didekati syaitan dan apa yang dibencinya ( binatang buas seumpamanya ). Dan tidaklah ayat ini jika bicakan kepada orang gila akan membuatkannya sadar.

2. Malaikat bersama dengan orang yang membaca surah Al Baqarah

Ini merupakan salah satu fadhilat dan kelebihan surah Al baqarah kepada pembacanya. Al Bukhari meriwayatkan dari Al-laits, dari yazid bin Al-Haad, dari Muhammad bin Ibrahim, dari Usaid bin Hudhair:

“Pada suatu malam dia membaca surah Al-Baqarah sementara kudanya ditambat berhampiran dengannya. Tiba-tiba kudanya itu pun berputar-putar. Ketika Usaid berhenti membaca, kudanya itu pun kembali tenang. Kemudian Usaid membacanya kembali dan kudanya itu pun kembali bergerak dan berputar-putar. Tatkala dia berhenti membaca, kudanya kembali diam. Kemudian dia membacanya lagi, kudanya itu pun bergerak dan berputar-putar. Maka dia pun berhenti membacanya sedangkan puteranya Yahya berada berhampiran kuda tersebut. Oleh kerana berasa bimbang dan kasihan kuda itu akan memijak anaknya, dia pun mengambil anaknya seraya penglihatannya mengadap ke langit dan dia melihat satu bayangan putih (berkelip-kelip) sampai dia tidak melihatnya lagi.

Ketika pagi menjelang, dia pun menceritakan perihal tersebut kepada Rasulullah SAW. Rasulullah bersabda :

“Wahai putera Hudhair, baca terus” Dia menjawab “ Ya Rasulullah, aku merasa bimbang kepada Yahya kerana dia berada dekat dengan kuda tersebut. Kemudian aku mengangkat kepalaku dan melihat ke langit, tiba-tiba aku melihat seperti suatu bayangan yang mirip lampu-lampu. Setelah itu aku keluar rumah dan melihatnya sampai aku tidak melihatnya lagi.”

“Tahukah engkau apa itu“ Tanya Rasulullah. “Tidak“ Jawabnya.

Beliau pun bersabda “ itulah malaikat yang mendekatimu untuk mendengar suara bacaanmu. Seandainya kamu terus membacanya (sampai pagi), nescaya pagi ini manusia akan dapat melihatnya tanpa terhalang.

3. Mendapat syafaat ketika di padang mahsyar.

Surah Al baqarah dan surah Ali’- Imran dipanggil surah az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di padang mahsyar kelak. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Umamah, dia berkata: “Aku pernah memdengar Rasulullah bersabda: “Bacalah Al-Quran kerana Al-quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di Akhirat kelak. Dan bacalah az-Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali’-Imran, kerana kedua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah keduanya bagai tompokan awan, atau 2 bentuk payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Keduanya akan berdalih untuk membela pambacanya di hari kiamat.“

4. Mengelak dari terkena sihir

Kemudian beliau bersabda lagi “Bacalah Al-Baqarah kerana membacanya akan mendatangkan berkah dan meninggalkanya bererti penyesalan. Dan para tukang sihir tidak akan sanggup menjangkaunya (si pembaca)” Kedua hadis diatas juga diriwayatkan oleh Muslim dalam kitabnya As-shalah.

Dalam sahih bukhari dan muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah membaca kedua-dua surah itu dalam satu rakaat.

Membaca dan mendengar bacaan Surah Al baqarah dengan terjemahan adalah salah satu dari Majlis zikir.

Sumber : Dipetik dari kitab Tafsir Ibnu Katsir

http://hadith2u.blogspot.com/2011/06/kelebihan-membaca-surah-al-baqarah.html

5 PERKARA ELOK DISEBUT

Tazkirah Jumaat
30 Sept 2011 (2 Zulkaedah 1432H)


5 PERKARA ELOK DISEBUT

5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. J
adi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

http://halaqah.net/v10/index.php?topic=5391.0

BERSEDEKAHLAH MENGIKUT KEMAMPUAN DAN KEIKHLASAN, TIPS ATASI GANGGUAN JIN, SYAITAN DAN SIHIR

Tazkirah Jumaat
23 Sept 2011 (24 Syawal 1432H)


BERSEDEKAHLAH MENGIKUT KEMAMPUAN DAN KEIKHLASAN

Hadiah Allah ke atas mukmin ialah dengan mendatangkan peminta sedekah di depan pintu rumahnya. Setiap peminta (sedekah) mempunyai haknya, sekalipun dia datang dengan menunggang kuda. Maka banyakkanlah bersedekah kerana sedekah menyejukkan Alam Barzakh yang panas. Sedekah juga menutup pintu keburukan dan sedekah tidak akan mengurangkan harta sebaliknya ia menambahkan harta.Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hadiah Allah ke atas mukmin ialah peminta sedekah di depan pintu rumahnya” (Riwayat Khatib)

Peminta sedekah yang datang ke rumah mukmin (orang-orang Islam yang baik) ialah pemberian daripada Allah kerana mereka tidak perlu bersusah payah untuk keluar mencari dan memberi sedekah. Maka janganlah lepaskan peluang ini untuk mendapatkan rahmat Allah. Berilah sedekah mengikut keikhlasan hati kita. Tanyallah hati sebanyak mana yang kita ikhlas untuk bersedekah. Semasa bersedekah, berkemungkinan kita akan tertipu. Penipuan yang dilakukan itu adalah di antara peminta sedekah dengan Allah, dan “dia punya pasallah”. Kita ang memberi adalah kerana Allah semata-mata.


Dalam hadis juga ada disebut : “Jika peminta sedekah itu datang dengan menaiki tunggangan; terpulang kepada kamu, kalau hendak beri maka berilah dan jika tidak, jangan berkata apa-apa”.

Setiap peminta (sedekah) mempunyai haknya, sekalipun dia datang dengan menunggang kuda (Hadis daripada ‘Ali bin Abi Talib r.a., dikeluarkan oleh Malik, Ahmad, Abu Daud, Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi, Abu Ya’la dan al-Thabarani, )

Jika peminta sedekah datang dengan menaiki motor atau kereta, kemudian meletakkan (parking) kenderaanya di tempat yang jauh, maka terpulanglah kepada kita samada hendak memberi sedekah atau tidak. Jika tidak mahu beri sedekah, berdiam sahajalah dan janganlah pula mengata-ngata orang itu. Mungkin juga dia kehabisan wang untuk mengisi minyak motor atau keretanya.

Banyakkan Bersedekah

…..dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sedekah Menyejukkan

Dalam hadith lain disebut, “banyakkanlah sedekah kerana ia menyejukkan kamu di Alam Barzakh”. Salah satu diantara 7 manusia yang dilindungi panas di hari Kiamat ialah “Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi (disedekahkah) oleh tangan kanannya”

Sedekah Menutup Pintu Keburukan

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sedekah akan menutup tujuh puluh pintu keburukan“ (HR.Thabrani). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sedekah dapat menolak 70 macam bencana, yang paling ringan diantara bencana itu adalah penyakit kusta dan sopak“ (HR.Thabrani).

Tidak Berkurang Harta Tetapi Bertambah

Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah”(Hadis riwayat Tirmidzi). Sebaliknya Allah akan mengganti setiap yang disedekahkan atau yang dikeluarkan zakat.

Saba [39] : Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun di darat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”

Orang Yang Berjaya Suka Bersedekah

…sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hashr:9)

Namun berpada-padalah dalam memberi:

Furqan [67] : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/09/21/bersedekahlah-mengikut-kemampuan-dan-keikhlasan/


TIPS ATASI GANGGUAN JIN, SYAITAN DAN SIHIR

1. Membaca Bismillah Sebelum Masuk Rumah Dan Sebelum Makan.

2. Membaca Bismillah Sebelum Menutup Pintu Rumah dan Menutup Bekas Minuman

3. Membaca Ayat Kursi Sebelum Tidur

4. Membaca Tiga (3) Qul Selepas Solat

5. Merapatkan Saf Solah Berjemaah

6. Membaca Surah Baqarah Di dalam Rumah

7. Melaungkan Azan

8. Mengucapkan La Haula Wala Quwwata Illa Billah Apabila Terlupa Sesuatu

9. Membaca Dua (2) Qul Sebelum Tidur

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/09/21/tips-atasi-gangguan-jin-syaitan-dan-sihir/

NIKMAT BERHARI RAYA DI SYURGA, BERHENTI DI MASJID

Tazkirah Jumaat
16 Sept 2011 (17 Syawal 1432H)


NIKMAT BERHARI RAYA DI SYURGA

Hari raya yang sebenar bagi orang Islam ialah kejayaan memasuki syurga, dan nikmat syurga yang paling hebat ialah kenikmatan memandang Allah s.w.t. As-Saffat [60] : Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.Terdapat pelbagai nikmat syurga, seperti nikmat makanan dan minuman serta nikmat-nikmat lain yang tidak dapat diceritakan secara terperinci. Walaupun diceritakan, tidak akan sampai/mampu akal kita untuk memikirkannya. Untuk mengetahui nikmat syurga yang sebenar ini, kita perlulah berusaha untuk masuk syurga terlebih dahulu, barulah boleh merasa nikmat syurga tersebut. Begitu juga sebagai misalan dalam dunia ini, hanya orang yang seronok sahaja yang tahu keseronokan yang dialaminya.

As-Saffat [61] : Untuk memperolehi (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).

Perkataan “Jannah” (syurga) adalah terhasil dari huruf Jim dan Nun, apabila dua huruf ini bertemu, ia membawa maksud sesuatu yang tersembunyi. Syurga ialah sesuatu yang tidak nampak dipandang dengan mata.

As Sajdah [17] : Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:Daripada Nabi saw., Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas dalam hati manusia.

Ahli syurga diberikan apa saja yang dikehendaki sepertimana firman Allah “wa lahum fii masytahat anfusuhum khooliduun”.

Anbiya [102] : …. mereka akan kekal selama-lamanya didalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Nikmat Makanan Dan Minuman..

At-Tur [22] : Dan (penduduk syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini. Pohon di syurga boleh melentur bagi memudahkan ahlinya makan:

Al-Insan [14] : Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.

As-Saffat [45] : Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. {46] Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya.{47 Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.

Nikmat Yang Paling Besar Ialah Nikmat Melihat Allah s.w.t.

Diriwayatkan oleh sahabat Shuhaib r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :”Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah s.w.t. bertitah, “Mahu kamu sekiranya aku tambahkan sesuatu ? Mereka menjawab “’Bukankah Engkau telah jadikan wajah-wajah kami bersinar, bukankah Engkau telah masukkan kami ke dalam syurga dan Engkau selamatkan kami daripada neraka?’. Lalu Allah membuka tabir yang menghalangi mereka daripada Allah s.w.t, maka tiadalah mereka diberi suatu kenikmatan yang lebih mereka sukai dan nikmati daripada memandang pada Tuhan mereka Yang Maha Agung dan Luhur. (Shahih Bukhari)

Seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran, banyak muka akan melihat Allah semasa mereka berada di dalam syurga.

Qiyamah [22] : Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; [23] : Melihat kepada Tuhannya.

Dalam satu riwayat diceritakan, pada satu hari semasa ahli syurga sedang asyik menjamah hidangan, Allah s.w.t menjelma dan semua ahli syurga berhenti daripada makan kerana terpegun melihat Allah. Nikmat melihat Allah ternyata lebih hebat daripada nikmat makanan dan minuman yang terdapat di dalam syurga.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/09/12/nikmat-berhari-raya-di-syurga/


BERHENTI DI MASJID

Di antara amal-amal baik bagi memakmurkan masjid ialah beriktikaf di dalamnya. Beriktikaf di masjid ertinya berhenti atau duduk di masjid dalam suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal bakti kepada Allah Subhanahu Wata’ala

Masa beriktikaf itu hendaklah diisi, sekurang-kurangnya dengan tahlil (zikir Lailaha illallah), beristighfar atau berselawat atas Nabi s.a.w. Amalan-amalan seperti ini boleh menghapuskan dosa-dosa kita dengan Allah.

Niat iktikaf “aku berhenti (atau duduk) dalam masjid kerana Allah taala“

Amalan beriktikaf juga diterangkan di dalam Al-Quran ”Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah (Kaabah) sebagai tempat manusia berulang alik (tempat berziarah) dengan aman dan sentosa. Sebab itu ambillah (jadikanlah) olehmu akan makam nabi Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan ismail supaya kedua-duanya membersihkan rumahku (kaabah) untuk orang-orang yang tawaf dan untuk orang-orang yang iktikaf, juga untuk orang-orang yang ruku dan sujud” (surah Al-Baqarah : 125)

Iktikaf yang paling utama ialah dalam bulan Ramadhan semasa melakukan ibadah puasa. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. biasanya beriktikaf pada 10 hari yang akhir dari bulan Ramadhan sehingga diwafatkan oleh Allah azawajalla, kemudian (amalan iktikaf itu) diteruskan oleh isteri-isteri baginda sesudah itu.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2008/03/01/berhenti-di-masjid/

3 AMALAN UNTUK MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA KECIL, JANGAN PANDANG REMEH DOSA-DOSA KECIL, DOAKAN IBUBAPA UNTUK MURAH REZEKI

Tazkirah Jumaat
9 Sept. 2011 (10 Syawal 1432H)


3 AMALAN UNTUK MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA KECIL

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bertanya (kepada para sahabatnya) “Adakah kamu ingin tahu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan dosa oleh Allah s.w.t. dan mengangkat darjat (kamu?) Maka mereka menjawab “Ya, wahai Rasulullah s.a.w.” Sabda Baginda, “Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan, dan banyakkanlah langkah menuju ke masjid-masjid (untuk sembahyang), menanti sembahyang selepas sembahyang adalah jihad“. Di dalam hadith daripada Malik bin Anas, itu adalah jihad, itu adalah jihad (disebut sebanyak dua kali dalam Riwayat Muslim). Manakala di dalam hadith riwayat Tirmizi pula disabdakan sebanyak tiga kali.

Di dalam hadith ini disebut 3 amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil dan menaikkan darjat seseorang Muslim iaitu; 1. Berwuduk ketika cuaca sejuk atau menggunakan air sejuk; 2. Memperbanyakkan langkah ke masjid dan; 3. Menunggu atau menanti satu sembahyang selepas satu sembahyang (juga merupakan satu jihad).

1) Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan.

Berwuduk ketika cuaca sejuk atau menggunakan air sejuk adalah satu amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

2) Memperbanyakkan langkah ke masjid

Dari Jabir r.a. lagi, katanya: “Bani Salimah – salah satu kabilah kaum Anshar yang terkenal radhiallahu ‘anhum – bermaksud hendak berpindah tempat berdekatan dengan masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., kemudian Baginda s.a.w. bersabda kepada Bani Salimah itu: “Sesungguhnya telah sampai berita kepadaku bahawa engkau semua ingin berpindah ke tempat berdekatan dengan masjid?” Mereka menjawab: “Benar, ya Rasulullah, kita berkehendak sedemikian itu.” Baginda s.a.w. bersabda lagi: “Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu – pahala melangkahkan kaki dari rumah ke masjid itu pasti dicatat sebanyak yang dijalankan. Jadi tidak perlu berpindah berdekatan masjid. Tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu.” (Riwayat Muslim)

3) Menanti sembahyang selepas sembahyang

Menunggu atau menanti satu sembahyang misalnya menunggu waktu Isyak setelah selesai mengerjakan fardu Maghrib atau keluar daripada masjid setelah selesai satu sembahyang tetapi kembali semula sebelum masuk waktu sembahyang yang berikutnya. Perbuatan menunggu satu sembahyang selepas satu sembahyang juga merupakan satu jihad. Jihad ini, adalah lebih mudah dan ringan untuk dilakukan jika dibandingkan dengan jihad peperangan. Namun begitu tidak ramai yang mampu untuk melakukannya kerana ia bercanggah dengan kehendak hawa nafsu. Nafsu lebih cenderung membawa seseorang untuk berada di luar masjid daripada menunggu di dalam masjid.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/08/3-amalan-untuk-menghapuskan-dosa-dosa-kecil/


JANGAN PANDANG REMEH DOSA-DOSA KECIL

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya dosa-dosa kecil, atau remeh apabila disoal kepada orang yang melakukannya, maka binasalah dia (Haqaiqus Sunan 1/156 dan Taudhihus sunan 1/205) Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, dosa kecil yang paling tinggi adalah dosa seorang lelaki melihat perempuan (yang bukan mahramnya).

Dosa-dosa kecil ini jika disoal dengan terperinci oleh Allah s.w.t. di hari kiamat ini, maka binasalah (terseksalah) orang yang melakukannya dan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Misalnya jika Allah menyoal kita mengapa kita menonton rancangan televisyen yang tidak sepatutnya ditonton.

Berkata Siti Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Aisyah, jauhi diri kamu daripada dosa-dosa kecil (lekeh) sesungguhnya dosa seperti itu ada tuntutan (pertanyaan) daripada Allah swt (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Ad Darami, dan Al Baihaqi Fisyu’bil Iman)

Daripada Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: ”Sesiapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan terseksa”. Aisyah bertanya: ”Bukankah Allah Azza Wajalla telah berfirman, “Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (al-Insyiqaq:8)” Jawab baginda:”Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.” Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya terseksa.” (Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/07/jangan-pandang-remeh-dosa-dosa-kecil/


DOAKAN IBUBAPA UNTUK MURAH REZEKI

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seseorang itu tidak lagi mendoakan untuk kedua ibubapanya, sesungguhnya dia telah memutuskan jalan rezekinya”. (Hadith Riwayat Ad-Dailami) Ibu adalah insan yang berpenat lelah serta dan bersusah payah mengandungkan anak di dalam rahimnya, manakala bapalah adalah orang yang memberikan benihnya.

Luqman [14] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Selalulah berdoa kepada kedua ibubapa dan balaslah jasa baik mereka, lebih-lebih lagi jasa ibu yang bersusah payah mengandungkan kita. Sentiasalah berdoa untuk mereka agar Allah swt mengampunkan dosa-dosa mereka terutamanya setiap kali setelah selesai sembahyang.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/07/28/doakan-ibubapa-untuk-murah-rezeki/