Thursday, June 23, 2011

MENDOAKAN ORANG SAKIT CEPAT SEMBUH DITUNTUT, FADILAT BACA 10 AYAT SURAH AL-BAQARAH

Tazkirah Jumaat
24 Jun 2011 (22 Rejab 1432H)


MENDOAKAN ORANG SAKIT CEPAT SEMBUH DITUNTUT

CARA seorang Muslim melawat saudaranya yang sakit berbeza dengan cara yang dilakukan oleh bukan Islam kerana disertakan dengan jampi dan doa. Maka di antara sunnahnya ialah kita hendaklah mendoakan si sakit dan menjampinya (membaca bacaan tertentu) yang ada diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

Contohnya: Imam al-Bukhari menulis "Bab Du'a al-'Aa'id lil Maridh" (Bab Doa Menziarahi Orang Sakit) dan menyebutkan hadis Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu didatangkan kepada baginda SAW, Baginda mengucapkan (doa yang bermaksud): "Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit." (Riwayat al-Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).

Dan Nabi SAW juga pernah menjenguk Sa'ad bin Abi Waqash kemudiannya Baginda SAW mendoakannya (yang bermaksud): "Ya Allah sembuhkanlah Sa'ad dan sempurnakanlah hijrahnya." (Riwayat al-Bukhari dalam fathul-Bari No.5659).

Ada sesetengah orang mengemukakan pandangan tidak perlu didoakan kesembuhan kerana mereka beralasan bahawa sakit dapat menghapuskan dosa dan mendatangkan pahala seperti disebutkan dalam beberapa hadis. Bagi kemusykilan itu, al-Hafiz Ibnu Hajar memberikan jawapan demikian, "Sesungguhnya doa itu adalah ibadat dan tidaklah menafikan antara pahala dan kafarat (penghapus dosa).

Sebab keduanya diperoleh pada permulaan sakit dan dengan sikap sabar terhadapnya. Adapun orang yang mendoakan, akan mendapat dua macam kebaikan, iaitu mungkin memperoleh apa yang dimaksudkan atau diganti dengan mendapatkan manfaat lain atau ditolaknya suatu bahaya yang mana semuanya itu adalah kurniaan Allah SWT."

Memanglah seorang Muslim itu hendaklah bersabar ketika menderita sakit atau ditimpa musibah, tetapi hendaklah juga ia meminta keselamatan kepada Allah SWT seperti hadis sabda Baginda SAW: "Janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah SWT. Tetapi apabila kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawasanya syurga itu di bawah bayang-bayang pedang." (Hadis Muttafaqun 'alaih daripada Abdullah bin Abi Aufa).

Dalam hadis Ibnu Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkan berdoa memohon 'afiat (keselamatan)." (Riwayat al-Tabrani dan adh-Dhiya').

Salah satu doa Nabi SAW (yang bermaksud): "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu penjagaan daripada yang terlarang dan keselamatan dalam urusan dunia dan agamaku, keluarga dan hartaku." (Hadis riwayat al-Bazzar daripada Ibn Abbas).

Di antara doa lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang menjenguk orang sakit, maka hendaklah ia mendoakannya dengan mengucapkan, "Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu, agar dia dapat membunuh musuhmu atau berjalan kepada-Mu untuk melakukan solat." Maksud musuh di sini mungkin orang-orang kafir yang memerangi umat Islam atau Iblis dan tenteranya.

Selain itu ada lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas berhubung sabda nabi SAW: "Barang siapa yang menjenguk orang sakit yang belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali (yang bermaksud "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi 'arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu") nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Doa-doa ini saudara boleh dapatkan dalam buku-buku doa keluaran Telaga Biru Sdn.Bhd.

Di antara sunnahnya lagi iaitu kita harus memberi harapan sembuh kepada pesakit seperti ucapan yang sering diucapkan oleh Baginda SAW iaitu "La Ba'sa Tohurun, Insya-Allah" (maksudnya: tidak apa-apa, bersih (sembuh), Insya-Allah). Maksud tidak apa-apa itu ialah jangan bimbang kerana penyakit yang dihidap akan sembuh.

Ucapan ini menimbulkan keyakinan, sekali gus menjadi doa semoga hilang penyakit dan penderitaannya serta kembali sihat di samping dapat menghapuskan dosa-dosanya.

Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadis daripada Abu Sa'is al-Khudri secara marfu' (maksudnya): "Apabila kamu menjenguk orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat menyenangkan hatinya." (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Sementara itu, bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, mengikut Sunnatullah- maka hendakah si pelawat itu memohon kepada Allah SWT agar Dia memberikan kasih sayang dan tunjukkanlah sikap yang lemah lembut kepadanya dan meringankan penderitaannya.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2010/01/persoalan-agama-mendoakan-orang-sakit.html


FADILAT BACA 10 AYAT SURAH AL-BAQARAH

DIRIWAYATKAN daripada Ibn Mas’ud r.a, katanya: “Sesiapa membaca 10 ayat daripada surah al-Baqarah ketika awal waktu siang, syaitan tidak akan menghampirinya hingga ke petang.

Jika ia membacanya pada waktu petang, syaitan tidak mendekatinya hingga ke pagi. Ia juga tidak akan melihat sesuatu yang ia benci pada keluarga dan harta bendanya,” (Riwayat al-Darimi, al-Bhaihaqi di dalam kisah Syu’ab al-Iman).

Ibn Mas’ud r a, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca 10 ayat: Empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kurysi, dua ayat selepasnya dan ayat penutup surah al-Baqarah, nescaya syaitan tidak akan memasuki rumah itu hingga pagi,” (Riwayat al-Tabrani dalam al-Kabir dan riwayat al-Hakim, kata hadis dinilai Sahih).

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2010/01/ingatan-bagi-pelupa-fadilat-baca-10.html

Thursday, June 16, 2011

SEKECIL-KECIL AMALAN TETAP JADI PENYELAMAT KITA DI AKHIRAT, MUTIARA HADIS

Tazkirah Jumaat
17 Jun 2011 (15 Rejab 1432H)


SEKECIL-KECIL AMALAN TETAP JADI PENYELAMAT KITA DI AKHIRAT
Oleh Ibrahim Abdullah

IBNU Qayyim al-Jauziyah menukilkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang panjang mengenai amalan yang boleh menyelamatkan seseorang daripada kesulitan pada akhirat kelak.

Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku semalam bermimpi melihat hal yang sangat menakjubkan. Aku melihat seorang daripada umatku didatangi oleh malaikat untuk mencabut nyawanya, lalu datang amalannya kepadanya dalam berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, sehingga amalan itu membuat malaikat kembali semula.

“Aku melihat seseorang yang sudah dipersiapkan kepadanya seksa kubur, lalu datang wuduknya sehingga wuduknya itu menyelamatkannya daripada seksa kubur.

“Aku melihat seseorang yang sudah dikepung banyak syaitan, lalu datang kepadanya zikirnya kepada Allah, sehingga zikirnya itu mengusir syaitan darinya.

“Aku melihat seseorang yang kehausan, sedang tiap kali ia mendekati telaga, ia diusir darinya. Lalu datanglah puasa Ramadan, sehingga puasanya itu memberikan minum kepadanya.

“Aku melihat seseorang di mana nabi masing-masing duduk dalam majlis halaqah, ia diusir dan dilarang untuk bergabung di dalamnya. Lalu datanglah mandinya dari hadas besar, sehingga mandinya itu membimbing ia dengan memegang tangannya seraya mendudukkannya di sampingku.

“Aku melihat seseorang yang di depannya gelap sekali, begitu pula di belakangnya, atasnya dan bawahnya, sehingga ia kebingungan mencari arah jalannya. Datanglah kepadanya haji dan umrahnya, lalu keduanya mengeluarkan ia daripada kegelapan dan memasukkannya ke tempat yang terang sekali.

“Aku melihat seseorang yang melindungi mukanya dengan tangannya daripada panasnya gejolok api, lalu datang sedekahnya kepadanya dengan menutupi gejolakan api dari mukanya seraya membimbingnya ke hadapan Allah.

“Aku melihat seseorang yang mengajak bercakap orang Mukmin, tetapi mereka mendiamkan diri. Datanglah silaturahim seraya berkata: “Wahai orang beriman, sesungguhnya ia adalah orang yang melakukan silaturahim, maka ajaklah dia bercakap.”

“Maka orang itu diajak bercakap oleh semua orang Mukmin dan mereka menghulurkan tangan untuk berjabat dengannya, sementara ia pun menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan mereka.

“Aku melihat seseorang yang sudah dicengkam malaikat Zabaniyah, lalu datanglah kepadanya amal makruf dan nahi munkarnya, hingga amalannya itu menyelamatkan ia daripada seksa Zabaniyah dan memasukkannya ke dalam lingkungan malaikat rahmat.

“Aku melihat seseorang yang jalannya merangkak dengan kedua-dua lututnya dan di depannya ada tabir yang memisahkan ia dengan Allah, lalu datanglah akhlak baiknya seraya memegang tangan dan membimbingnya ke hadrat Allah.

“Aku melihat seseorang yang catatan amalannya datang dari sebelah kirinya, lalu datanglah takwanya kepada Allah dan mengambil buku itu dengan meletakkannya di tangan kanannya.

“Aku melihat orang yang timbangan amalannya sangat ringan, lalu datang anaknya yang meninggal dunia waktu kecil, sehingga mereka memberatkan timbangan amalan baiknya itu.

“Aku melihat seseorang yang berdiri di tebing Jahanam, lalu datanglah harapannya kepada Allah, hingga harapannya itu menyelamatkannya dari Jahanam dan ia berjalan menuju syurga dengan selamat.

“Aku melihat seseorang yang terpelanting di atas neraka, lalu datanglah air matanya kerana takut kepada Allah hingga air mata itu menyelamatkannya dari jatuh ke neraka.

“Aku melihat seseorang yang sedang berada di atas jambatan (sirat) dengan tubuh gementar, lalu datang husnuzannya (sangka baik) pada Allah, hingga sikapnya itu menjadikan dia tenang dan ia berjalan dengan lancar.

“Aku melihat seseorang yang jatuh bangun di atas jambatan, kadang-kadang ia merangkak, kadang-kadang pula ia bergantung, lalu datanglah solatnya menegakkan kedua kakinya dan menyelamatkannya hingga ia mampu menyeberangi jambatan sampai ke pintu syurga.

“Akupun melihat pula seseorang yang sudah sampai ke pintu syurga, semua pintu ditutup baginya, lalu datanglah syahadahnya, sehingga dibukakan pintu syurga dan ia pun boleh masuk ke dalamnya.”

Itulah gambaran amalan yang dengan izin Allah boleh menyelamatkan umat Muhammad SAW yang benar-benar melaksanakan perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW dengan hati ikhlas.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2009/05/sekecil-kecil-amalan-tetap-jadi.html


MUTIARA HADIS NABI

"Sesungguhnya besar ganjaran adalah dengan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah jika Dia mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji dengan ujian. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah. Barangsiapa yang tidak bersabar, nescaya Allah juga tidak akan bersabar dengan mereka!" (Riwayat At-Tirmizi & Ibnu Majah)

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)

Friday, June 10, 2011

AMALAN BERSEDEKAH LEBIH AFDAL UTAMAKAN KELUARGA

TAZKIRAH JUMAAT
10 Jun 2011 (8 Rejab 1432H)


AMALAN BERSEDEKAH LEBIH AFDAL UTAMAKAN KELUARGA
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Wajib penuhi keperluan mereka di bawah tanggungan sebelum menolong orang lain.

TANGAN di atas lebih baik daripada tangan yang menerima ialah galakan supaya kita menjadi orang suka memberi, bukan yang meminta kerana kedudukan bersedekah lebih baik terutama jika mereka melakukannya dengan hati yang ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan sedekah yang dianjurkan Islam bertujuan melengkapkan kitaran hidup antara yang kaya dengan miskin kerana sebagai pihak mempunyai kelebihan, mereka bertanggungjawab membantu saudara yang memerlukan.

Mereka yang gemar bersedekah dijanjikan Allah ganjaran pahala yang besar. Firman-Nya yang bermaksud: "Siapakah yang mahu meminjamkan (hartanya) kepada Allah dengan pinjaman yang baik (iaitu dengan mendermakannya pada jalan Allah), lalu Allah melipatgandakan (balasannya) dan untuknya pahala yang mulia." (Surah al-Haddid, ayat 11)

Saranan supaya dimulakan sedekah kepada mereka yang menjadi tanggunganmu menjelaskan keutamaan bersedekah iaitu dengan mendahulukan keluarga di bawah tanggungan yang memerlukan bantuan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu." (Hadis riwayat Muslim)

Niat bersedekah juga perlu melihat kepada pihak yang ingin diberi sumbangan kerana ada sesetengah pihak bersedekah kepada orang lain, tetapi ahli keluarga tidak diberi perhatian sedangkan mereka juga mengharapkan sumbangan.

Rasulullah SAW menjelaskan melihat keperluan bersedekah kepada golongan yang ingin dibantu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Ahmad)

Jika seseorang bersedekah sedang dia tidak memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya, maka dia dianggap berdosa kerana mengutamakan amalan sunat bersedekah berbanding amalan diwajibkan baginya iaitu memenuhi segala keperluan keluarganya.

Sabda Nabi SAW: "Cukup seseorang dinilai berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya." (Hadis riwayat Muslim)

Jangan pula kerana terlalu ghairah untuk bersedekah, konon ingin mendapat keredaan serta ganjaran pahala, kita lupa tanggungjawab menyelesaikan urusan termasuk melunaskan hutang.

Menjelaskan permintaan hamba kepada Allah supaya dicukupkan keperluan dan dijauhkan daripada amalan meminta-minta, supaya umat Islam menjaga kehormatan diri serta berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada.

Sebaiknya, orang miskin tidak menampakkan kekurangan dalam hidupnya dan sentiasa bersabar serta reda dengan ketentuan Ilahi. Perbanyakkan doa kepada Allah supaya terpelihara diri dan keluarganya daripada sikap suka meminta. Menerusi sikap sedemikian, Allah akan memberinya kelapangan dalam hidup (meskipun tidak mewah) dan menetapkan sifat qana'ah (cukup) dalam jiwanya. Sebaliknya bagi mereka yang tidak memohon kepada Allah, tidak akan mendapat pertolongan-Nya.

Jika seseorang jauh daripada pertolongan serta perlindungan Allah, jiwanya lebih cenderung untuk melakukan perkara diharamkan.

Selagi seseorang itu mampu untuk bekerja dia perlu berusaha bersungguh-sungguh memenuhi keperluan hidup bagi diri dan keluarga daripada hasil titik peluhnya dan jangan mengambil jalan mudah dengan menjadi peminta sedekah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Salah seorang daripada kalian yang mengambil tali lalu tali itu digunakan untuk mengikat kayu bakar di atas punggungnya lalu dia menjualnya, maka dia menutup wajahnya (menjaga kehormatannya dengan bekerja) lebih baik daripada dia meminta daripada manusia, yang ada kalanya memberi atau tidak memberi." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini ialah dalil diharamkan seseorang itu menjadi peminta sedekah selagi dia masih mampu bekerja. Mereka yang suka meminta sedangkan mampu bekerja tetapi malas ialah golongan yang dicela.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seseorang lelaki yang sentiasa meminta daripada orang lain, pada hari kiamat yang akan datang, pada wajahnya tidak ada sedikit daging pun." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru, berusaha untuk mengelakkan diri daripada sikap suka meminta, apatah lagi bagi mereka yang sudah dicukupkan Allah rezeki, tetapi masih suka mendapat barangan yang diberi orang lain semata-mata untuk menambah apa yang ia ada.

Lebih baik pihak yang dikurniakan Allah rezeki, bersedekah kepada mereka yang memerlukan terutama barangan yang ia sayang, tetapi barang itu mendatangkan manfaat lebih kepada orang lain.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2009/05/amalan-bersedekah-lebih-afdal-utamakan.html

KIKIS SIKAP MALU, SEGAN JIKA MAHU LAKUKAN AMALAN BAIK, MUFLIS DI AKHIRAT

TAZKIRAH JUMAAT
3 Jun 2011 (1 Rejab 1432H)


KIKIS SIKAP MALU, SEGAN JIKA MAHU LAKUKAN AMALAN BAIK

KEMULIAAN serta kualiti manusia bukan dilihat pada fizikal yang cantik atau kekayaan, tetapi iman serta amal salih yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Menjadi pakej lengkap setiap orang beriman pasti gemar melakukan kebaikan dalam semua perkara. Semakin mantap iman, semakin mudah berbuat baik sekali gus darjatnya semakin tinggi di sisi Allah.

Di sinilah pentingnya kita mantapkan iman dan berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada kepada Allah, diri, masyarakat, haiwan dan alam. Semua yang dilakukan demi meraih kecintaan dan keredaan Allah sebagai kebahagiaan yang hakiki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya. Bahagialah orang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebaikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)

Ada individu enggan melakukan perkara baik seperti belajar atau mengajar ilmu bermanfaat kepada orang yang memerlukannya kerana malu. Sikap ini sangat mengelirukan, sebab malu hanya layak dalam perkara dilarang agama.

Kita sering berjumpa manusia yang memandang ringan terhadap kebaikan yang sedikit. Mereka keberatan atau enggan melakukannya lalu dicipta pelbagai alasan tidak masuk akal untuk mengelak daripada dilihat sebagai seorang pemalas dan orang yang bersalah.

Sedangkan Islam sangat menekankan perlunya manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Walaupun hanya bersedekah sebelah daripada sebiji kurma yang dianggap perkara remeh namun sesungguhnya tetap diperhitung Allah sebagai amalan soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hindarilah seksa neraka meskipun dengan bersedekah sebelah buah kurma. Siapa yang tidak mampu bersedekah separuh buah kurma sekurang-kurangnya dia bertindak dengan menuturkan perkataan yang baik dan bermanfaat." (Maksud Al-Hadis)

Sekecil apapun perkara kebaikan yang dilakukan tetap dinilai dan diberi pahala oleh Allah dan begitu juga dengan kemungkaran, tidak akan dibiarkan begitu saja, pasti akan menerima balasannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarah kebaikan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan pun ia pasti akan melihat akibatnya." (Surah Al-Zalzalah: 7-8)

Jika ruang hidup yang memang terhad ini tidak diisi dengan amalan baik yang mendatangkan manfaat, bermakna kita sudah melangkah di jalan salah yang terpesong daripada tujuan hidup sebenarnya dan seolah-olah sengaja mencampakkan diri ke dalam golongan orang rugi daripada rahmat-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar." (Surah Al-Asr: 1-3). Jika enggan atau berlengah-lengah maka dikhuatiri nanti kita tidak berkesempatan melakukan amal soleh disebabkan mungkin ditimpa sakit atau meninggal dunia.

Benarlah nasihat Hasan Basri: "Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung daripada nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian, amalan mana lagi yang akan kau pergunakan untuk 'bertaqarrub' (mendekatkan diri) kepada Allah."

Kita perlu sentiasa nyalakan semangat dan azam berlumba-lumba melakukan kebaikan selari suruhan agama supaya terhindar daripada segala kemungkaran.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka sentiasa khusyuk kepada Kami." (Surah Al-Anbia: 90)

Demi untuk menjadi insan mulia dan dikasihi Allah, kita perlu segera melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sesungguhnya Allah selalu bersama orang yang bertakwa dan selalu menambah amalan salih. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah An-Nahl: 128)

http://agamaberitaharian.blogspot.com


MUFLIS DI AKHIRAT

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).

Kalau orang menuduh kita dalam sesuatu perkara yang kita tidak terlibat, janganlah membalas tuduhannya, (walaupun kita mengetahui yang dia yang sebetulnya terlibat) kerana dia akan menanggung dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Kamu harus bertaqwa kepada Allah, jika seseorang mencelamu dengan sesuatu yang diketahuinya ada pada diri maka janganlah kamu membalas mencelanya dengan sesuatu yang ada pada dirinya, nescaya dosanya kembali kepadanya dan pahalanya untuk kamu, dan janganlah kamu mencela sesuatu.” (HR Ahmad dan Thabrani)

Kita boleh membalas sesuatu kejahatan yang dilakukan tetapi hendaklah dengan kadar yang sama. Misalnya jika ditumbuk, kita hanya boleh membalas dengan kekuatan tumbukan yang sama. Jika tidak diketahui dengan tepat kadarnya, maka lebih baik tidak dibalas kejahatan intu.

An-Nahl [126] Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/

IKHLAS DALAM BERAMAL SYARAT DITERIMA AMALAN, TANGGUNGJAWAB BAPA TERHADAP ANAK, SUNNAH MENGIRINGI TETAMU PULANG

TAZKIRAH JUMAAT
27 Mei 2011 (23 Jamadil Akhir 1432H)


IKHLAS DALAM BERAMAL SYARAT DITERIMA AMALAN

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menerima apa-apa amalan melainkan amalan yang dilakukan khas untuknya dan diharapkan supaya Allah memperkenankannya” (Riwayat An-Nasai melalui Abu Umamah)

Allah melihat kepada keikhlasan sesorang dalam melakukan amalan. Hati hendaklah baik dan ikhlas samada dalam hubungan dengan Allah juga dalam hubungan sesama manusia. Bahkan manusia tidak akan menerima persahabatan yang tidak ikhlas, misalnya persahabatan hanya untuk sesuatu kepentingan.

Ulama dahulu mengajar kita menyebut “Sengaja aku sembahyang kerana Allah” supaya kita mengikhlaskan atau melakukan sembahyang secara sukarela, daripada kehendak hati dan bukannya kerana paksaan.

Apabila Allah s.w.t berkenan dengan sesuatu perbuatan, maka pelakunya diletakkan dan dimasukkan ke dalam syurga dan dihindarkan daripada musibah di Padang Mahsyar dan api neraka.

Dari Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :”Siapa yang ingin bertemu dengan Allah, nescaya Allah ingin pula bertemu dengannya.Dan siapa yang benci bertemu dengan Allah, nescaya Allah benci pula bertemu dengannya.Sedangkan mati itu terjadi sebelum bertemu dengan Allah (Riwayat Muslim)

Semenangnya amalan kita tidak mencukupi untuk masuk syurga. Ulama mengatakan bahawa amalan sembahyang selama 500 tahun pun hanya cukup untuk membayar nikmat 2 biji mata sahaja.

Kita memerlukan kepada rahmat Allah untuk masuk ke dalam syurga. rahmat Allah meliputi seluruh orang Islam yang ikhlas dalam beramal.

Saiyidatina `Aisyah pernah bertanya : “Ya Rasulullah S.A.W., tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Taala?”

Lalu Baginda menerangkan: “(Benar wahai `Aisyah), tidak ada siapa pun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Taala” – (Baginda menegaskan) sebanyak tiga kali.

Saiyidatina `Aisyah berkata: Aku pun bertanya lagi: “Dan tidak juga Tuan, Ya Rasulullah? ” Maka Baginda pun meletakkan tangannya di atas kepalanya lalu bersabda: “Dan aku juga tidak, kecuali dilimpahi Allah dengan rahmat dan belas kasihan-Nya” – (Baginda menegaskan pengakuan nya itu sebanyak tiga kali).(Riwayat Baihaqi)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/25/ikhlas-dalam-beramal-syarat-diterima-amalan/


TANGGUNGJAWAB BAPA TERHADAP ANAK

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya termasuk hak seorang bapa terhadap anaknya ialah mengajarnya menulis, mempercantikkan namanya dan mengahwinkannya apabila dia telah baligh (cukup umur) (Riwayat Ibnu Najjar)

Ajar Anak Menulis

Daripada sejumlah 124,000 sahabat hanya 12 orang sahabat yang tahu menulis, maka Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat mengajar anak-anak mereka menulis.

“Ajarlah anak-anakmu, bukan dalam keadaan yang serupa denganmu. Didiklah dan persiapkan lah anak-anakmu untuk suatu zaman yang bukan zamanmu. Mereka akan hidup pada suatu zaman yang bukan zamanmu.”

Meletakkan Nama Yang Baik

Dalam sebuah hadith ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Nama yang paling baik ialah nama-nama Allah, namun haruslah ditambah perkataan “Abdul” sebelum nama Allah, misalnya Abdul Rahman. Ini diikuti dengan nama-nama nabi dan nama orang-orang soleh.

Mengahwinkan Anak Apabila Baligh

Seorang bapa hendaklah mengahwinkan anaknya yang telah cukup umur dengan pasangan yang sekufu iaitu setaraf. Ini kerana dibimbangi berlakunya perceraian di kemudian hari terutamanya apabila anak perempuan itu biasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/26/tanggungjawab-bapa-terhadap-anak/


SUNNAH MENGIRINGI TETAMU PULANG

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya adalah termasuk sunnah iaitu seseorang keluar menghantarkan tetamunya hingga sampai ke pintu (pagar) rumahnya (Riwayat Ibnu Majah)

Hantarlah dan iringilah tetamu yang pulang hingga ke pintu rumah atau pintu pagar (jika rumah berpagar) dan janganlah duduk di atas kerusi sahaja apabila mereka ingin balik. Ini adalah peradaban yang baik dan selaras dengan Islam. Perbuatan ini menjadikan hubungan di antara tuan rumah dan tetamu itu lebih mesra.

Apa yang dimakan oleh tetamu yang datang ke rumah kita adalah haknya kerana ianya adalah rezeki mereka, cuma ianya diletakkan dalam harta kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tetamu masuk ke rumah maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu” (Riwayat Ad-Dailami dari Anas r.a.)

Dari Abu Suraih al-Adawi bahawa dia berkata, mataku telah melihat Rasulullah saw dan telingaku telah mendengar ketika dia telah bersabda dengannya. Sabdanya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan tempohnya. Mereka berkata, apakah tempohnya? Baginda bersabda, satu hari satu malam dan tempoh bertamu adalah tiga hari dan apa yang selepas itu maka dia menjadi sedekah dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata dengan baik atau diam.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/25/sunnah-mengiringi-tetamu-pulang/

HADIS : TERIMA UNDANGAN DAN MENERIMA HADIAH, BALASAN SYURGA BAGI SIBUTA YANG SABAR, KEPUTUSAN SYURGA ATAU NERAKA TIDAK BERDASARKAN RUPA, KETURUNAN DAN

TAZKIRAH JUMAAT
20 Mei 2011/16 JAMADIL AKHIR 1432H


HADIS : TERIMA UNDANGAN DAN MENERIMA HADIAH

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksid: “Sekiranya aku dijemput menghadiri sesuatu majlis mahupun kecil atau besar nescaya aku menerima jemputan tersebut dan sekiranya aku dihadiahkan sesuatu barang yang bernilai atau tidak nescaya aku menerimanya juga” Riwayat Hadith Al-Bukhari

Huraian :

1. Dalam kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah menjaga hati dan perasaan orang lain agar hubungan silaturahim sentiasa terjaga selain dapat menghindari perselisihan faham yang mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.

2. Rasulullah s.a.w contohnya tidak pernah menolak sebarang pemberian atau hadiah dan baginda juga tetap menerima apa juga bentuk jemputan tanpa membeza-bezakannya sama ada kecil, besar, kaya, miskin atau sebagainya.

3. Orang yang memilih- milih jemputan bagi sesuatu jamuan atau hadiah yang diberikan kepadanya adalah mempamerkan sifat orang yang sombong dan bongkak sedangkan sifat ini adalah sangat dilarang di dalam Islam.

http://dakwah2u.blogspot.com/


BALASAN SYURGA BAGI SIBUTA YANG SABAR

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah tidak berpuas hati tentang balasan bagi seorang hamba yang kehilangan dua mata yang disayangi di dunia lalu dia bersabar menghadapinya, selagi dia tidak diberi balasan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Abdullah Bin Abbas r.a. sepupu kepada Rasulullah s.a.w juga seorang yang buta. Satu hari beliau telah pergi menemui seorang tabib (doktor) untuk membuat pembedahan matanya. Doktor mata itu mengatakan bahawa beliau mesti berehat dan tidak boleh banyak bergerak selama 7 hari selepas pembedahan dijalankan. Setelah diberitahu bahawa dia tidak dapat berjalan seminggu selepas pembedahannya, beliau membatalkan hasratnya untuk “operate” matanya kerana tidak mahu ketinggalan sembahyang berjemaah di masjid selama seminggu. Beliau memilih untuk bersabar dengan kebutaannya demi untuk mendapatkan syurga.

Abdullah Bin Abbas r.a. juga berdoa agar Allah memberinya penglihatan semasa beliau hendak berjalan ke masjid, agar tidak perlu dipimpin dan juga agar dapat melihat semasa membaca quran. Doanya dimakbulkan oleh Allah dan beliau dapat melihat hanya untuk berjalan ke masjid dan juga semasa membaca quran.

Dalam hadith yang lain disebut seorang yang dibutakan matanya samada sejak lahir atau selepas dan dia tidak mengungkit (redha), maka Allah akan membalasnya dengan syurga. Orang Islam yang buta semasa di dunia ini akan bangkit dalam keadaan celik semasa di Padang Mahsyar nanti.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/13/


KEPUTUSAN SYURGA ATAU NERAKA TIDAK BERDASARKAN RUPA, KETURUNAN DAN HARTA

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada paras rupa, tidak kepada nasab keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah melihat kepada hati kamu”.

“Allah tidak melihat ” bermaksud Allah tidak membuat keputusan tentang kedudukan seseorang samada di syurga atau neraka berdasarkan kepada paras rupa, keturunan dan harta yang dimiliki seseorang.

Paras rupa yang cantik atau tidak adalah ujian Allah semata-mata kerana Allah ingin melihat bagaimana kita menggunakannya dalam perbuatan dan pergaulan dan semuanya diberi markah.

Allah menciptakan pelbagai bangsa dan keturunan hanya untuk memperlihatkan kekuasaannya. Tetapi Allah tidak melihat keturunan seseorang dalam membuat keputusan syurga dan neraka. Dalam sebuah hadith disebut, sesiapa yang tercicir amalannya, nasab keturunannya tidak boleh membawanya ke hadapan (melepasi titian Sirat)

Rasulullah s.a.w bersabda “Sesiapa yang melambatkan amalan, keturunannya tidak akan bersegera untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga harta yang dimiliki, Allah hanya ingin melihat daripada mana kita mendapatkan harta itu (samada daripada sumber yang halal atau haram) dan ke mana ia dibelanjakan. Ada orang yang mendapat rezeki yang daripada sumber yang haram dan mengatakan “nak buat macam mana dah memang rezeki saya”. Sememangnya Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat semua rezeki samada halal atau haram adalah daripada Allah, namun rezeki yang haram akan diambilkira dalam perhitungan Allah nanti. Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya:

“Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?”

“Allah melihat kepada hati” bermaksud Allah melihat kepada keimanan dan keikhlasan sesorang dalam melakukan amalan. Hati hendaklah baik dan ikhlas samada dalam hubungan dengan Allah juga dalam hubungan sesama manusia. Bahkan manusia tidak akan menerima persahabatan yang tidak ikhlas, misalnya persahabatan hanya untuk sesuatu kepentingan. Ulama dahulu mengajar kita menyebut “Sengaja aku sembahyang kerana Allah” supaya kita mengikhlaskan atau melakukan sembahyang secara sukarela, daripada kehendak hati dan bukannya kerana paksaan.

Ada orang mengatakan “Aku ni luar saja jahat tapi dalam (hati) baik” dan “walaupun saya tidak bertudung (menutup aurat), tapi hati saya baik“. Sebenarnya kalau dalaman (hati) baik, maka luaran (amalan, perangai dan pakaian) pun baik kerana setiap amalan itu lahir dari hati.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/12/

KISAH IBLIS YANG INGIN BERTAUBAT DAN TIDAK DITERIMA, UJIAN ALLAH

Tazkirah Jumaat
13 Mei 2011

KISAH IBLIS YANG INGIN BERTAUBAT DAN TIDAK DITERIMA

Iblis, dengan segunung catatan kejahatan dan dosa dosa paling mengerikan, tiba tiba terbersit dalam hatinya untuk bertaubat memohon keampunan kepada Allah yang telah menciptakannya.

Iblis sebagai panglima terdepan yang mengajak semua orang untuk menentang Allah tiba-tiba berbalik dan berniat taubat. Allah tidak pernah menutup pintu taubat bagi siapa saja yang mau bertaubat, tak terkecuali bagi Iblis sang penentang yang nyata. Bahkan ampunan Allah jauh lebih besar dibanding dosa apapun yang dilakukan makhluknya. Selama kematian belum datang, maka pintu taubat masih terbuka. Hal ini berlaku untuk seluruh makhluk taklif iaitu makhluk Allah dari jenis Jin dan Manusia. Dan Iblis masih segar bugar, jadi kesempatan taubat masih ada. Apakah taubat Iblis diterima Allah? Tentu! Karena Allah Maha Pengampun. Lalu bagaimana cara dia bertaubat?

Iblis tentu saja kenal Jibril sang pemimpin para malaikat. Iblis diberitahu Jibril bahawa hanya ada tiga syarat bertaubat,

1. Istighfar (memohon ampun kepada Allah dengan sungguh-sungguh)

2. Menyesali semua dosa yang pernah diperbuatnya serta bertekad kuat untuk tidak lagi mengulanginya.

3. Laksanakan semua perintah Allah tanpa menawar

Diluar dugaan Iblis melakukan ketiga syarat tersebut dengan benar bahkan dalam waktu yang sungguh sangat cepat. Hal ini sangat masuk akal, mengingat Iblis termasuk salah satu Jin yang sangat cerdas. Apalagi didukung dengan umur Iblis yang sangat panjang sejak sebelum Adam sampai sekarang (lebih dari 11 ribu tahun), tentu pengalaman dan pengetahuannya tak ada manusia dan jin yang mampu menyamainya.

Tetapi ternyata usaha pertaubatannya terhenti pada satu perintah Allah pada syarat ketiga.

Jibril: Memohon ampunan dan menyesali dosa telah kau lakukan, dan hampir seluruh perintah Allah yang engkau sanggupi telah engkau lakukan, sekarang masih ada satu lagi perintah Allah yang harus engkau lakukan, apakah kau sanggup?

Iblis: Sanggup

Jibril: Baiklah. Allah memerintahkanmu untuk mendatangi kuburan Adam, bersujud pada Adam dan bersaksi bahwa Adam adalah makhluk yang dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifah, pengurus, pengembang tanggung jawab di bumi. (Iblis terdiam)

Jibril: Bagaimana? Apakah engkau sanggup? Sungguh tinggal satu hal ini saja yang belum pernah engkau lakukan sejak Adam diciptakan dahulu.

Setelah beberapa kali Jibril bertanya akhirnya Iblis menjawab,

Iblis: Aku diciptakan dari api sedangkan Adam diciptakan dari tanah. Aku lebih baik daripada Adam. Tapi kenapa aku yang harus sujud kepada Adam? Bukankah seharusnya Adam yang sujud kepadaku? Dulu Adam masih hidup, dan aku tak sudi bersujud padanya, apalagi sekarang dia sudah dimakan tanah. Takkan pernah aku berubah fikiran dalam hal ini. Kehadiran Adam membuatku tersingkir dari kedudukan mulia bersama malaikat. Sakit hatiku masih tersisa. Dahulu, hari ini dan sampai kiamat, aku tetap takkan sudi bersujud kepada Adam.

Jibril dan seluruh malaikat adalah makhluk mulia yang punya kedudukan yang sangat tinggi disisi Allah. Para malaikat yang teramat mulia semuanya tunduk pada perintah Allah termasuk ketika diseru untuk bersujud kepada Adam.

“Dan ingatlah ketika Kami serukan kepada para malaikat “Bersujudlah kalian semua kepada Adam” maka semuanya bersujud kecuali Iblis. Iblis enggan bersujud dan takabur (sombong). Dan (dengan demikian) Iblis termasuk orang yang ingkar (kafir)”

http://mo3slim.wordpress.com/2011/02/01/kisah-iblis-yang-ingin-bertaubat-dan-tidak-diterima/


UJIAN ALLAH

Hidup ini penuh dengan ujian dan cobaan. Segala sesuatu apabila tidak diuji dan dicoba, tidak nampak ke asliannya, sehingga orang tidak tau mana emas murni, dan mana loyang. Demikian pula pada manusia dan khususnya terhadap orang yang mengaku dirinya beriman, sudah tentu harus melalui ujian dan cobaan.

Firman Allah dalam Al-Ankabut (29 ayat 2-3): Apakah menusia mengira bahwa mereka dibiarkan mengatakan : “kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar- benar Allah mangetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta.

Al-Kahfi (18 ayat 7-8):

Dan sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah diantara mereka yang terbaik amal perbuatannya. Dan sesungguhnya kami akan menjadikan (pula) apa yang ada di atasnya menjadi tanah rata dan tandus

Ujian dan cobaan itu tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan saja, tetapi dapat juga berbentuk kesenangan, kesukaran dan kedukaan, sebagaimana Firman Allah :

Al-Anbiya (21 ayat 35): Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan dan kepada kamilah kalian kembali.

Ujian Allah dengan nikmat harta kekayaan dan berbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian dengan bencana, siksaan dan lain-lain. Hal ini di peringatkan oleh Allah Swt: dengan firman-Nya :

Al-Alaq (96 ayat 6-8): Ketahuilah ! Sesungguhnya manusia benar-benar malampui batas di kala menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Rab tempat kembali.

Rasululloh SAW pernah berkata : Demi Allah, bukanlah kakafiran atau kemiskinan yang aku khuatirkan atas kalian, akan tetapi justru aku khuatir (kalau-kalau) kemewahan dunia yang kalian dapatkan sebagaimana telah di berikan kapada orang-orang sebelum kalian, lalu kalian bergelumang dalam kemewahan itu sehingga binasa, sebagaimana mereka bergelumang dan binasa pula.

http://mo3slim.wordpress.com/2011/02/16/ujian-allah/