Thursday, February 17, 2011

ZIKIR TERAPI AJAIB UBAT KEGERSANGAN HATI, ROH INSAN, PESANAN IMAM AL GHAZALI

Tazkirah Jumaat
18 Feb 2011 (15 Rabiul Awal 1432H)


ZIKIR TERAPI AJAIB UBAT KEGERSANGAN HATI, ROH INSAN, PESANAN IMAM AL GHAZALI

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud: (Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia.

Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat maz mumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan, sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah. Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini? Lantas kata Hasan: Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain. (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.

http://www.bharian.com.my/articles/Zikirterapiajaibubatkegersanganhati_rohinsan/Article/


PESANAN IMAM AL GHAZALI

Imam Al Ghazali berpesan :

Segala gerak laku kamu dengan anggota badanmu adalah merupakan nikmat daripada Allah Taala yang diberikan kepada kamu. Maka janganlah kamu mengerakkan satu pun daripada anggota badan kamu untuk melakukan sebarang maksiat.

Gunakanlah anggota badan kamu untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah Taala.

Kecuaian menjaga anggota badan akan menimpakan akibat kepada diri sendiri.

Janganlah bersikap mudah "Tuhan Maha Pengampun dosa-dosa hambanya yang membuat maksiat " kerana ucapan itu benar dengan tujuan yang salah.

Ingatlah Rasulullah berpesan :

Orang cerdik ialah orang yang selalu memperhitung dirinya dan suka beramal untuk bekalan sesudah mati dan orang yang bodoh ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dengan pengampunan daripada Allah Taala). (Al Tarmizi)

http://nurthauffiq.blogspot.com/2009/08/pesanan-imam-al-ghazali.html

RAHSIA DI SEBALIK KEWAJIPAN SOLAT, MUTIARA HADIS

Tazkirah Jumaat
28 Jan 2011 (23 Safar 1432H)


RAHSIA DI SEBALIK KEWAJIPAN SOLAT, MUTIARA HADIS

IBADAT solat difardukan ke atas setiap Muslim bagi menunjukkan kepatuhan penuh ikhlas seorang hamba terhadap pencipta-Nya Yang Maha Esa. Solat sebenarnya mempunyai seninya yang tersendiri di samping 1001 rahsia yang belum dirungkai sepenuhnya, kecuali kita mengetahuinya sebagai ibadat diwajibkan ke atas setiap umat Islam.

Rahsia ketenangan dapat dirasai apabila dapat mengerjakan solat dengan betul dan khusyuk. Solat yang ditunaikan dengan rasa khusyuk, tawaduk dan hanya mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata, akan membuahkan kenikmatan dan rahmat yang memenuhi segala aspek kehidupan dunia dan akhirat.

Baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Masjid Umar Al-Khattab telah menganjurkan seminar ‘Solat dari Perspektif Sains’ di Bukit Damansara pada 23 Januari lalu.

Program tersebut telah menghimpunkan seramai 200 orang hadirin yang terdiri daripada saudara Muslim, mualaf dan penduduk setempat.

Pengarah Program, Mohd. Mustaqiim Asmuji yang juga selaku Ketua Unit Dakwah Penyelidikan berkata, program tersebut telah memberi pengetahuan kepada peserta cara dan. kaedah menyempurnakan ibadah solat dengan pergerakan serta postur badan yang betul ketika bersolat.

“Ia ini juga mendedahkan peserta kepentingan penjagaan kesihatan, sekali gus menerangkan kebaikan solat dalam penjagaan kesihatan yang betul yang telah terbukti melalui alatan-alatan yang digunakan dalam kajian solat yang telah dijalankan.

“Pergerakan rukun dalam solat yang membabitkan angkat tangan ketika niat, takbirratullihram, sujud, rukuk, duduk iktidal sehingga memberi salam sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri seperti satu senaman ringan.

“Program ini juga menyelidiki hikmah dan kesan terapeutik perubatan daripada pergerakan ibadat solat yang sempurna kepada kesihatan manusia. Solat sebagai suatu aktiviti fizikal unik yang ditunaikan secara berterusan memainkan peranan penting dalam memelihara keseinambungan sistem fisiologikal manusia yang meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi,” kata Mustaqiim.

Selain itu tambahnya, para peserta juga diberi peluang untuk melakukan teknik-teknik pergerakan solat yang betul dalam 13 rukun yang dipimpin oleh penceramah undangan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Wan Mansor Abdullah selaku Pengerusi Masjid Umar Al-Khattab.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim telah menyampaikan empat modul kepada peserta antaranya adalah ‘Komposisi Badan’. Komposisi badan ketika dalam keadaan rukuk, berdiri tegak, sujud, duduk antara dua sujud, duduk tahiyat dan salam dapat menghasilkan keputusan rawatan pada otot, pelancaran aliran darah, membantu proses pengepaman jantung dan melancarkan aliran darah ke otak.

Solat umpama senaman ringan dan berpuasa juga umpama diet yang baik kerana aktiviti ini boleh meningkatkan kadar pembakaran badan dan menurunkan kolestrol badan serta dapat menghindar penyakit jantung dan kegemukan.

Modul ‘Solat dari Perspektif Sains kepada Jantung’ pula menekankan sujud kerana ia adalah postur yang terbaik untuk kesihatan jantung kerana keadaan ini adalah sesuai dengan tarikan graviti yang akan mengakibatkan lebih banyak darah mengalir ke otak dan menjadikan otak lebih sihat dan cergas.

Pergerakan solat juga disyorkan kepada pesakit kardiovaskular sebagai suatu senaman iaitu dengan bersolat selama 30 minit yang bersamaan 12 rakaat bagi setiap hari untuk mendapatkan kesan yang efektif.

Kajian telah membuktikan bahawa kadar denyutan jantung adalah paling rendah pada kedudukan sujud ini adalah kerana nada jantung yang nominal adalah baik untuk jantung dan nilai prognostik denyutan jantung dalam populasi yang sihat juga menjadi penentu kepada faktor risiko penyakit kardiovaskular.

Modul ‘Terapi Sakit Pinggang’ pula telah dibuktikan dengan melampirkan beberapa kajian analisis yang dapat memulihkan fungsi otot-otot dan merawat sakit pinggang dengan kaedah bersolat. Postur dan pergerakan solat boleh digunakan sebagai salah satu rawatan pemulihan alternatif untuk menyembuhkan atau mengurangkan sakit pinggang bukan sahaja kepada pesakit pinggang yang kronik tetapi juga disyorkan kepada wanita mengandung.

Keputusan analisis kajian telah menunjukkan peningkatan dan kesan positif kepada pesakit mati pucuk selepas melakukan solat dalam penerangan Modul ‘Terapi Mati Pucuk’. Pergerakan solat juga melancarkan perjalanan darah di sekitar otot lantai pelvik untuk pemulihan ke atas pesakit.

Majlis diserikan lagi dengan majlis penutup dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah yang disampaikan Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Abdul Hanif Harun.

http://www.malaysianbite.com/rahsia-di-sebalik-kewajipan-solat/


MUTIARA HADIS

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)

10 KEBAIKAN DIBERIKAN KEPADA INSAN TAK LEKANG AMALAN ZIKIR, RENUNGAN

Tazkirah Jumaat
28 Jan 2011 (23 Safar 1432H)

10 KEBAIKAN DIBERIKAN KEPADA INSAN TAK LEKANG AMALAN ZIKIR

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar


DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.

Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir?

Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah.

Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan.

Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35

Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik.

Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’

Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi

Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan. Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah, dimurahkan ruang rezekinya, membangkitkan aura sahsiah peribadi murni, dapat menghidup dan menjernihkan hati.

Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah, mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji. Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik dan bersedia hidup penuh berani. Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq. Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti.

Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.

http://www.bharian.com.my/articles/10kebaikandiberikankepadainsantaklekangamalanzikir/Article/

RENUNGAN

"Wahai orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir"
(Al Baqarah: 264).