Friday, June 25, 2010

ASY SYAHIID, AL HAQQ, KELEBIHAN LA ILAAHA ILLALLAH, BERSEDEKAH TIDAK MENGURANGKAN HARTA, KAFIR

Tazkirah Jumaat
28 Jun 2010 (12 Rejab 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

51. ASY SYAHIID ERTINYA MAHA MENYAKSIKAN

“Ya Syahiid!” Apabila ada di kalangan anggota keluarga kita yang suka membangkang dan sebagainya, maka zikirkan sebanyak 319 x secara berterusan setiap malam sehingga si pembangkang akan sedar & berubah perangainya.

52. AL HAQQ ERTINYA MAHA BENAR

“Ya Haq”! Perbanyakkan zikir ini, InsyaAllah ianya sangat berfaedah sekali untuk menebalkan iman & taat di dalam menjalankan perintah Allah.


KELEBIHAN LA ILAAHA ILLALLAH

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan “La ilaaha illallah” maka dia dimasukkan kedalam syurga” (HR. Hakim)

Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda:Jibril telah datang kepada aku lalu berkata,”Sampaikanlah khabar gembira kepada umatmu, bahawa sesungguhnya sesiapa yang mati dengan tidak mempersekutukan Allah Subhanahu Wata’ala, maka dia akan masuk syurga.”

Aku bertanya, “Ya Jibril, sekalipun dia telah mencuri dan berzina?” Jibril menjawab, “Ya“.

Aku bertanya lagi, “Sekalipun dia telah mencuri dan berzina?. Jibril menjawab, “Ya“.

Aku bertanya lagi sekali, “Sekalipun dia telah mencuri dan telah berzina?”

Jibril menjawab, “Ya, dan sekalipun dia telah minum arak” [Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Hibban dari Abu Dzar]

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/18/kelebihan-la-ilaaha-illallah/


BERSEDEKAH TIDAK MENGURANGKAN HARTA

Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (Hadith riwayat Tirmidzi).

Sebaliknya Allah akan mengganti setiap yang disedekahkan atau dikeluarkan zakat.

Saba [39] Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”

Hanya Syaitan yang membisikkan bahawa bersedekah itu menyebabkan kemiskinan sedangkan Allah menjanjikan keampunan bagi mereka yang bersedekah.

Baqarah [268] Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/18/bersedekah-tidak-mengurangkan-harta/


KAFIR

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: Samada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Baqarah:6) (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah materaikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. (Baqarah:7)

Kafir dari segi istilah bermaksud menyembunyikan, misalnya saji itu kafir, ia menyembunyikan lauk, serban itu kafir kerana ia menyembunyikan sebahagian kepala, malam itu kafir, ia menyembunyikan siang.

Kafir dari segi syarak pula bermaksud menyembunyikan kebenaran iaitu Allah sebagai tuhan, nabi dan rasul sebagai utusan, Hari Kiamat sebagai hari pembalasan.

Orang-orang kafir tidak percaya dan menyembunyikan 3 kebenaran ini yang terdapat di dalam Al-Quran iaitu Allah, nabi Muhammad dan Hari Kiamat. Bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib dan Abu Jahal tahu tentang kebenaran kenabian Baginda, cuma mereka tidak menerima Al-Quran yang dibawa olehnya..

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata). (Al-:Anam:33)

Orang-orang kafir ini (yang kafir sejak azali lagi ) tetap tidak akan beriman walaupun diberikan peringatan dan amaran. Namun kita perlu terus berdakwah kerana kita tidak mengetahui apakah mereka akan mati dalam kafir atau dalam Islam. Rasulullah s.a.w. tetap berdakwah walaupun Baginda tahu bapa saudaranya tidak akan menerima Islam.

Kita hanya boleh menunjukkan jalan tetapi Allah jualah yang menyampaikannya.

Qasas [56] Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam).

Kita juga adalah umat terbaik yang ditugaskan untuk berdakwah:

Ali-Imran [110] Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/21/kafir/

Friday, June 18, 2010

AL-MAJID, Al-BAA'ITS, 4 PEMANGKIN KE SYURGA, PENGHULU ISTIGFAR

Tazkirah Jumaat
18 Jun 2010 (5 Rejab 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

49. Al-Majiid – Yang Maha Mulia dan Maha Luhur.

“Ya Majiid!” Untuk ketenteraman keluarga di mana setiap anggota keluarga sentiasa menyayangi & menghormati & khasnya kita sebagai ketua keluarga, maka amalkan zikir ini sebanyak 99 x, sesudah itu hembuskan kedua belah tapak tangan & usap ke seluruh muka. InsyaAllah semua anggota keluarga kita akan menyayangi & menghormati kita sebagai ketua keluarga.

50. Al-Baa’its – Maha membangkitkan makhlukNya dihari kemudian.

“Ya Baa’its!” Zikirkan sebanyak 100 x dengan meletakkan kedua tangan ke dada, InsyaAllah akan memberi kelapangan dada dengan ilmu & hikmah.

4 PEMANGKIN KE SYURGA

Rasulullah s.a.w. bersabda “Berkata-katalah dengan baik, sebarkanlah salam, dan hubungkanlah silaturrahim serta sembahyanglah di malam hari ketika orang sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera.

1) Berkata-katalah dengan baik.

Bercakaplah perkara-perkara yang baik, dengan lemah-lembut, tidak menyakiti orang lain, tidak menyindir, tidak sengaja menimbulkan kemarahan atau menyinggung perasaan. Lidah jugalah yang membawa tuannya ke neraka.

Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) ditanya tentang apakah (penyebab) yang paling banyak membawa manusia masuk syorga, lalu jawab baginda: Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia. Dan beliau ditanya pula tentang apakah (penyebab) yang paling banyak membawa manusia ke neraka, jawab baginda: Dua rongga: mulut dan faraj (kemaluan). [Hadis Sahih Riwayat Tarmidzi]

2) Sebarkanlah salam.

Berilah salam terutamanya kepada sesama Islam dan sesama jantina kerana salam menimbulkan kasih sayang. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Muslim tentang salam.

“Kamu tidak akan masuk syurga, sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman, sehingga kamu saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua, sesuatu yang dengan melakukannya, maka akan wujud rasa sayang-menyayangi? Tebarkan salam”

3) Hubungkanlah silatur-rahim.

Hubungkanlah silatur-rahim dan berbaiklah dengan keluarga, jiran dan orang-orang kafir sekalipun kerana umat Islam adalah umat pilihan yang harus menunjukkan contoh yang baik.

Baqarah [143] Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)

Bertegur sapa dan tolong menolonglah. Rahim juga adalah nama Allah yang bermaksud maha mengasihani. Dalam hadith disebut, orang yang paling sensitif rasa kasihan belasnya paling dikasihani oleh Allah.

4) Sembahyanglah di malam hari ketika orang sedang tidur.

Antara perangai-perangai orang yang masuk syurga ialah:

Sajadah [16] Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud.

Orang-orang soleh yang terdahulu sebelum kita sangat sedikit tidur mereka. Ada yang 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam.

Ad-Dhariyat [17] Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Kerana itu syurga kelas VIP banyak dipenuhi orang-orang terdahulu dan sedikit sahaja dari golongan kemudian..Sullatun minal awwalin wa qolilun minal akhirin.

Ar-Rahman [12](Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.[13](Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; [14] Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/11/4-pemangkin-ke-syurga/


PENGHULU ISTIGFAR

“Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya ) lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dari kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam (petang) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dari kalangan ahli syurga.” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Ya Allah, Engkaulah Rabbku tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Dan aku tetap di atas perjanjian dan taatsetia terhadapMu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosa yang aku lakukan, Oleh itu ampunilah dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/24/penghulu-istigfar/

Friday, June 11, 2010

AL-HAKIIM, AL-WADUUD, BULAN REJAB MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH, 2 ORG YG MENYESAL

Tazkirah Jumaat
11 Jun 2010 (28 Jamadil Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

47. AL-HAKIIM - MAHA BIJAKSANA

"Ya Hakiim!" Bagi pelajar atau sesiapa sahaja yang memperbanyakkan zikir ini setiap hari, InsyaAllah akalnya akan menjadi cerdas & lancar didalam menghafal & mengikuti pelajaran. Amalkanlah sekurang-kurangnya 300x setiap hari.

48. AL-WADUUD - MAHA MENCINTAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN

"Ya Waduud!" Amalkan zikir ini sebanyak 11,000 x pada setiap malam. InsyaAllah kita akan menjadi insan yang sentiasa bernasib baik, disayangi & rumahtangga kita akan sentiasa berada didalam keadaan harmoni.


BULAN REJAB MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

InsyaAllah 1 Rejab 1431H tahun ini jatuh pada hari Ahad ini, 13 Jun 2010.

PENGENALAN

1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -

a. Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.

b. Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.

c. Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.

d. Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

BULAN REJAB MENURUT AL-QURAN

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram …”
(At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)

Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.

BULAN REJAB MENURUT AS-SUNNAH

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

PERSELISIHAN PENDAPAT MENGENAI HADIS-HADIS BERKAITAN KELEBIHAN BULAN REJAB

Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
• “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.
(Hadis ini dikatakan mun’kar ² bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)

“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.
(Hadis ini juga dhai’f)

“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)

Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit.

Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.

Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.

Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah. Wallah hu’alam bissawab.


Rujukan:
1. Terjemahan Al-Quran Al-Karim
2. FIQH dan Perundangan Islam – Dr Wahbah Az-Zuhaili
3. Fikih Sunnah – Sayid Sabiq
4. Fatwa Masa Kini (Jilid 3 & 4) – Dr Yusuf Al-Qaradawi
5. Islam & Manusia (1001 Kemusyiklan) – Dr Abdul Hayei Abdul Sukor
6. Fazilat Bulan Rejab, Sya’ban & Ramadzan – Budiman Radzi
7. Fatwa Online (Islam Online)
8. Dairi Islamiah 1999
9. Kuliah Zuhur – Maulana Syed Noor Muhammad (Kelulusan Mufti)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/08/01/bulan-rejab-menurut-perspektif-al-quran-dan-as-sunnah/


2 ORANG YANG PALING MENYESAL

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Orang yang paling menyesal (berdukacita) pada hari Kiamat ialah orang yang ada peluang menuntut ilmu di dunia, tetapi dia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan orang yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan dia sendiri tidak mendapat apa-apa.(Riwayat Ibnu As-Sakir dari Anas r.a.)”

Dalam hadith ini diterangkan tentang 2 orang yang paling menyesal dan berdukacita pada hari Kiamat.

1. Orang yang mempunyai peluang dan kesempatan untuk belajar tetapi tidak belajar.

Pada hari Kiamat Allah akan tanya “kenapa tidak belajar?”. Sekurang-kurangnya kalau kita melakukan sesuatu yang tidak betul, kita dimaafkan kerana masih belajar. Ambillah kesempatan untuk belajar dan ilmu tidak habis untuk dipelajari.

2. Orang yang diberi ilmu, orang lain mendapat faedah daripada ilmunya tetapi dia sendiri tidak mengambil faedah daripada ilmunya.

Janganlah jadi seperti lilin yang hanya membakar dirinya untuk orang lain, tanpa sebarang faedah kepadanya. Sama-samalah mencerahkan diri sendiri dan orang lain dan belajarlah untuk diamalkan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/04/2-orang-yang-paling-menyesal/

Thursday, June 3, 2010

AL-MUJIB, AL-WAASI’, AYAT YG TERBESAR, KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS

Tazkirah Jumaat
4 Jun 2010 (21 Jamadil Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

45. AL-MUJIB – MAHA MENGABULKAN

“Ya Mujiib!” Sesungguhnya Allah adalah Zat yang menerima doa hambaNya & agar doa kita mustajab & selalu diterima Allah, hendaklah mengamalkan zikir ini sebanyak 55 x sesudah solat subuh. Insyaallah Tuhan akan mengabulkan doa kita.

46. AL-WAASI’– MAHA LUAS PEMBERIAN-NYA

“Ya Waasi!” Apabila di dalam kesulitan maka amalkan zikir ini sebanyak 128 x setiap pagi & petang, InsyaAllah segala kesulitan akan hilang berkat pertolongan Allah. Andai zikir ini sentiasa diamalkan, InsyaAllah Tuhan akan menjaga kita dari hasad dengki sesama makhluk.


AYAT YANG TERBESAR

Rasulullah saw. bersabda, ‘Ayat yang terbesar di dalam Al-Qur`an adalah ‘Allaahu laa ilaaha illaa huwa al-hayyul qayyuum.

Ayat Kursi menceritakan tentang ketuhanan

Al-Baqarah [255] Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).…. Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

Nabi Musa pernah bertanya samada Allah tidur atau tidak. Lalu Allah menyuruh Nabi Musa memegang gelas sehingga dia tertidur dan gelas itu pecah. Demikian Allah mejelaskan secara praktikal apa akan terjadi pada bumi ini kalau Allah tidur.

Masuk Syurga

Dari Abi Umamah,Nabi s.a.w bersabda:“Sesiapa membaca ayat kursi selepas setiap solat fardu, nescaya tidak ada yang menghalanginya dari masuk syurga kecuali kalau dia tidak mati.”

Elak Gangguan Syaitan

Dalam kisah Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dengan syaitan yang mencuri harta zakat, disebutkan bahwa syaitan tersebut berkata,“Biarkan aku mengajarimu beberapa kalimah yang Allah memberimu manfaat dengannya. Bila engkau masuk ke tempat tidur, bacalah ayat kursi. Dengan demikian, akan selalu ada penjaga daripada Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” Ketika Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam, beliau berkata, “Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.” (HR. al-Bukhari no. 2187)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/29/ayat-yang-terbesar/


KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS

"A'uzubillah himinashsyaitannirrajim... Bismillahirrahmannirrahim"

Tafsirannya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah ayat ini sebelum memulakan apa2 saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga disekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Sebelum masuk rumah, bacalah ayat di atas,kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu Ahad. Allahussamad.Lam yalid walam yu-lad.wa lam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali.

Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah, berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur.

Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat,amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk didalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya :Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab.Malah Saiyidina Umar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat.

Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Umar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas 3 kali.

Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juz kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa RasulullahSAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas.

Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami,sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kpd orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi : Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis disayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalidwalam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahukufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

http://simaas.blogspot.com/2009/12/kehebatan-surah-al-ikhlas.html