Friday, November 27, 2009

SYAITAN & KAFIR, HIKMAH KORBAN

Tazkirah Jumaat
27 Nov 2009 (10 Zulhijjah 1430)


SYAITAN DAN KAFIR

Syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang Islam kecuali mereka yang tidak sembahyang dan hidup bergelumang dengan dosa. Syaitan dijadikan untuk menambat golongan Kafir supaya tidak masuk Islam:

Maryam [83] Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

Golongan kafir pula mengatakan:

Az-Zumar [57] Atau berkata: Kalaulah Allah memberi hidayat petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertakwa!

Sedangkan jika Allah beri hidayat petunjuk sekalipun mereka tetap tidak mahu menerimanya:-

Hud [28] Nabi Nuh berkata: Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Dia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?

Syaitan sebenarnya takutkan Allah:

Al-Anfal [48] Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksaNya.

Bila Allah tanya mengapa Syaitan menggoda manusia, mereka tak mengaku mengoda.

Qaf [27] (Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Setelah dikeluarkan semua orang yang mempunyai iman walau sekecil mana sekalipun dari neraka, orang-orang kafir merasa alangkah baiknya jika mereka beriman semasa di dunia dahulu. Jika mereka Islam semasa di dunia dahulu, bolehlah mereka keluar dari neraka.

Hijr [2] Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.

Al-Maidah [37] Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api Neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.

Apabila orang kafir naik ke lapisan atas dan hendak keluar dari neraka, mereka dicampak kembali oleh malaikat ke dalamnya:

Al-Hajj [22] Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!

Orang-orang kafir kekal dalam neraka:

Al-Baqarah [39] Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Al-Bayyinah [6]Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.

At-Taghabun [10]Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli neraka, kekallah mereka di dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Semoga Allah lindungi kita dari kufur, syirik dan neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/20/syaitan-dan-kafir/


HIKMAH DI SEBALIK IBADAH KORBAN

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada hari raya ialah melakukan korban. Waktu menyembelihnya ialah sesudah mengerjakan salat sunat Aidil Adha sehingga hari tasyrik ( 13 Zulhijjah ). Ianya boleh dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing untuk seorang atau seekor lembu untuk tujuh orang. Firman s.w.t. :

Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )".
( Surah al-Kausar : 1-3 )

Berdasarkan kepada Firman Allah tersebut, jamhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pعla lebih besar. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah s.a.w. :

"مَنْ وَجَدَ سَعَةً ِلأَنْ يُضَحِّيَ فَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنـَا"

Maksudnya : " barangsiapa yang mempunyai kelapangan ( mampu ) untuk berkorban tatapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini ".
( riwayat Ahmad dan Ibni Majah )

Dari Hadis ini dapat dibuat kesimpulan, bahawa ibadah korban itu sangat penting sehingga hukumnya seolah-olah hampir kepada wajib, terutama kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahkan dengan rezeki kepada mereka.

Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimim untuk memupuk semangat berkorban. dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.

http://www.dakwah2u.blogspot.com/


SEBARKAN ILMU

RASULULLAH SAW BERSABDA: "Sampaikanlah Pesananku Kepada Umatku Yang Lain Walaupun Dengan Sepotong Ayat"


Thursday, November 19, 2009

Balasan Kebaikan, Balasan Kejahatan, Makruh Dalam Sembahyang, Hadis : Menghina Orang Lain

Tazkirah Jumaat
20 Nov 2009 (2 Zulhijjah 1430)



BUAT BAIK DI SINI UNTUK SELAMAT DI SANA

An-Naml [89] Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu.

Dalam ayat yang lain:

Al-An’ am [160]Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya….

Kita sebagai hamba Allah dihantar ke dunia dan diberi pelbagai kemudahan asas iaitu pancaindera untuk diuji. Tempoh ujian berbeza diantara seorang hamba dengan hamba yang lain. Tempoh jangka hayat nyawa kita berbeza, tidak seperti tong gas yang sama jumlah kandungannnya.

Dalam ayat di atas disebut sesiapa yang datang di Hari Kiamat dengan membawa kebaikan, dia akan aman dan selamat dari huru-hara disana.

Huru hara Hari Kiamat

Al-Hajj [2] Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Di hari itu juga kalau ada kanak-kanak yang lahir, mereka akan terus menjadi tua.

Al-Muzammil [17] (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/16/buat-baik-di-sini-untuk-selamat-di-sana


BALASAN KEJAHATAN

An-Naml [90] Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api Neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.

Dalam ayat yang lain:

An-An’am [160]….dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Al-Qamar [48] Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api neraka.

Syurga itu adalah tempat untuk orang-orang yang telah dibersihkan. Selain itu Allah juga telah memberi hidayah (petunjuk) untuk kita kembali ke syurga, sepertimana Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga.

Baqarah [38] Kami berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Ada juga orang Islam yang dimasukkan ke dalam neraka untuk membersihkan dosa-dosanya sebelum dikeluarkan untuk masuk ke dalam syurga. Ia umpama padi yang ditumbuk dengan lesung untuk mendapatkan beras. Setelah dikeluarkan beras barulah ianya dimasak. Begitu juga mereka ini, di dahi mereka tertulis “bekas ahli neraka”. Namun di syurga Allah memenuhi apa saja permintaan ahlinya, lalu mereka meminta agar dipadamkan tanda itu.

Semoga Allah melindungi kita dari api neraka dan kemurkaannya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/16/balasan-kejahatan/


BEBERAPA PERKARA MAKRUH DALAM SEMBAHYANG

Hadis Abu Hurairah r.a:

Sesungguhnya baginda s.a.w melarang seseorang yang sembahyang sambil meletakkan tangan di pinggang.

Meletakkan tangan di pinggang atau bercekak pinggang adalah berasal dari syaitan. Setelah berjaya menipu Nabi Adam dan mengeluarkannya dari syurga, syaitan bertepuk tangan, bercekak pinggang dan bersiul-siul sambil berjalan-jalan. Bercekak pinggang semasa solah tidak menggambarkan tawadhu’ (rendah diri) kepada Allah. Terdapat 4 cara meletakkan tangan semasa solah iaitu di dada (Imam Syafie), di bawah dada dan di atas pusat (ulama mazhab Syafie), di bawah pusat (mazhab Hanafi) dan membiarkan tangan lurus ke bawah iaitu tidak meletakkan tangan di mana-mana (mazhab Maliki)

Tidak sempurna solah (yang dikerjakan setelah) makanan dihidangkan dan solah seseorang yang menahan buang air kecil dan besar.” (HR. Muslim).

Abu Hurariah berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hendaklah kamu berhenti dari mengangkat pemandangan mata ke langit ketika berdoa dalam sembahyang. Jikalau tidak, nescaya penglihatan kamu akan disambar (dihapuskan)“. (Riwayat Muslim)

Dipermulaan Islam, Rasulullah sembahyang memandang ke langit kerana memerhatikan malaikat Jibril.

Dalam sembahyang, mata mestilah melihat tempat sujud semasa qiam (berdiri). Semasa rukuk pula, tengoklah ibu kaki (kata ulama). Semasa sujud, rendah atau sempitkankan mata dengan melihat batang hidung. Semasa duduk di antara dua sujud dan tahiyyat pula, Rasulullah s.a.w melihat paha dan juga jari semasa Tahiyyat.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/18/beberapa-perkara-makruh-dalam-sembahyang


HADIS : MENGHINA ORANG LAIN

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi

Huraian :

i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.

ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/06/hadis-menghina-orang-lain.html

Thursday, November 12, 2009

IKUTILAH JEMAAH YG RAMAI, KUALITI IMAN SEORANG MUSLIM, ALAMAT MIMPI

Tazkirah Jumaat
13 Nov 2009 (25 Zulkaedah 1430)


IKUTILAH JEMAAH YANG RAMAI

Hendaklah kamu bersama dengan jemaah ramai umat islam..Hadith Ahmad dalam masnadnya(Muaz bin Jabal r.a), Jame’ Saghir 1/309.

Apakah jemaah yang ramai?

Majoriti umat islam seluruh dunia terkumpul dalam 4 mazhab yang besar iaitu (Hanafi, Hambali, Syafie dan Maliki). Ikutlah pandangan 4 mazhab ini. Sabda Nabi “Sesiapa yang tidak berpegang pada sabdaanku mereka akan sesat“. Empat (4) mazhab yang besar (Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali) semuanya berpegang pada sunnahnya. Matlamat mereka juga satu (bawa manusia balik ke akhirat dengan selamat). Ikutlah hukum-hakam yang terkandung dalam 4 mazhab yang muktabar, yang besar. Semua 4 mazhab sudah mantap, sempurna susunan hukumnya dan tidak boleh diubah. Terpulanglah kepada kita untuk memilih mana-mana pendapat.

Nabi s.a.w. bersabda;

Sesungguhnya Allah (subhanahuwata’ala) tidak sepakatkan umat Islam di atas kesesatan, dan tangan Allah (rahmatnya) di atas jemaah ramai (umat Islam) dan siapa yang memencilkan dirinya (dari jemaah tersebut) terpencillah ia ke dalam api (neraka).” (Hadis riwayat at-Tirmizi, Jami’ Saghir 1/278)

“Sesiapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi s.a.w.). Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri.” – Riwayat Atthabarani

Imam-imam 4 mazhab berada sekitar 3 zaman umat terbaik (zaman tabiin) seperti disebutkan dalam beberapa hadith ..

Sebaik umatku ialah yang berada di zaman aku dibangkitkan padanya, kemudian mereka yang berada pada zaman yang mengiringinya,kemudian mereka yang berada pada zaman yang mengiringinya (dan seterusnya hadith tersebut) Riwayat Muslim,Abu Hurairah r.a. Jame’ Saghir 1/624

Sebaik manusia ialah mereka yang berada pada masa atau sezaman denganku kemudian mereka yang mengiringi mereka (dan seterusnya hadith tersebut) Muslim ,Aishah r.a. Jame’ Saghir 1/622

Sebaik manusia ialah mereka yang berada semasa denganku, kemudian mereka yang berada pada zaman ketiga.kemudian datang mereka selepas itu tiada kebaikan padanya (dan seterusnya hadith tersebut) Riwayat Muslim ,Aishah r.a. Jame’ Saghir 1/622

Setiap zaman lebih kurang 80 tahun. Jadi 3 zaman bersamaan 240 tahun Hijrah. Imam-imam 4 mazhab berada dalam 3 lingkungan zaman tersebut. Umat-umat pada 3 zaman itu jauh lebih baik berbanding umat sekarang dari segi keagamaan dan tidak begitu cinta kepada keduniaan.

Imam Abu Hanifah lahir tahun 80Hijrah (sahabat Nabi masih ada pada masa itu). Imam Malik 15 tahun kemudian. Imam Syafie lahir sekitar 150 Hijrah. Imam Hambali lahir sekitar tahun 200 hijrah. Imam Syafie dan Maliki juga murid kepada Imam Abu Hanifah.(Belajar satu ilmu pun dikira berguru juga).

Sabda Nabi “Sesiapa yang tidak berpegang pada sabdaanku mereka akan sesat“. Empat (4) mazhab yang besar (Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali) semuanya berpegang pada sunnahnya. Asalnya dari satu, kesemua 4 mazhab yang besar ini berasal dari 1 kepala iaitu Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi).Matlamat mereka juga satu (bawa manusia balik ke akhirat dengan selamat). Ikutlah hukum-hakam yang terkandung dalam 4 mazhab yang muktabar, yang besar. Jangan lari dari mazhab. Semua 4 mazhab sudah mantap, sempurna susunan hukumnya dan tidak boleh diubah. Terpulanglah kepada kita untuk memilih mana-mana pendapat.

Di dalam kitab Resmul Mufti dinyatakan bahawa sesuatu fatwa yang dikeluarkan tidak boleh menyalahi pendapat mazhab, melainkan belum ada fatwa yang dikeluarkan. Jika fatwa yang dikeluarkan bertentangan dengan pendapat mazhab, tanyalah hati (yang dijaga).

Sebuah hadis Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang maksudnya; “Dari Wabisat bin Ma’bad (radiallahua’anh) katanya: Aku datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lalu ia bertanya; Kamu datang bertanya dari hal kebaikan? Aku menjawab: Ya! Ia berkata: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan dirimu kepadanya dan mententeramkan hati. Dan dosa itu ialah apa bergetar dalam hati dan ragu dalam dada, sekalipun manusia yang berfatwa telah memberi fatwa kepadamu.” (Hadis Ahmad dan ad-Darimi dengan sanad ‘hasan’)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/10/ikutlah-jemaah-yang-ramai/


KUALITI IMAN SEORANG MUSLIM

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Tanda cintakan Allah S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." Baihaqi

Pengajaran Hadis:

i) Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

ii) Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah.

iii) Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah S.W.T, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/05/hadis-kualiti-iman-seorang-muslim.html


ALAMAT MIMPI

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:"Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain." (Muslim)

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/06/hadis-alamat-mimpi.html

Thursday, November 5, 2009

SELEPAS SUBUH, KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN, 5 MALAIKAT PENJAGA MANUSIA, HADIS : KUMPULAN KEBAIKAN

Tazkirah Jumaat
6 Nov 2009 (18 Zulkaedah 1430H)



SELEPAS SEMBAHYANG SUBUH


Jabir bin Samurah (RA) berkata, “Setelah solah subuh, biasanya Rasulullah (SAW) tetap duduk di tempat solahnya sehingga setelah matahari naik.” ( Sunan an-Nasai)
Ada juga diriwayatkan bahawa pahala duduk di tempat solah sehingga naik matahari adalah menyamai pahala jihad. Duduk di tempat solah sehingga naik matahari juga adalah satu jihad iaitu jihad melawan nafsu.

Selepas naik matahari, disunatkan pula Sembahyang Isyra’. Waktu Sembahyang Sunat Isyra’ ialah sekitar 15-20 minit selepas masuk waktu Syuruk. Pahalanya dikatakan menyamai pahala haji dan umrah, 3 kali diulangi oleh Baginda.

“Sesiapa yang bersolat Fajar (Subuh) berjemaah, kemudian duduk dan mengingati Allah sehingga matahari naik, kemudian bersolah 2 rakaat, akan mendapat ganjaran seperti Haji dan Umrah.” Dia berkata : Rasulullah saw berkata : “sempurna, sempurna, sempurna“.
Rasulullah saw. bersabda “Apabila seseorang itu kurang makan, penuhlah badannya dengan cahaya”

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/02/selepas-sembahyang-subuh


KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Rasulullah SAW telah bersabda “Apabila seorang hamba khatam qurannya, 60,000 malaikat berdoa untuknya “ (Riwayat Dailami)

Membaca Al-quran sememangnya berpahala besar,seperti dijelaskan diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW telah bersabda,“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”

Membaca Al-Quran di dalam sembahyang lebih pahalanya berbanding di luar sembahyang. Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Membaca al-Quran dalam solah adalah lebih afdal daripada membaca al-Quran di luar solah. Membaca al-Quran di luar solah lebih afdal daripada tasbih dan takbir (memuji Allah swt). Tasbih adalah lebih afdal daripada sedekah, sedekah adalah lebih afdal daripada puasa dan puasa adalah penghalang daripada api neraka.” (Riwayat Baihaqi)

Disebut dalam hadith, mintalah dari Allah, akan datang satu zaman manusia membaca quran dan meminta dari manusia, misalnya meminta sedekah dengan membaca quran. Dan jikalau seseorang sentiasa membaca quran, Allah akan sempurnakan hajatnya sebelum dia meminta.

Abu Said r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “ Allah swt berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKu dan berdoa kepadaKu kerana sibuk dengan al-Quran maka Aku mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKu”. Ketinggian perkataan Allah swt ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah swt ke atas segala makhluk ciptaanNya.” (Riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi)

Disebut dalam hadith, bacalah quran, ambillah mana-mana ayat sekalipun untuk apa (tujuan) sekalipun, ianya mujarab. Syaratnya hendaklah dicukupkan bayaran zakat ayat itu, misalnya zakat Surah Al-Ikhlas (Qulhu wallah) ialah 70,000. Jadi untuk beramal dengan surah itu perlulah dicukupkan bilangan zakatnya sebelum digunakan.

Bacalah sekurang-kurangnya 100 ayat setiap hari, boleh juga diulang surah yang sama, misalnya Surah Al-Ikhlas (Qulhu wallah) sebanyak 25 kali, bersamaan 100 ayat.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/05/kelebihan-membaca-al-quran/


5 MALAIKAT MENJAGA SETIAP MANUSIA

Ulama berpendapat setiap manusia mempunyai 5 malaikat yang menjaganya iaitu:-
  • 2 Malaikat yang bertugas pada setiap 2 waktu sembahyang (Subuh dan Asar),
  • 2 malaikat menjaga amalannya dan
  • 1 malaikat Hafazah yang menjaganya dari sebarang kemalangan (sebelum tiba waktunya).
Ulama mengatakan Raqib dan Atid, dan Kiraman Katibin adalah 2 malaikat yang sama, cuma dalam quran dibezakan dari segi tugasnya.. Raqib dan Atid merekodkan percakapan manusia, Kiraman Katibin merekodkan perbuatan manusia.

Raqib dan Atid

Ma yalfidhu min qawlin illa ladayhi Raqibun Atid….Qaf [17] Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya.[18] Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Kiraman Katibin

Al-Infitar [10] Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,[11](Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) [12] Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/11/02/5-malaikat-menjaga-setiap-manusia/


HADIS : KUMPULAN KEBAIKAN

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya." (Muslim)

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/11/hadis-kumpulan-kebaikan.html