Friday, October 30, 2009

Doa Kepada Kawan, Nafsu, Solah Berjemaah

Tazkirah Jumaat
30 Okt 2009 (11 Zulkaedah 1430)


DOA KEPADA KAWAN TANPA PENGETAHUANNYA DITERIMA ALLAH


Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim).

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/23/doa-kepada-kawan-tanpa-pengetahuannya-diterima-allah


NAFSU

Nabi Yusuf mengatakan bahawa Baginda tidak gerenti dengan ujian nafsu. Seorang bakal Nabi pada masa itu pun tidak gerenti boleh mengawal nafsunya melainkan Allah telah kasihan belas terhadapnya dan bantunya mengawal nafsu:-

Yusuf [53] Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Nafsu terhasil dari darah, dan darah terhasil dari makanan yang dimakan. Nafsu subur apabila makanan masuk kedalam badan.Puasa pula dapat mengurangkan nafsu (yang jahat) kerana kurangnya makanan yang masuk kedalam badan dan darah. Hasil dari puasa ialah taqwa (takut kepada Allah). Takut disini bukannya seperti takut kan harimau tapi takut bermakna hormat. Takut Allah murka, takut Allah tidak suka.

Mereka yang mendalami ilmu tarekat memecahkan kategori nafsu ini sehingga kepada 5 dan 7 bahagian. Secara kasarnya, nafsu terbahagi kepada 3:-

1. Nafsu Ammarah (kebanyakannya dimiliki olej pemuda-pemudi). Pemilik nafsu jenis ini, jika ia tidak di “kontrol” akan membawa ke neraka.

2. Nafsu Lawwamah. Nafsu yang ingin melakukan kebaikan, tetapi ia selalu gagal, samada dengan sebab diajak oleh kawan-kawannya atau lain-lain sehingga ia melakukan pula kejahatan yang memang tidak disukainya. Lalu ia mengutuk dirinya dan menyesal “kenapalah aku buat perkara jahat ini”. Pemilik nafsu jenis ini berada di tengah-tengah dan lebih baik dari yang pertama disebabkan penyesalan dan kutukan ke atas kejahatannya itu. Pemilik nafsu ini jika ia benar-benar berjaya dengan penyesalan, kutukannya itu boleh membawanya ke syurga.

Al-Qiyamat [2] Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!

3. Nafsu Muthmainnah. Nafsu yang biasanya dimiliki oleh orang-orang tua, ahli ibadat tetapi ia boleh dimiliki oleh sesiapa yang berusaha untuk mendapatkannya. Pemiliknya akan memasuki syurga. Pemuda yang asyik beribadat, bermasyarakat secara bertanggungjawab tahu tugasnya sebagai seorang Islam, apa yang patut dilakukan dan sebaliknya. Mereka juga boleh memiliki (nafsu muthmainnah) seperti yang dimiliki mereka yang telah berumur.

Al-Fajr [27] (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!

[28] Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!

[29] Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia

[30] Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!

Setiap orang mempunyai kelemahannya. Ada yang tewas bila diuji dengan perempuan, ada yang tewas dengan wang, ada yang tewas dengan arak dan sebagainya. Kata orang luar “setiap orang boleh dibeli cuma harga dan cara saja berbeza. Oleh itu kenalpasti kelemahan kita agar tidak terpedaya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/27/nafsu


SOLAH BERJEMAAH

Dari Utsman r.a., Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesiapa solah isyak dengan berjemaah, maka ia laksana solah malam setengah malam. Dan sesiapa solah subuh dengan berjemaah, maka ia laksana mengerjakan solah malam sepanjang malam .” (HR Muslim dan lafaz ini ada pada sisinya) dan Abu Dawud dengan lafaz : Maka ia laksana solah malam separuh malam. Dan sesiapa solah isyak dan solah subuh dengan berjemaah maka bererti ia telah melakukan solah malam sepanjang malam. (Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Solah yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solah Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)

Abu Hurairah r.a. berkata,“Bersabda Nabi s.a.w. “Solah berjemaah pahalanya lebih daripada solah seorang diri, baik di tempat kerja atau di rumah sebanyak dua puluh lima darjat. Demikianlah jika seseorang telah menyempurnakan wuduk, kemudian dia pergi ke masjid, tiada tujuan lain melainkan untuk bersolah, tidak melangkah (setiap langkah kakinya menuju tempat solah berjemaah) melainkan diangkat satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu dosa, hingga masuk ke dalam masjid. Apabila telah berada di dalam masjid, maka orang itu dianggap sedang bersolah selama dia masih menantikan solah (selama dia tertahan kerana menunggu solat), dan Malaikat mendoakan seseorang selama ia dalam majlis solahnya, Malaikat berdoa, “Ya Allah kasihanilah dia, ya Allah ampunilah dia, ya Allah maafkanlah dia. Selama dia tidak mengganggu dan belum berhadas di tempat itu.”(Bukhari, Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com

Thursday, October 29, 2009

Bila Kurang Makan, Adab Makan, Bersabar Hadapi Ujian

Tazkirah Jumaat
23 Okt 2009 (4 Zulkaedah 1430H)


BILA KURANG MAKAN

Rasulullah saw. bersabda “Apabila seseorang itu kurang makan, penuhlah badannya dengan cahaya”.

Bila seseorang itu kurang makan, Allah swt akan melahirkan cahaya (nur) di dalam dirinya dan memberi kekuatan untuk mendampingi Allah. Apabila lapar juga akal aktif bergerak, Imam Nawawi juga banyak berpuasa dan menulis kitabnya dalam keadaan lapar. Rasulullah saw sendiri banyak berlapar. Dikatakan Baginda tidak pernah makan roti 2 hari berturut-turut. Baginda juga menyediakan bekalan makanan yang mencukupi untuk setahun bagi keperluan para isterinya. Namun bekalan itu hanya cukup untuk setengah tahun sahaja, kerana ia digunakan untuk membantu mereka yang kesusahan.

Rasulullah saw melakukan puasa sunat 11 hari setiap bulan secara tetap (rutin), iaitu pada Hari Isnin dan Khamis (8 hari sebulan) dan tiga hari pertengahan iaitu 13, 14 dan 15 haribulan. Ahli tarikat juga mengamalkan puasa sunat 11 hari sebulan. Selain itu jika tiada makanan di rumahnya, Baginda akan berpuasa.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa”(Riwayat Imam Tirmizi).”

Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara; 1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan. 2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha. 3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Dari Aisyah r.a :Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari: ”Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?” Aisyah berkata:” Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)” Baginda bersabda “(Jika begitu) maka aku berpuasa”. (Muslim)


ADAB MAKAN

Rasulullah saw bersabda : “Apabila seseorang di antara kamu memakan makanan, hendaklah membaca: “Bismillah”. Apabila lupa pada permulaannya, hendaklah membaca: “Bismillahi awwaluhu wa aakhirahu” (Dengan nama Allah pada permulaan makan dan pada penghabisannya)

Jabir Radhiallallahu Anhu berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seorang masuk ke dalam rumahnya dengan menyebut ‘Bismillah’ ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan berkata kepada temannya: Tiada tempat tinggal dan tiada bagian makanan bagi kamu di sini. “ Dan bila masuk tiada menyebut nama Allah, syaitan berkata: “Kamu dapat bermalam di rumah ini, kemudian jika waktu makan tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata: Kamu dapat bermalam dan makan di sini”.(Hadis riwayat Muslim)

Rumah yang dibaca Bismillah sebelum ditutup pintu tidak dimasuki syaitan, (walaupun syaitan boleh masuk melalui lubang, ia tidak akan masuk). Begitu juga minuman yang ditutup dan dibaca Bismillah.……

Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang berkunci. Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah.(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Jabir bin Aabdillah radhiyallahu ‘anhu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan itu juga makan dengan tangan kiri.” (HR Muslim no. 2019) Dari Umar radhiyallahu ‘anhu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika salah seorang diantara kalian hendak makan maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan, dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim no. 2020).

Disini terdapat sedikit masalah, iaitu bagaimana kita hendak mengambil lauk atau minum dengan tangan kanan yang terdapat sisa makanan, ini boleh mengotorkan sudu atau gelas. Ulama telah membuat satu kaedah atau helah iaitu gunakan tangan kiri, tetapi ’support’ dengan tangan kanan, bagi menunjukkan kekuatan tangan kanan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com


HENDAKLAH BERSABAR KETIKA MENGHADAPI UJIAN ALLAH S.W.T.

Setiap manusia pasti akan menghadapi liku-liku putaran hidup bagaikan roller-coaster. Adakalanya kita berada megah di atas dan adakalanya kita berduka di bawah. Kedua-duanya sebenarnya merupakan ujian bagi kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini agar dapat dikenal-pasti siapakah di antara kita yang paling berkualiti amalnya menerusi cara kita menghadapi ujian-ujian tersebut.

Firman Allah S.W.T.: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) – al-Mulk (67) : 2

Ujian daripada Allah S.W.T ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat berbanding dengan mereka yang engkar. Rasulullah s.a.w pernah di tanya: Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian? Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)

Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya.
Firman Allah S.W.T.: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157.

http://al-fikrah.net/News/print/sid=326.html

Friday, October 16, 2009

Menangis Kerana ALLAH, Rahsia Diwajibkan Solat

Tazkirah Jumaat
16 Oktober 2009 (27 Syawal 1430H)


MENANGIS KERANA ALLAH

Daripada Ibnu Abbas r. anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;“Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi).

Dalam satu hadith yang lain: “Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka.”Bukan sahaja wajah yang terselamat, tetapi seluruh badannya dan orang itu ialah ahli syurga.

Airmata memberi syafaat kepada tuannya di hari kiamat dengan izin Allah. Menangislah kerana Allah. Pelepah tamar dan buraq pun menangis. Pelepah tamar menangis kerana Nabi tidak lagi menggunakan sebagai mimbar masjid, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Bura’ menangis kerana takut nabi tak pilih dia jadi tunggangan.

Pelepah tamar menangis

Jabir RA meriwayatkan seperti disebutkan dalam hadith Bukhari, “Nabi SAW selalu bersandar pada sebatang pohon tamar, ketika menyampaikan khutbah Jumat, Sayyidina Abu Bakar mencadangkan agar dibina mimbar yang baru. Nabi SAW bersetuju dan sebuah mimbar yang terdiri dari 3 anak tangga dibangun.

Ketika Nabi SAW duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, para Sahabat mendengar pelepah tamar itu menangis seperti anak kecil. Nabi SAW mendekati pelepah kurma yang sedang menangis ini dan bertanya kenapa ia menangis.

Pelepah tamar tersebut mengatakania menangis kerana ia tidak digunakan lagi untuk mengingat Allah SWT.Rasulullah saw kemudian menyuruh agar dikafankan pelepah tamar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga. Inilah satu-satunya pokok tamar di syurga yang berasal dari dunia.

Buraq menangis

Semasa peristiwa Israk Mikraj, Allah swt menyuruh Malaikat Jibrail memilih seekor Buraq untuk dijadikan tunggangan Baginda naik ke langit. Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di Jannatu Adnin (taman Syurga) dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad.

Jibril bertanya kepada Allah, buraq manakah yang harus dipilih kerana semuanya elok, maka Allah menyuruhnya memilih Buraq yang menangis. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya.

Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq? “Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”

Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Para Nabi dan umatnya juga menangis

Nabi Adam adalah nabi yang paling banyak menangis, beratus-ratus tahun lamanya setelah dikeluarkan dari syurga. Nabi Yaakob juga menangis selama 80 tahun setelah kehilangan anaknya, Nabi Yusuf. Selain itu, umat Nabi Muhammad juga menangi seperti para wali iaitu Hassan Al-Basri dan Ali Zainal Abidin, anak kepada Sayyidina Hussin.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/15/menangis-kerana-Allah


RAHSIA DIWAJIBKAN SOLAT

SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa. Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

Dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran. Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

"Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)

Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun. Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.

Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud: "Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati. Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/03/rahsia-diwajibkan-solat.html

Thursday, October 8, 2009

ALAM BARZAKH, JANGAN MENOLAK SEDEKAH

Tazkirah Jumaat
9 Okt 2009 (20 Syawal 1430)


ALAM BARZAKH

Dalam satu hadith disebut, kubur itu pintu ke alam Barzakh (alam perantaraan). Dalam hadith yang lain disebut, malam pertama adalah malam yang paling menakutkan di Alam Barzakh, oleh itu jinakkanlah roh dengan membaca ayat-ayat al-quran. Alam Barzakah menakutkan kerana ia adalah satu tempat yang roh belum pernah sampai dan melaluinya.

Setiap alam ada problemnya, termasuklah Alam Barzakh. Ada orang rasa sekejap sahaja masa di alam barzakh, ada yang merasa lama. Rasulullah saw mengingatkan umatnya supaya mereka meminta perlindungan Allah s.w.t dari azab kubur. Azab kubur adalah azab yang halus. Selain dari azab halus, ada juga nikmat halus. Kubur itu satu taman dari taman syurga atau satu gaung dari gaung neraka. Terpulanglah kepada keadaan seseorang. Kitalah yang membentuknya. Dalam hadith yang lain pula, sesiapa yang meninggal dunia, maka tertegaklah hari kiamatnya” (kiamat kecil).

Antara golongan yang disiksa dengan azab kubur ialah
  1. mereka yang tidak berjaya menjawab soalan malaikat Mungkar dan Nakir (kerana akidah mereka tidak betul)
  2. mereka yang tidak sembahyang atau tidak cukup bilangan sembahyangnya
  3. mereka yang melaga-lagakan orang lain (adu-domba),
  4. mereka yang tidak membersihkan air kencingnya.
Rasulullah SAW bersabda: “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuknya hingga berdirinya kiamat. Jika seekor saja dari ular itu meniupkan bisanya ke bumi, nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Daripada Ibn Abbas r.a. : ” Sesungguhnya Nabi s.a.w. melalui dua kuburan , lalu baginda s.a.w bersabda : Sesungguhnya kedua dua penghuni kuburan ini sedang disiksa dan mereka tidaklah disiksa kerana dosa besar, adapun yang seorang disiksa kerana tidak istinjak setelah kencing , sedangkan yang satu lagi kerana sukamengadu-domba. Kemudian baginda s.a.w. meminta sati pelepah korma lalu dibelahnya menjadi dua , lalu bersanda : Semoga pelepah korma ini akan dapat meringankan siksaan mereka berdua selama ia belum kering “.( HR Bukhari dan Muslim )

Orang Islam yang meninggalkan sembahyang (yang tidak diqadha atau cukup bilangannya) akan disiksa di Alam Barzakh dengan seekor ular Akra (Suja’ul Akra). Ular ini yang akan menyiksanya dengan mematuknya mengikut waktu sembahyang yang ditinggalkan. Ular ini berkuku besi, berkaki, matanya berbintik-bintik putih, berbisa seluruh badan. Akan muncul seekor ular yang bernama “Suja’ul Aqra” dan ular itu berkata:“Allah menyuruh aku membelasah engkau kerana engkau mensia- siakan sembahyang Subuh.” Ia dipukul dari waktu Subuh hingga naik matahari, kemudian dipukul dan dihentak hingga terjunam ke perut bumi kerana meninggalkan sembahyang Zuhur. Kemudian dipukul lagi kerana meninggalkan sembahyang Asar, begitulah seterusnya dari Asar ke Maghrib, dari Maghrib ke waktu Isyak dan seterusnya hingga ke waktu Subuh semula. Demikianlah berterusan seksaan oleh Suja’ul Aqra hinggalah hari Kiamat.

Maksud Hadith: “orang yang meninggalkan sembahyang, akan Allah hantarkan kepadanya seekor ular besar bernama “Suja’ul Akra”, yang matanya memancarkan api, mempunyai tangan dan berkuku besi, dengan membawa alat pemukul dari besi berat”.


Sedekah membantu di Alam Barzakh

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda, banyakkan sedekah kerana ia menyejukkan Alam Barzakh kerana Alam Barzakh itu panas.

Sesungguhnya sedekah itu benar-benar dapat memadamkan panas kubur bagi pelakunya, sesungguhnya orang Mukmin kelak dihari kiamat hanyalah bernaung dalam naungan sedekahnya.(HR Thabrani dari Uqbah Bin ‘Amir r.a.)


Selain siksaan terdapat juga nikmat di alam Barzakh

Ada orang yang tidur sahaja, ada yang bersembahyang, ada yang membaca Quran.

……Kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh (70) hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya, kemudian dikatakan kepadanya: “Tidurlah!” Maka ia berkata: “Bolehkan aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan perihal kebaikanku keadaanku?” Dua malaikat itu berkata kepadanya “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan oleh ahli keluarga yang mengasihinya“. Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringan itu.

Ada orang yang semasa hidupnya di dunia banyak bersembahyang. Semasa di Alam Barzakh juga dia meminta untuk bersembahyang. Mereka asyik sembahyang hinggalah tiba hari kebangkitan semula. Ada juga yang didatangkan bidadari dari syurga untuk menemani mereka di Alam Barzakh. Mereka usik-mengusik hingga tercabut mutiara dari leher bidadari. Kemudian mereka asyik mengutip mutiara yang terjatuh itu dan sehinggalah tibanya hari dibangkitkan semula.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/06/alam-barzakh/


HADIS : JANGAN MENOLAK SEDEKAH

Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : "Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku." Nabi bersabda: "Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu." (Muslim)

Masyarakat moden sekarang lebih mudah dan senang bersedekah menggunakan potongan melalui bank serta yang terbaru bersedekah atau menderma SMS. Al-Quran menyebut yang maksudnya: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mu'allaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan dalam perjalanan). (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah:60). Seandainya sesuatu itu datang tanpa diduga atau diminta ia dianggap sebagai pemberian dan rezeki daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan penuh kesyukuran mudah-mudahan rezeki itu akan bertambah bahkan membolehkan kita bersedekah pula kepada orang lain.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/08/hadis-jangan-menolak-sedekah.html

Friday, October 2, 2009

Sembahyang dan Puasa Menyihatkan Badan

Tazkirah Jumaat
2 Okt 2009 (13 Syawal 1430)

Dalam hadith disebut “Sembahyanglah, sihatlah kamu. Sembahyang boleh menguatkan tubuh badan kerana dari segi zahir kerana terdapat banyak pergerakan dalam ibadah sembahyang seperti berdiri, rukuk dan sujud. Sembahyang berdiri lebih banyak pahala kerana lebih banyak pergerakan berbanding duduk atau tidur dan juga lebih menyihatkan badan. Ada orang sembahyang 70 rakaat sunat setiap hari tidak perlu jogging lagi untuk menjaga kesihatannya.

Dalam hadith Riwayat Tabrani disebut “Solat itu menyebabkan otak kita sihat”. (Apabila kita sujud, banyak darah mengalir turun ke bahagian kepala). Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh.

Kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.“Apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya. Ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” Terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Selain itu, antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.“ “Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus”. Pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: ” .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya (Hadith Riwayat Tabrani)

McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: “Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.“Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik”.

Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:

  • Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf. Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.
  • Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.
  • Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.
  • Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit
  • Mengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.
  • Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.
  • Memperelok dan membersihkan kulit.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: “Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.“Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.“Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita”.

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: “Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya”.Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Benarlah Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.”. Berpuasa memberi kerihatan kepada bahagian perut setelah bekerja selama 11 bulan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/10/01/sembahyang-dan-puasa-menyihatkan-badan/