Thursday, July 30, 2009

Hamba Menjadi Baik, Istikharah, Wanita & Tabiat yg membawa ke Neraka

Tazkirah Jumaat
31 Julai 2009 (8 Syaaban 1429)


APABILA ALLAH MENGHENDAKI HAMBA-NYA MENJADI BAIK 2

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila Allah menghendaki hamba-Nya menjadi baik, maka Dia menyegerakan hukuman ke atas kesalahannya di dunia, dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi hambanya, maka Dia menahan hukuman dosanya hingga ke hari kiamat (Riwayat Thabrani dari Ammar Bin Yasir r.a.)

Dalam mazhab Syafie, apabila telah dilaksanakan sesuatu hukuman atau denda, misalnya memotong tangan pencuri, maka dosanya telah terhapus dan tidak lagi dibawa ke akhirat. Mazhab Hanafi pula mengatakan dosanya itu hanya terhapus sekiranya ia redha dengan hukuman yang dikenakan. Setiap musibah, bencana yang menimpa misalnya anak dan isterinya demam-demam, tayar motor pancit, kereta rosak dan sebagainya diberi pampasan iaitu digugurkan dosa. Dosa yang digugurkan adalah seimbang dengan musibah yang dikenakan Allah, misalnya orang yang lama terlantar sakit di hospital mungkin diampunkan segala dosanya dengan Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila Allah menghendaki hamba-Nya menjadi baik, maka dia membukakan pintu hatinya, dan dia memasukkan ke dalamnya keyakinan dan kebenaran. Dia menjadikan hatinya menyimpan apa yang dimasukkan, dan dia menjadikan hatinya sejahtera, lidahnya bercakap yang benar, akhlaknya lurus dan dia menjadikan telinganya berpendengaran tajam dan matanya berpenglihatan tajam (Riwayat As-Syekh dari ABu Dzar r.a.)

Kalau pintu hati tertutup, maka segala yang baik dan benar tidak akan bertapak di dalam hati. Kata pepatah melayu, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bila pintu hati terbuka, maka telinga menjadi tajam dan senang mendengar perkara yang baik-baik dan mata akan nampak kekurangan dan kesalahan diri.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/22/apabila-allah-menghendaki-hamba-nya-menjadi-baik-2/


SOLAT ISTIKHARAH

Dari Saad Bin Abi Waqas r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: Di antara kebahagian anak Adam ialah Solat Istikharah daripada Allah Taala dalam segala urusannya. (Hadis 146 Mastika Hadis Jilid 2)

Sembahyang istikharah ialah sembahyang untuk meminta perkhabaran, petunjuk dalam memilih umpamanya antara dua kerja.

Hanya boleh beristikharah untuk benda yang harus sahaja. Benda yang sememangnya haram atau wajib tidak dibenarkan.

Dalam hadis yang lain, tidak akan menyesal orang yang beristikharah Sabda Nabi “Tidak akan kecewa bagi yang melaksanakan istikharah dan tidak akan menyesal bagi orang yang suka bermusyawarah dan tidak ada kekurangan bagi orang yang suka berhemat” (HR.Thabrani).
Kalau sudah beristikharah dan Allah dorong untuk melakukan sesuatu (cenderung kepada sesuatu), mestilah patuh.

Bila?

Solat Istikharah boleh dilakukan sama ada siang atau malam, terutamanya bila hati terasa tenang.

Berapa lama?

Buatlah sehingga 5 atau 7 malam. InshaAllah diberi petunjuk. (tidak semestinya melalui mimpi)
Cara beristikharah: Istikharah digalakkan berdasarkan hadis Jabir yang menyebut, “Rasulullah saw mengajar kami beristikharah pada semua perkara sebagaimana baginda mengajar satu surah daripada Al-Quran.” (Hadis 147 Mastika Hadis Jilid 2).

Kemudian hendaklah ia berdoa dengan membaca:

Wahai tuhanku, aku memohon pilihan dengan ilmuMu dan memohon takdirMu dengan kekuasaanMu. Dan aku memohon daripada kelebihanMu yang amat besar. Sesungguhnya Engkau sahaja mampu segalanya dan aku tidak mampu dan Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau mengetahui segala perkara ghaib. Wahai tuhanku sekiranya / engkau ketahui bahawa perkara ini adalah yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, didalam kehidupanku serta kehidupanku selanjutnya, maka takdirkanlah perkara itu untuk ku serta permudahkannya untuk ku dan berkatilah aku padanya. Sekiranya Engkau ketahui bahawa perkara ini adalah bukan yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, di dalam kehidupan ku serta kehidupan ku selanjutnya, maka jauhilah daripadanya serta takdirkanlah yang terbaik buatku serta berkatilah aku. Berikanlah kebaikan di mana saja aku berada dan jadikanlah aku ini orang yang redha atas ketentuanMu.

http://www.rileks.info/coollist/2009/07/tazkirah-pagi-istikarah/


WANITA, TABIAT YANG MEMBAWA KE NERAKA

Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di suatu Eid, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita.

Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa'. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana, dan memberi salam dan memberi tazkirah seperti berikut:-

"Assalamu'alaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka".

Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?”

Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada 2 tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:-

1. Kamu banyak mengutuk/menyumpah

2. Kamu kufurkan kebaikan suami.

" Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya:-

1. Banyak beristighfar

2. Banyak bersedekah.

Keterangan: Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah:-

Contoh 1 Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, "Driver bas ni dah mampus agaknya." Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.

Contoh 2
Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata "Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis." Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami. Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang faham suami'. Rasulullah SAW berkata,"Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata ,"Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak" (Terjemahan langsung dari Arab).

[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut: "Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".][Tak guna sesen pun']

Rasulullah SAW sambung lagi , 'Mana-mana isteri yang berkata, "Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak", maka akan gugur pahala-pahala amalannya.'

Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari 2 perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.

Fadhilat beristighfar:-
a. Sabda Rasulullah SAW:- "Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 X sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk)." Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 X sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.

b Sabda Rasulullah SAW:- "Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita"

c. Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit.

Sedekah juga termasuk:-
1. Tuturkata/percakapan yang baik. Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami.

Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu dikalangan isteri-isteri baginda. Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, "Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya".

2. Memberi salam.

3. Memaniskan wajah. Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah." Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi:- "Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah."

Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang. " SAMPAIKANLAH WALAU SEPOTONG AYAT -Sabda Rasulullah SAW"

http://cahaya-keimanan.blogspot.com/2009/07/wanita-tabiat-yang-membawa-ke-neraka.html

Friday, July 24, 2009

Penghulu Istighfar, Perang Ahzab, Wuduk & 8 pintu syurga, Hamba Baik

Tazkirah Jumaat
24 Julai 2009 (1 Syaaban 1429)


PENGHULU ISTIGHFAR

Ertinya: "Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau telah menciptaku dan aku hamba-Mu, dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh (laksanakan), aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milikmu, dan aku mengakui terhadap dosa dosaku, oleh itu ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat memberi ampunan kecuali hanya Engkau". (HR Bukhari)

Fadilatnya Penghulu Istighfar:

Barangsiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum petang maka ia termasuk ahli syurga. Dan siapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum pagi maka ia termasuk ahli syurga. (HR Bukhari)

http://wehdatul-ummah.blogspot.com/2006/03/penghulu-istighfar.html


KISAH PERANG AHZAB

Orang kafir pada masa itu sudah mula bersatu untuk menentang Islam kerana mereka tahu “kekuatan itu ada dalam kesatuan”. Nabi meminta cadangan sahabat mengenai strategi perang. Sahabat yang muda mengesyorkan perang secara guerilla (terbuka). Sahabat yang tua pula mencadangkan agar mereka menunggu di lorong-lorong dan menyerang apabila kafir masuk. Akhirnya Nabi menerima cadangan Salman Al-Farisi (orang Iran) supaya membina parit.

Semasa membuat parit, Nabi terpaksa mengikat batu di perut untuk menahan lapar kerana 2 hari tidak makan. Kata sahabat yang turut sama tidak makan “Kamilah orang yang telah buat bait (janji setia) di atas jihad, selagi ada nyawa kami. Kami tidak berjanji untuk dapat roti (makanan)”.

Kekuatan Nabi s.a.w (zahir dan batin) sama dengan kekuatan 40 orang lelaki. Batu yang tidak dapat dipecahkan oleh sahabat dipecahkan oleh Nabi. Nabi juga menqada sembahyang Zohor, Asar dan Maghrib kerana membina parit untuk keselamatan umatnya. Bila sahabat tanya bagaimana nak qadha (sebab mereka tak pernah tinggal sembahyang), Nabi jawab “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang”. Dibuat azan sekali sahaja pada waktu Isya’, kemudian qamat, Sembahyang Zohor, qamat, Sembahyang Asar, qamat, Sembahyang Maghrib, qamat, Sembahyang Isya’.

Setelah 2 bulan berperang, Nabi berdoa dengan satu doa (dalam hadis riwayat Abdullah Bin Umar) selama 3 hari. Ahkirnya ribut hitam melanda, bertabur pasir di sebelah musuh, memusnahkan khemah Kafir dan menanglah orang Islam. Imam Syafie juga berdoa dengan doa yang sama, beliau selamat dari dibunuh oleh raja pada masa itu, sebaliknya raja tersebut memberi duit kepada Imam Syafie.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/17/kisah-perang-ahzab/


WUDUK DAN LAPAN PINTU SYURGA

Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa yang mengambil wudhuk dengan baik kemudian dia berkata,Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abduhu wa rosuuluh, (maksudnya:Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah satu(Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya,) akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

Semasa berwuduk juga boleh dibaca doa di atas. Berbanding langit dan bumi yang mempunyai tujuh (7) lapisan, syurga mempunyai lapan (8) pintu, satu tambahan itu adalah rahmat Allah. Angka 7 menunjukkan kekuatan, misalnya dalam Perang Badar, jumlah tentera Islam ialah 313 orang, (3+3+1=7). Diriwayatkan juga Nabi Daud menentang Jalut dengan tentera seramai 313 orang. Angka 8 pula terhasil dari 1+7 dan bilangan rakaat sembahyang pula ialah 17 rakat. Sembahyang itu juga adalah anak kunci syurga.

Di dalam sebuah hadith yang lain pula ditambah, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin (Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/20/wuduk-dan-lapan-pintu-syurga/


APABILA ALLAH MENGHENDAKI HAMBA-NYA MENJADI BAIK

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila Allah menghendaki hamba-Nya menjadi baik, maka diberinya kefahaman terhadap agama, dibuatnya zuhud terhadap dunia, dan dibuatnya menyedari keaibannya sendiri (Riwayat Baihaki dari Anas).

3 perkara yang diberi oleh Allah apabila dia bercadang untuk memberi kebaikan yang banyak kepada seseorang hambanya ialah kefahaman agama, hidupnya zuhud dan dia nampak keaiban atau kesalahan dirinya.

1. Faham Ilmu Agama : Apabila seseorang itu faham agama, mudahlah dia beramal, maka semakin faham agama semakin banyak pahala yang diperolehi jika diamalkan ilmunya itu. Faham ilmu dan turutlah kehendak ilmu itu, misalnya jika ilmu mengatakan sembahyang berjemaah besar pahalanya, maka berusahalah untuk sembahyang jemaah. Imam-imam mujtahid 4 mazhab semuanya faqih iaitu diberi kefahaman agama dan mampu mengeluarkan pelbagai hukum feqah dari quran dan hadith.

Ilmu adalah penyuluh kehidupan dunia dan akhirat.Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. kata dua-duanya kena seimbang. Dunia pun buat, akhirat pun buat. Cari ilmu dunia supaya tidak menyusahkan orang lain, tidak payah minta derma dan pertolongan orang lain. Dalam satu hadis yang panjang, “tidak dikira baik orang yang kejar akhirat semata-mata dan tinggal dunianya, dan tidak dikira baik orang yang kejar dunia semata-mata dan tinggal akhiratnya“, sehingga kamu ada kedua-duanya, jangan bebankan diri kamu ke atas orang lain”.

2. Zuhud : Para imam mujtahid juga zuhud dalam kehidupannya. Seorang sahabat Nabi iaitu Abu Zar juga seorang yang zuhud. Rasulullah saw bersabda, Siapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah zuhudnya, sesungguhnya dia telah bertambah jauh dari Allah” Riwayat Ad-Dailami dari Sayyidina Ali KRMWJ.ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Semakin berilmu, semakin warak, semakin zuhud, semakin takut kepada Allah dan semakin banyak beribadat kepadanya.

3. Nampak keaiban diri : Seorang yang Allah kehendaki menjadi baik nampak kesalahan dirinya. Tidak seperti kata pepatah, Kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tidak nampak.Rasulullah s.a.w bersabda “Seseorang itu nampak tahi mata orang lain tetapi tidak nampak unta didepan matanya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/22/apabila-allah-menghendaki-hamba-nya-menjadi-baik/

Friday, July 17, 2009

3 Perkara Menghapuskan Dosa dan Mengangkat Darjat, Hadis : Kualiti dan Kesempurnaan Iman

Tazkirah Jumaat
24 Rejab 1430H / 17 Jul 2009


3 PERKARA MENGHAPUSKAN DOSA DAN MENGANGKAT DARJAT


Hendakkah kamu aku beritahu apa yang dapat menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat?” Para sahabat menjawab: “Ya, kami ingin tahu wahai Rasulullah.” Baginda berkata, “Berwudhuklah dengan baik dalam keadaan air yang sejuk, banyakkan langkah menuju masjid, dan menunggu sembahyang sesudah sembahyang. Itulah Ribath, Itulah Ribath (mengikat diri dengan sempadan ketaatan kepada Allah).” (HR. Muslim)

1. Berwudhuklah dengan baik dalam keadaan air yang sejuk. Berwuduk dengan menggunakan air yang terjemur di bawah panas matahari adalah makruh hukumnya.

2. Banyakkan langkah menuju ke tempat sembahyang samada masjid atau surau (masjid yang tidak didirikan sembahyang Jumaat). Rasullullah SAW amat menitikberatkan ummatnya khususnya kaum lelaki untuk solah fardhu berjemaah di masjid ataupun di tempat azan dilaungkan.Selain pahala berjemaah, disana terdapat pahala gandaan tempat:-

• Pahala sembahyang di Masjid Jamek (masjid yang didirikan sembahyang Jumaat) ialah 150 kali ganda fadhilat sembahyang sendirian di rumah.

• Pahala sembahyang di surau iaitu masjid yang tidak didirikan sembahyang Jumaat ialah 25 kali ganda fadhilat sembahyang sendirian di rumah.

• Pahala sembahyang di Masjidil Aqsa ialah sebanyak 500 kali ganda.

• Pahala Sembahyang di Masjid Nabi iaitu Masjidil Nabawi ialah sebanyak 1,000 kali ganda atau 10,000 mengikut setengah riwayat.

• Pahala Sembahyang di Masjid Allah iaitu Masjidil Haram ialah sebanyak 100,000 kali ganda.

3. Menunggu sembahyang sesudah sembahyang misalnya menunggu sembahyang Isya sesudah sembahyang Maghrib . Rasulullah saw pernah bertanya kepada sahabat, hendakkah kamu tahu siapakah ahli syurga. “Ya Wahai Rasulullah”. Maka sabda Baginda “orang yang sembahyang Maghrib dan tidak balik sehingga selesai sembahyang Isyak.


RIBATH (MENJAGA SEMPADAN)

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh neraka, yaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang pada malam hari menjaga sempadan negeri dalam melakukan peperangan fi-sabilillah.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi)

Apabila mata tidak masuk neraka, maka secara automatiklah tuannya tidak masuk neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/13/3-perkara-menghapuskan-dosa-dan-mengangkat-darjat/


HADIS : KUALITI IMAN SEORANG MUSLIM

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Tanda cintakan Allah S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." Baihaqi

Huraian Pengajaran Hadis:

i) Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap
individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

ii) Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah.

iii) Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah S.W.T, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/05/hadis-kualiti-iman-seorang-muslim.html


HADIS : CIRI-CIRI KESEMPURNAAN IMAN

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:" Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain." Riwayat Ahmad

Huraian :

1. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.

2. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." - (Al-Israk: 30).

3. Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual dll) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

4. Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat indidualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/01/hadis-ciri-ciri-kesempurnaan-iman.html

Friday, July 10, 2009

Adab Tidur, Kaya Jiwa, Hadis : Lalat & Sains, Kata Hikmah

Tazkirah Jumaat
17 Rejab 1430H / 10 Jul 2009



ADAB TIDUR


Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu, lalu kamu berdoa “Ya Allah, aku serahkan diriku kepadamu dan aku serahkan urusanku kepadamu, serta aku memohon perlindunganmu dan mengharapkan pahalamu. Tiada tempat untuk berlindung adan tiada jalan selamat selain kembali kepadamu. Ya Allah,aku beriman kepada kitabmu yang telah engkau turunkan dan kepada Nabi yang telah engkau utus”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith disebut, siapa yang tidur dalam keadaan berwuduk, malaikat tidur bersamanya. Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci’”

Tidur mengiring ke kiri tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru kanan yang lebih besar dari paru kiri. Seorang sahabat telah mengubah doa diatas “Ya Allah,aku beriman kepada kitabmu yang telah engkau turunkan dan kepada Nabi yang telah engkau utus” dan ditukarkan kepada “Rasul yang telah engkau utus“. Baginda marah kepada sahabat tersebut kerana doa itu sepatutnya dibaca mengikut apa yang diterima, walaupun Nabi Muhammad juga adalah seorang Rasul.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/10/adab-tidur


KAYA JIWA

Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan terhadap seorang hamba, maka dia menjadikannya kaya jiwa dan dalam hatinya ada takwa. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap seorang hamba, maka dia menjadikan kefakiran di hadapan matanya (Riwayat Hakim melalui Abu Hurairah).

Orang yang kaya sebenarnya ialah orang yang kaya jiwanya iaitu tidak bakhil atau kedekut. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa.”

Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat taqwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)”.Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith. (Muslim)

Dalam hadith juga disebut “Orang fakir miskin bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai. Sebaliknya orang miskin adalah mereka yang kedekut atau miskin jiwanya sepertimana orang-orang Yahudi.

Baqarah [61]…..Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/09/kaya-jiwa/


HADIS : LALAT DAN PENYAKIT; RASULULLAH DAN SAINTIS

Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari

Huraian : Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah.

Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria.

Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya.

Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini.

Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/04/hadis-lalat-dan-penyakit-rasulullah-dan.html


KATA HIMAH

Jika anda mahu melakukan sesuatu anda akan mencari jalan dan jika anda tidak mahu melakukan sesuatu anda akan mencari alasan.

Friday, July 3, 2009

Tazkirah Jumaat 3 Julai 2009 (10 Rejab 1430H)

1. Tazkirah Jumaat kali ini adalah sama dengan Tazkirah Edisi Khas Mega Konvoi Dakwah Bermotor 2009 seperti link berikut.

http://tazkirahjumaat.blogspot.com/2009/06/dakwah-ilmu.html

2. Ini memberi peluang kepada orang lain untuk membaca tazkirah ini sedang orang yang sudah membacanya memperkukuhkan lagi ingatannya.

3. Wassalam.

Mega Konvoi Dakwah Bermotor 2009

28 Julai 2009 (Ahad)
Kundasang - Ranau - Randagong - Tungou - Tontolob