Friday, December 26, 2008

TJ : Amalan Akhir dan Awal Tahun, Taubat, Larangan Melintasi Org Solat

Tazkirah Jumaat
26 Dis. 2008 (28 Zulhijjah 1429)

AMALAN PADA AKHIR TAHUN DAN 1 MUHARRAM

Tidak lama lagi umat islam seluruh dunia akan menyambut tahun baru 1430 Hijriah pada waktu maghrib 28 Disember 2008 (Ahad). Sayugianya pada hari terakhir bulan Zulhijjah dan pada 1 Muhharam dibacakan doa-doa yang berikut;

1. Doa akhir tahun dan awal Muharram.

2. Selepas sholat subuh pada 1 Muharram sayugianya dibacakan Ayatul Kursi sebanyak 360 kali dengan membaca isim Bismillahirrahmaa nirrahim pada setiap kali bacaan. Insya Allah barangsiapa yang mengamalkannya, akan diberikan keselamatan dan pemeliharaan dari sebarang musibah dan kesempitan rezeki.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam". (Sahih Muslim)


Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.; "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun." (Riwayat Albazzar)


Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah. Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura. Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)


Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (Sahih Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” - Riwayat Al Baihaqi


LARANGAN MELINTASI ORANG
SEDANG SEMBAHYANG

Salah satu dari perkara yang terang-terang dilarang dari dilakukan terhadap sembahyang yang sedang dikerjakan, ialah melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang, kerana perbuatan itu mungkin menjadi sebab terputusnya perasaan, atau ingatan yang sedang dijalinkan oleh hamba Allah dengan tuannya. Sabda Nabi s.a.w “Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perawi : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun” (Riwayat Al-Bukhari)


Rasulullah saw telah mengajar orang yang bersembahyang khasnya di tempat-tempat yang terbuka, supaya mereka mendirikan satu tanda bagi menunjukkan kawasan yang sedang digunakan olehnya, dan mereka jangan diganggu.


Sabda Nabi s.a.w “Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah dia menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan” (Riwayat Al-Bukhari)


http://nasbunnuraini.wordpress.com



TAUBAT ORANG JAHIL TETAP
DITERIMA OLEH ALLAH

ISLAM tidak menutup pintu kepada umatnya yang bersalah, jika mereka mahu kembali kepada kebenaran dengan membersihkan diri dengan bertaubat. Malah, Islam menggalakkan mereka berbuat demikian. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)


Rasulullah menempelak mereka yang melakukan kejahatan terus menerus, sedangkan mereka mengetahui kejahatan yang dilakukannya. Sepatutnya, mereka meminta keampunan kepada Allah di atas kesilapan pertamanya tanpa mengulangi kesalahan itu.


Taubat yang diterima Allah juga adalah taubat dalam keadaan segera sebelum roh sampai ke tenggoroknya. Hal ini seperti dijelaskan oleh Imam Ahmad yang meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama (rohnya) belum sampai ke tenggorok.” Hal itu bererti apabila sudah putus harapan untuk hidup, malaikat mula datang menjemput, roh mula keluar dari tenggoroknya, dada mula terasa sesak dan mencapai tenggoroknya. Pada saat itu taubat tidak lagi diterima. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) dia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” (Surah al-Nisa’, ayat 18)


Sesungguhnya manusia tidak dapat lari daripada memohon taubat kepada Allah. Perkara ini kerana tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa manusia, selain Allah. Firman-Nya bermaksud: “Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 135)


Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu memberi keampunan kepada hamba-Nya selagi mana hamba-Nya memohon keampunan kepada-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Said, daripada Nabi bersabda bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhan, dan demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka segera bertaubat dan memohon ampunan kepada-Ku.” [..]


http://tazkirahagama.blogspot.com/

TJ : Fadhilat Selawat, Roh Harum dan Busuk, Mutiara Hadis, Fadhilat Sedekah

Tazkirah Jumaat
19 Dis. 2008 (21 Zulhijjah 1429)


SELAWAT NABI S.A.W

Pengertian Selawat

Selawat adalah jamak dari kalimat solat. Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat.

Dalam kitab suci Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-nya selawat kepada Nabi. Hai orang² yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya”. (Surah Al-Ahzab:ayat 56)

Selawat kepada nabi terdiri dari tiga macam tingkatan :

1. Selawat Allah kepada Nabi dan Rasulnya, istimewa kepada Nabi Muhammad S.A.W. bererti Allah memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad S.A.W kepadanya.

2. Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad S.A.W, bererti malaikat² mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.

3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad S.A.W, bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya .


Dalil-dalil Hadis Tentang Selawat

1. Sabda Nabi S.A.W : “Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku”. (Hadis Riwayat At-Trimidzi)

2. Sabda Nabi s.a.w : “Berselawat atas para Nabi Allah dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus”. (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib)

3. Sabda Nabi s.a.w : “Dari Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Sabda Nabi s.a.w : “Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan dari hadis², jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin.

http://adeqshah.multiply.com/journal/item/94


ROH HARUM & ROH BUSUK

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a katanya: "Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit." Kata Hammad :"Kerana baunya harum seperti kasturi." Kata penduduk langit " Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam." Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:"Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat." Kata Abu Hurairah selanjutnya:" Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,"Roh jahat datang dari bumi." Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat." (Muslim)

Huraian : Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal:50).

Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.


MUTIARA HADIS

Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu berfirman: 'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.' (Riwayat Muslim)

Dari Abu Zar r.a., bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut. (Riwayat al-Bukhari)

http://dakwah2u.blogspot.com


FADHILAT SEDEKAH

Ulama’ berkata: Sedekah itu 10 kepujian, lima di dunia dan lima di akhirat.

Lima di dunia:

1. Membersihkan hartanya
2. Membersihkan badannya
3. Menolak bala dan penyakit
4. Menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amalan
5. Berkat hartanya dan diluaskan oleh Allah rezekinya

Lima di akhirat:

1. Dinaungkan oleh Allah orang yang bersedekah pada hari kiamat ketika sangat panas
2. Ringan hisabnya
3. Berat timbangan (amalan) di akhirat
4. Mudah melalui titian siratumustaqim
5. Bertambah darjatnya di dalam syurga

Oleh itu marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

TJ : Keajaiban Selawat, Hari Mengadap Tuhan, Sembahyang Tahajjud, Jgn Tunjuk Kebencian, Anjuran Bersedekah

Tazkirah Jumaat
12 Disember 2008 / 14 Zulhijjah 1429


KEAJAIBAN SELAWAT


(SAMBUNGAN MINGGU LEPAS)

21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insya-Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.

25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28. Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Hadis Riwayat Abu Naim.

30. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - Hadis Riwayat Thabrani. Wallahu a’lam.

http://soleh.net/2007/09/26/keajaiban-selawat/


HARI MENGADAP TUHAN

Semasa sembahyang berjemaah, manusia akan berdiri untuk mengadap Allah, manakala di hari Kiamat pula manusia akan berdiri juga untuk mengadap Allah: Al-Mutaffifeen [6] “Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam”. Di sana manusia bercakap secara ‘direct’ dengan Allah, tanpa ada penterjemah dan semua orang faham soalan dari Allah. Adi Bin Hatim r.a meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W. Katanya baginda bersabda yang bermaksud : “Tidak ada seorang pun antara manusia di akhirat kelak kecuali dia akan berhadapan dengan Allah S.W.T. Antara manusia dan Tuhan tidak ada jurubahasa (tidak ada pegawai protokol)”. (Riwayat Muslim)

SEMBAHYANG SUNAT TAHAJJUD

Dalam satu hadis, Allah rahmati dan suka orang solat tahajjud: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah merahmati orang yang bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya untuk sembahyang. Jika isterinya payah sedar ia merenjiskan air di wajahnya. Dan Allah merahmati isteri yang bangun waktu malam bersembahyang dan mengejutkan suaminya (agar beribadah). Jika suaminya enggan (liat) untuk bangun maka ia merenjiskan air diwajahnya.” (Riwayat Abu Daud). Kerjasama suami-isteri seperti ini ini mampu membentuk keluarga dan masyarakat yang baik.

Di dalam hadis yang lain, solat tahajjud ialah budaya orang soleh. Dari Ummah Al-Bahili dari Rasulullah s.a.w ; “hendaklah kamu melazimkan (qiamulail) sembahyang malam. Sebab itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia menghampirkan kamu dengan tuhan, menebus keburukan (kamu) dan mencegah dari melakukan dosa.” ( Riwayat At-Tarmizi )
Dalam riwayat Salman Farisi ditambah lagi dengan faedah lain iaitu, “ia dapat menghilang penyakit dari dalam tubuh.” - ( Riwayat At-Tabrani )

Imam Syafie mengharuskan solat tahajjud secara berjemaah. Imam Hanafi mengatakan solat tahajjud itu individu.

Israa [79] Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di Makam Mahmud


JANGAN TUNJUK KEBENCIAN SESAMA ISLAM

Dalam satu hadith disebut, “Jangan kamu tunjuk kepada saudara kamu (orang Islam) yang kamu tidak suka kepadanya, nanti Allah akan rahmatinya dan uji kamu dengan bala. (Riwayat Tirmizi). Sekiranya kita tidak suka atau mempunyai perasaan benci sesama saudara Islam, janganlah dizahirkan. Sebaliknya pendamkan perasaan tidak suka itu di dalam hati dan janganlah diceritakan kepada orang lain. Juga janganlah kita mengatakan atau melakukan sesuatu yang boleh mengembirakan musuh kita iaitu musuh-musuh Islam.

Al-A’raf [150] “Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah dia: Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu? Dan dia meletakkan Luh-luh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.” http://nasbunnuraini.wordpress.com


ANJURAN BERSEDEKAH

Rasulullah SAW mengingatkan dalam khutbah baginda ketika sampai di Madinah pada waktu hijrah dari Makkah : "Wahai segenap manusia! Sesungguhnya amal itu tergantung kepada niat, dan seseorang akan mendapatkan (pahala) sesuai dengan apa yang diniatkannya". Rasulullah SAW menganjurkan kepada kita umatnya untuk memperbanyak sedekah, hal itu dimaksudkan agar rezeki yang Allah berikan kepada kita menjadi bertambah berkat.

Oleh itu marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

Thursday, December 11, 2008

Tazkirah Raya Haji : IBADAH KORBAN 8 Dis 2008 / 10 Zulhijjah 1429

IBADAH KORBAN

Hukum Korban

Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha Korban hukumnya sunat dalam mazhab Syafie bagi orang berada atau miskin. Hukum ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh. Wajib dalam mazhab Hanafi bagi orang berada, sunat bagi orang miskin. Akikah hukumnya sunat dalam semua mazhab.
Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?

Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban. Maksud hadis, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” Wallahualam

Waktu melakukan ibadah Korban

Korban boleh dilakukan selama 4 hari Hariraya Aidiladha (tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).
Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?

Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah SWT, “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”. Wallahuaklam

Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?

Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. Wallahuaklam

Apakah hikmah korban?

Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban. 2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya. 3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin. 4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban. Wallahuaklam

Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?

Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut:-

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.

Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.

Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam

Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?

Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. Wallahualam. []

Rujukan :
http://al-futhuhat.blogspot.com/2008/12/ibadah-korban.html
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/12/04/ibadah-korban/

Thursday, December 4, 2008

TJ : Keajaiban Selawat, Mimpi lihat nabi, Khasiat madu, Mensyukuri nikmat, Anjuran bersedekah

Keajaiban Selawat
(SAMBUNGAN MINGGU LEPAS)

11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

Wallahu a’lam. (BERSAMBUNG…)

http://soleh.net/2007/09/26/keajaiban-selawat/

Mimpi melihat Nabi Muhammad s.a.w

Riwayat Ahmad dari Anas Bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa melihat aku dalam mimpi, maka akulah itu kerana sesungguhnya Syaitan tidak boleh menyerupai aku.

Syaitan dijadikan dari api dan boleh berupa menjadi manusia, lelaki atau perempuan. Setengah ulama kata syaitan tidak boleh menyerupai Nabi Muhammad s.a.w. Setengah ulama kata syaitan tidak boleh menyerupai mana-mana Nabi. Bila syaitan berupa menjadi manusia, ia tiada lurah hidung. Kerana itu orang yang menyimpan misai hendaklah menampakkan lurah hidungnya.

Dalam hadith yang lain, berkata Abu Salamah, “Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mimpi melihat Rasulullah itu betul, tetapi percakapan Nabi dalam mimpi tiada jaminan. Ia bergantung kepada percakapan itu selagi tidak bertentangan dengan syarak.

Kelebihan orang yang mimpi Nabi

Besar kelebihan orang yang mimpi Nabi. Ulama kata akan mati dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurga.

Amalan untuk dapat ziarah Nabi dalam mimpi

Setengah ulama menyuruh baca Al-Kautsar 1,000 kali satu malam, bacalah hingga 2-3 malam. Setengah ulama suruh banyakkan selawat ke atas Nabi. Surah Al-Kautsar menceritakan hubungan khusus Nabi s.a.w dengan Allah, orang yang benci Nabi akan terputus rahmatnya dari Allah: Al-Kautsar [3] Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/12/10/mimpi-melihat-nabi-muhammad-saw/

khasiat madu lebah

“Siapa meminum madu di pagi hari selama tiga hari setiap bulan, nescaya ia tidak terkena penyakit yang berat” (Riwayat Ibnu Majah melalui Abu Hurairah r.a.”). Seperti mana firman Allah: An-Nahl [69] Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2008/02/20/khasiat-madu-lebah/

Mensyukuri nikmat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula. (Riwayat Tabrani).
Huraian : Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah

ANJURAN BERSedekah

Rasulullah SAW bersabda, "Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Malaikat yang pertama menyeru, "Ya Tuhan, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kepada Allah". Malaikat yang kedua pula menyeru "musnahkanlah orang yang menahan hartanya ". Sedekah anda, walaupun kecil tetapi amat berharga disisi Allah Azza Wa Jalla. Tidak menghairankan jika orang yang bersedekah diibaratkan orang yang melabur (invest) dan menabung di sisi Allah dengan jalan meminjamkan pemberiannya kepada Allah. Balasan yang akan diperolehnya berlipatganda. Mereka tidak akan rugi meskipun pada awalnya mereka kehilangan sesuatu. Sedekah yang pahalanya terus mengalir. Dari Abu Hurairah RA, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : "Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal : amal jariyah, ilmu yang bermanfaat atau anak shalih yang mendoakannya" (HR. Bukhari, dalam Adabul Mufrad). Semoga dengan ini kita sebagai insan yang kerdil mendapat keredhaan dan keberkatan Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak dengan memperbayakkan amal jariyah melalui bersedekah. Oleh itu marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. []