Thursday, August 28, 2008

TJ : Kelebihan Ramadhan, Adab Berpuasa dan Solat Terawih

29 Ogos 2008 (27 Syaaban 1429)
KELEBIHAN RAMADHAN
Tidak lama lagi umat islam seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadhan. Mengikut maklumat terkini, 1 Ramadhan 1429 bersamaan 1 September 2008 (tertakluk pada perubahan oleh Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Bulan Ramadhan adalah bulan yg mempunyai banyak kelebihan dan bulan yang diturunkan seribu rahmat oleh Allah S.W.T. kepada manusia untuk memperbanyakkan amal ibadat.
Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi.
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.
ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Di dalam satu hadis menyebut : Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka.
Secara ringkasnya bulan Ramadhan terbahagi kepada 3 fasa iaitu : 10 hari yang awal merupakan fasa rahmat, 10 hari berikutnya merupakan fasa keampunan, 10 hari terakhir merupakan fasa keselamatan daripada api neraka.
Oleh itu, marilah kita merebut peluang ini dengan mengandakan amalan soleh pada siang dan malam bulan Ramadhan semoga kita semua akan mendapat segala kebaikan yang tidak terhingga ini daripada Allah. []

Tuesday, August 26, 2008

LUASNYA NERAKA

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, akudatang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang dihujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potonganapi. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi s.a.w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya dibawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun,tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman : iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,
Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.
Pintu keempat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusibernama Ladha,
Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.
Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?"

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat." Maka nabi s.a.w. jatuh pingsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat kuyang akan masuk ke dalam neraka?" Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyangkemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah. (dipetik dari kitab "PeringatanBagi Yg Lalai")

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiatsedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Wallahua'lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159 Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kamiterangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Terima kasih kepada Jaawad yang mengirimkan article untuk diposkan dalam blog ini.

Friday, August 22, 2008

TJ : Imam Ahmad, orang tua & anjing, Panduan kikis sifat sombong, Zikrullah

Tazkirah Jumaat : 22 Ogos 2008 (20 Syaaban 1429)
IMAM AHMAD, ORANG TUA DAN ANJING

Imam Ahmad bin Hambal merupakan seorang ahli hadith yang sangat terkenal. Beliau juga merupakan ahli fiqih yang terkenal diseluruh Iraq. Beliau adalah anak murid kepada Imam Syafi’e yang mewarisi semangat mencari ilmu dan mengembara demi mencari hadith di seluruh dunia Islam.

Dipendekkan cerita, pada suatu hari, Imam Ahmad terdengar bahawa di Khurasan, terdapat seorang tua yang memiliki hadith yang sampai sanadnya kpd Nabi Muhammad S.A.W. Jadi tanpa membuang masa, Imam Ahmad pun menyediakan bekalan dan bersiap-siap untuk perjalanannya menaiki unta. Khurasan dengan Baghdad jaraknya beribu-ribu kilometer.

Imam Ahmad pun berjalan sampailah bekalan habis dan tak makan selama 2 hari. Kemudian Imam Ahmad berjumpa satu Bandar, hendak meminta bantuan Baitul Mal, Imam Ahmad rasa malu. Jadi, Imam Ahmad bekerja di pasar selama 2 minggu sehingga dapat mengumpulkan bekalan untuk meneruskan perjalanan semula.

Setelah hampir sebulan, Imam Ahmad pun sampailah juga di tempat orang tua itu tinggal. Masa itu, org tua itu sedang memberi makan kepada seekor anjing. Imam Ahmad memberi salam, org tua itu menjawab salam dan hanya memandang sekilas kepada Imam Ahmad. Selepas itu kembali memberi makan pd anjing itu. Orang tua itu tidaklah serta merta melayan Imam Ahmad. Imam Ahmad yg sgt letih pula setia menunggu orang tua tu.

Selesai sahaja memberi makan, org tua itu berkata kepada Imam Ahmad: “Mungkin dalam hatimu mengatakan aku lebih memperhatikan anjing lebih daripadamu?”

“Benar.” Jawab Imam Ahmad.

Orang tua itu berkata: “Dengarkanlah baik-baik. Perlu kau ketahui, aku mendengar dari Abu Zinad dari Al-A’raj dan Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapa yang memutuskan harapan orang yang datang kepadanya, Allah akan memutuskan harapannya pada hari kiamat dan tidak akan masuk syurga”

Orang tua itu berkata lagi, di kampung tu tidak ada anjing. Tiba-tiba anjing tu datang kepadanya dalam keadaan lapar dan mengharap supaya diberi makan. “Aku tidak mahu memutuskan harapannya hanya kerana kedatanganmu. Nah, sekarang sudah jelas masalahnya. Sekarang apa keperluanmu datang kepadaku”

“Hadis yang kau ucapkan itu sudah memenuhi tujuanku datang ke sini.” Jawab Imam Ahmad.
Dan satu hadith itulah hasil perjalanan beliau yg melelahkan itu. Kalau kita sekarang bolehlah naik AirAsia, naik Emirates. Lihatlah begitu besar pengorbanan ahli-ahli hadith dalam usaha mengumpulkan hadith? Moga Allah menganugerahi mereka darjat yang tinggi dan diletakkan di tempat istimewa di syugaNya. Ameen

http://tazkirahonline.blogspot.com/2004_05_01_archive.html


PANDUAN MENGIKIS SIFAT SOMBONG

Beberapa panduan Imam Al-Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh:

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.

3. Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.

4. Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui..

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan didalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi. wallahualam...

http://tazkirahonline.blogspot.com


ZIKRULLAH


Mengingati Allah s.w.t akan memberikan pengaruh yang sangat hebat dan besar kepada manusia dari segi rohani dan jasmaninya. Seorang pemimpin negara yang banyak mengingati Allah, sudah tentu akan memberi pengaruh dan kesan yang besar terhadap corak pemerintahan dan kepimpinannya. Manakala seorang rakyat atau pekerja yang banyak mengingati Allah s.w.t, akan memberi kesan yang mendalam untuk melaksanakan tugas, tanggungjawab dan kewajipannya.

Ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 152: "Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)".
Firman Allah s.w.t didalam surah Ar-Ra'd ayat 28: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia".

Marilah kita sama-sama melazimkan berzikir dengan membaca Al-Quran, membaca doa yang wiridnya dari Rasulullah seperti yang diajarkan kepada sahabatnya, Maazab bin Jabal iaitu: "Ya-Allah tolonglah aku, agar (dapat) sentiasa mengingatiMu dan mensyukuriMu serta memperbaiki ibadatku kepadaMu". (Riwayat Abu Daud) []

http://www.jais.gov.my

Friday, August 15, 2008

TJ 150808 : Nisfu Syaaban, 9 Pembaziran, Hikmah Sujud dan Kesan Istighfar

15 Ogos 2008 (13 Syaaban 1429H)

MALAM NISFU SYABAN

Insya Allah, tahun ini, Nisfu Sya'aban jatuh pada esok hari 16 Ogos 2008, hari sabtu (malam Ahad). Malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban adalah satu malam yang sunat dirayakan dalam syariat Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.

Malam nisfu Syaaban ini sayugialah kita hidupkan dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas sembahyang fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas membaca Yaasiin akan dibaca doa. Pada bacaan Yaasiin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan dari bala dan pada bacaan ketiga diniatkan memohon ditingkatkan iman dan murah rezeki yang halal. Cara lain ialah menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berhimpun membaca zikir dan Al Quran.

Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama-nama malam Nisfu Syaaban sebanyak 22. Antaranya yg termasyhur adalah:

  1. Malam Dimustajabkan Doa
  2. Malam Pembahagian Takdir
  3. Malam Rahmat
  4. Malam Berkat
  5. Malam Pengampunan (Taubat)
  6. Malam Penebusan
  7. Malam Syafaat
  8. Malam Penulisan
  9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
  10. Malam Rezeki
  11. Malam Hari Raya Para Malaikat
  12. Malam Penghidupan

http://www.sekampung.net/forum/

9 PEMBAZIRAN YANG SERING DILAKUKAN MANUSIA

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada sembilan pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

  1. Ilmu pengetahuan : Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.
  2. Amalan : Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.
  3. Kekayaan : Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.
  4. Hati : Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.
  5. Tubuh badan : Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.
  6. Cinta : Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.
  7. Masa : Membazir jika tidak diurus sebaiknya.
  8. Akal : Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.
  9. Zikir : Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Wallahu'alam. Semoga Allah s.w.t memberi kekuatan untuk kita amalkan. Wassalam.

http://tazkirah-umum.blogspot.com/

HIKMAH SUJUD

Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya.

Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.

Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Bernafas ketika sujud pula boleh:

  1. membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
  2. membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
  3. melegakan sakit hernia (burut).
  4. mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
  5. melegakan paru-paru daripada ketegangan.
  6. mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
  7. kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
  8. meringankan bahagian pelvis.
  9. memberi dorongan supaya mudah tidur.
  10. menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
  11. pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
  12. bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
  13. mengurangkan kegemukan.
  14. pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).
  15. organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
  16. mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentality seseorang.

Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.

http://tazkirah-umum.blogspot.com/

KESAN ISTIGHFAR

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.” HR Abu Daud.

Friday, August 8, 2008

SEJARAH MASJID JAMEK KUNDASANG

1. Masjid Jamek Kundasang mula dibina pada tahun 1982 semasa kerajaan parti BERJAYA memerintah negeri Sabah.

Masjid Jamek Pekan Kundasang sebelum pembesaran pada tahun 1999

2. Pengislaman beramai-ramai di akhir tahun 1970an dan awal 1980an (1978-1981) di Sabah khususnya DUN Kundasang telah diadakan. Memandangkan pertambahan jemaah yang semakin ramai, Putera Arab pada masa itu telah menderma sebanyak RM500,000.00 secara peribadi kepada Kerajaan Negeri Sabah di Istana Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk mendirikan masjid di Kg. Kundasang.


3. Ybhg. Datuk Mynoor Ginggor yang juga Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah telah menyerahkan projek pembinaan masjid itu kepada MUIS dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau. Seluas 5 ekar telah diluluskan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Pertanian untuk tapak pembinaan masjid termasuklah kawasan letak kereta yang terletak di stesen pertanian Kundasang.




4. Pembinaan Masjid Jamek Kundasang telah tergendala pada tahun 1985 akibat kekalahan parti BERJAYA.

5. Memandangkan masjid ini sangat diperlukan dan diteruskan, Ybhg. Datuk Mynoor Ginggor kemudian telah berjumpa Ybhg. Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1986, yang pada masa itu menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan supaya pembinaan masjid ini dapat diteruskan. DSAI telah meluluskan peruntukan RM500,000.00 untuk meneruskan pembinaan masjid ini.

6. Pada tahun 1987, pembinaan Masjid Jamek Kundasang diteruskan dan siap sepenuhnya pada tahun 1988.

7. Perasmiannya telah disempurnakan pada tahun 1988 oleh YBHG. Tan Sri Kasitah Gaddam yang pada masa itu menjawat Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

8. Pada tahun 1999, Tan Sri Kasitah Gaddam meluluskan pembesaran Masjid Jamek Kundasang sebanyak RM500,000.00 seperti yang kita lihat sekarang. Jumlah semua peruntukan ebanyak RM1.5 juta.

9. Kini tahun Julai 2008 berlaku perubahan landskap yang ketara di sekitar Masjid Jamek Kundasang dengan pembinaan jalanraya yang baru menuju ke Hotel Perkasa Kundasang.


10. Di bahagian bawah masjid sekarang ini, kerja-kerja menambak sedang dijalankan.


Sumber : YBHG. Datuk Mynoor Ginggor.

Nota : Sejarah ini akan sentiasa diupdate.

TJ : Pelik tapi benar, Saidina Ali dan Peminta Sedekah, Fadhilat Berzikir, Renungan

Tazkirah Jumaat : 08.08.08 (6 Syaaban 1429H)

PELIK TAPI BENAR

Alangkah Peliknya Kita......

Duit RM 50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

30 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk satu cerita komedi.

Betapa lamanya satu jam berada di masjid, tapi betapa cepatnya dua jam berlalu saat menonton wayang di panggung.

Tak sampai 30 minit dengar khutbah Jumaat dah rasa jemu, tapi tak pernah puas dengar lagu kesukaan kita walaupun dah ulang dua tiga kaset berkali-kali.

Dengar iklan jualan murah di tv rasa tak sabar-sabar nak pergi beli-belah, Tapi dengar laungan azan tak sabar-sabar nak tukar channel lain.

Pasar malam jauh sanggup naik kereta pergi, tapi masjid dekat rumah rasa berat pula kaki.
Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan saat berdoa atau solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang dengan kawan-kawan.

Betapa seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bolasepak jadi kegemaran kita, tapi betapa bosannya bila imam solat Tarawih bulan Ramadhan bacaannya lama dan panjang.

Rasa susah sungguh untuk habiskan Al-Quran walau satu halaman, tapi majalah hiburan dan novel best-seller 100 halaman pun habis dilahap.

Ramai orang berebut paling depan bila menonton bola atau konsert, tapi berebut cari saf paling belakang bila solat jemaah supaya boleh cepat keluar.

Susahnya orang mengajak menyebar dakwah, tapi mudahnya orang menyertai dan menyebarkan gossip.

Kita begitu percaya pada yang dikatakan di emel di internet, tapi kita sering mempertikaikan apa yang dikatakan Al-Quran.

Kita boleh mengirimkan ribuan jenaka termasuk gambar-gambar lucah dan surat berantai dalam emel, tapi bila mengirim yang berkaitan dengan ibadah sering berfikir dua tiga kali.

Pelik tak kita.....?

Tepuk dada... tanyalah hati dan iman.

http://e-malabari.net/ugama

SAIDINA ALI DAN PEMINTA SEDEKAH

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu.

Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal. Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta.

Beberapa hari kemudian, Rasulullah saw berjumpa Saidina Ali lalu bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.

MORAL & IKTIBAR

  • Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong orang yang dalam kesusahan.
  • Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang balasannya akan diterima di dunia lagi.
  • Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan.
  • Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak.

http://www.tranungkite.net/

FADHILAT BERZIKIR

Hadis 1 : Abu Hurairah r. a memberitahu bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, ALLAH swt berfirman: Sesungguhnya, Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingat aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa). Apabila hambaku mendekatiku sejengkal, maka aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari.

Hadith ini mengandungi berbagai-bagai keterangan. ALLAH berfirman: "Aku bertindak terhadap hambaKu sebagaimana yang disangkakan olehnya." maksudnya hendaklah senantiasa mengharapkan kurnia dan rahmat dari ALLAH swt. Janganlah sekali-kali berputus harap dari rahmatNya. Walaupun kita berdosa dan telah melampaui batas yang kita percaya bahawa segala dosa dan kesalahan kita itu pasti akan dibalas namun janganlah sekali-kali berputus harap dari rahmat ALLAH swt. Kemungkinan besar ALLAH swt mengampuni dosa kita semata-mata dengan rahmat kurniaNya.

RENUNGAN

Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. []

Friday, August 1, 2008

TJ : Info Syaaban, Ihsan Terhadap Haiwan dan Renungan Bersama

Tazkirah Jumaat : 1 Ogos 2008 (29 Rejab 1429H)

INFO SYAABAN

Pendahuluan

Bulan Syaaban kembali lagi menemui kita pada 3 Ogos 2008 ini. Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Syaaban ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat dan peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’).
http://www.al-azim.com/masjid/syaaban/home.htm

IHSAN TERHADAP HAIWAN

Haiwan juga adalah makhluk Allah yang juga mempunyai perasaan seperti kita. Yang membezakan ialah kita mempunyai akal tetapi haiwan tidak. Haiwan tidak dapat membezakan antara betul dan salah tetapi mereka mempunyai naluri yang Allah berikan untuk meneruskan perjalanan hidupnya. Oleh sebab ia sama makhluk Allah seperti kita, perlulah kita bersikap belas dan kasihan terhadapnya.

Dalam satu riwayat diceritakan seorang lelaki berasa sangat dahaga setelah jauh berjalan di padang pasir. Di tengah jalan dia berjumpa sebuah perigi. Airnya cetek dan jauh ke bawah. Dia terpaksa turun untuk mendapatkan sedikit air buat menghilangkan dahaga. Lelaki itu naik ke atas semula selepas minum beberapa teguk. Tiba-tiba di tebing perigi itu, dia ternampak seekor anjing yang kelihatan tidak bermaya kerana kehausan. Lelaki itu dapat merasakan betapa hebatnya penderitaan anjing itu lantaran terlalu haus. Dia amat bersimpati kepada anjing itu.
Walaupun masih keletihan, lelaki itu berikhtiar untuk memberi minum kepada anjing yang haus itu. Dia turun kembali ke dalam perigi lalu memenuhkan kasutnya dengan air. Selepas itu, dia pun naik semula ke atas sambil menggigit kasut yang berisi air itu. Sampai di atas, lelaki itu pun menghulurkan air itu untuk diminum oleh anjing.

Di atas layanan yang baik dan sifat belas kesihannya terhadap anjing itu, Allah memberikan keampunan di atas dosa-dosanya yang lalu.

MORAL & IKTIBAR

  • Berbuat baik terhadap haiwan walaupun seekor anjing yang dipandang jejek adalah satu kebajikan dan mendapat pahala
  • Sifat kesihan dan belas adalah amalan hati. Amalan hati diberikan ganjaran lebih di sisi Allah.
  • Allah melihat apa sahaja yang kita buat pada setiap masa di mana sahaja kita berada.
  • Ganjaran pahala diberikan mengikut kadar keikhlasan kita.
  • Begitu juga dosa dikenakan mengikut kadar penglibatan hati kita.
  • Jangan memandang remeh perkara-perkara yang kita anggap kecil. Boleh jadi di sisi Allah ia amat besar nilainya.
  • Amalan yang kita anggap kecil kadang-kadang boleh memasukan kita ke syurga. Manakala amalan jahat yang kecil juga boleh memasukkan kita ke dalam neraka.
  • Jangan memandang rendah kepada haiwan sebab ia makhluk Allah jua seperti kita.

RENUNGAN BERSAMA

Hazrat Abu Darda r.a berkata:" Kamu hendaklah mengingati ALLAH dalam kesenangan dan kelapangan nescaya ALLAH akan mengingati kamu dalam kesusahan dan kesempitan." []